Sabtu, 16 Ogos 2008
Ptg Pauh: Pengundi ramal peluang 50-50
Abdul Rahim Sabri
Penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebarang Perai yakin calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai peluang 50-50 untuk menang dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 20 Ogos depan.
Arif Shah juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenanginya dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu.
Rahmat Pawanteh atau yang lebih dikenali sebagai Pak Rahmat, 58, meramalkan kedua-dua calon mempunyai peluang sama rata untuk menang.
"Sama-sama ada peluang untuk menang," katanya ketika ditemui di pondok membaiki kasut di hadapan Masjid Sembilang petang semalam.
Menurut Pak Rahmat, calon BN, Arif Shah, adalah calon yang boleh diterima oleh kawan dan lawan.
"Beliau bercampur dengan semua orang dalam masyarakat, seorang yang ramah dan mesra," katanya.
Menurut beliau lagi, Arif Shah juga seorang calon yang 'hemoi' dan dan BN memerlukan lebih ramai calon sepert Arif Shah kerana ketokohan beliau dalam masyarakat.
Peluang cerah
Rahmat juga menjelaskan Arif adalah seorang yang mesra rakyat dan selalu bertemu penduduk di masjid tersebut dan memenuhi undangan ke majlis kenduri kendara.
Sementara itu, lima orang pemuda termasuk pemilik kedai kasut di pondok berkenaan, turut mengiakan apa yang dinyatakan oleh Pak Rahmat tentang Arif Shah.
Masjid Sembilang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, di sebelah lebuhraya Butterworth-Kulim.
Berdekatan masjid tersebut terdapat deretan rumai kedai, tempat kediaman dan rumah pangsa.
Pak Rahmat berkata, penduduk di Jalan Sembilang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India, rata-ratanya bekerja sebagai peniaga, bekerja sendiri atau pegawai kerajaan.
Ketika ditanya mengenai peluang penasihat PKR itu, Pak Rahmat berkata:
"Dia (Anwar) tolong orang Melayu. Dia tolong beri rumah kepada penduduk ketika menjawat jawatan menteri belia dan sukan pada tahun 80-an."
Beliau yang juga bekas pesara penjawat awam, yang pernah berkhidmat di jabatan kerajaan selama 30 tahun, menetap di situ sejak tahun 80-an lagi.
Pilihan tepat
Lelaki separuh abad itu, menjelaskan bahawa mereka akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sebarang Jaya, yang terletak 50 meter dari masjid berkenaan.
Bersebelahan masjid tersebut, terdapat pondok panas PKR. Kelihatan penyokong PKR telah menaikkan bendera parti itu di sekitar kawasan perumahan di situ.
Bilik Gerakan BN, cawangan Klaster Jalan Sembilang, pula terletak selang beberapa lot kedai dari pondok panas PKR.
Sementara itu, seorang pembantu peniaga yang dikenali sebagai 'Osman', 60, meramalkan calon BN, Arif Shah boleh menang dalam pilihanrya kecil Parlimen Pematang Pauh.
"Dia (Arif) mesra dengan masyarakat setempat dan diterima oleh penduduk Jalan Sembilang," katanya ketika ditemui di premis majikannya di hadapan sebuah sekolah menengah di situ.
Beliau menyifatkan pemilihan Arif Shah sebagai calon BN sebagai 'pilihan yang tepat dan kena pada tempatnya' untuk menentang Anwar.
"Kalau nak minta bantuan kepadanya, senang dan tanpa tangguh-tangguh," katanya.
Osman menjelaskan, sekiranya berlaku kebakaran atau banjir, Arif Shah turun padang membantu mangsa.
Tak kira parti politik
Tambahnya, Arif Shah adalah seorang yang berjiwa rakyat, tidak berkira dan selalu bertanyakan khabar dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
"Dia tidak pentingkan diri sendiri, dia berkawan dengan sesiapapun, termasuk semua bangsa, tak kira parti politik," katanya.
