.bmp)
Ibrahim Ali (kiri) memperkatakan kisah lucu semasa beliau hendak ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Datuk Shahrir Samad dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bilik rehat Ahli Parlimen di bangunan Parlimen Selasa malam.
Melihatkan kepada perbahasan beliau semasa di dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bebas, dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali nampaknya menggunakan status `bebasnya` itu untuk bercakap apa yang menjadi pendiriannya.
Keadaan itu menarik minat Agendadaily untuk mengetahui apakah yang berada dalam fikirannya berhubung dengan isu lompat parti yang kini menjadi `senjata` utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan yang baru menggantikan Barisan Nasional (BN).
``Kalau nak buat kenyataan biarlah munasabah, jangan hina kemampuan kita yang boleh berfikir. Kalau Anwar nak jadi Perdana Menteri, dia kena menang pilihan raya umum akan datang bukannya dengan harap ada yang melompat parti menyertainya,`` itulah reaksi spontan beliau.
Diminta menjelaskan apakah yang beliau maksudkan, Ibrahim berkata, adalah sesuatu yang sukar untuk diterima akal yang waras untuk menerima kenyataan Anwar bahawa beliau telah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang mencukupi untuk menyertainya membentuk kerajaan yang baru.
``Bukan mudah untuk dapat 30 orang yang nak lompat ... kalau cakap dua tiga orang itu munasabahlah. Itu yang saya maksudkan jika nak buat kenyataan biarlah yang masuk akal,`` katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari Selasa.
Agendadaily mengajukan persoalan tersebut kepada Ibrahim memandangkan beliau sejak zaman gerakan pelajar lagi dikenali rapat dengan Anwar. Tidak sekadar itu, Ibrahim dan Anwar sama-sama berada di dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah, semasa Anwar masih di dalam tahanan dan selepas Ibrahim dipecat dari UMNO pada tahun 2003, Ibrahim sering muncul di pentas dan program PKR.
Ditanya keyakinan Anwar bahawa jumlah 30 orang itu akan bersamanya, Ibrahim berkata, bagaimana boleh mereka mengatakan mereka perlu jumlah 30 orang kerana beliau sebagai calon bebas pun tidak pernah `dirundingi`.
Buat masa ini pembangkang mempunyai 81 kerusi Parlimen dan bebas satu kerusi. Anwar menyebut 30 kerusi diperlukan dengan andaian 81 kerusi pembankang dicampur dengan satu bebas jika ditambah dengan 30 kerusi Ahli Parlimen BN yang melompat parti, pakatan pembangkang mempunyai majoriti mudah iaitu 112.
Ibrahim yang tidak yakin melompat parti itu akan berlaku sebaliknya berkata, untuk pembangkang mengekalkan momentum pilihan raya umum yang lalu bukanlah sesuatu yang mudah.
``Jika mereka berusaha untuk menarik wakil rakyat BN sertai mereka, apakah BN hanya berdiam diri, sudah tentu BN juga berusaha,`` jelasnya.
Beliau juga menambah, kemenangan pembangkang pada pilihan raya baru-baru ini bukan kerana kekuatan atau pengaruh Anwar tetapi sebaliknya banyak faktor lain yang menjadi penyumbang.
``Isu kenaikan harga barang, tiadanya pemberian bonus dan ditambah lagi isu-isu dalaman parti UMNO, ia menjadi penyumbang kepada kemenangan pembangkang.
``Harga barang adalah isu utama … soal isu rasuah, isu kehakiman dulu dah cakap tapi tak jalan tapi bila harga barang naik orang kampung, pengundi sokong pembangkang,`` ujarnya.
Bagaimanapun setelah keadaan ekonomi pulih, harga barang dapat dikawal, bonus diberi, pemimpin pun semakin prihtin terhadap rakyat, suasana politik sudah tentu akan berubah.
Bagi beliau, peluang Anwar untuk berkuasa sebenarnya adalah pada pilihan raya umum yang lalu.
``Kalau dah tak dapat, itu bermakna tiada lagi peluang, tidak ada peluang lagi seperti ini masa depan,`` ujar beliau.
Ditanya keyakinan Anwar beliau mampu membentuk kerajaan baru selewat-lewatnya 16 September depan, Ibrahim hanya berkata : ``Anwar 24 jam berpolitik... sebenarnya dia buat kenyataan nak tunjuk keyakinan kerana bimbang ada dua tiga orang Ahli Parlimen PKR yang akan bertindak sebaliknya dengan menyertai BN``
Tiada ulasan:
Catat Ulasan