Isnin, 4 Ogos 2008

Gantikan Tugu Negara, kata mufti

Jimadie Shah Othman

Malaysia tidak memerlukan Tugu Peringatan Negara kerana ia "mempunyai unsur-unsur keberhalaan" dan "bukan warisan kita", kata mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Ia (tugu itu) patut digantikan dengan perkara lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada monumen bersejarah itu wajar dirobohkan kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keberhalaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat lalu, mufti itu menyarankan perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di tugu berkenaan sempena Hari Pahlawan 2008 agar bertaubat kepada Allah.

Menulis di blognya bersama foto Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan kalungan bunga (foto kiri), Dr Mohd Asri berkata:

"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

"Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

"Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

"Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar."

Khamis lepas, selepas perdana menteri, acara peletakan kalungan bunga disusuli panglima angkatan tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Dr Mohd Asri turut menyifatkan acara memperingati pahlawan di Tugu Negara sebagai tindakan untuk "mengalihkan pandangan" awam terhadap isu kebajikan keluarga-keluarga bekas tentera.

"Ia mengalihkan pandangan terhadap isu sebenar. Adakah dengan memberi penghormatan di Tugu Negara dapat membantu kaum keluarga pejuang kita? Adakah elaun, gaji, pertolongan terhadap ahli keluarga bekas pejuang terbela?" katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, perbuatan memberi hormat kepada Tugu Negara adalah haram mengikut fatwa kebangsaan dan fatwa Perlis.

"Sebab itu sewaktu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, baginda tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Diminta mengulas tentang jenis-jenis patung yang dibenarkan dalam Islam, beliau berkata, pada asalnya semua patung tidak dibenarkan tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Namun, katanya, unsur membesar-besarkan patung tetap tidak dibenarkan.

Patung jika digunakan untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan pendidikan adalah dibenarkan, katanya.

Ditanya tentang penggunaan patung untuk tujuan kesenian, beliau berkata, Islam tidak menghalang kesenian, tetapi mestilah ada batasnya.

Patung tidak boleh membesarkan objek asalnya atau imej yang dipatungkan, tambah Mohd Asri.

Tiada ulasan: