Selasa, 4 November 2008

Jutaan keluar undi, Obama berpeluang cerah

WASHINGTION Lebih 100 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) kini menuju pusat-pusat pengundian, secara berperingkat-peringkat, dengan Barack Obama, calon Demokrat memiliki sokongan jelas untuk memenangi pemilihan - yang bersejarah - yang turut dinanti-nantikan dunia - bagi menggantikan Presiden George W. Bush, yang tidak popular di dalam dan luar negara AS.

Bagaimanapun pesaingnya, John McCain pula berikrar akan melakukan kejutan dengan memperolehn kemenangan - muncul sebagai Presiden AS yang ke-44.

Obama dan McCain, senator penggal pertama bertanding kerusi Presiden, mengulangi rekod yang dicipta oleh mendiang Presiden John F. Kenndey pada 1960.

Pemilihan bersejarah hari ini sekali gus menandakan berakhirnya kempen maraton selama dua tahun kedua-dua calon berkenaan dan calon-calon lain di pusingan awal termasuk Hillary Clinton, isteri bekas Presiden Bill Clinton.

Proses pengundian secara rasmi hari ini bermula di negeri Vermont pada pukul 5 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia).

Bagaimanaoun penduduk di dua bandar negeri New Hampshire secara simbolik telah memulakan proses pengundian hari ini - membuang undi tengah malam tadi.

Walaupun keputusan pemilihan diketahui esok Presiden baru akan mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.

Selain pemilihan Presiden, pilihan raya umum ini menyaksikan pemilihan beberapa kerusi Kongres dan Gabenor beberapa negeri.

Menjelang pengundian rasmi hari ini - Selasa (waktu di AS) - lebih 28 juta sudah pun mengundi, dengan pungutan suara menunjukkan sokongan memihak kepada Obama.

Keputusan rasmi yang pertama dijangka diketahui selepas 7 petang (waktu tempatan) dan 7 pagi esok waktu Malaysia.

Siaran CNN menunjukkan pengundi sudah mengundi di Dixville Notch dan Hart's Location.

Obama muncul pemenang di kedua-dua bandar berkenaan, yang secara tradisi membuat pengiraan awal pada hari pilihan raya.

Beliau menewaskan McCain dengan 15-6 di Dixville Notch.

Ini kali pertama Dixville Notch memilih calon Demokrat sejak 1968.

Bandar Hart's Location melaporkan kemenangan 17-10 yang turut memihak kepada Obama dan dua lagi kepada calon liberal, Ron Paul manakala calon Bebas Ralph Nader tidak memperoleh sebarang undi dari kedua-dua bandar berkenaan.

Sokongan di Hart's Location lazimnya memihak kepada calon Republik sejak kembali kepada pengundian awal pada 1996.

Pusat-pusat pengundian, yang pertama akan mula ditutup di beberapa bahagian di Indiana dan Kentucky pada pukul 6 petang waktu tempatan (7 pagi esok waktu Malaysia).

Obama, 47, senator penggal pertama dari Illinois, jika menang akan menjadi Presiden pertama AS daripada kalangan masyarakat kulit hitam.

Pungutan suara umum menunjukkan Obama mengatasi McGain di sejumlah negeri yang mencukupi baginya memperoleh 270 undi kemenangan.

Pegawai-pegawai Obama turut berpuas hati dengan keputusan peringkat awal. Pegawai-pegawai di negeri-negeri yang dijangka menyaksikan saingan sengit seperti Florida, Colorado, New Mexico dan North Carolina, melaporkan bahawa lebih sokongan diperoleh oleh Demokrat berbanding Republikan, dengan di beberapa negeri perbezaan undi adalah lebih besar bernading 2004.

Di Colorado dan North Carolina, bilangan undi yang telah dibuang lebih awal adalah lebih banyak berbanding 2004.

Jika McCain, 72, pula jika menang bermakna beliau akan menjadi Presiden pertama paling tua mengetuai White House manakala gandingannya, Sarah Palin bakal mencatatkan sejarah wanita pertama menjadi Naib Presiden.

Bagaimanapun bakal Presiden AS yang baru berhadapan siri krisis - ekonomi, politik dan dasar luar.

Kira-kira 130 hingga 135 juta rakyat AS dijangka mengundi hari ini - peningkatan seramai 10 juta berbanding 2004 dan 25 juta berbanding lapan tahun lalu.

Bush tidak mempertahankan jawatannya kerana perlembagaan negara itu tidak membolehkan penyandang jawatan mengetuai White House lebih dua penggal atau lapan tahun.

Pungutan suara terbaru Wall Street Journal-NBC News Poll meletakkan Obama di paras 51 peratus berbanding McCain 43.

Dalam pada itu, Washington Post-ABC News Poll melaporkan 54 peratus memihak kepada Obama berbanding 43 peratus McCain manakala Rasmussen menyebut sokongan Obama naik mencecah 51 peratus berbanding 46 peratus diperoleh McCain 46.

Pungutan suara terakhir Gallup Daily menunjukkan Obama masih di hadapan dengan 53 peratus berbanding 42 peratus untuk McCain.

Kedua-dua senator tersebut kembali negeri masing-masing awal pagi ini selepas maraton kempen iaitu Obama di OChicago, Illinois manakala McCain di Phoenix, Arizona.

[FAKTA PEMILIHAN PRESIDEN AS]

* Menyediakan undi Electoral College sebanyak 538 membabitkan 50 negeri dan District of Columbia berdasarkan perwakilan di Kongres

* Calon perlu menang 270 daripada undi tersebut

* Di 48 negeri dan Washington, D.C., calon yang memenangi undi popular akan memperoleh keseluruhan pemilih negeri terbabit. Nebraska dan Maine mempunyai sistem proportional dalam pembahagian pemilih

* Pemilih yang dipilih oleh parti politik masing-masing akan membuat dua pilihan - presiden dan naib presiden

* Electoral College akan bertemu di negeri masing-masing pada satu hari Isnin awal Disember. Undi itu akan dikira dalam sesi bersama Kongres pada 6 Januari depan

* Jika tiada calon yang menerima majoriti undi, Dewan Perwakilan akan memilih tiga calon teratas dengan setiap negeri mempunyai satu undi. Jika tiada calon Naib Presiden menerima majoriti, Dewan Senat akan memutuskan antara dua calon

* Dewan Perwakilan pernah memutuskan keputusan pemilihan presiden pada 1800 dan 1824. Senat pernah memutuskan kedudukan naib presiden sekali, pada 1836.

Tiada ulasan: