Ahad, 22 Jun 2008

"PM undur, BN kembali kukuh" Teori Naib Presiden PAS

Oleh HarakahDaily

PARTI-PARTI komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendesak Pengerusinya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri melepaskan jawatannya.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, memberitahu perkara itu perlu bagi memperkukuhkan semula kedudukan BN dan negara selaku parti memerintah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesyuarat Dewan Tertinggi BN 19 Jun lalu yang berakhir tanpa sebarang keputusan.

Menurutnya lagi, parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan BN memandangkan pucuk pimpinan yang ada sekarang telah gagal berbuat demikian.

"Untuk tujuan itu, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.

"Pengunduran Dato' Seri Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru," ujarnya lagi.

Tambahnya, hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula BN.

Husam menambah kata, pilihan raya ke-12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana parti-parti komponen BN di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah gabungan parti itu.

Akibat kejadian itu, jelasnya parti komponen itu telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya.

"Hasilnya tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Dato' Seri Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional.

"Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: