Isnin, 6 Oktober 2008

Selesai segera isu warganegara di Sabah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar diseru ke Sabah untuk mengadakan "mesyuarat khas tertutup" bersama mereka yang mempunyai masalah kewarganegaraan dengan segera agar isu itu tidak dipolitikkan lagi.

Bekas ketua menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak juga berkata parti-parti politik termasuk Parti Maju Sabah (SAPP) kini turut menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menangani masalah itu

Tambahnya, lapor Bernama, perdebatan terbuka yang berpanjangan mengenainya hanya akan menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional.

Sambil meminta Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Abdul Halim Muhammad datang sendiri ke Sabah bagi menangani isu itu, beliau berkata:

"Nampaknya satu demi satu, orang ramai tampil dengan bukti nyata mengenai masalah kewarganegaraan dengan status rakyat tempatan Sabah bertukar menjadi penduduk tetap (PR).

"Ini mungkin hanya sebahagian kecil masalah. Mungkin ramai lagi, terutamanya mereka yang menghadapi masalah seumpamanya akan mengambil tindakan serupa dan ini memberi kesempatan kepada pihak tertentu mendapat keuntungan politik.

"Itu sebabnya kita tidak mahu perkara ini berlanjutan."

Salleh mengulas pendedahan terbaru oleh timbalan presiden SAPP Datuk Eric Majimbun, yang juga anggota parlimen Sepanggar, mendakwa seorang pemegang MyKad menggunakan nama keluarganya, Majimbun, dengan ejaan yang berbeza sedikit (Majimbon).

Lelaki warga Filipina itu yang asalnya bernama keluarga Maguil mendakwa memperoleh dokumen pengenalan itu beberapa tahun lepas.

Majimbun dilaporkan berkata bahawa kes Maguil hampir serupa dengan kes wanita berusia 78 tahun, Yong Lee Hua dari Penampang yang kehilangan MyKad selepas begnya diragut tahun lepas.

Wanita bumiputera kelahiran tempatan itu kemudiannya diberikan status PR.

Terkejut dengan pertukaran status itu, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) itu kemudiannya mengugut akan menyemak semula kedudukan mereka sebagai parti komponen BN jika masalah itu tidak ditangani.

Menurut agensi berita itu lagi, Salleh berkata Kementerian Dalam Negeri hendaklah melihat masalah itu dengan serius dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.

"Kami tidak mahu lagi mendengar jawapan biasa 'kami akan mengkaji perkara ini'.

"Ramai rakyat Sabah tidak berpuas hati dengan JPN Sabah menangani isu ini, apatah lagi masalah pendatang tanpa yang memperoleh dokumen MyKad menerusi cara yang diragui," katanya.

Menurut perangkaan yang diberikan oleh SAPP, dalam tempoh 30 tahun, penduduk Sabah meningkat sebanyak 285 peratus kepada 2,449,389 orang pada tahun 2000.

Tiada ulasan: