Khamis, 21 Ogos 2008

Siasat blogger 'kurang ajar' - PM

MELAKA - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan dari seorang penulis blog supaya rakyat mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu perbuatan "kurang ajar."

Perdana Menteri berkata, perbuatan sedemikian bukan lagi boleh disifatkan sebagai satu perbuatan nakal tetapi amat jahat.

"Itu kurang ajar (bendera terbalik), tiada hormat langsung dengan bendera kita, apa yang marah sangat dengan bendera Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di sini semalam.

Abdullah berkata, penulis blog itu cuba mencetuskan satu idea tanpa memikirkan kesan selanjutnya.

Beliau berharap polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Cadangan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik itu dicetuskan oleh penulis blog berasal dari Kelantan, Kickdefella, melalui catatannya pada 4 Ogos lepas.

Kata penulis blog itu, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu perkara yang diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu simbol kecemasan, dan beliau meminta rakyat melakukannya bagi menyatakan bahawa negara ini sedang dalam keadaan tertekan.

Cadangan beliau bagaimanapun mendapat bantahan daripada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuk juga dari penyokong pembangkang.

Tiada ulasan: