Selasa, 22 Julai 2008

SHAFIE TAWAR DIRI TANDING NAIB PRESIDEN




KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal (gambar) menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mengambil keputusan itu setelah berbincang dengan pemimpin kanan parti serta ahli akar umbi UMNO Negeri Sabah serta selepas mendapatkan nasihat dan pandangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Katanya, keputusan pilihanraya umum ke-12 yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) kehilangan beberapa negeri tradisi yang dikuasainya sebelum ini kepada pembangkang telah merubah persepsi dan senario politik negara secara umumnya.

"UMNO yang menjadi tunggak kepada kekuatan Barisan Nasional yang menguasaai Kedah, Perak dan Selangor sebelum ini terpaksa menerima hakikat kemerosotan sokongan rakyat , perlu memperkuatkan semula pengaruhnya terutama dari segi mengekalkan relevansi serta pendekatannya terutama di kalangan generasi muda.

"Peralihan kuasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi minggu lalu kepada Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak pada Jun 2010 adalah satu langkah yang telus, teratur dan bijak dibuat oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti yang ditunjukkan oleh beliau.

"Kesungguhan dan keikhlasan kedua-dua pemimpin negara itu untuk berkhidmat mendahului negara daripada kepentingan peribadi, mendorong semua pihak termasuk diri saya untuk terus berjuang di dalam parti dan kerajaan di dalam memastikan UMNO dan BN terus mendapat tempat di hati rakyat negara ini," katanya.

Beliau menambah, apa yang lebih utama ialah agar kemerosotan sokongan yang diperolehi ketika PRU Ke-12 yang lalu akan dapat ditebus semula dengan keyakinan lebih tinggi rakyat dan kemenangan yang lebih besar di dalam PRU ke-13 nanti.

Shafie juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi serta Timbalan Presiden, Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak di dalam meneruskan usaha menerajui parti dan kerajaan ke arah tahap yang lebih kukuh seperti yang disasarkan.

Katanya, PRU ke-12 menunjukkan rakyat akar umbi di negeri Sabah dan Sarawak sentiasa teguh menyokong kepemimpinan BN dengan menyumbang sebahagian besar kerusi parlimen untuk membolehkan BN terus membentuk dan menguasai tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

"Menyedari bahawa UMNO di negeri Sabah semakin kukuh sejak parti itu melebarkan sayapnya ke negeri ini, adalah menjadi hasrat umum agar suara rakyat di Sabah diberi tempat di dalam tampuk kepimpinan kanan dalam parti dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ia juga sekaligus mewakili suara rakyat di Sarawak, walaupun UMNO tidak ada di negeri itu namun suara pemimpin Sabah dan sarawak harus dilihat sebagai satu ruang dan peluang untuk memenuhi visi politik dan suara rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, katanya.

Shafie merupakan AJK penaja UMNO Negeri Sabah ketika parti itu melebarkan sayapnya ke negeri ini pada tahun 1991. Selepas itu, beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO negeri sebelum mendapat tempat sebagai Pemuda UMNO Pusat selama dua penggal dan seterusnya dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi sejak tahun 1996.

Di dalam pentadbiran Kerajaan, beliau memulakan kerjaya sebagai Setiausaha Politik Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai ketika beliau berkhidmat sebagai Menteri Tanah dan Koperasi pada 1991 hingga 1993.

Kemudian beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Semporna dalam pilihanraya umum 1995 dan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada Mei 1995.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mei 1999 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan selepas pilihanraya umum pada Disember tahun yang sama. Beliau kemudian dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas pilihanraya ke-11 sebelum dilantik Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selepas PRU ke-12 yang lalu.

Tiada ulasan: