Muda Mohd Noor
Antara 50 hingga 60 ketua cawangan Umno di bahagian Petaling Jaya Selatan sedia tampil memberikan keterangan berhubung dakwaan presiden parti itu dan timbalannya "menyalahgunakan kuasa" awal bulan lalu.
Ketua bahagian berkenaan Datuk Abu Zahar Hashim mendakwa pengumuman peralihan kuasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak di depan semua pemimpin Umno "memberi kesan yang menguntungkan" dua pemimpin tertinggi itu.
Ucapan itu dibuat di depan ketua bahagian, cawangan dan tiga sayap Umno dari seluruh negara di ibu pejabat parti itu 10 Julai lalu.
Di majlis tersebut, Abdullah menyatakan kesediaannya menyerahkan tugasnya kepada Najib pada pertengahan 2010.
Abu Zahar Hashim berkata pemimpin-pemimpin di bahagiannya sanggup menjadi saksi berhubung dakwaannya jika ada siasatan pada bila-bila masa.
"Sebenarnya 103 ketua cawangan Umno dalam bahagia Petaling Jaya Selatan menghadiri taklimat tersebut termasuk saya sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau diminta mengesahkan suratnya bertarikh 11hb Julai lalu yang dihantar kepada kepada setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Berdasarkan surat terbuka itu yang kini beredar luas di internet, bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Laporan tersebut dibuat oleh Mazlan di pejabat BPR Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi tadi.
Dalam suratnya, Zahar berkata, tawaran jawatan Abdullah kepada timbalannya dan persetujuan Najib menerimanya dalam keadaan sekarang merupakan sejenis "rasuah politik peringkat tertinggi."
"Sudah pasti ia akan memberi kesan yang menguntungkan Abdullah, khususnya, dan sedikit sebanyak kepada Najib juga," katanya.
Terdahulu dari pertemuan itu, kata Zahar lagi, Abdullah terlibat dalam beberapa majlis ramah mesra dan penerangan dalam tempoh pemilihan seperti yang ditafsirkan dalam Tataetika Versi 2008.
"Ketua-ketua cawangan dari beberapa negeri diundang khas, disediakan penginapan di hotel dan diberikan buah tangan berupa sejadah atau kain pelikat serta duit belanja melalui jentera dan sumber kewangan kerajaan.
"Isu ini telah menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli Umno," katanya dalam surat tersebut.
Sementara itu, seorang pemimpin Umno berkata, tindakan melaporkan kepada BPR itu dibuat setelah Lembaga Displin Umno tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menyiasat dakwaan tersebut.
Seorang pemimpin akar umbi Umno dari Muar, Datuk Kadar Ninam Shah yang hadir sama di BPR berkata, jika BPR masih tidak mengambil tindakan sepatutnya dalam tempoh tertentu, tindakan susulan akan dibuat.
"Bagaimanapun, saya tidak menjangka BPR akan menyiasat perdana menteri atau timbalan perdana menteri," katanya.
Rabu, 6 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan