Jumaat, 9 Mei 2008

SABAH DIHINA DAN DIANAKTIRIKAN

KUALA LUMPUR: “Sudahlah kami di Sabah dianaktirikan, kini kami dihina pula nak melompat.” Demikian luahan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini kelmarin.

Anifah (gambar), yang sebelum ini menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan, berkata wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan. “Bukan bererti apabila kita menyuarakan aspirasi rakyat, kita menentang kerajaan. Bukan bererti apabila kita keluarkan kata-kata keras, kita nak melompat parti. Apa yang kita nak beritahu di Dewan ini, rakyat Sabah tidak melompat seperti lima buah negeri di Semenanjung,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata tidak salah jika berlaku lompat parti atau “keluar dari rumah banglo dan masuk rumah teres, jika mereka tidak diberi ruang yang cukup di rumah banglo itu.” “Rumah teres pun rumah tereslah, asal kita sama-sama menikmati kemudahan yang ada. Tinggal di rumah banglo pun tidur di tepi tandas sahaja,” katanya.

Perumpamaan “rumah banglo, rumah teres” itu dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu yang bangun bertanya sama ada Ani-fah bersetuju bahawa tidak ada gunanya keluar dari “banglo besar” iaitu BN, untuk berpindah ke “rumah teres” yang dirujuk kepada barisan pembangkang. “Saya setuju. Apa guna nak melompat daripada rumah besar ke rumah kecil. Tetapi kalau rumah besar itu tak ada ruang untuk kita, apa salahnya.

“Oleh sebab itu, orang yang tertentu harus ambil tindakan yang sewajarnya kerana kita dah sumbang kerusi (dalam pilihan raya) yang begitu banyak selama berpenggal-berpenggal, janganlah kita dianaktirikan,” kata Anifah. Anifah juga berkata beliau tidak faham mengapa wakil rakyat Sabah menjadi sasaran apabila isu lompat parti itu diuar-uarkan oleh pembangkang dan juga BN.

“Kami di Sabah cuma beberapa orang, kenapa nak dirisaukan beberapa orang yang nak melompat, sedangkan di Semenanjung, berpuluh-puluh ribu rakyat di lima negeri melompat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menambah: “Sebelum pembangkang ghairah, saya sendiri tidak berniat nak melompat.” Anifah juga secara berseloroh meminta anggota Dewan bertanya kepada pakar lompat. Kenyataan itu menyebabkan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangun dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana sering dirujuk sebagai ‘putera katak’ sedangkan melompat parti bukan satu perkara baru.

Anifah berkata: “Saya pun tak tahulah sama ada Yang Berhormat Pasir Mas ini malang atau satu penghormatan kerana katak dapat hidup dua alam.” Kata-kata itu disambut ketawa daripada anggota Dewan.

Isu lompat parti itu dibangkitkan oleh Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta laluan dan bertanya sama ada wakil Kimanis itu menerima laporan mengenai An-ggota Parlimen BN Sabah yang hendak menyertai pembangkang. Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pembangkang dan ini akan membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan.

Anifah dalam perbahasannya tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan undang-undang anti-lompat parti kerana ia memberi gambaran Malaysia sebagai sebuah negara polis.

“Kalau pemimpin parti menyeleweng dari matlamat sebenar, adakah kita mahu mengorbankan kepentingan rakyat untuk menyokong pemimpin ini,” katanya.

Anifah yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selama dua penggal sebelum pilihan raya umum 8 Mac lepas, seterusnya membangkitkan beberapa isu berkaitan kebajikan rakyat di Sabah seperti penyertaan mereka di peringkat membuat keputusan di peringkat pusat, isu kadar pulangan yang diberi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggunakan sumber di Sabah kepada kerajaan negeri itu, isu royalti minyak, dan kemudahan infrastruktur untuk rakyat.

Beliau juga berkata ada Anggota Parlimen di Semenanjung yang tidak memahami masalah sebenar rakyat Sabah dan hanya membuat kesimpulan berdasarkan kepada kunjungan mereka ke bandar-bandar seperti Kota Kinabalu.

“Kami wakil rakyat turun kawasan tiap-tiap minggu dan berdepan dengan masalah rakyat. Kami saja yang tahu keadaannya. Sudah merdeka lebih 40 tahun tetapi anak-anak kita masih mengharung lumpur untuk ke sekolah, berjalan kaki berbatu-batu.

“Saya tahu semua isu yang saya bangkitkan ini mengambil masa untuk dilaksana, tetapi saya berharap agar semuanya dapat dilaksana sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: