SELEPAS dua bulan tarikh keramat 8 Mac memberikan signal kegusaran tentang kerapuhan politik tanah air. Hari ini kegusaran itu kembali dengan nafas yang lebih kencang. Masalah, risiko dan bala ini perlu UMNO depani. Apakah ini hasil dosa 50 tahun dahulu ataupun tidak? Semuanya hanya untuk menyedarkan kita bahawa UMNO kini sedang dalam bahaya.
Jika tidak masakan Tun Dr. Mahathir kembali bersuara untuk mengingatkan UMNO bahawa dakwaan Anwar Ibrahim itu perlu diberi perhatian yang serius.
Tatkala semuanya sibuk dengan isu Karpal Singh lawan Istana, rupa-rupanya ada agenda lain yang lebih berat lagi dan harus didepani serta diselesaikan dengan seberapa segera oleh UMNO dan teman-teman BN nya.
Agenda tersebut ialah agenda lompat parti yang cuba untuk mempengaruhi ahli Parlimen Sabah supaya beralih angin bagi memberikan kuasa "simple majority" kepada pembentukan kerajaan Pakatan Palsu Rakyat dan Anifah Aman ahli Parlimen dari Sabah sudah memberikan isyarat apakah jangkaan dalam 2-3 bulan yang akan berlaku dalam politik Malaysia.
Menurut beliau, BARISAN Nasional (BN) yang sudah mentadbir negara sejak mencapai kemerdekaan dianggap sebagai rumah banglo kepada parti komponennya tetapi sesudah beberapa lama masih ada penghuninya yang berasa seperti dianaktirikan kerana tidak mendapat tempat sewajarnya dalam banglo tersebut.
Persoalan rumah banglo dan rumah teres,merujuk parti pembangkang menjadi isu yang mendominasi dan boleh dianggap paling menarik perhatian serta mewarnai pada sesi perbahasan di parlimen semalam.
Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) yang membuat analogi itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja pada persidangan Dewan Rakyat semalam menyifatkan tidak ada salahnya jika ada ahli BN dari Sabah melompat kepada parti pembangkang jika mereka tidak mendapat tempat yang sepatutnya dalam banglo itu.
"Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya.
Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja," katanya disambut tepukan daripada wakil rakyat pembangkang dan wakil rakyat BN dari Sabah.
Anifah membangkitkan analogi itu selepas dicelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) yang bertanya adakah wakil rakyat BN Sabah akan melompat kepada parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).
Ternyata sekali jawapan Anifah mengejutkan Ahmad Zahid serta hampir semua wakil rakyat BN lain namun beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan lompat parti tetapi apa yang lebih serius adalah berjuta-juta lagi rakyat di lima negeri yang sudah melompat kepada pembangkang.
Anifah Aman juga tidak bersetuju dengan undang-undang lompat parti apabila ditanya oleh Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), beliau tidak setuju dengan undang-undang itu kerana ia boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam 'negara polis' apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.
Beliau juga menegaskan apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal, adakah kita perlu akur dan bertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat.
Persoalan yang mahu kita bicarakan hari ini ialah bukan soal pemimpin lompat parti tetapi kena kaji kenapa rakyat lompat kepada pembangkang. Kenapakah mereka lompat dan apalah gunanya jika tinggal pemimpin saja tanpa rakyat. Kita harus sedar kemerdekaan selama 45 tahun bersama Malaysia tidak bermakna jika hasrat rakyat untuk mendapat pembangunan masih ditolak ke tepi dan wakil rakyat Sabah dipandang serong apabila membawa hasrat itu.
Jika ini gambaran yang jelas oleh salah seorang wakil rakyat BN Sabah, adakah tidak mungkin untuk mereka melompat parti? Anifah Aman juga tidak bersetuju dengan undang-undang bagi mengekang lompat parti yang dikatakan tidak demokratik.
Kita perlu ingat bahawa Anifah Aman adalah adik kepada Musa Aman yang merupakan Ketua Menteri Sabah.
Maka pada bila-bila masa sahaja si adik boleh berpakat dengan si abang bagi menentukan masa depan UMNO & BN. Hari ini kerapuhan politik memberi petunjuk seolah-olah "power broker" dalam politik UMNO & BN ada dalam tangan wakil rakyat Parlimen Sabah.
Apa nilai yang ada lagi dalam politik UMNO dan BN jika ini definisinya iaitu kuasa ada pada tangan orang lain dan bukan mutlak pada UMNO.
Selama ini UMNO mendabik dada tanda merekalah parti yang hebat dan kukuh. Hari ini jawapannya berbeza, nasib UMNO ada ditangan orang lain dalam pakatan mereka sendiri.
Kita harus berfikir tentang perkara ini sama ada kecenderungan untuk lompat parti itu disebabkan apa yang berlaku dalam BN iaitu BN Sabah di anak tirikan atau BN Sabah sudah hilang keyakinan terhadap UMNO?
Atau BN Sabah tertawan dengan janji jawatan dan wang imbuhan jika mereka menyertai Pakatan Rakyat? Ataupun terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan oleh BN Pusat hingga menyebabkan proses pembangunan rakyat di Sabah begitu lembap dan sembam.
Semuanya ini petunjuk UMNO dalam bahaya. UMNO perlu bertindak untuk mengeluarkan diri dari ancaman bahaya. Pimpinan UMNO perlu sedar mereka dalam bahaya!. Ahli UMNO perlu membantu mengeluarkan UMNO dari bahaya. Malaysia Hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan