Jumaat, 17 April 2009

Penangkapan dan pengusiran PATI fasa II Bermula

KOTA KINABALU - MUNGKIN sudah agak terlewat untuk menyelamatkan nyawa dua pekebun kecil yang terkorban dalam serangan pendatang asing di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak ketika Kerajaan mengumumkan akan melaksanakan fasa kedua operasi bersepadu membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini dengan tumpuan diberikan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Kematian dua orang dan kecederaan yang dialami oleh lima orang pekebun kecil termasuk seorang peguam mungkin belum menyedarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ketika mengumumkan bahawa semua agensi kerajaan termasuk polis dan Jabatan Imigresen akan terlibat dalam operasi yang berlangsung sepanjang tahun ini.

"Walaupun tumpuan operasi di Pantai Timur tetapi operasi-operasi harian juga akan diadakan di kawasan lain di negeri ini,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di sini semalam.

Musa berkata, serentak dengan operasi itu, agensi kerajaan seperti Imigresen akan melaksanakan beberapa inisiatif baru yang mampu meningkatkan keberkesanan usaha membanteras kehadiran PATI di negeri ini

Katanya, ia termasuk menguatkuasakan sepenuhnya sistem kawalan biometrik di pintu-pintu masuk utama bagi memudahkan usaha mengenal pasti dan mengesan pendatang tanpa izin.

Selain itu, beliau menambah, kerajaan negeri akan membuka tiga lagi pintu masuk utama ke Sabah iaitu di Kudat, Lahad Datu dan Semporna bagi menggalakkan rakyat asing menggunakan pintu masuk dan dokumen yang sah.

Pintu masuk itu, ujarnya, merupakan tambahan kepada dua pintu masuk sedia ada iaitu di Sandakan dan Tawau.

''Ketiga-tiga pintu masuk itu akan dibuka dalam tahun ini dengan pintu masuk ke Semporna dijangka dibuka dalam bulan ini,'' katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi bersepadu fasa pertama tahun lalu yang memfokuskan penangkapan dan pengusiran PATI di Pantai Barat negeri ini, Musa berkata, seramai 32,530 rakyat asing diperiksa dalam 35 siri operasi yang dijalankan.

''Daripada operasi itu, seramai 24,269 orang ditahan dan ditempatkan di pusat tahanan sementara di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, seramai 19,151 telah diusir ke negara asal iaitu 13,615 rakyat Filipina, 5,278 Indonesia dan 258 lagi membabitkan rakyat negara lain.

''Sebanyak 64 peratus daripada jumlah yang diusir itu telah dihadapkan ke mahkamah khas pendatang tanpa izin dan dikenakan hukuman sekurang-kurangnya satu bulan penjara dan dua kali sebatan," katanya.

Musa berkata, tindakan juga diambil terhadap 99 kes kanak-kanak jalanan dengan menempatkan mereka di rumah kebajikan atau rumah perlindungan ehsan.

Usaha Musa dianggap sudah terlambat kerana pendatang asing mula membarah dan menyusupi semua agensi kerajaan terutama pasukan polis, tentera dan rela apabila anak-anak pendatang asing yang ibubapa mereka dianugerahkan kad pengenalan projek menyebabkan hati mereka berbelah bahagi untuk menangkap warga asing yang serumpun atas dasar simpati.

POLIS DALANGI TRAGEDI BERDARAH DI TINGKAYU?

PEGUAM Tetuan Ansari & Co, James Valentino Tanggar menggesa Ketua Polis Negara menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh berhubung insiden berdarah di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak kerana keselamatan para pekebun kecil tidak lagi terjamin.

"Ada sesuatu yang cuba disembunyi PDRM dan saya mengesyakki ianya melibatkan konspirasi peringkat tertinggi di dalam PDRM yang mempunyai kepentingan terhadap tanah berkenaan sehingga sanggup mencabut nyawa mereka yang tidak berdosa," ujar James yang hampir kehilangan jiwa jika senapang buatan sendiri (bakakuk) yang ditembakkan ke mukanya meletup.

Menurut James inilah kejadian paling buruk dalam sejarah Sabah selepas kes Kampung Desa Monteki, Tanjung Labian dan Litangon yang menyaksikan pegawai kanan PDRM terlibat dan bersubahat dengan kes perebutan tanah.

"Setahu saya, PDRM menjaga keselamatan dan bukannya membantu penjenayah," ujar James yang kesal kerana tidak seorangpun daripada lebih 100 penjenayah yang menyerang beliau pada 12 Februari 2009 berjaya ditangkap.

Kata James, ketua penjenayah berkenaan, Alimuddin Mohd Ajay datang ke balai berpura-pura terkejut dan mengakui tidak berada di lokasi kejadian sedangkan semua saksi melihat Alimuddin yang mengetuai serangan yang menyebabkan dua orang terbunuh dan empat cedera parah dan James cedera ringan.

"Saya minta Ketua Polis Negara menggantung tugas semua pegawai polis yang bertugas pada 12 Februari 2009 kerana disyakki bersubahat dengan penjenayah dan hanya muncul tiba-tiba setelah kami diserang dan sempat bermain mata dengan Alimuddin. Apa semuanya ini?," tanya James yang kesal kerana beliau menjadi target sejak diperdaya ASP Tan Hiap Wah pada 2008 yang hampir meragut nyawa beliau dan pekebun kecil jika mereka tidak segera beredar.

Sehubungan itu, James akan membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing pada jam 3.20 petang ini bersama dengan peguam dan aktivis masyarakat yang lain.

Berikut adalah isi kandungan laporan polis James yang diemail kepada sabahkini.net;


"Pada 11 Februari 2009 jam lebih kurang 1.00 petang, saya telah berjumpa dengan ASP Dzulmukzani Ismail di Balai Polis Daerah Kunak. Saya telah memaklumkan ASP Dzul bahawa saya mewakili para pekebun kecil Tingkayu berhasrat untuk memasuki kebun Tingkayu dan meminta bantuan pihak polis untuk mengiringi kami untuk tujuan tersebut.

Saya juga memaklumkan bahwa perintah injunksi bertarik 1 Februari 2008 telah dikeluarkan oleh mahkamh untuk melarang pihak koperasi, pekerja-pekerjanya dan ejen-ejannya daripada menghalang 171 pekebun memasuki dan mengambil hasil kelapa sawit.

ASP Dzul menyatakan bahawa pekebun-pekebun belum ada perintah pelanggaran injunksi dari mahkamah. Namun, beliau memberikan Jaminan bahawa beliau telah menempatkan tidak kurang 3-5 anggotanya di dalam tingkayu untuk langkah berjaga-berjaga ekoran perbalahan yang berlaku pada 10 Februari 2009 dan akan terus berada di sana untuk mengawal keadaan yang tidak diingini.

Berdasarkan kepada jaminan kehadiran 24 jam anggota polis di dalam Tingkayu oleh ASP Dzul, saya telah memaklukkan kepada kesemua pekebun dan pekerja mereka bahawa mereka boleh memsuki Tingkayu dan saya akan menemani mereka.

Pada keesokannya, bertindak atas Jaminan yang diberikan oleh ASP Dzul, saya dan para pekebun memasuki Tingkayu pada jam lebih kurang 1.10 petang. Saya telah cuba menghubungi ASP Dzul beberapa kali sejak jam 10 pagi tetapi gagal dan mesej melalui sistem pesanan ringkas memaklumkan pergerakan masuk kami yang saya hantar pada jam 1.24 petang juga tidak dibalas oleh beliau.

Kami bergerak dalam kumpulam berjumlah lebih kurang 45 org dengan menaiki 4 buah pancuan empat roda dan sebuah buah lori 3 tan. Setibanya kami di pintu pagar Tingkayu, penjaga-penjaga pintu pagar bagi pihak Tingkayu telah menutup pintu pagar dengan rantai besar. Saya memperkenalkan diri sebagai peguam pekebun-pekebun dan telah memaklumkan kepada polis tentang hasrat kami memasuki kebun untuk memungut hasil kelapa sawit yang telah dibenarkan oleh perintah mahkamah.

Seorang penjaga gate yang saya percaya seorang pendatang tanpa izin (gambar disertakan dan ditanda A1) memberitahu saya yang beliau mahu merujuk kebenaran ‘bos’ beliau dahulu. Tidak lama kemudian, pemuda itu menyatakan yang bos mereka telah memberikan kebenaran. Pada ketika itu, saya tidak melihat banyak orang yang menjaga kawasan tersebut.

Atas izin penjaga pagar itu, dan setelah rantai dilepaskan, saya bersama pemandu, 3 orang penumpang tempat duduk belakang dan 5 orang di belakang pancuan empat roda bergerak masuk melepasi pagar. Setelah bergerak sejauh 50 meter, saya sedari rantai pagar telah ditutup semula dan kami berundur mendekati pagar.

Saya bertanya kepada penjaga pagar (Gambar A1) kenapa tutup pagar dan halang pekebun lain? Tetapi sebelum beliau menjawab, sekumpulan ramai tukang pukul koperasi berjumlah lingkungan 100-150 diketuai oleh Alimudin Ajay datang dari arah dalam kebun lengkap dengan senjata seperti parang, samurai, lembing dan bakakuk. Alimudin meluru mendekati pagar. Saya menyatakan saya peguam mewakili pekebun dan pihak polis akan menyusul bila-bila masa.

Alimudin menyahut dengan berteriak ‘Polis Kunak saya punya’ dan mengarahkan penjaga pagar bertahan sebelum memberikan arahan “serang!!!!” sambil mengeluarkan parang panjang dari sarung yang dipegangnya.


gambar A1

Saya melihat dengan jelas PTI (gambar A1) memukul seorang pekebun bernama Ali dengan besi paip panjang. Pukulan mengenai perut dan juga muka mangsa yang terus berlumuran darah dan rebah.

Salah seorang pengikut Alimudin cuba menetak saya. Saya terpaksa mengelak dengan menangkap parang penyerang itu dan mengalami kecederaan di jari telunjuk tangan kanan. Saya diberikan rawatan 7 jahitan di Hospital Kunak.

Saya juga melihat seorang pekerja koperasi atas arahan Alimudin (Serang) mengacukan bakakuk (Gambar disertakan dan ditandakan A2) dan melepaskan tembakkan ke arah saya tetapi mengenai bahagian peha salah seorang pekerja pekebun yang berada di hadapan saya dan secara langsung jatuh cedera parah.



PEMBUNUH A2

(Perhatikan tangan kanannya memegang walkie talkie plis)


Mengikut maklumat individu A2 sering dilihat bersama Timbalan Ketua Cawangan Khas Tawau iaitu ASP Muzafar Mahadi. Kenderaan di dalam gambar didaftarkan dibawah nama Mak Bambat Bin A. Karedas dari Kampung Simpang Mewah, Jalan Sandakan, Peti Surat 61921, 91127 Lahad Datu, Sabah

Salah seorang pengikut Alimudin juga menggunakan chain saw untuk memotong cermin depan pacuan empat roda yang saya naiki seblum memotong tayar kereta yang sama.

Setelah menyedari nyawa saya dalam bahaya, saya mengarahkan pekebun-pekebun dan pekerja-pekerja untuk keluar dari Tingkayu. Kami berundur dan melanggar rantai pagar. Kenderaan kami terhenti di bahagian bertanah lembut dan pada ketika itu individu A2 yang sama mengacukan bakakuknya tepat ke muka saya sekali lagi. Saya terpaksa menutup hujung laras bakakuk itu dengan telapak tangan saya. Individu itu melepaskan tembakan beberapa kali tetapi bakakuknya tidak meletup dan melepaskan peluru.

Orang yang sama juga telah cuba melepaskan tembakan ke arah seorang pekebun kecil, Lawrence iaitu salah seorang pekerja pekebun tetapi tembakan mengenai kenderaan empat roda milik Haji Hussin Ibnu Hassan.

Kami bergegas meninggal tempat kejadian. Saya sempat melihat salah seorang pekebun yang bertindak sebagai jurukamera kami berlari ke arah hutan sambil dikejar oleh 3 orang penyerang pengikut Alimudin dengan besi paip dan parang panjang. Kami memangilnya tetapi di antara dia dengan kenderan kami banyak orang-orang Alimuddin.

Polis mengesahkan beliau telah dibunuh dan mayatnya telah dijumpai.

Saya membuat laporan ini untuk siasatan dibawah seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 bagi kesalahan membunuh dan cuba membunuh dengan niat yang sama ke atas diri saya dan orang-orang yang telah mendapatkan perintah injunksi berserta keluarga/pekerja mereka." sumber Sabahkini.net

TIADA ROMBAKAN KABINET SABAH?

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk melakukan rombakan Kabinet negeri buat masa ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, rombakan Kabinet tidak perlu dilakukan sekarang memandangkan kerajaan negeri sibuk untuk melaksanakan projek yang ada seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Sekarang kita mesti fokus untuk bekerja dan melaksanakan projek yang sudah dirancang," katanya selepas pembukaan rasmi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Musa diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan kecil Kabinet negeri dalam masa terdekat, yang membabitkan kedudukan salah seorang Pembantu Menteri iaitu Datuk Japlin Akim berikutan keanggotaannya dalam Umno digantung tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan rasuah politik.

Musa turut mengulangi kenyataannya bahawa kedudukan Japlin sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Usukan tidak akan terjejas berikutan keputusan Lembaga Disiplin dan beliau sudah pun berjumpa Japlin untuk membincangkan perkara itu.

"Dia disiasat saja... siapa pun boleh disiasat. Tapi dia belum dikenakan apa-apa pertuduhan oleh mahkamah, jadi tiada apa-apa tindakan perlu diambil terhadapnya," katanya ketika ditanya mengenai kedudukan Japlin dalam Kabinet.

Selain Japlin, kedudukan Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang juga adalah Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur juga menjadi persoalan, memandangkan beliau tidak mewakili mana-mana parti selepas Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan Tan sendiri meninggalkan SAPP serta mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas BN, pada September tahun lalu.

Dalam hal ini, Musa berkata, Tan masih lagi memegang jawatannya dan tidak ada sebarang pertukaran buat masa ini. - Bernama

Rabu, 15 April 2009

Fungsi, agensi MEDC diserap ke 8 kementerian

KUALA LUMPUR: Fungsi-fungsi dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang telah dibubarkan, akan diserapkan ke lapan kementerian lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyerapan fungsi-fungsi dan agensi-agensi tersebut akan terus memastikan peranan-peranan utama MECD sebelum ini akan terus diberi penekanan oleh kerajaan.

Ini khususnya bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, memperluaskan dan mempercepatkan penglibatan Bumiputera dalam arus pembangunan ekonomi negara, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perubahan yang dilakukan, fungsi Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, katanya.

Beliau berkata Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia juga turut dipindahkan ke kementerian tersebut.

Sementara itu, Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, jelas beliau.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, kata beliau.

Pusat Khidmat Kontraktor pula dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya, tambah beliau.

Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Bhd dan Bank Rakyat pula dipindahkan ke Kementerian Kewangan, kata beliau.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sementara Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) pula ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kata beliau.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (MAJU) pula dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi, kata beliau.

MECD dibubarkan berikutan pelantikan anggotaanggota pentadbiran yang baru pada 10 April lepas. BERNAMA

Khamis, 9 April 2009

Senarai lengkap barisan anggota kabinet Datuk Seri Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan barisan kabinet pertamanya dengan menampilkan tujuh muka baru dan menggugurkan lapan anggota jemaah menteri yang lepas.

Kabinet baru ini menyaksikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran.

Najib, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam Jumaat lalu, mengekalkan portfolio menteri kewangan yang disandangnya sejak 19 September lepas, susulan pertukaran portfolio pertahanan dengan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jemaah menteri Najib lebih kecil - 28 menteri dengan 25 kementerian - berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Abdullah sebelum ini.

"Inilah saf dan inilah pasukan kita yang diharapkan menjadi cerminan
kekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui Barisan Nasional yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelusuk Malaysia," kata Najib ketika mengumumkan ahli-ahli kabinet di
Putrajaya mulai 3 petang.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen TV tempatan.

Barisan kabinet itu juga ingin mencerminkan slogan pentadbiran Najib iaitu "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan", yang mengajak rakyat bersama-sama melaksanakan transformasi besar untuk negara.

Lapan menteri yang tidak tersenarai: Datuk Seri Syed Hamid Albar
(Dalam Negeri), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pelancongan), Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Senator Datuk Amirsham A Aziz (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Shahrir Abdul Samad, yang meletakkan jawatan.

Tujuh muka baru yang dilantik ialah:

bullet button Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal perpaduan dan pengurusan prestasi.

bullet buttonPengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Mej Jen Datuk Jamil Khir Baharom sebagai menteri di JPM yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam.

bullet buttonDatuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang dilantik menteri kewangan kedua.

bullet buttonKetua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang pernah disandangnya sebelum pilihanraya umum 2008.

bullet buttonDatuk Anifah Aman sebagai menteri luar - yang pernah jawatan timbalan menteri sewaktu Abdullah membentuk kabinet baru selepas pilihanraya 8 Mac tahun lepas.

bullet buttonKetua Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai menteri Wilayah Persekutuan, dan

bullet buttonNaib Presiden MCA Datuk Kong Cho Ha - sebelum ini timbalan menteri kewangan, sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Daripada tujuh muka baru itu, empat dilantik menjadi menteri melalui
lantikan senator iaitu Dr Koh, Sharizat, Raja Nong Chik dan Jamil Khir yang mengangkat sumpah petang ini.

Pada sebelah pagi, perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong selama 30 minit untuk mempersembahkan senarai anggota kabinet itu untuk perkenan baginda.

Najib tiba di Istana Terengganu pada kira-kira jam 11 pagi dan beredar pada jam 11.35 pagi.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, para menteri dan timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di Istana Negara esok.

Upacara bersejarah tersebut akan diadakan pada jam 9.30 pagi dan disiarkan secara langsung oleh RTM.



Perdana menteri - Datuk Seri Najib Razak

Timbalan perdana menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon - perpaduan & pengurusan prestasi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz - perundangan dan Parlimen
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Unit Perancang Ekonomi
Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom - hal ehwal Islam

Timbalan-timbalan menteri:

Datuk Liew Vui Keong
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk SK Devamany
Ahmad Maslan
T Murugiah

Menteri kewangan I
Datuk Seri Najib Razak

Menteri kewangan II
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Datuk Chor Chee Heung (timbalan)
Datuk Dr Awang Adek Hussin (timbalan)

Menteri pelajaran
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Datuk Dr Wee Ka Siong (timbalan)
Dr Mohd Puad Zarkashi (timbalan)

Menteri pengangkutan
Datuk Ong Tee Keat

Datuk Abdul Rahim Bakri (timbalan)
Datuk Robert Lau Hoi Chew (timbalan)

Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi
Tan Sri Bernard Dompok
Datuk Hamzah Zainudin (timbalan)

Menteri dalam negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Datuk Wira Abu Seman Yusop (timbalan)
Jelaing Mersat (timbalan)

Menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim

Datuk Joseph Salang Gandum (timbalan)
Senator Heng Seai Kie (timbalan)

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air
Datuk Peter Chin Fah Kui
Noriah Kasnon (timbalan)

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah
Datuk Seri Shafie Apdal

Datuk Hassan Malek (timbalan)
Datuk Joseph Entulu Belaun (timbalan)

Menteri pengajian tinggi
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Datuk Dr Hou Kok Chung (timbalan)
Datuk Saifuddin Abdullah (timbalan)

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Datuk Mustapa Mohamed

Datuk Mukhriz Mahathir (timbalan)
Datuk Jacob Dungau Sagan (timbalan)

Menteri sains, teknologi dan inovasi
Datuk Dr Maximus Ongkili
Fadillah Yusof (timbalan)

Menteri sumber asli dan alam sekitar
Datuk Douglas Uggah Embas

Tan Sri Joseph Kurup (timbalan)

Menteri pelancongan
Datuk Ng Yen Yen
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib (timbalan)

Menteri pertanian dan industri asas industri
Datuk Noh Omar

Datuk Johari Baharum (timbalan)
Datuk Rohani Abdul Karim (timbalan)

Menteri pertahanan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (timbalan)

Menteri kerja raya
Datuk Shaziman Abu Mansor
Datuk Yong Khoon Seng (timbalan)

Menteri kesihatan
Datuk Liow Tiong Lai
Datuk Rosnah Rashid Shirlin (timbalan)

Menteri belia dan sukan
Datuk Ahmad Shabery Cheek

Datuk Razali Ibrahim (timbalan)
Wee Jeck Seng (timbalan)

Menteri sumber manusia
Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Maznah Mazlan (timbalan)

Perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna
Datuk Ismail Sabri Yaakob
Datuk Tan Lian Hoe (timbalan)

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan
Datuk Kong Cho Ha
Datuk Lajim Ukin (timbalan)

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat
Datuk Seri Sharizat Jalil
Datin Paduka Chew Mei Fun (timbalan)

Menteri luar
Datuk Anifah Aman

A Kohilan Pillay (timbalan)
Datuk Lee Chee Leong (timbalan)

Menteri wilayah persekutuan
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Datuk M Saravanan (timbalan)

Rabu, 8 April 2009

Dr.M: Undi melayu buat PR Menang

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu 'bekerja keras' untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mentaliti kebanyakan rakyat hari ini telah dipengaruhi oleh kepincangan yang berlaku pada kepimpinan kerajaan sebelum ini, sekaligus membentuk satu sentimen yang amat sukar untuk diubah.

Katanya, perubahan tersebut menuntut proses yang berpanjangan, justeru Najib perlu tegas dalam memulihkan kembali imej BN dan Umno.

"Cukup susah untuk mengalih fikiran orang ramai, sebab itu kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib perlu tegas dalam pendirian untuk memulih kembali imej BN, terutamanya imej Umno sendiri," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah semalam.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran buku 'Mencari Kebahagiaan' karya Datuk Hashim Abdul Wahab di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata gejala rasuah yang berlaku secara berleluasa menambahkan rasa tidak puas hati rakyat, selain proses pembangunan yang didakwa tidak pernah berlaku.

"Banyak orang tak senang hati melihat, sudah enam tahun tak ada pembangunan apapun yang kita dapat lihat, manakala kontrak-kontrak kerajaan siapa dapat pun kita tak tahu. Ramai juga dari industri kecil sederhana tak boleh hidup," katanya.

Menjawab dakwaan bahawa kekalahan itu disebabkan undi daripada pengundi bukan Melayu, beliau berkata faktor tersebut tidak mungkin mampu membawa kekalahan bersandarkan kepada majoriti penduduk di kedua-dua kawasan.

"Kalau orang Melayu tak undi PKR di Bukit Selambau, PKR tak akan menang. Masyarakat India minoriti di situ, dia tak boleh menang. (Undi) India campur Cina pun tak boleh menang. Yang bagi undi pada PKR ialah (pengundi) Melayu. Jadi orang Melayu ada juga tak puas hati dengan kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau dengan tegas menafikan dakwaan bahawa wujud perjanjian di antara beliau dan Najib untuk menyenaraikan anaknya, Datuk Mukhriz dalam barisan kabinet baru yang akan diumumkan esok.

Katanya, dakwaan tersebut adalah spekulasi yang sama sekali tidak berasas kerana beliau tidak pernah mencampuri perjalanan politik Mukhriz.

"Saya tak pernah melobi untuk anak saya. Saya tak pernah berkempen untuk beliau, tak pernah bercakap untuk beliau. Saya biarkan dia sendirian dan apabila dia kalah, itu adalah urusan dia.

"Jika Najib ingin melantik beliau, itu adalah urusan Najib, bukan urusan saya," katanya.

Jumaat, 3 April 2009

Najib bebaskan 13 tahanan ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan tiga keputusan penting sebentar tadi - menarik balik penggantungan dua akhbar selain membebaskan 13 tahanan ISA dan mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia merupakan pengumuman penting dibuat oleh beliau pada hari pertama dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Daripada 13 orang itu, dua orang merupakan pemimpin Hindraf yang telah diharamkan.

Dua pemimpin Hindraf itu ialah, V.S. Ganapathy Rao and R. Kengadhedharan.

Mereka dibebaskan serta-merta.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri telah menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta.

"Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan," kata beliau dalam perutusan khas sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam hari ini.

Justeru kata Najib, beliau sedar sudah tepat masanya "kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah."

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno memberitahu, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

"Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.

"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia," katanya lagi.

Malah beliau juga mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Khamis, 26 Mac 2009

Khairy: Kemenangan saya bukan kerana politik wang

Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa kemenangannya kali ini ada kaitan dengan amalan politik wang.

Khairy menafikan dakwaan tersebut kerana beliau masih berkelayakan bertanding bagi jawatan tersebut tanpa sebarang halangan.

"Tidak, tidak ada... saya layak bertanding," katanya ringkas ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda lewat malam tadi.

Minggu lalu Lembaga Disiplin mendapati Khairy bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno yang melibatkan politik wang.

Dalam persaingan tiga penjuru merebut, Khairy memperoleh 304 undi meninggalkan dua lagi calon iaitu ahli Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

Khairy dalam ucapan penangguhannya setelah diumumkan sebagai Ketua Pemuda berkata, dengan semangat setiakawan yang menjadi tema kempennya, beliau berjanji tidak akan meminggirkan mana-mana pihak dalam barisan kepimpinannya.

"Tak bermakna yang tak bersama saya (bukan penyokong) akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan sentiasa diterapkan," katanya.

Beliau mahu semua ahli Pemuda merapatkan semula barisan dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar.

"Kita akan berhadapan dengan tugas berat iaitu berhadapan dengan pilihan raya (kecil) nanti," katanya.

Keputusan yang menyebelahi Khairy nyata mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Mukhriz.

Reaksi bantahan tersebut ketara apabila penyokong ahli Parlimen Jerlun itu meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn tempat perhimpunan pergerakan tersebut diadakan.

Dalam pada itu sekumpulan penyokong Mukhriz yang berada di luar dewan berkumpul dan bersorak menyatakan perasaan bantahan mereka.

Antara sorakan yang jelas kedengaran ialah 'Khairy rasuah'.

Sekumpulan anggota polis juga berkawal di sekitar kawasan ruang legar kaunter pendaftaran perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengawal sebarang kemungkinan.

Rabu, 25 Mac 2009

Keputusan penuh pemilihan Wanita Umno

Berikut adalah keputusan pemilihan Wanita Umno 2008.

PENGERUSI TETAP Tan Sri Napsiah Omar (tanpa bertanding)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP Datuk Sharifah Aminahbi Syed Mohd

KETUA Datuk Seri Shahrizat Abdil Jalil............ (507 undi)

NAIB KETUA Datuk Kamilia Ibrahim....................... (tanpa bertanding)

EXCO

1. Hasnah Salam............................. (520 undi)

2. Datuk Maznah Abdul Hamid................. (509 undi)

3. Datuk Rosni Zahari....................... (480 undi)

4. Datuk Armani Mahiruddin.................. (463 undi)

5. Datin Paduka Norhayati Onn............... (463 undi)

6. Datuk Norhayati Omar..................... (432 undi)

7. Datuk Rusnah Kassim...................... (430 undi)

8. Marlia Abd Latiff ....................... (416 undi)

9. Noriah Mahat............................. (412 undi)

10. Ros Suryati Alang....................... (405 undi)

11. Jamelah A Bakar......................... (400 undi)

12. Suraya Yaacob........................... (388 undi)

13. Azihani Ali............................. (385 undi)

14. Norliza Abdul Rahim..................... (377 undi)

15. Sharifah Azizah Syed Zain............... (375 undi)

16. Datuk Maznah Mazlan .................... (374 undi)

17. Datuk Azizah Mohd Dun................... (371 undi)

18. Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin... (367 undi)

19. Norliza Hj Ahmad ....................... (347 undi)

20. Wan Hazani Wan Mohd Nor................. (344 undi) BERNAMA

Ucapan Perasmian Serentak Pemuda, Wanita dan Puteri Umno

UCAPAN PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2008 OLEH TIMBALAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK DI DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA KUALA LUMPUR

Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti UMNO. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.

KOMITMEN

Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.

Saudara dan saudari,

Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju Umno telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama Umno kini menukar haluan mereka.

PEMILIHAN BERSEJARAH

Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, para perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah Umno. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

Hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Saudara dan saudari,

Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:

Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang . Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa :

Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

SEMANGAT... DATUK Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa berucap merasmikan ketiga-tiga sayap Umno iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri malam tadi.

MUSIBAH

Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, makanya, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, akan tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan Umno.

Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan mena’kul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, Umno telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Umno telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila Umno mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.

Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan Umno. Umno juga telah membuat pengorbanan besar apabila dalam pilihan raya umum pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi Umno sehinggalah kini.

Saudara dan saudari,

USAH APOLOGETIK

Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli UMNO tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.

Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970:

Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara proaktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA serta membangunkan kawasan luar bandar.

Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980:

Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.

Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990:

Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?

Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991–2000:

Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak UMNO juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.

Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.

Saudara dan saudari,

LANDSKAP POLITIK BERUBAH

Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Landskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pascatamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.

Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

ELAK DIKAITKAN DENGAN POLITIK WANG

Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini.

Saudara dan saudari,

PARTI BUKAN ANTIIDEA

Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang antiidea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.
SALAM... DATUK Seri Mohd. Najib Tun Razak bersalaman dengan mereka yang hadir sempena majlis merasmikan ketiga-tiga sayap Umno iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri malam tadi.

Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas-mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menganggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?

BUDAYA RENDAH DIRI

Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno.

Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.

Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Saudara dan saudari,

PERPADUAN

Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali.

Kepada para Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk melibatkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada YB Dato’ Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Saudara dan saudari,

SERAH OBOR PERJUANGAN

Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya tahun 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik.

Saudara dan saudari,

Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

Tersenarai, antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah.

Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.

BETULKAN VISI UMNO

Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps.

Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih para ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

UBAH SISTEM PEMILIHAN

Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

Saudara dan saudari,

RAJA-RAJA: PINDAAN PERLEMBAGAAN

Umno menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif. Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?

Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan UMNO meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi. Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Saudara dan saudari,

USAHA BERSAMA ATASI KRISIS EKONOMI

Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia merupakan krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Makanya, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti. Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia merupakan antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi satu trilion ringgit setahun. Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global. Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Saudara dan saudari,

ISU BAHASA

Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman. Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Seyogia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris, malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”). Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan. Ingatlah, Umno bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada Umno sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

Melayu dan Umno tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan Umno bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh. Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain. Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

UMNO KEKAL LESTARI

Kesimpulannya, untuk kekal lestari Umno mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Saudara dan saudari,

Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak Umno ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin Umno sepanjang lima tahun lalu. YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa. Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti tergaris dalam misi nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.

Saudara dan saudari,

POLITIK NAJIB

Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayap-sayap Umno setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawadhuk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Dato’ Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi Allahyarham Tun Abdul Razak. Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya. Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti Umno membela untung nasib rakyat.

Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli Umno yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden Umno.

Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden Umno baru yang bakal dipilih kelak. Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi. Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya-Allah, laungan perjuangan Umno sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.