Ahmad Tajdid
KUALA LUMPUR,) - Masyarakat Cina dan India yang melakukan perubahan dalam pilihan raya umum lalu tidak akan berbuat demikian tanpa diterajui pemimpin politik Melayu, kata Pengarah Yayasan Strategik Sosial, Dato' Dr Denison Jayasooria.
Ketika menyatakan pandangannya pada sesi kedua Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008 di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dekat sini, semalam, beliau juga yakin tanpa pengundi Melayu tsunami politik yang berlaku 8 Mac lalu tidak akan berlaku.
Menurutnya, pada awal kempen pilihan raya, sememangnya ceramah-ceramah kempen parti-parti politik pembangkang lebih menarik sokongan orang bukan Melayu; bagaimanapun setelah peribadi Dato' Seri Anwar Ibrahim dikecam hebat media massa arus perdana, masyarakat Melayu di bandar dan pinggir bandar merasa tidak puas hati dan mula membanjiri ceramah-ceramah kempen parti pembangkang.
Denison yang juga Pesuruhjaya Suhakam yakin bahawa gabungan pengundi Melayu, Cina dan India khususnya di kawasan marginal mendorong perubahan besar berlaku dalam pilihan raya umum lalu.
"Perubahan tidak mustahil berlaku (dalam politik). Pada pilihan raya umum lalu kita melihat orang India beragama Hindu memegang bendera PAS dan mengundi PAS, manakala PAS meletakkan seorang calon India beragama Hindu menerusi KeADILan di negeri selatan Semenanjung," katanya.
Beliau menjangkakan perubahan besar akan berlaku dalam empat aspek selepas pilihan raya umum iaitu Parlimen, institusi kehakiman, media massa dan masyarakat sivil.
Parlimen sebagai contoh, ujarnya telah menjadi seperti 'pasar malam' kerana menjadi tumpuan masyarakat dan tidak lagi dianggap eksklusif.
Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai suatu yang sihat dalam pengamalan demokrasi.
Denison juga yakin perubahan politik yang berlaku tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.
Menurutnya, tidak ada individu mahukan kumpulan bukan Melayu yang mahu mencabar kedudukan Islam, Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu kerana ianya termaktub dalam Perlembagaan.
Sambil melahirkan kekagumannya dengan PAS dan para pemimpin PAS, Denison menyarankan dialog diadakan dengan parti itu bagi memahami Islam dan konsep negara Islam yang diperjuangkannya.
"Bercakaplah yang benar kerana kebenaran akan memerdekakan manusia," katanya mengakhiri ucapan.- tajdid
Ahad, 18 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan