Isnin, 16 Jun 2008

Sanusi: Reezal 'batu api' pecat saya

Muda Mohd Noor
Tan Sri Sanusi Junid mendakwa setiausaha politik menteri kewangan sebagai dalang yang mencadangkan beliau dipecat daripada presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) awal bulan ini.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kedah itu, enggan menyebut nama setiausaha politik terbabit dengan alasan tidak mengetahui namanya.

"Saya tidak tahu... tetapi setiausaha politik menteri kewangan hanya seorang sahaja," katanya ketika diminta mengulas kenyataan medianya minggu lalu.

"Saya sebenarnya dipecat melalui saluran setiausaha politik menteri kewangan, yang kebetulan salah seorang ahli majlis UIA yang telah saya cadangkan kepada DYMM ketua perlembagaan UIA untuk menjadi wakil alumni di dalam majlis UIA," kata Sanusi minggu lalu.

Malaysiakini difahamkan, Datuk Reezal Merican Naina Merican memenuhi ciri yang digambarkan oleh bekas presiden universiti itu.

Bagaimanapun sejak minggu lalu Malaysiakini masih gagal mendapat reaksi beliau sehingga kini.

Sanusi mendakwa lagi, ahli majlis tersebut "bukan sahaja tidak rajin menghadiri mesyuarat majlis kerana terlalu sibuk, malah telah menggunakan kedudukannya untuk mengutamakan kepentingan orang tertentu."

"Dalam hal pemecatan saya, ahli majlis ini telah menjadi batu api dan seterusnya rajin menghubungi wartawan untuk mendapat kepastian yang segera daripada saya mengenai urusan pemecatan walaupun sebelum saya menerima dan memahami kandungan isi suratnya," katanya.

"Adakah wakil alumni di dalam majlis sudah berubah daripada menjadi jambatan antara UIA dan perdana menteri kepada menjadi punca kekeliruan yang menggembar-gemburkan perkara pemecatan ini melalui wakil media sebelum surat pemecatan diumumkan oleh UIA?

"Adakah seorang setiausaha politik menteri kewangan yang duduk di dalam majlis UIA mempunyai kuasa dan mengetahui lebih dalam hal ini daripada anggota kabinet?"

MCA lompat: Dakwaan Anwar 'palsu'

dikemaskini Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat beberapa ahli patlimen MCA akan menyertai Pakatan Rakyat disifatkan sebagai "tidak masuk akal dan palsu semata-mata".

"Dakwaan Anwar itu tidak boleh diterima akal dan palsu semata-mata.

"Ia tidak lebih daripada kegemparan murahan untuk publisiti dirinya sendiri," kata ahli jawatankuasa pusat MCA Datuk Fu Ah Kiow, mengulas dakwaan penasihat PKR sewaktu berucap di Bayan Baru, Pulau Pinang semalam.

"Memang menjadi hasrat Anwar menimbulkan pergeseran antara parti-parti komponen BN dan memisah-misahkannya," kata Fu, yang juga ketua biro penerangan MCA.

"(Dakwaan) ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk mengejar jawatan perdana menteri."

Menyedari BN pernah berdepan tempoh naik turun sokongan terhadapnya, Fu menggesa parti-parti komponen BN agar terus berpaut utuh bersama-sama.

"Melalui zaman susah dan senang (bersama), kami sentiasa bergandingan antara satu sama lain, dan akan terus berbuat demikian. Kami tidak akan melarikan rakan sendiri dalam keadaan yang susah," kata Fu.

Abdullah pertahan jawatan presiden Disember ini

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata peralihan kuasa bukan akan berlaku dalam masa satu, dua atau tiga bulan akan datang.

Ekoran itu, katanya, beliau akan mempertahankan jawatan presiden Umno pada pemilihan parti yang dijadualkan pada Disember ini.

Beliau berkata tiada alasan bagi beliau untuk tidak bertanding, demikian menurut laporan Bernama.

Semasa ditanya mengenai tarikh peralihan kuasa kepimpinan, Abdullah berkata ini akan dibincangkan dengan timbalan beliau Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami masih belum bersetuju secara tepat tarikh peralihan kuasa itu. Bukan dalam masa satu, dua atau tiga bulan akan datang," kata beliau pada dialog dengan kira-kira 30 ketua media Forum Ekonomi Dunia di Putrajaya.

Kelmarin Abdullah berkata beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik untuk peralihan kuasa itu.

Berucap dalam satu majlis di Kelantan, Abdullah berkata, beliau dan Najib telah bermuafakat dan mereka berdua bersetuju bilakah masanya beliau bersara dan Najib mengambil ambil alih sebagai perdana menteri."

Bagaimanapun semalam, Abdullah berkata tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada timbalannya masih belum ditetapkan lagi.

Sebaliknya, kata Abdullah, beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.

Minyak: Lebih ramai jadi miskin

Kenaikan mendadak harga minyak sejak 5 Jun akan menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010, kata beberapa penganalisis ekonomi.

Mereka yakin kenaikan harga petrol sebanyak 40 peratus dan diesel pula lebih 60 peratus pasti memberi kesan negatif terhadap rancangan itu walau menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz pada April lalu berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya menghapuskan kemiskinan.

Sesetengah ahli ekonomi kurang yakin dengan memberi alasan bahawa, berdasarkan kuasa membeli yang ada kini, lebih banyak rakyat sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".

Ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan api.

"Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

"Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan.

"Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya, lapor Bernama.

Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.

"Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi Semenanjung jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.

Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit.

"Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Penolong naib presiden jualan institusi, Alliance Investment Bank, Shahrul Kamal Ramli sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia kini tergolong sebagai miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar.

Shahrul Kamal berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu.

"Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, TNB, patut memberi bonus tunai kepada rakyat.

"Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya? Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya.

"Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.

Beliau menambah, wang rebet yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan layak menerimanya.

"Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," katanya.

Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.

"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran.

"Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.

Ahad, 15 Jun 2008

GERAKAN atau SAPP tinggalkan BN?

Selepas pilihan raya umum ke-12, Mac lalu, banyak cerita dibangkitkan mengenai keadaan politik tanah air. Ada yang menggemparkan dan ada juga yang buat-buat gempar.

Bermula dengan berita akan adanya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di permulaan sidang Dewan Rakyat, cerita kemudian beralih kepada Ahli-Ahli Parllimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti sertai pakatan pembangkang untuk membentu kerajaan baru.

Semua berita gempar ini turut diwarnai oleh cerita dalaman UMNO sendiri termasuk soal peralihan kuasa. Setelah cerita lompat parti mula senyap, undi tidak percaya tidak menjadi kenyataan, veteran politik yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat berita gempar yang terbaru.

Ceritanya, salah sebuah parti komponen BN akan keluar daripada barisan yang dibentuk pada pada tahun 1974 itu.

Jika lompat parti, tarikh akhirnya pada 16 September depan, berita adanya sebuah parti komponen nak tinggalkan BN menurut Tengku Razaleigh akan berlaku hujung bulan ini.

Beliau yang juga bekas Presiden Melayu Semangat 46 bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN tersebut.

"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di bangunan Majlis Mentakab, hari Sabtu.

Ekoran pendedahan Tengku Razaleigh tersebut, Agendadaily dihubungi beberapa sumber yang memaklumkan Parti GERAKAN adalah parti yang disebut-sebu akan meninggalkan BN.

Malah menurut seorang sumber, difahamkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN soal parti itu meninggalkan gagasan BN ada dibincangkan.

Malah, keyakinan beberapa pihak GERAKAN akan meninggalkan BN berdasarkan tindakan beberapa bekas pimpinan parti itu yang telah berkhidmat di bawah kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor.

Bermula dengan tindakan bekas Setiausaha Anya, Datuk Lee Kah Choon yang menerima jawatan berkhidmat di bawah kerajaan yang diketuai oleh DAP, ia kemudian disusuli oleh bekas Pengerusi GERAKAN Wilayah Persekutuan yang menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor pimpinan PKR.

Namun, ada juga pandangan yang menyebut, parti yang akan meninggalkan BN tersebut adalah parti SAPP dari Sabah.

Malah Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee sebelum ini pernah membayangkan pihaknya mempertimbangkan untuk tidak bersama BN sekirany tuntutan yang merek bangkitkan untuk Sabah tidak mendapat respon daripada kerajaan Persekutuan.

Dua Ahli Parlimen SAPP tinggalkan BN?

Cerita lompat parti muncul kembali…kali ini khabar terbaru yang tersebar ialah dua Ahli Parlimen dari Parti SAPP, pimpinan Datuk Yong Teck Lee telah membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Menurut seorang yang rapat dengan kalangan Ahli Parlimen yang memberitahu Agendadaily, cerita mengenainya kini tersebar luas di kalangan Ahli-Ahli Parlimen.

Malah, dua Ahli Parlimen dari parti SAPP disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-duanya ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Agendadaily telah menghubungi kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.

Majimbun yang menolak khabar kononnya beliau telah meninggalkan BN berkata, sehingga kini mereka masih lagi kekal bersama parti itu.

“Tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana,” katanya.

Sambil menyifatkan berita yang tersebar itu sebagai khabar angin, beliau berkata, apa yang penting beberapa perkara yang disampaikan kepada kerajaan Pusat untuk negeri Sabah hendaklah ditunaikan.

“Kita ucap terima kasihlah kepada beberapa perkara yang telah diberikan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tapi kita masih tungu perkara-perkara lain yang belum dipenuhi,” jelasnya.

Kenyataan beliau dipercayai berkaitan dengan beberapa isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Sabah termasuk soal pembangunan di negeri berkenaan kepada kerajaan Pusat.

Bulan lalu, dalam temuraham dengan Agendadaily Teck Lee memberikan isyarat ada dua pintu sebagai pilihan kepada mereka dalam mencari penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan negeri Sabah.

Katanya, pintu pertama ialah menyelesaikan semua tuntutan yang dibuat atau jika tidak pintu kedua ialah keluar meninggalkan BN. Beliau memberikan tempoh sehingga Ogos depan untuk penyelesaian dibuat.

Sementara itu Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon pula berkata, beliau tidak tahu menahu tentang cerita yang disebarkan itu.

“Hari ini kita hadir taklimat Bajet BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan BN) sama-sama dengan Perdana Menteri. Jadi saya tidak tahu menahu soal cerita ini,” katanya

BN Sabah bukan melampau

Kelantangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dalam membangkitkan isu-isu kepentingan rakyat tidak harus dilihat sebagai tidak bertimbang rasa kepada kepimpinan Pusat.

Sebaliknya Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman berkata, pemimpin Pusat perlu melihatnya secara positif.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri menjelaskan, Ahli Parlimen BN negeri itu perlu lantang bersuara meminta perhatian kerana keluasan sesebuah kawasan Parlimen di negeri itu ada yang sama dengan keluasan sebuah negeri ditambah pula kebanyakkan kawasan berada di pedalaman.

“Para pemimpin BN negeri bukanlah terlampau meminta-minta tetapi keadaan yang memelrukan mereka lantang bersuara. Sabah adalah negeri yang luas dan masih memerlukan perhatian yang lebih terutama daripada segi pembangunan,” katanya hari Khamis.

Selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, pelbagai isu berkaitan dengan Sabah telah dibangkitkan secara terbuka oleh Ahli-Ahli parlimen BN Sabah terutama semasa sidang Dewan Rakyat yang lalu.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk soal keanggtoaan dalam kabinet dari negeri Sabah yang dilihat tidak mewakili kejayaan BN negeri itu yang menang besar pada pilihan raya umum lalu.

Selain itu, isu pembangunan dan peruntukan juga dibangkitkan.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa melakukan lawatan ke Sabah mengumumkan beberapa keputusan termasuk tambahan peruntukan kepada negeri itu sebagai memenuhi hasrat yang disampaikan oleh pimpinan negeri itu untuk kepentingan rakyat.

Menurut Musa, Sabah berterima kasih kepada kepada Perdana Menteri di atas keprihatinanya terhadap pembangunan pembangunan negeri itu termasuk menambah peruntukan kepada negeri di bawah bayu tersebut.

Serentak dengan itu jelasnya, Kerajaan Sabah akan berusaha melaksanakan sebanyak pembangunan di negeri itu bagi memastikan BN terus mendapat sokongan padu rakyat

Minda Pembaca: Kerajaan Malaysia tanggung berbilion ringgit subsidi kepada Singapura

Oleh Reformis Muda
Jumaat, 13 Jun 2008

MUNGKIN diantara kita terleka dan berhujjah berkenaan subsidi Minyak yang kononnya diberikan Kerajaan Malaysia pimpinan Umno kepada Rakyatnya,Namun ramai diantara kita mungkin terlupa bahawa kerajaan Malaysia juga menanggung pelbagai subsidi terutama subsidi air kepada rakyat Singapura. ada dikalangan pemimpin pembangkang juga gagal menyedarkan rakyat dalam isu ini.

Tidakkah kita hairan suatu ketika bila Kerajaan menghalang warga Thailand membeli minyak di sempadan Malaysia, Najib Tun Razak dengan jelas dalam sidang medianya memberikan keistimewaan kepada warga Singapura dimana di sempadan Singapura dikecualikan dari sekatan, kononya atas sebab ramai dari rakyat kita bekerja disana.

Namun ia hanya satu alasan. pemimpin Umno lebih rela menekan warga Thailand yang majoritinya Melayu Islam dan memberikan keistimewaan kepada majoriti Cina dari Singapura.

bila ada isu seludup tidak ada kawasan lain yang menjadi tumpuan untuk kerajaan bersandiwara, sudah tentu sempadan Thailand yang menjadi mangsa. walhal bukankah kita juga memerlukan bekalan beras berkualiti dari Thailand. Mengapa pula negara sekecil Singapura yang tidakpun memberi sebarang manafaat dan mempunyai hasil bumi sering menjadi anak emas Kerajaan Malaysia.

Apakah warga Singapura tidak menyeludup? atau diberikan keistimewaan dan lesen oleh kerajaan Malaysia untuk menyeludup? apakah ratusan ribu kenderaan yang menyeberang tambak johor setiap minggu itu datang untuk melancong semata mata? apakah oleh kerana mereka berkereta mewah mereka tidak menyeludup Minyak dan bahan makan yang disubsidi ke Singapura? disini akan saya huraikan apa yang telah kerajaan Malaysia berikan subsidi kepada rakyat Singapura . mereka cukup menekan dan berkira dengan rakyat sendiri, tetapi membela rakyat Singapura.

1. Kerajaan Malaysia Memberi Subsidi Air Pada Singapura

Walaupun kita tahu kerajaan malaysia terikat dengan perjanjian bodoh dengan Singapura, namun kerajaan Malaysia melanggar perjanjian dengan rakyat sendiri, bagaimana Kerajaan Malaysia melanggar perjanjian royalti Minyak terhadap rakyat Terengganu tetapi begitu taat kepada Singapura walaupun harga air yang dijual sudah tidak logik di akal namun kerajaan malaysia terus melayan baik Singapura.

sebutkan mana mana negara dalam dunia ini menjual air pada kadar 3sen seribu gelen? malah kerajaan Cina sendiri menjual air kepada wilayah Hongkong tanah jajahannya juga lebih 4 dollar seribu gelen.apakah kos menyeleggara dan kerja kerja membekalkan air pada singapura percuma?

apakah kos penyelenggaraan tidak meningkat seperti mana kos menggerudi minyak bak kata Sharir Samad? berapa kos yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia kepada Singapura?
tidakkah itu subsidi!! itupun kerajaan Malaysia tetap melayan baik Singapura walaupun Negara tersebut terlalu kurang ajar kerana mereka 1sen pun tidak mahu harga tersebut dinaikkan. kenapa Kerajaan malaysia tidak dahulukan hal harga air ini berbanding tuntutan pulau batu putih ke Mahkamah Antarabangsa.

sekarang anda lihat fakta tersebut berkenaan perjanjian air antara Malaysia dan Singapura. kalau diikut pada kiraan 50sen harga yang patut dijual Malaysia kepada Singapura ini bermakna Malaysia memberikan subsidi air kepada SINGAPURA lebih 7 BILLION setahun. inipun dikira jauh lebih rendah dari cas air di Selangor.

lihat perjanjian tersebut .

PERJANJIAN AIR 1961 DAN 1962

1. Mengikut perjanjian ini, Malaysia perlu membekalkan air mentah kepada Singapura secara berterusan sebanyak 250 juta gelen (250,000,000) sehari pada harga jualan 3sen (RM0.03) bagi setiap 1,000 gelen.
2. Malaysia pula perlu membeli air yang telah diproses oleh Singapura dengan kadar 50sen (RM0.50) bagi setiap 1,000 gelen
3. Loji pemprosesan air ini terletak di Gunung Pulai, Skudai, Tebrau dan Kota Tinggi dalam Negeri Johor tetapi diuruskan oleh Public Utilities Board (PUB) milik Singapura
4. Perjanjian Air 1961 akan tamat hanya pada tahun 2011 dan Perjanjian Air 1962 pada tahun 2061
5. Singapura membuat untung besar dengan penjualan air Malaysia kepada kapal – kapal yang berlabuh di perlabuhan Singapura.


PERJANJIAN AIR 1990

1. Perjanjian ini menyebabkan Malaysia perlu mengorbankan hutan simpan seluas 21,600 hektar (53,374 ekar) di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Mersing untuk dijadikan kawasan tadahan air dan empangan yang dikenali sebagai EMPANGAN LINGGIU.
2. Lokasi strategik pertahanan kerana koordinat sifar berada di lokasi tersebut
3. Perjanjian ini hanya akan tamat pada tahun 2061.

2. Kerajaan Malaysia memberikan Subsidi Minyak kepada Singapura.

tahukah anda ratusan ribu kereta singapura menyeberang ke Johor setiap minggu, mengikut statistik penggunaan Minyak dikawasam sempadan dengan Thailand hanya sekitar 10 - 12juta sebulan. manakala jualan minyak disempadan johor ianya mencecah RM 45-50juta sebulan. apakah semua minyak tersebut digunakan warga Johor? kalau diandaikan hanya separuh nilai tersebut digunakan rakyat Singapura Malaysia memberikan hampir 600juta setahun Subsidi berbanding harga pasaran Singapura iaitu RM 5per/litter.itupun dikira murah kerana nilai dollar Singapura 3 kali ganda dari matawang kita.sebenarnya cara kerajaan Malaysia mengstrukturkan semula subsidi minyak inipun gagal menyekat dari rakyat singapura menikmati subsidi. lebih baik adakan sahaja kaunter minyak khas untuk warga asing, selesai masalah.

3. Kerajaan Malaysia Memberikan Subsidi Makanan Pada Singapura.
Kerajaan Malaysia beria ia menyekat warga thailand membawa keluar minyak masak, tetapi pernahkah Kerajaan Malaysia merampas barangan dari warga Singapura yang mengeluarkan Minyak,Beras,barangan dapur dan Ikan dari sempadan Johor? jawapannya tidak kerana Malaysia tidak berhak mengusik sedikitpun rakyat Singapura. sedangkan kerajaan menekan warga Thailand yang majoritinya adalah sama bangsa dan agama dengan kita.sedangkan kita memerlukan juga beras dari Thailand.kadang kadang sedih melihat bagaimana gula dan minyak 2-3kilopun dirampas. mungkin kerana mereka tidak memakai kereta mewah seperti warga Singapura.inipun dianggarkan jualan disempadan Johor adalah sekitar 100juta.dalam keadaan pendapatan mereka 3 kali ganda dari Malaysia mereka juga diberikan hak Kerajaan Malaysia untuk menikmati subsidi makanan.

4. Kerajaan Malaysia beri Subsidi pasir, Tanah dan Pulau kepada Singapura.

Seperti mana pendedahan Tun Dr Mahathir yang terbaru, kerajaan Malaysia dibawah paklah telah menjual pasir kepada Singapura, semuanya bagi menampung pembesaran kawasan baru untuk warga singapura hidup selesa walaupun perairan dan kawasan penangkapan ikan rakyat malaysia terjejas. tidak cukup dengan pasir Kerajaan Malaysia juga mengsubsidikan tanah rizab melayu dan wilayah yang menjadi kedaulatannya kepada singapura melalui WPI atas nama pelaburan, dan tunggulah saatnya nanti nasib tanah di WPI akan senasib isu air dan pulau batu putih. semuanya adalah subsidi dengan ehsan kerajaan Malaysia. malah pulau batu putih dan Negara Singapura itupun sebenarnya adalah Subsidi yang diberikan pemimpin Umno terdahulu kepada cina berfahaman komunis iaitu Lee Kuan yew. malah sehingga kini kerajaan Malaysia masih menyambut baik kedatangan pemimpin ini sehinggakan Malaysia sanggup mengeluarkan kos membeli buah Durian yang bernilai RM 24,000 hanya kerana menyenangkan hati pemimpin Singapura. melalui menantunya beberapa kepentingan negara kini juga disubsidikan untuk syarikat pelaburan Singapura iaitu Temasek.

Jadi dalam kita menilai sikap kerajaan pada Singapura, berbanding rakyat sendiri , anda kini boleh melihat dengan jelas. mereka menekan rakyat dan menjadikan rakyat Singapura sebagai anak emas mereka. kenapa tidak mereka ungkit sahaja Subsidi air yang telah mereka berikan berpuluh tahun kepada rakyat Singapura.inilah wajah sebenar pemimpin yang menggadaikan kedaulatan Negara. inilah pemimpin UMNO.

Sabtu, 14 Jun 2008

Perarakan aman bantah isu minyak

Abdul Rahim Sabri
Perarakan membantah kenaikan harga minyak bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat di masjid Kampung Baru dengan teriakan "Turun-turun, turun minyak", "Turun-turun, turun BN", "Turun-turun, turun Pak Lah" dan "Rakyat-rakyat, rakyat bangkit".

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 30Kemudian kumpulan lebih 1,000 penyokong pembangkang bergerak menuju ke pintu keluar masjid menuju ke simpang empat Jalan Raja Abdullah-Jalan Raja Alang.

Sekumpulan 20 anggota polis berada di sepanjang jalan di situ, hanya memerhati orang ramai bergerak keluar dari kawasan masjid.

Bagaimanapun, setibanya di simpang tersebut, kira-kira 30 orang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah membentuk benteng halangan bagi menyekat orang ramai masuk ke Jalan Raja Abdullah untuk ke Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menuju ke KLCC.

Ketika itu bilangan mereka menyertai perarakan tersebut telah mencecah kira-kira 2,000. Mengetuai perarakan tersebut ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 klcc background 3Bagi mengelak bertembung dengan anggota FRU di situ, mereka meneruskan perarakan melalui Jalan Raja Alang, menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di kawasan Chow Kit.

Kira-kira 20 anggota polis turut mengikuti mereka bagi memantau keadaan. Manakala di Chow Kit pula kelihatan kira-kira 10 anggota polis ditempatkan di situ.

Bawa kain rentang

Seorang anggota polis kelihatan memberhentikan lalulintas ketika perarakan itu hendak membelok masuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perarakan itu terhenti seketika di situ, menyebabkan lalulintas menjadi sesak dan kenderaan merangkak perlahan-lahan di belakang mereka, sambil membunyikan hon masing-masing.

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 28Peserta perarakan membawa pelbagai kain rentang mengutuk kenaikan harga minyak. Satu daripada kain rentang tersebut berbunyi "Najib kata: Minyak tak akan naik selepas pilihanraya. Mereka tipu rakyat, Dollah kata petrol naik 78 sen, diesel naik RM1'.

Mereka menyusuri jalan TAR dan kemudian sampai di persimpangan tetapi tidak membelok ke Jalan Sultan Ismail yang menuju ke KLCC.

Bagaimanapun, mereka meneruskan perarakan menuju ke bangunan Kompleks Pertama, bersebelahan Sogo.

Setibanya di situ pada kira-kira jam 2.37 petang, lebih 500 orang daripada mereka duduk di tengah-tengah jalan di simpang empat lampu isyarat Jalan TAR-Jalan Dang Wangi.

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 15Manakala yang lain berdiri mengelilingi mereka yang duduk di tengah-tengah simpang tersebut.

Ketika itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berucap kepada orang ramai. Selain Salahuddin, wakil rakyat Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin, timbalan ketua Pemuda PAS Nasaruddin Tantawi, naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib presiden PAS Mohamad Sabu.

Bersurai jam 3.20 petang

Kesemua pemimpin Pakatan ini berada di tengah-tengah kumpulan yang duduk di simpang tersebut.

Ucapan mereka disambut dengan tepukan gemuruh serta laungan "Turun-turun, turun minyak", "Turun-turun, turun BN", "Turun-turun, turun Pak Lah" dan "Rakyat-rakyat, rakyat bangkit".

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 motorcycle troopSalahuddin kemudiannya bangun, diikuti pemimpin-pemimpin lain melalui jalan kecil antara bangunan Kompleks Pertama dan bangunan Sogo, menuju masuk ke Jalan Raja Laut.

Lebih kurang 1,000 mengikuti Salahuddin dan barisan pemimpin Pakatan menuju ke bangunan ibu pejabat PAS yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Manakala anggota Unit Amal PAS membantu mengawal lalulintas dalam perjalanan mereka kira-kira 15 minit untuk sampai ke ibu pejabat PAS.

Salahuddin sekali lagi berucap kepada orang ramai, meminta mereka supaya hadir menyertai satu lagi bantahan besar-besaran di ibu negara pada 5 Julai depan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes).

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 31Beliau kemudiannya meminta orang ramai supaya bersurai secara aman dari situ pada kira-kira jam 3.20 petang.

Walaupun mereka bersurai tetapi kira-kira 30 anggota FRU masih kelihatan memantau keadaan di depan pejabat pembangkang itu.

Mereka bersurai kira-kira 20 minit kemudian.

Tiada sebarang tangkapan atau sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perarakan tersebut. Semuanya berjalan secara aman.

Polis juga tidak menggunakan gas pemedih mata atau meriam air untuk menyuraikan mereka.

Abdullah Dan Najib Telah Sepakat Tentukan Masa Penyerahan Kuasa

KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi memperjelaskan bahawa hubungannya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememang terjalin baik tanpa sebarang masalah dan kedua-dua mereka telah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik bagi penyerahan kuasa.

Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu hari ini.

"Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada beliau.

"Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik," katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata "bila tiba masanya nanti" penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku.

Terdahulu, sejurus tiba di sini, Abdullah mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu selama dua jam.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa.

Mesyuarat yang diadakan sebelum itu juga turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah juga berkata sewajarnya semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

"Yang penting semua perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini," katanya.

Perdana Menteri turut menghargai sokongan semua pihak kepada beliau untuk terus memimpin parti dan negara dan berjanji bekerja lebih kuat demi kepentingan parti, kerajaan dan rakyat keseluruhannya.

"Saya amat menghargai sokongan terhadap saya dan kalau beri sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata walaupun sokongan rakyat keseluruhannya semakin merosot yang diterjemahkan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Abdullah meminta penyokong Umno tidak patah semangat.

"Sebagai pejuang jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita dan istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang ini.

"Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang ini perlu berjuang. Kalau patah hati tak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja," katanya.

Abdullah berkata kerajaan yang ada pada hari ini, sebenarnya tidak lemah walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu.

"Kerajaan yang ada perlu memikirkan sokongan majoriti yang menyokong kita dan majoriti ini mahukan kita terus berjuang," kata Abdullah.

Perdana Menteri yakin Umno akan kembali kuat selepas ini kerana masalah yang berlaku pada hari ini adalah sesuatu yang lumrah.

"Saya percaya kita boleh pulih dan kembali kepada kekuatan yang asal. Memang ada masa kita hilang kerusi dan ketika ini timbul kemarahan pelbagai pihak tetapi ia tidak akan selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata kerajaan Pusat sama sekali tidak akan menganaktirikan negeri yang diperintah pembangkang termasuk Kelantan kerana tidak mahu rakyat terus terseksa dan perlukan pembelaan kerajaan.

"Kita mahu bantu mereka yang kurang berkemampuan dan untuk itu jangan biarkan kita berasa lemah dan tidak bermaya untuk membantu mereka," katanya.

Ini adalah lawatan yang pertama Abdullah selepas pilihan raya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat terhadap senario politik terkini.

Selepas solat Jumaat Abdullah akan ke Bendang Perangkap Bunut Susu bagi melancarkan Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.

-- BERNAMA