Osman menyifatkan Arif sebagai seorang yang peramah dan selalu menegur penduduk di situ walaupun berada di tepi jalan.
"Payahlah nak cari orang macam dia. Dihormati dan disegani kawan dan lawan," katanya.
Sementara itu, Malaysiakini mendapatkan reaksi seorang pemuda yang dikenali 'Alam Shah', 37, yang berkerja sendiri.
Katanya, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos nanti.
Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Kemunting, telah menetap di Seberang Jaya dan pernah bekerja sebagai pemandu lori.
Tangani masalah rakyat
"Yang penting pemimpin itu mestilah amanah, jujur dan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai panduan," katanya sewaktu makan laksa di sebuah gerai di Bandar Sunway, Seberang Jaya.
Menurutnya, pemimpin hendaklah mementingkan keadilan dan membantu orang yang susah, miskin dan menangani masalah rakyat.
Katanya, beliau tidak suka orang Melayu bergaduh sesama sendiri.
Di Taman Siakap, yang berhadapan dengan Masjid Jamek Seberang Jaya, Malaysiakini mendapati bendera PKR banyak dinaikkan di tepi jalan.
Pondok-pondok panas kedua-dua parti turut kelihatan sepanjang jalan menuju ke arah Bandar Sunway.
Masjid Jamek Seberang Jaya terletak bersebelahan lebuhraya Utara-Selatan yang menghala ke utara.
Seorang penduduk di taman tersebut yang dikenali sebagai Pak Man, 65, begitu optimis bahawa Anwar akan menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
'Hari bekerja'
"Parlimen Permatang Pauh tetap milik Anwar," katanya ketika ditemui di gerai di sebuah pasar malam di taman tersebut.
Beliau menjelaskan kemenangan Arif Shah sebagai Adun Seberang Jaya tidak menggambar bahawa beliau akan menang di peringkat Parlimen.
"Menang di peringkat negeri (DUN) tidak semestinya menang di (peringkat) parlimen,"katanya.
Sementara itu, penduduk taman itu yang dikenali 'Mohamad' juga yakin Anwar Ibrahim menang dalam pillihanraya kecil Permatang Pauh.
"Cuma saya bimbang, hari pengundian jatuh pada hari bekerja," katanya.
Beliau memberi reaksi demikian kerana ramai penduduk di Seberang Jaya, berkerja di sebelah pulau.
Beliau bimbang ada di kalangan pengundi yang berada dalam zon selesa, menyebabkan orang tidak keluar mengundi (pergi berkerja), setelah PKR menang dalam majoriti yang banyak dalam pilihanraya umum ke 12, Mac lalu.
Ditanya mengenai kebolehan calon BN, Arif Shah, yang mampu berbahasa Mandarin untuk menarik pengundi kaun Cina, beliau berkata:
"Faktor bahasa tidak membantu dan tidak memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan."
Perang bendera
Beliau percaya pengundi Cina dan India tidak akan termakan dengan kempen BN, walaupun Arif Shah mampu berbahasa Mandarin.
Seorang lelaki berketurunan Cina di Taman Siakap, tetap yakin Anwar akan menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
"Minyak turun, harga barang pun turun," katanya
Tinjauan Malaysiakini pagi tadi di Pekan Permatang Pauh, mendapati perang bendera antara kedua belah parti sudah bermula.
Di kiri-kanan jalan menuju ke pekan tersebut, kelihatan kedua-dua parti telah memasang bendera masing-masing.
Di Bandar Sunway, Seberang Jaya, masih tidak banyak bendera kedua-dua parti dipasang di kawasan itu.
Setakat hari ini, cuma terdapat tiga tempat bendera BN dinaikkan - bertentangan Safira Country Club dan Taman Burung Pulau Pinang, di persimpangan jalan antara Hotel Sunway dan pejabat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan di sepanjang jalan berhampiran tempat letak kereta di pusat membeli belah Sunway Carnival.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan