Oleh Bernama
KL: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan perlu peka dengan desakan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan segala salah faham yang berlaku.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan kepimpinan perlu berdiplomasi dan berunding dengan para pemimpin parti politik dari kedua-dua negeri itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno Bahagian di Wilayah Persekutuan di sini Rabu malam, katanya kerajaan sekarang tidak akan mendapat mandat untuk memerintah tanpa parti komponen dari kedua-dua negeri itu.
Ini kerana kekuatan Umno sekarang adalah disebabkan kejayaan parti komponen dari Sabah dan Sarawak pada pilihan raya umum lepas, katanya ketika diminta mengulas mengenai Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.
"Daripada pemahaman saya, jalan terbaik sekarang adalah untuk Perdana Menteri meletak jawatan supaya boleh digantikan dengan calon yang lebih sesuai dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno dan BN," katanya.
Beliau juga mendakwa ada bahagian Umno di Semenanjung tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri.
"Mesyuarat tertutup Umno di Glenmarie, Shah Alam baru-baru juga ini masih tidak dapat mencapai keputusan sebulat suara untuk mengekalkan Abdullah dalam jawatan sekarang," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau akan menarik diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti akhir tahun ini sekiranya ada calon lain menawarkan diri untuk bertanding, katanya beliau tetap dengan pendiriannya itu.
"Saya tetap dengan pendirian saya dan tidak akan berundur, apa yang saya mulakan, saya akan habiskan," katanya.
Sementara itu dalam kenyataan yang difakskan ke Bernama di sini, Tengku Razaleigh berkata beliau mahu yang terbaik untuk Umno dan meletakkan dirinya dalam barisan untuk membawa pembaharuan dalam Umno.
"Jika pucuk pimpinan enggan menerima hakikat sebenar, saya bimbang perkara terburuk akan berlaku kepada parti dan kerajaan ini," kata beliau.
Khamis, 19 Jun 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan