Rabu, 14 Mei 2008

MP Sabah Jangan main politik ugut

Kelantangan suara Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah yang melahirkan rasa tidak puashati terhadap kepimpinan parti dan kerajaan berhubung isu Sabah termasuk dalam soal kurangnya anggota kabinet dari negeri itu, mendapat reaksi daripada Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Abdul Aziz.

Semasa membahaskan usul menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, beliau yang menggunakan pelbagai kiasan secara lembut mengkritik semula tindakan mereka yang melahirkan isu-isu tersebut dalam bentuk ugutan.

Bagi beliau, jangan sesekali mengamalkan politik mengugut dalam usaha untuk mencari penyelesaian.

Beliau mengambil contoh soal kedudukan kuota menteri dari sesebuah negeri yang banyak dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat dari Sabah.

“Pada tahun lapan puluhan, Johor merupakan negeri penyumbang kepada pembentukan kerajaan yang stabil dan kekuatan BN pada ketika itu, namun hanya dua orang sahaja yang dilantik menjadi menteri. Tidak pernah ada wakil rakyat dari Johor bangun mempertikaikan keputusan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu semua pihak sebagai wakil parti, mereka perlu menghormati bukan sahaja perlembagaan parti tetapi prinsip-prinsip parti termasuk menghormati pemimpin dan keputusan yang dibuat.

“Kenapa sekarang dibangkitkan soal tinggal di rumah banglo dan rumah teres, jadi janganlah guna bahasa yang tidak sewajarnya dalam menyampaikan hasrat dan harapan,” tambahnya.

Mengulas mengenai ucapannya di luar Dewan Rakyat, beliau berkata, dulu semasa umat Melayu dan Islam dipinggirkan, UMNO datang menyatukan mereka dan menjadikan kuasa Melayu dan Islam sebagai pemimpin di negeri berkenaan.

Dengan itu, jelasnya, janganlah kerana ego ada yang sanggupa menggadaikan prinsip dan rasa hormat kepada parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan