Selasa, 13 Mei 2008

USBO MAHU KL BERI PERHATIAN TERHADAP ISU DIBANGKITKAN

KOTA KINABALU: Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) mahu Kerajaan Pusat mengambil perhatian serius ke atas isu dan perkara yang dibangkitkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah, ahli-ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Usbo, Datuk Seri Salleh Said (gambar atas) berkata apa yang diminta dan disuarakan oleh pemimpin dan ahli politik dari Sabah sejak akhir-akhir ini adalah selari dengan pandangan masyarakat negeri ini.

“Apa yang hendak disuarakan telahpun disuarakan, maka yang penting kini kita menunggu reaksi dan langkah penyelesaian oleh kepimpinan di peringkat Pusat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Usbo di sini hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah bagaimanapun yakin kepimpinan negara, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengambil pertimbangan terhadap segala isu yang dibangkitkan itu.

Katanya, kepimpinan negara pastinya mengambil maklum terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan itu, sekali gus berusaha untuk menyelesaikan segala perkara secara berperingkat.

Pada 7 April lepas, beberapa isu dan tuntutan disuarakan oleh pemimpin parti komponen dari Sabah ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kota Kinabalu.

Berikutan pertemuan itu, ada juga parti komponen menghantar surat kepada Perdana Menteri, disusuli beberapa kenyataan media oleh pemimpin dari Sabah yang mahukan perhatian sewajarnya.

Salleh berkata Usbo berpendapat apa yang disuarakan itu mewakili suara dan sentiment masyarakat Sabah keseluruhannya.

“Justeru, kerajaan kena mengambil tindakan sewajarnya. Jangan pandang ringan terhadap tuntutan yang dibuat, sebaliknya mengambil tindakan yang drastik.

“Sebenarnya tuntutan ini terpendam dan diharapkan oleh rakyat Sabah sejak sekian lama yang juga diperjuangkan pemimpin-pemimpin yang memerdekakan Sabah . Layanan yang dituntut adalah selari dengan semangat kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Sabah mengemukakan tuntutan itu berasaskan semangat dan persefahaman semasa mencapai kemerdekaan dahulu.

Dalam mesyuarat itu, Salleh turut mengumumkan pelantikan Dr Hj Liddy Sallun sebagai Setiausaha Agung USBO yang baru, menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dipilih sebagai Timbalan Presiden I baru-baru ini, bersama-sama dengan Datuk Amirkahar Tun Mustapha (Timbalan Presiden II) dan Chendramata Sinteh (Timbalan Presiden III).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan