Isnin, 6 Oktober 2008

Najib: Akta Hubungan Kaum Mungkin Tidak Perlu Di Sabah

KOTA KINABALU, (Bernama) -- Akta Hubungan Kaum mungkin tidak perlu diwujudkan di Sabah kerana sudah wujudnya sikap keterbukaan yang ketara antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya sikap keterbukaan yang sedia ada itu membolehkan rakyat Sabah menjadi lebih akrab dan bermuafakat.

"Semangat keterbukaan, semangat intim antara kaum dan agama paling baik sekali di Sabah. Kehidupan di negeri ini di mana semangat muafakat begitu kuat menyebabkan rakyat di sini boleh menerima unsur-unsur kelompok lain dengan amat terbuka sekali.

"Kalau kita menanam nilai-nilai ini dalam sanubari kita, mungkin kita tidak perlu ada undang-undang perkauman," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini, Sabtu malam.

Dari perspektif politik, Najib berkata semasa Umno datang ke Sabah, rakyatnya menerima parti itu dengan baik.

Malah tidak janggal bagi ahli cawangan Umno yang kebanyakannya beragama Islam memilih ketua atau pemimpin bukan Islam, katanya.

"Ketua Umno cawangan yang bukan Islam itu pun tidak mempunyai masalah untuk memakai baju Melayu dan bersongkok menghadiri majlis Islam.

"Disebabkan itulah sekiranya dia memakai tanjak Kadazan pada perjumpaan Umno di Kuala Lumpur, kita terima juga," katanya.

Menurut Najib, nilai-nilai perpaduan yang ditanam dalam setiap rakyat dan diamalkan pada setiap masa lebih penting daripada aspek undang-undang.

Katanya sekiranya rakyat berpegang kuat dan mencintai antara satu sama lain, negara ini akan menjadi lebih kukuh dan berjaya.

"Biarlah BN menjadi wadah perjuangan ke arah mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Selagi ada BN, pasti ada perjuangan kita," tambahnya.

Najib juga berharap parti komponen BN di Sabah terus komited dengan semangat keterbukaan yang sedia ada kerana Sabah adalah penting kepada BN.

"Saya pernah menganggap Sabah sebagai simpanan tetap. "Nampaknya simpanan tetap tersebut masih tidak berubah. Alhamdulillah, ia masih dalam keadaan baik dan kita akan menjadikannya lebih baik, insya-Allah," kata timbalan perdana menteri.

Beliau juga berkata BN perlu sanggup berubah demi kebaikan rakyat dan bagi mengukuhkan negara.

"Pilihan raya lepas memberi mesej jelas bahawa BN perlu membuat perubahan untuk memenuhi citarasa dan aspirasi rakyat," katanya.

Beliau berkata rakyat jangan mudah terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat termasuk janji untuk membentuk kerajaan baru pada 16 Sept lepas yang akhirnya tidak menjadi kenyataan, yang sekaligus menunjukkan BN masih relevan.

"Pembangkang sanggup melakukan apa saja, walaupun mereka tidak mempunyai asas, tidak mempunyai kebenaran. Mereka sanggup mengenepikan moraliti politik dengan menjanjikan bermacam-macam," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berharap peruntukan yang diberikan kepada Sabah dapat diguna pakai sebaik mungkin agar tidak ada kawasan di negeri itu terpinggir daripada arus pembangunan perdana.

Ketika ditanya pemberita kemudiannya mengenai pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno yang sudah ditawarkan untuk bertanding oleh beberapa pemimpin, beliau berkata: "Adalah terlalu awal bagi saya untuk membuat ulasan."

Setakat ini dua pemimpin iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan Mac depan.

Tiada ulasan: