Selasa, 9 September 2008

Mahkamah batal kemenangan Kurup

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Seri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, batal dan tidak sah.

pensiangan joseph kurup by election court sabahJoseph Kurup adalah timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim David Wong Dak Wah yang membuka kemungkinan pilihanraya kecil diadakan di kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Kurup tanpa bertanding.

Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.

pensiangan parliament seat bm versionBeliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).

Pada hari penamaan calon, Andipai dan seorang lagi calon, Saimeh Usau, terlepas masa menyerahkan borang dan mahu menyerahkannya selepas masa itu tamat.

Kedua-duanya mendakwa bahawa perjalanan mereka ke pusat penamaan calon telah dihalang.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbuat demikian - borang pencalonan Andipai diterima pada jam 10.25 pagi dan borang pencalonan Saimeh lima minit kemudian.

Bagaimanapun, sewaktu tempoh bantahan, Kurup membuat bantahan dan ianya diterima oleh pegawai pengurus pilihanraya. Beliau kemudiannya membatalkan pencalonan Andipai dan Saimeh.

Kurup kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah. Beliau juga merupakan bekas timbalan ketua menteri Sabah.

Penghakiman

Sementara itu, menurut laporan Bernama, semasa menyampaikan penghakiman penting itu, Hakim David Wong Dak Wah memutuskan penolakan terhadap kertas pencalonan pempetisyen dari PKR, Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihanraya itu.

Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata keputusan Timbalan Pengarah SPR Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh pegawai pilihanraya, Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.

Timbalan pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasanya seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu merupakan keputusan yang salah.

"Saya mendapati aspek tertentu dalam perbuatan responden kedua (Bubudan) merisaukan dan apabila dilihat secara keseluruhannya, saya hanya dapat merumuskan bahawa keputusan itu pastinya bukan satu keputusan yang akan dibuat oleh tribunal yang munasabah," katanya.

Beliau membuat pemerhatian itu semasa membenarkan petisyen Andipai untuk membatalkan keputusan pilihanraya umum bagi kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh Kurup pada hari penamaan calon pada 24 Februari.

Andipai menamakan Kurup dan Bubudan sebagai responden. Penghakiman itu sepatutnya dibuat pada 17 September tetapi dipercepatkan ke hari ini.

Menggariskan apa yang berlaku pada hari penamaan calon, Wong berkata Andipai tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Nabawan pada kira-kira jam 9.35 pagi untuk memfailkan kertas pencalonannya bagi kerusi itu.

Bayar deposit

Selepas membayar deposit sebanyak RM15,000, beliau menunggu gilirannya tetapi apabila beliau cuba menyerahkan kertas pencalonannya, Bubudan enggan menerimanya atas alasan beliau lambat menyerahkannya.

Andipai berhujah bahawa ia bukan kesalahannya tetapi Bubudan dan dan selepas gagal menyakinkan Bubudan, beliau berkata akan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, semasa perbincangan sedang berlangsung, seorang daripada penolong pegawai pilihanraya, Osman Aganduk, mendapatkan nasihat daripada SPR negeri yang memberikan arahan supaya menerima kertas pencalonan itu.

Wong berkata arahan itu yang diberikan oleh timbalan pengarah SPR Sabah, disampaikan kepada Bubudan yang kemudian menerima kertas pencalonan Andipai dengan masa diterima disahkan pada jam 10.25 pagi.

Bantahan ditutup pada 11 pagi dan pada kira-kira 1.25 tengah hari, Bubudan mengumumkan Kurup menang tanpa bertanding dan mengisytiharkan pemilihan beliau atas alasan kertas pencalonan Andipai dan seorang calon Bebas, Saineh Usau, diserahkan selepas jam 10 pagi.

Hakim itu berkata beliau mendapati sukar dipercayai yang Bubudan tidak tahu seperti didakwanya, bahawa kupon yang mempunyai nombor diberikan kepada para calon pada hari berkenaan.

"Jika apa yang dikatakannya itu benar, ini hanya mencerminkan kelemahan dirinya selaku peagwai pilihanraya yang bertanggungjawab penuh di pusat penamaan calon," katanya.

Peguam yang mewakili Andipai, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Sabah berkata beliau gembira kerana "keadilan terlaksana".

"Ia bukan cara yang bermoral dalam mengendalikan pilihanraya. Calon kami datang pada jam 9.35 pagi dan kertasnya ditolak di sebalik nasihat Suruhanjaya Pilihanraya."

Ditanya sama ada Andipai akan diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan itu sekiranya diadakan pilihanraya kecil, Ansari berkata pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Kurup tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau. Bagaimanapun peguam yang mewakilinya Alex Decena, berkata Kurup akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Tiada ulasan: