Isnin, 12 Mei 2008

DARI PARLIMEN: Ghaffur tidak tolak kemungkinan sertai Pakatan Rakyat

AHLI Parlimen Kalabakan, Abdul Ghaffur Salleh tidak menolak kemungkinan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat suatu hari nanti jika ianya akan menguntungkan rakyat Sabah.

Beliau yang lantang bersuara ketika persidangan dewan rakyat menjadi tumpuan media hari ini ketika persidangan ditangguhkan untuk makan tengah hari.

"Saya tidak boleh menolak kemungkinan menyertai Pakatan Rakyat atau mana-mana parti lain jika ianya boleh membantu rakyat Sabah tetapi buat masa sekarang saya masih dengan Umno," kata beliau.

Ditanya sama ada Umno masih relevan atau tidak di Sabah, beliau menegaskan soal relevan atau tidak boleh dilihat bila kata-kata dari Umno Sabah tidak dipedulikan oleh Umno Pusat.

"Nilai lah sendiri sama ada ia relevan atau tidak kerana bila kita bersuara kita mewakili rakyat Sabah dan jika apa yang kita suarakan tidak didengari maka anda akan dapat jawapan sama ada ia relevan atau tidak," tambah Ghaffur.

Beliau juga menyuarakan rasa kecewa dengan pemilihan menteri kebinet yang mana pada pendapat beliau jumlah menteri kebinet dari Sabah yang diperuntukkan membayangkan bahawa Umno Sabah dianak tirikan.

"Sepatutnya kita mempunyai empat atau lima menteri dari Sabah yang memegang portfolio utama tetapi ini tidak berlaku sedangkan Sabah menyumbang banyak kemenangan," katanya lagi.

Ghaffur seterusnya mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno pusat agar mengambil berat apa yang diperkatakan oleh wakilwakil dari Sabah kerana empat tahun lagi, pilihanraya akan diadakan sekali lagi dan kemungkinan apa yang berlaku di Semenanjung akan turut berlaku di Sabah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan