Sabtu, 30 Ogos 2008

BN perlu dijenamakan semula, kata Muhyiddin

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) perlu dipulih dan dijenamakan semula.

Oleh itu, katanya, BN perlu melakukan langkah proaktif untuk menggerakkan pelan pemulihan dalam semua aspek termasuk menjenamakannya semula.

“Kami tahu yang ada kelemahan pada parti komponen,” kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di luar Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) di Singapura semalam.

Beliau berkata BN perlu dipakejkan semula untuk mempersembahkan imej yang bersesuaian kepada para pengundi.

Sehubungan itu, beliau yang juga menteri perdagangan dan industri, berkata meminta agar Laporan yang menyatakan ada kemungkinan parti komponen BN akan keluar dari gabungan tersebut, tidak boleh dipandang ringan.

“Saya rasa kecewa bila ada cerita parti nak keluar BN. Trend begini tak pernah berlaku dahulu,” kata Muhyiddin, demikian menurut laporan Bernama.

Pada pertengahan bulan lalu, perwakilan Gerakan Perak dilaporkan menggesa supaya parti itu meninggalkan BN jika isu perkauman dan agama tidak diselesaikan oleh gabungan tersebut.

Keluar parti

Manakala ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan, Datuk Dr Toh Kin Woon juga telah bertindak keluar parti itu.

Toh, 62, yang juga naib pengerusi jawatankuasa perhubungan Gerakan Pulau Pinang dilaporkan berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam tempoh terdekat.

BN yang diterajui Umno, kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu, Walaupun kembali berkuasa, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN menang 140 kerusi Parlimen manakala Pakatan menang 82 kerusi. Umno juga tewas 30 kerusi Parlimen. Dalam pilihanraya 2004, Umno menang 109 kerusi Parlimen.

BN turut tumbang di tangan barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. PAS pula berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, majoriti ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak menyatakan pendirian tidak akan lompat parti seperti yang diuar-uarkan pembangkang sebelum ini.

Bercakap dalam sidang akhbar di lobi Parlimen semalam, beliau berkata, kenyataan yang dibuat pembangkang mengenai perkara itu merupakan suatu rekaan dan pembohongan semata-mata.

Surat jaminan

"Sokongan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN dan kita akan sentiasa bersama BN walaupun ada cerita di luar sana bahawa kononnya ada ura-ura ahli Parlimen dari kedua-dua negeri nak melompat (parti)," katanya yang mewakili anggota Parlimen kedua-dua negeri itu.

Menurut Bernama, kira-kira 20 ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hadir di sidang media itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Unggah Embas dan ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna berkata pendirian tidak akan berlaku lompat parti itu turut dinyatakan dua anggota Parlimen BN dari Sabah iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) yang sebelum ini didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya telah bercakap dengan Eric Majimbun dan Chua Soon Bui pagi ini (semalam), saya berjumpa mereka dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka masih kekal bersama BN," katanya.

Shafie berkata satu surat yang mengandungi tandatangan semua ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sebagai tanda sokongan mereka.

"Kami akan memberi jaminan kami dan akan menandatanganinya dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri hanya untuk memastikan tiadanya spekulasi.

"Pendirian kami sangat jelas jadi saya harap tiada spekulasi, jangan dengar spekulasi yang dibuat (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa di luar (parti)," kata Shafie.

Jumaat, 29 Ogos 2008

Bajet 2009

Berikut adalah intipati Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat hari ini.

Jumlah bajet

-Bajet 2009 sebanyak RM207.9 bilion - naik 5.1 peratus dari tahun lalu. Dari jumlah itu RM154.2 bilion bagi peruntukan mengurus manakala RM53.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

-Peruntukan pengurusan - RM86.3 bilion atau 56.6 peratus (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM38 bilion (emolumen), RM26.5 bilion (perkhidmatan dan bekalan), RM2.4 bilion (pembelian aset) dan RM1 bilion (perbelanjaan lain).

-Peruntukan pembangunan - RM27.8 bilion (sektor ekonomi - pertanian, perindustrian, perindustrian dan infrastruktur), RM17.8 bilion (sektor sosial - pendidikan, kesihatan dan perumahan), RM4.1 bilion (sektor keselamatan), RM2.1 bilion (pentadbiran) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

-Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

-Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.

-Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan keselamatan sosial

Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

-Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.

-Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

-Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 September 2008.

Membasmi kemiskinan

-Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

-Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

-Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.

Kecuali bil elektrik RM20

-Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

-Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 6.3 peratus bagi suku kedua 2008, menjadikan pertumbuhan setengah tahun pertama tahun ini pada tahap 6.7 peratus.

Cukai pendapatan

-Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

Barangan pengguna

-Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60 peratus kepada 5 hingga 30 peratus.

Cukai jalan

-Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

Orang Kurang Upaya (OKU)

-Memberi elaun RM150 sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

-Murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah dari RM50 kepada RM150.

-Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas.

Kakitangan kerajaan

-Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

-Tempoh pinjaman perumahan dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru

-Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

-Buka panel insurans pinjaman perumahan kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja.

-Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

-Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

Pembangunan Koridor Pertumbuhan

-Iskandar Malaysia - Peruntukan tambahan RM300 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan bagi melaksanakan projek perkongsian sektor awam dan swasta, seperti pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan industri kreatif.

Pelancongan

-Kerajaan sedia peruntukan RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka, yang akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

-Pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di Sabah dan Sarawak dikecualikan cukai pendapatan 100 peratus atau elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

-Syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 30 peratus dalam bentuk permulaan dan pembiayaan peringkat awal.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

-Peruntukan RM5.4 bilion untuk tingkatkan keupayaan PDRM - RM4.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM600 juta belanja pembangunan.

-Peruntukan RM200 juta bagi pembinaan ibupejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara.

Semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan di beri Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.

Pengangkutan (projek masuk poket, beramai yg guna bas...)

K'jaan sedia kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk biayai perolehan aset bas dan rel

Pengurangan 50 peratus bayaran tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

-Kecekapan pengangkutan awam ditingkatkan melalui perbelanjaan RM35 bilion dari 2009 hingga 2014.

Kesihatan

-Duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak 3 peratus sebarang - dari 15 sen kepada 18 sen.

-Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok 20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen.

- Kadar bayaran insentif pakar perubatan akan dinaikkan untuk 3,800 pegawai dengan perbelanjaan tambahan RM26 juta.

-Kadar bayaran insentif pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak dinaikkan.

-Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan dari RM20 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

-Bagi jururawat pula, dari RM15 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

-Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic.

Nelayan dan petani

Peruntukan RM300 juta, yang mana RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

-Elauan pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.

-Peruntukan RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu pesawah.

-Pemansuhan duti import bagi baja dan racun perosak.

Rabu, 27 Ogos 2008

BN tewas lagi siapa bersalah... Pemimpin atau ahli dalam BN

Kemenangan PKR semalam di Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar membuktikan lagi BN telah ditolak oleh ahli-ahlinya sendiri dan kewibawaan perdana menteri serta timbalannya terhakis sepenuhnya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

"Jumlah undi yang diperolehi BN kurang daripada bilangan ahli-ahli Umno di kawasan (parlimen) itu," katanya.

Dalam kenyataannya mengulas kemenangan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil itu, ahli parlimen Gua Musang berkata BN tetap tewas walaupun seluruh sumber dan kepimpinannya dikerahkan untuk berdepan tokoh pembangkang itu.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Menurut satu analisis Bernama hari ini, daripada 58,459, sebanyak 26,942 pemilih anggota parti komponen BN, termasuk Umno seramai 19,442 anggota di kawasan parlimen berkenaan.

Gerakan pula mempunyai 2,900 anggota, MCA (2,400), MIC (1,700) dan PPP (500) anggota yang layak mengundi.

Bagaimanapun, calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah berjaya mengutip 15,524 undi - membayangkan 11,418 lagi anggota BN tidak memangkah calon parti itu sendiri atau tidak keluar mengundi.

Tengku Razaleigh menambah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memikul beban ketewasan ini.

"Mustahil untuk disembunyikan: beliau tidak memiliki lagi sekelumit kewibawaan yang perlu untuk mentadbir negara dari hari ke hari, apatah lagi mengatur arah baru yang kita semua perlukan untuk maju dalam dunia yang kompleks," katanya, yang juga popular dipanggil Ku Li.

Sabtu, 23 Ogos 2008

Anwar teurs 'diserang' bekas orang kuatnya...

Muda Mohd Noor

Seorang lagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim `menyerang' penasihat PKR itu, dalam kempennya membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

saidatul badru tun said keruakBekas Naib Presiden PKR, Saidatul Badru Said Keruak berkata, negara akan menjadi huru-hara jika Anwar berkuasa atau menjadi perdana menteri.

Ketika berkempen membantu calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, beliau berkata, jangan sesekali memberi kemenangan kepada Anwar dalam pilihanraya kecil ini.

Saidatul Badru berkata, beliau sangat kecewa cara Anwar mengendalikan PKR dan mendakwa, pemimpin pembangkang itu mahu membalas dendam kepada orang Sabah.

"Saya tidak tahu sebabnya, tetapi dia menawarkan jawatan pengerusi PKR negeri kepada Jeffrey Kitingan yang sebelum ini dipegang oleh orang Islam," katanya.

Ketika ditemui di Seberang Jaya semalam, Saidatul Badru berkata, sepatutnya Anwar mengambil daya usaha menyatukan umat Islam di seluruh negara dan bukannya membiarkan ia terus berpecah.

Tidak bertanding

Katanya, atas alasan itu, beliau mengambil keputusan meninggalkan PKR dan kembali ke pangkuan Umno sebulan lalu.

Semasa bersama PKR, beliau pernah menjadi pengerusi perhubungan negeri dan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar dalam pilihanraya umum 2004

Bagaimanapun, anak bekas ketua menteri Sabah itu tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.

Semalam bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor turut berkempen membantu calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ezam berkata, beliau berceramah siang malam sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu untuk mendedahkan siapakah Anwar sebenarnya.

Pilihanraya Permatang Pauh menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Anwar, Arif Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim)

Jumaat, 22 Ogos 2008

Anwar nak hantar Abdullah sebagai ketua pembangkang

Suhana A. Samat

BAHANG pilihan raya kecil semakin hangat di Permatang Pauh apabila penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mendedahkan bahawa Anggota Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak sedang bersiap sedia menyertainya sebaik beliau dilantik menjadi ketua pembangkang.

Beliau juga mengulangi amarannya untuk mengguling kerajaan dan mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Berucap di majlis pelancaran slogan kempennya iaitu 'Merdeka Rakyat' di sini semalam, Datuk Seri Anwar berkata:

'Kawan-kawan saya di Sabah dan Sarawak kata 'Anwar bila anda masuk Parlimen (pada 27 Ogos ini), anda boleh jangkakan kita lompat parti ikut Pakatan Rakyat.

'Insya-Allah, sasaran kita selepas itu ialah untuk mengambil alih Putrajaya dan kita hantar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ketua pembangkang.'

Sebelum ini, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu beberapa kali berkata beliau yakin dapat menggulingkan kerajaan menjelang 16 September ini.

Kelmarin, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mendakwa 13 AP BN dari Sabah telah memaklumkannya akan melompat parti.

Pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Mac lalu, memerlukan sekurang-kurangnya 30 AP BN menyertai mereka untuk membentuk kerajaan pusat.

Namun, sumber-sumber terdekat Pakatan Rakyat mendedahkan Datuk Seri Anwar kini telah berjaya menarik lebih daripada jumlah itu.

Sementara itu, polis semalam berkata pihaknya menerima maklumat terdapat usaha pihak tertentu menakut-nakutkan pengundi di Permatang Pauh bagi menghalang mereka keluar mengundi Selasa depan.

Pegawai perhubungan media, Superintenden Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata maklumat itu diperoleh hasil daripada risikan dan pemerhatian pihaknya.

Dalam pada itu, calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, terus mendapat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi di kawasan undi kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi hari ketiga berturut-turut, malam tadi.

Ketika berucap pada pertemuan dengan masyarakat India dan Cina di Bukit Mertajam kelmarin, Datuk Seri Najib telah menggesa masyarakat itu agar tidak menggadaikan masa depan anak-anak dengan menyokong parti pembangkang.

'Jangan mudah percaya dengan janji-janji yang dibuat oleh parti pembangkang dan jangan termakan kata-kata mereka yang jika diikut akan menyebabkan kita bergaduh antara kaum,' katanya.

Lompat: Teck Lee enggan ulas dakwaan Jeffery

KK: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee enggan mengulas dakwaan 13 anggota Parlimen Sabah, termasuk dua dari SAPP, akan melompat parti dan menyertai Pakatan Rakyat tidak lama lagi.

"Kami telahpun mengumumkan pendirian kami (pada 18 Jun) untuk menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Pendirian itu kekal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan papan iklan "Malaysia 1963" di ibu pejabat SAPP di Luyang, Rabu.

Yong diminta mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Isnin lalu kononnya 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sekiranya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos.

Jeffrey juga mendakwa dua daripada anggota Parlimen itu ialah daripada SAPP dan bakinya daripada Umno.

"Soalan ini patut ditanyakan kepada anggota Parlimen BN yang lain," kata bekas Ketua Menteri itu tanpa mengulas lanjut.

Dua anggota Parlimen SAPP ialah Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau).

Sementara itu, Yong menggesa kerajaan negeri Sabah "berlaku adil" terhadap perintis Sabah dan pengasas Malaysia, dan mengisytiharkan 2008 sebagai Hari Kebangsaan ke-45 dan bukan Hari Kebangsaan ke-51.

Yong mendakwa "kerajaan negeri Sabah telah tersilap atau patuh sahaja untuk mengguna pakai tarikh 1957 dengan mengisytiharkan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai yang ke-51 dan bukannya ke-45".

"Kami sedar yang Sarawak adalah betul apabila menyambut Hari Kebangsaan Ke-45 dan bukannya ke-51. Penduduk di Sabah (ketika itu Utara Borneo) dan Sarawak tidak mempunyai apa-apa tetapi pemerintahan penjajah untuk disambut pada 1957.

"Sebagai rakyat Malaysia sejati, kita patut menyambut pada 1963 (tahun pembentukan Malaysia). Kami menggesa ahli akademik, pakar sejarah, kakitangan awam dan pemimpin politik untuk bersuara demi kepentingan sejarah dan fakta yang betul supaya kerajaan akan menghormati sejarah dan kebenaran itu," katanya.

Khamis, 21 Ogos 2008

Siasat blogger 'kurang ajar' - PM

MELAKA - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan dari seorang penulis blog supaya rakyat mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu perbuatan "kurang ajar."

Perdana Menteri berkata, perbuatan sedemikian bukan lagi boleh disifatkan sebagai satu perbuatan nakal tetapi amat jahat.

"Itu kurang ajar (bendera terbalik), tiada hormat langsung dengan bendera kita, apa yang marah sangat dengan bendera Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di sini semalam.

Abdullah berkata, penulis blog itu cuba mencetuskan satu idea tanpa memikirkan kesan selanjutnya.

Beliau berharap polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Cadangan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik itu dicetuskan oleh penulis blog berasal dari Kelantan, Kickdefella, melalui catatannya pada 4 Ogos lepas.

Kata penulis blog itu, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu perkara yang diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu simbol kecemasan, dan beliau meminta rakyat melakukannya bagi menyatakan bahawa negara ini sedang dalam keadaan tertekan.

Cadangan beliau bagaimanapun mendapat bantahan daripada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuk juga dari penyokong pembangkang.

Selasa, 19 Ogos 2008

13 MP Sabah sertai Pakatan jika Anwar menang

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendakwa 13 ahli Parlimen dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

jeffrey kitingan 01Katanya, daripada jumlah 13 orang itu, dua ahli Parlimen adalah dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan bakinya wakil rakyat Umno.

Beliau memberitahu pemberita selepas menyampaikan ceramah di Jalan Berapit di Bukit Mertajam malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Menurutnya, kesemua 13 anggota Parlimen itu sebenarnya telah menemui beliau secara peribadi dan menyatakan sokongan terhadap Anwar.

"Kita bercakap benar, saya bercakap mengenai 13 MP (anggota Parlimen) yang akan sertai Pakatan Rakyat selepas Anwar menang pilihanraya kecil ini (Permatang Pauh)...sekarang mereka sedang menunggu sahaja," katanya.

Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen lagi untuk membentuk kerajaan pusat dan Sabah mempunyai 24 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).

Sabtu, 16 Ogos 2008

Ptg Pauh: Pengundi ramal peluang 50-50



Abdul Rahim Sabri

Penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebarang Perai yakin calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai peluang 50-50 untuk menang dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 20 Ogos depan.

Arif Shah juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenanginya dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu.

Rahmat Pawanteh atau yang lebih dikenali sebagai Pak Rahmat, 58, meramalkan kedua-dua calon mempunyai peluang sama rata untuk menang.

"Sama-sama ada peluang untuk menang," katanya ketika ditemui di pondok membaiki kasut di hadapan Masjid Sembilang petang semalam.

Menurut Pak Rahmat, calon BN, Arif Shah, adalah calon yang boleh diterima oleh kawan dan lawan.

"Beliau bercampur dengan semua orang dalam masyarakat, seorang yang ramah dan mesra," katanya.

Menurut beliau lagi, Arif Shah juga seorang calon yang 'hemoi' dan dan BN memerlukan lebih ramai calon sepert Arif Shah kerana ketokohan beliau dalam masyarakat.

Peluang cerah

Rahmat juga menjelaskan Arif adalah seorang yang mesra rakyat dan selalu bertemu penduduk di masjid tersebut dan memenuhi undangan ke majlis kenduri kendara.

Sementara itu, lima orang pemuda termasuk pemilik kedai kasut di pondok berkenaan, turut mengiakan apa yang dinyatakan oleh Pak Rahmat tentang Arif Shah.

Masjid Sembilang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, di sebelah lebuhraya Butterworth-Kulim.

Berdekatan masjid tersebut terdapat deretan rumai kedai, tempat kediaman dan rumah pangsa.

Pak Rahmat berkata, penduduk di Jalan Sembilang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India, rata-ratanya bekerja sebagai peniaga, bekerja sendiri atau pegawai kerajaan.

Ketika ditanya mengenai peluang penasihat PKR itu, Pak Rahmat berkata:

"Dia (Anwar) tolong orang Melayu. Dia tolong beri rumah kepada penduduk ketika menjawat jawatan menteri belia dan sukan pada tahun 80-an."

Beliau yang juga bekas pesara penjawat awam, yang pernah berkhidmat di jabatan kerajaan selama 30 tahun, menetap di situ sejak tahun 80-an lagi.

Pilihan tepat

Lelaki separuh abad itu, menjelaskan bahawa mereka akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sebarang Jaya, yang terletak 50 meter dari masjid berkenaan.

Bersebelahan masjid tersebut, terdapat pondok panas PKR. Kelihatan penyokong PKR telah menaikkan bendera parti itu di sekitar kawasan perumahan di situ.

Bilik Gerakan BN, cawangan Klaster Jalan Sembilang, pula terletak selang beberapa lot kedai dari pondok panas PKR.

Sementara itu, seorang pembantu peniaga yang dikenali sebagai 'Osman', 60, meramalkan calon BN, Arif Shah boleh menang dalam pilihanrya kecil Parlimen Pematang Pauh.

"Dia (Arif) mesra dengan masyarakat setempat dan diterima oleh penduduk Jalan Sembilang," katanya ketika ditemui di premis majikannya di hadapan sebuah sekolah menengah di situ.

Beliau menyifatkan pemilihan Arif Shah sebagai calon BN sebagai 'pilihan yang tepat dan kena pada tempatnya' untuk menentang Anwar.

"Kalau nak minta bantuan kepadanya, senang dan tanpa tangguh-tangguh," katanya.

Osman menjelaskan, sekiranya berlaku kebakaran atau banjir, Arif Shah turun padang membantu mangsa.

Tak kira parti politik

Tambahnya, Arif Shah adalah seorang yang berjiwa rakyat, tidak berkira dan selalu bertanyakan khabar dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Dia tidak pentingkan diri sendiri, dia berkawan dengan sesiapapun, termasuk semua bangsa, tak kira parti politik," katanya.

Osman menyifatkan Arif sebagai seorang yang peramah dan selalu menegur penduduk di situ walaupun berada di tepi jalan.

"Payahlah nak cari orang macam dia. Dihormati dan disegani kawan dan lawan," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini mendapatkan reaksi seorang pemuda yang dikenali 'Alam Shah', 37, yang berkerja sendiri.

Katanya, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos nanti.

Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Kemunting, telah menetap di Seberang Jaya dan pernah bekerja sebagai pemandu lori.

Tangani masalah rakyat

"Yang penting pemimpin itu mestilah amanah, jujur dan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai panduan," katanya sewaktu makan laksa di sebuah gerai di Bandar Sunway, Seberang Jaya.

Menurutnya, pemimpin hendaklah mementingkan keadilan dan membantu orang yang susah, miskin dan menangani masalah rakyat.

Katanya, beliau tidak suka orang Melayu bergaduh sesama sendiri.

Di Taman Siakap, yang berhadapan dengan Masjid Jamek Seberang Jaya, Malaysiakini mendapati bendera PKR banyak dinaikkan di tepi jalan.

Pondok-pondok panas kedua-dua parti turut kelihatan sepanjang jalan menuju ke arah Bandar Sunway.

Masjid Jamek Seberang Jaya terletak bersebelahan lebuhraya Utara-Selatan yang menghala ke utara.

Seorang penduduk di taman tersebut yang dikenali sebagai Pak Man, 65, begitu optimis bahawa Anwar akan menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

'Hari bekerja'

"Parlimen Permatang Pauh tetap milik Anwar," katanya ketika ditemui di gerai di sebuah pasar malam di taman tersebut.

Beliau menjelaskan kemenangan Arif Shah sebagai Adun Seberang Jaya tidak menggambar bahawa beliau akan menang di peringkat Parlimen.

"Menang di peringkat negeri (DUN) tidak semestinya menang di (peringkat) parlimen,"katanya.

Sementara itu, penduduk taman itu yang dikenali 'Mohamad' juga yakin Anwar Ibrahim menang dalam pillihanraya kecil Permatang Pauh.

"Cuma saya bimbang, hari pengundian jatuh pada hari bekerja," katanya.

Beliau memberi reaksi demikian kerana ramai penduduk di Seberang Jaya, berkerja di sebelah pulau.

Beliau bimbang ada di kalangan pengundi yang berada dalam zon selesa, menyebabkan orang tidak keluar mengundi (pergi berkerja), setelah PKR menang dalam majoriti yang banyak dalam pilihanraya umum ke 12, Mac lalu.

Ditanya mengenai kebolehan calon BN, Arif Shah, yang mampu berbahasa Mandarin untuk menarik pengundi kaun Cina, beliau berkata:

"Faktor bahasa tidak membantu dan tidak memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan."

Perang bendera

Beliau percaya pengundi Cina dan India tidak akan termakan dengan kempen BN, walaupun Arif Shah mampu berbahasa Mandarin.

Seorang lelaki berketurunan Cina di Taman Siakap, tetap yakin Anwar akan menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

"Minyak turun, harga barang pun turun," katanya

Tinjauan Malaysiakini pagi tadi di Pekan Permatang Pauh, mendapati perang bendera antara kedua belah parti sudah bermula.

Di kiri-kanan jalan menuju ke pekan tersebut, kelihatan kedua-dua parti telah memasang bendera masing-masing.

Di Bandar Sunway, Seberang Jaya, masih tidak banyak bendera kedua-dua parti dipasang di kawasan itu.

Setakat hari ini, cuma terdapat tiga tempat bendera BN dinaikkan - bertentangan Safira Country Club dan Taman Burung Pulau Pinang, di persimpangan jalan antara Hotel Sunway dan pejabat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan di sepanjang jalan berhampiran tempat letak kereta di pusat membeli belah Sunway Carnival.

Saiful angkat sumpah di liwat



Jimadie Shah Othman

Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kondominium mewah di Damansara.

Dakwaan itu diumumkan di sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 6.30 petang tadi.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Mohd Saiful mengangkat sumpah di Dewan Solat Utama dengan menghadap kiblat dan mengucap dua kalimah syahadah.

"Saya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 dan pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

"Jika saya berdusta dengan perkara ini, saya berdusta dengan Allah SWT dan akan dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat."

Dalam sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful berkata, beliau menafikan tindakannya itu bermotifkan politik.

Ini adalah kali pertama beliau muncul di khalayak ramai sejak membuat laporan polis pada 28 Jun lalu, mendakwa, dia diliwat oleh Anwar.

Saiful memberitahu pemberita bahawa dia bersumpah dengan al-Quran hari ini, selepas mengumpul kekuatan untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun, enggan menjawab sebarang soalan mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, Saiful dilaporkan telah menemui Najib di kediaman timbalan perdana menteri sebelum membuat laporan polis.

Saiful turut menayangkan di sidang akhbar tersebut video selama dua minit menunjukkan dia mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi.

Saiful berkata, dakwaan diliwat Anwar itu adalah yang pertama berlaku ke atas dirinya dan dia tidak pernah diliwat sebelum ini.

"Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi
menafikan dakwaan saya adalah tidak benar," katanya lagi.

Saiful ditemani oleh bapanya Azlan Mohd Lazim (foto kanan) dan peguam Zamri Idrus ketika menghadiri sidang akhbar selama 10 minit itu.

Anwar, yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan mendakwa ia perbuatan musuh politiknya untuk menyekat beliau kembali semula aktif dalam politik.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berikut adalah kenyataan yang dibaca oleh Saiful:

Saya rasa telah tiba masanya untuk saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia bagi menegakkan hak dan menidakkan yang batil. Saya dengan ini telah bersumpah dengan nama Allah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi mengikut cara yang dituntut oleh agama Islam, sepertimana yang telah dinasihatkan dan ditunjuk ajar oleh ulama dan mufti berkenaan saya telah diliwat oleh Anwar bin Ibrahim.

Akad sumpah ini saya lakukan dengan kerelaan saya sendiri yang datangnya dari lubuk hati saya yang mendalam bagi menegakkan kebenaran sebagai seorang yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Saya juga amat memahami bahawa sumpah dengan nama Allah ini, jika ia tidak benar dan merupakan satu ciptaan saya semata-mata atau mana-mana pihak, maka saya akan dilaknat, ditimpa malapetaka dan bencana kepada saya, serta keluarga, keturunan saya selamanya oleh Allah SWT.

Saya melakukan sumpah dengan nama Allah SWT kerana mahu membuktikan bahawa dakwaan saya amat benar dan oleh kerana itu, saya amat berani bersumpah. Ini jalan terbaik bagi saya mendapat
keadilan di dunia dan akhirat dan mengembalikan maruah dan harga diri saya di mana hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadu.

Saya melakukannya kerana Allah SWT. Saya bersumpah di dalam rumah Allah yang mulia tadi bahawa saya telah diaibkan dan diliwat oleh majikan saya Anwar bin Ibrahim dan saya tidak memilih berdolak
dalih dengan pelbagai alasan serta penipuan kepada seluruh masyarakat tentang isu dakwaan liwat saya ini seperti yang dibuat oleh Anwar bin Ibrahim.

Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi
menafikan dakwaan saya adalah tidak benar.

Khamis, 14 Ogos 2008

PAS mahu Hadi jadi PM Pakatan

PAS lebih senang jika presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri apabila Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan persekutuan, kata Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Bagaimanapun PKR pula lebih suka penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan utama itu, tambahnya.

"Kalau ikut pandangan Dewan Ulama PAS, tentulah Presiden PAS (Abdul Hadi) lebih layak. Tentulah kita mahu pemimpin kita.

"Kalau tanya orang Keadilan (PKR), dia akan kata presiden Keadilan," katanya, seperti dipetik Bernama, selepas merasmikan muktamar Dewan Ulama PAS di Ipoh pagi ini.

Cadangan melantik Abul Hadi dinyatakan juga oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah semalam.

Menurut agensi berita itu lagi, ditanya sama ada pendirian pemimpin PAS itu boleh menimbulkan perebutan jawatan itu antara anggota-anggota Pakatan Rakyat, Mohamed berkata "soal itu tidak akan timbul" kerana perbincangan boleh dilakukan antara tiga parti itu.

"Kita akan bincang antara tiga parti itu... serupa dengan kes pelantikan menteri besar Perak. Tetapi bagi kita Dewan Ulama PAS, Abdul Hadilah lebih layak, cuma nak lantik itu tak semudah yang kita kata, kena bincang," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, tambahnya, Dewan Ulama PAS tidak mempunyai kuasa dalam soal tersebut dan sekadar memberi pandangan kerana ia perlu dibincangkan di peringkat Majlis Syura serta Jawatankuasa Agung.

Mohamed berkata, Dewan Ulama juga tidak mempunyai masalah untuk menyokong pelantikan Anwar "asalkan pelantikan
itu nanti mampu mendatangkan kebaikan dan menguntungkan Islam."

"Kalau tidak menguntungkan Islam... kita tengok dan lihatlah nanti,"
katanya.

Selasa, 12 Ogos 2008

Komplot politik Umno di sebalik tuduhan terhadap Anwar

Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi beberapa kali peringatan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang didakwanya secara cuai terbabit dalam konspirasi mengenakan tuduhan liwat ke atas beliau.

Kata Anwar, PM secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan karier politik beliau.

"Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang," ujarnya.

Sebelum ini Ketua Umum KeADILan itu sering mengelak untuk bertembung dengan PM. Kelihatan jelas beliau hanya menumpukan serangan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang didakwanya terbabit dalam pelbagai kes berkaitan rasuah.

Sehingga timbul suatu persepsi di kalangan rakyat, bahawa seolah-olahnya tercetusnya konflik peribadi Anwar-Najib. Anwar menuduh Najib terbabit dalam kes Altantuya Shaariibuu, manakala Najib mengaitkan Anwar dengan kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Mengapa berlaku sebaliknya? Anwar kini dengan nada yang tegas memberikan peringatan seumpama itu terhadap Abdullah?

Ada sumber mendakwa sewaktu kes pertama yang mendakwa Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdullah adalah antara yang disebut-sebut terbabit.

Ketika itu, selain Tun Dr Mahathir Mohamad, antara yang didakwa terbabit sebagai konspirator utama yang terbabit dalam 'mengenakan' Anwar adalah Tun Daim Zainuddin, Dato' Aziz Shamsuddin, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato' Megat Junid Megat Ayob, Dato' Seri Sanusi Junid dan beberapa orang lain.

Sewaktu Mahathir memecat Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, Abdullah ketika itu menjadi Menteri Luar yang berada di Amerika Syarikat.

Selepas Mahathir memecat Anwar, Abdullah adalah antara individu yang pertama membuat kenyataan dari luar negara, menyokong pemecatan Anwar.

Sehingga ada yang sumber yang mengatakan, Mahathir melantik Abdullah menjadi penggantinya, 'sebagai hadiah' daripada kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada Mahathir, khususnya dalam kes Anwar.

Pada ketika itu, walaupun Najib menjadi Naib Presiden yang paling kanan, namun beliau tidak dilantik. Barangkali bukan kerana beliau lebih muda daripada Abdullah, tetapi Najib kelihatannya lebih berhati-hati untuk 'mengiyakan' serangan Mahathir terhadap Anwar berbanding Abdullah.

Justeru ada yang berpendapat, Abdullah Badawi sejak awal-awal lagi (sejak sebelum 1998) sudah 'establish' dengan grup yang mempercayai Anwar terbabit dengan salahlaku liwat.

Maka tidak hairan kali ini, ada yang mendakwa beliau terbabit dalam 'second accusation' terhadap Anwar.

Apakah Abdullah benar-benar terbabit, terserah kepada pihak berkenaan membuktikannya.

Apakah Abdullah sahaja yang terbabit? Apakah mungkin menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas orang kanan Anwar, Mohamed Ezam Md Nor turut menjadi pelakon utama sandiwara terbaru ini?

Cara pembikinan dakwaan pertuduhan liwat ke atas Anwar

Menurut sumber beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, dalam satu mesyuarat Gerak, pengerusinya Ezam ada membayangkan bahawa bekas bosnya, Anwar Ibrahim akan terbabit dengan satu lagi kes liwat.

"Waktu itu Ezam membayangkan nama lain (enggan disebut) sebagai pelakon utama yang akan terbabit dengan Anwar, tetapi alih-alih nama Saiful pula timbul.

"Watak-watak dan nama yang disebutkan Ezam waktu itu berbeza dengan watak yang berlaku, tetapi jalan cerita atau plot dramanya sama," kata sumber berkenaan.

Persoalannya bagaimana nama Saiful boleh timbul dalam kes ini. Menurut cerita kawan-kawan yang bertugas di pejabat Anwar, sejurus sebelum pilihan raya Saiful dibawa bertugas di pejabat tersebut oleh seorang bekas staf yang bernama Rahimi.

Rahimi dikenali amat rapat dengan Ezam. Pada waktu itu Ezam sudah lama keluar daripada KeADILan dan sering membuat berbagai kenyataan mengkritik KeADILan dan Anwar sendiri.

Namun, semua mereka menerima kehadiran Saiful dengan sangka baik, dalam keadaan Anwar kekurangan staf kerana kesibukan masing-masing berhadapan dengan pilihan raya umum.

Maka, bermula sebagai tugasan sukarelawan, sebagai 'pembancuh kopi' sehingga kepada tugasan mencatat beberapa perundingan dan perbincangan Anwar dengan pihak-pihak tertentu, Saiful turut terbabit.

Namun, apabila timbul kes yang didakwa Saiful bahawa beliau diliwat Anwar. Semua staf-staf Anwar terkejut dengan dakwaan beliau.

"Sehari sebelum Saiful hilang (difahamkan tiga hari sebelum membuat laporan polis), beliau berbual-bual dengan kami tanpa menunjukkan sebarang apa-apa yang pelik berlaku.

"Beliau menyapa kami, siap dengan senyuman lagi, tetapi apabila tuduhan ini dibuat ke atas bos (Anwar), kami amat terkejut," kata seorang staf Anwar.

Ada sumber yang rapat memberitahu Saiful dibawa untuk mendapatkan 'rawatan akibat diliwat' ke Pusrawi oleh Rahimi dan seorang rakan Ezam (namanya akan didedahkan kemudian).

Mereka juga dikatakan membawa Saiful ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas gagal mendapatkan 'laporan yang memuaskan'.

"Yang sahihnya Saiful berjumpa dengan Ezam, sehari sebelum Saiful membuat laporan polis ke atas Anwar. Rakan-rakan lain juga ada, mereka tidak dibenarkan menyertai perbincangan empat mata antara Ezam dengan Saiful," dakwa satu sumber lain.

Daripada keterangan-keterangan yang diperolehi secara berasingan melalui staf Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, dapat digambarkan secara jelas bahawa, kemungkinan Ezam terbabit dalam komplot bagi merencanakan pertuduhan ke atas Anwar amat besar.

Jadi bagaimana pula Abdullah dan Khairy turut dibabitkan sama dan adakah Najib benar-benar terbabit dalam komplot ini.

Peranan Ezam-Khairy untuk mengenakan Najib?

Umum mengetahui Ezam memasuki Umno melalui Khairy dan berkawan rapat dengan kroni utama Khairy, Dato' Norza Zakaria yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kemasukan dalam Umno Ezam tidak ada kena mengena dengan Najib. Tetapi mengapa Najib terheret dalam kes ini?

Jika Ezam memasuk Umno melalui Khairy dan menghantar borang terus kepada Abdullah di Parlimen, mengapa pula dalam kes Saiful ini, Ezam menyuruh Saiful menemui Najib?

Daripada 'appointment' yang disetkan oleh Ezam untuk Saiful berjumpa Najib. Najib mendengar aduan Saiful. Melalui kenyataannya Najib mengakui bahawa Saiful ada berjumpa dengannya.

Persoalannya mengapa Saiful tidak dibawa Ezam untuk mengadu terus kepada Abdullah? Atau siapakah yang menyuruh Ezam mendapatkan 'appointment' dengan Najib? Apakah dalam plot ini, Khairy turut terbabit untuk 'mengenakan' Najib?

Hasil daripada 'appointment' yang disetkan Ezam tersebut, Najib tersepit dan dibelasah kiri dan kanan oleh Anwar dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ada kawan-kawan media yang rapat dengan orang-orang Umno berkata, jika Najib tidak menemui Saiful (dalam 'appointment' yang disetkan oleh Ezam), Najib boleh 'mencuci tangan' dan beliau tidak perlu hendak 'pening kepala' dengan tekanan Anwar.

Dan, jika Khairy terbabit dalam kes ini, plot drama menjadi lebih besar. Ianya bukan sekadar pertuduhan liwat ke atas Anwar, malah ianya mengheret kepada 'game' pemilihan dalam pucuk pimpinan Umno menjelang Disember depan.

Semua plot-plot cerita ini menggambarkan wujud 'permainan' besar politik. Dan apabila Ezam yang memulakan langkah ini, apakah tidak mustahil ada 'tangan-tangan' utama yang mencatur 'permainan' ini.

Bagi orang-orang Umno, mereka mengesyaki 'tangan' utama yang memainkan peranan untuk mempertahankan kedudukan Abdullah, 'menghapuskan' Anwar dan menghalang kemaaran Najib, tidak lain tidak bukan adalah Khairy dan Norza.

Apakah Khairy dan juak-juaknya mampu melakukan tindakan politik seperti perumpamaan Inggeris 'killing two birds with stone'?

Persoalan di sebalik hubungan Ezam-Khairy-Norza

Apakah sekarang ini Ezam turut sama terbabit menjadi pelakon utama yang turut sama terbabit dalam percaturan politik dalaman Umno?

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Ezam, jelas bahawa bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan itu mendapat pembiayaan daripada Khairy dan Norza melalui Gerak.

Ada sebahagian kenalan penulis, yang juga merupakan kroni-kroni rapat Ezam mengakui mendapat 'laba' yang besar daripada peruntukan yang diperolehi Ezam.

Ada yang bercerita dengan kawan-kawan, mereka hanya mendapat 'kuah' daripada 'setalam lauk' yang diterima oleh Ezam. Kuah-kuah pun nilaiannya ratusan ribu ringgit, sehingga ada yang membeli kereta baru secara 'cash', membeli rumah dan membuat 'renovation' yang mahal harganya.

Jika 'kuahpun' nilaiannya ratusan ribu ringgit, tidakkah Ezam yang menerima 'setalam lauk' boleh diumpamakan menerima jutaan ringgit daripada pihak-pihak berkenaan.

Itu pun ada yang mendakwa, ketika ditanya kepada Ezam adakah itu sahaja (ratusan RM) upah yang diterima oleh beberapa individu tertentu, Ezam dilaporkan sebagai berkata, "....tunggu dulu, ini baru masuk sikit, ada lagi nak masuk."

Selain daripada itu sumber yang rapat dengan Ezam memberitahu, selepas Ezam memasuki Umno dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak, beliau digantikan oleh Mohd Nazri Yunus.

"Kalau saudara hendak tahu, Nazri ini adalah staf Inska, sebuah institut pemikiran yang dibiayai sepenuhnya oleh Norza," dakwa seorang sumber.

Jika semua dakwaan ini betul, wah hebat betul permainan politik yang dimainkan oleh Khairy, Norza dan Ezam.

Sejauhmana dakwaan ini betul, penulis tidak dapat mempastikannya. Penulis hanya membuat analisis daripada sumber cerita daripada individu-individu berasingan, yang ditemui secara berasingan, lalu digabungjalin menjadi sebuah teori yang ada rasionalnya.

Rumusan daripada 'permainan politik ini' kes liwat ini sebenarnya sudah menjadi lebih besar. Bukan setakat tuduhan terhadap Anwar. Ianya mengheret kepada 'triangle battle' antara Abdullah - Anwar - Najib.

Sama ada Abdullah sedar tentang 'game' ini tidak penting. Tidak ada bezanya jika ianya membabitkan Khairy.

Namun apapun yang berlaku ketika ini, sama sekali tidak akan menjejaskan peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Masalah yang lebih besar dihadapi Barisan Nasional dan Umno selain daripada menghadapi Anwar ialah kecamukan politik dalaman.

Sama ada Abdullah dapat bertahan sehingga Jun 2010, sama ada Najib dapat menjadi PM sebelum itu, atau mungkin juga Anwar dapat membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya dicongkak dengan langkah yang amat berhati-hati dan kritikal.

PAS tinggalkan Pakatan demi Islam

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi.

Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Isnin, 11 Ogos 2008

Umno hanya 'nyawa-nyawa ikan' selepas pilihan raya umum

Mohd Sabri Said

Kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pergolakan dalaman Umno termasuk di Bahagian Permatang Pauh membuktikan parti itu hanya tinggal 'nyawa ikan' selepas menghadapi hari-hari luka pilihan raya umum ke-12 lalu.

Bukan sahaja Muhyiddin berkata begitu malahan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak juga mengakui pergolakan dalaman Umno jika dibiarkan akan menjadi nanah berbisa dan akhirnya menjadi bisul yang boleh pecah bila-bila masa.

Jadi, sudah cukup tanggapan dua orang pemimpin atasan Umno itu kerana khuatir ia benar-benar menjadi kenyataan berbanding Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah yang masih bermimpi menjadi pemimpin sehingga tahun 2011 nanti.

Bagi kedua-dua regu Najib dan Muhyidin tahun 2011 begitu menyiksakan kerana ia terlalu lama dan tidak pasti apa pula bakal terjadi dalam jangkamasa tersebut.

Adakah pembangkang makin kuat atau sudah berjaya tubuh kerajaan baru melalui Pakatan Rakyat sepertimana yang diwar-warkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam setiap kali pidatonya.

Atau adakah rakyat sendiri akan menikam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang dikategorikan sebagai zalim dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Apa pun kemunculan semula Dato' Seri Anwar ke arena politik tanahair amat dibimbangi Umno dan BN maka sebab itu usaha menyekat kemaraannya mendaki Putrajaya diatur dengan pelbagai strategi.

Isu liwat bab kedua sudah dicanangkan dan usaha menangkapnya sedang dirancang semata-mata untuk menghalangnya menyertai pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini hasil pengorbanan isteri tercinta, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sanggup memberi laluan untuk suaminya mencipta sepakan 'hatrik' demi menyelamatkan maruah negara yang sudah tercalar ekoran beberapa kelemahan pentadbiran BN.

Hasil turun padang Najib dan Muhyiddin baru-baru ini jelas mendapati Umno kian parah dan perlu diperbaiki demi masa depan orang melayu yang mengharapkan Umno sebagai dahan untuk bertaut.

Najib meminta semua cawangan dan bahagian Umno dalam Parlimen Permatang Pauh melupakan seketika pergelutan merebut jawatan dalam Umno sebaliknya memberikan sepenuh perhatian pada pilihan raya kecil Permatang Pauh kerana kekalahan BN itu kelak pastinya menambah keruntuhan kepercayaan rakyat pada BN.

Sebab itu, mereka terpaksa mempergunakan banyak cabang bagi mempastikan 'nyawa ikan' Umno dapat diselamatkan termasuklah Perhimpunan Penyatuan Melayu Pulau Pinang yang diadakan di Padang Utara Politeknik Seberang Perai yang terletak di Kampung Pertama Permatang Pauh baru-baru ini.

Sebenarnya Umno terpaksa berselindung di sebalik Sekretariat Perhimpunan Penyatuan Melayu Pulau Pinang untuk menempa kejayaan penganjurnya jika tidak tentunya kerusi lebih banyak daripada kehadiran.

Bukan itu sahaja mereka juga terpaksa pergunakan nama bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor dan Senator Jins Shamsudin untuk menceritakan kepentingan melayu di Pulau Pinang kerana tanpa Umno politik orang melayu mudah dipersendakan oleh kaum lain.

Tambahan lagi, bermatlamat menyelamatkan kedaulatan melayu yang kononya kini telah di dinafikan hak bila mana Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac lepas.

Inilah lakonan Umno bila nyawanya ibarat 'nyawa ikan' khususnya di Pulau Mutiara walaupun pada dasarnya Umno masih memenangi 11 kerusi tapi pada hakikatnya ia retak menunggu belah.

RASUAH POLITIK

Dr. Mahathir Mohamad

1) Di waktu kita pinda perlembagaan Umno supaya sesiapa yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan 30% daripada bahagian atau 60 bahagian, tujuan kita ialah untuk jawatan itu tidak ditandingi oleh orang yang tidak serius dan juga supaya wang tidak dapat disogok kepada jumlah bahagian yang begitu banyak.

2) Syarat ini dipercayai tidak akan menghalang mereka yang betul-betul berbakat untuk melayakkan mereka bertanding.

3) Sebelum ini dalam pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun saya sendiri dapat pencalonan daripada bahagian amat banyak tetapi undi yang saya dapat di Perhimpunan Agong amat kecil. Hanya 43 sahaja lebih daripada lawan saya. Dipercayai ada sesuatu yang berlaku kepada wakil-wakil setelah sampai ke Perhimpunan Agong. Pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan supaya sesiapa yang dicalonkan oleh bahagian akan dapat 10 undi bonus. Peruntukan ini tidak berkesan. Justeru itu diperkenal sistem kuota seperti yang terdapat sekarang.

4) Kita tidak sangka yang syarat ini pun boleh disalahgunakan dengan cara lain. Amat malang bagi Umno dan orang Melayu. Kita lihat sekarang bagaimana syarat ini diguna untuk menghalang sebarang cabaran terhadap Presiden semasa, dengan tujuan supaya Presiden dan juga Timbalan Presiden tidak ditandingi sama sekali.

5) Cara yang digunakan amatlah kotor. Jauh daripada menunjuk teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin lain dan ahli-ahli Umno, Presiden sendiri yang mula menggunakan wang dan salahguna kuasa untuk mendapat pencalonan bagi diri sendiri dan menghalang pencalonan bagi orang lain. Tidak ada guna menafikan yang semua ini berlaku kerana terlalu ramai yang terlibat dalam kegiatan ini dan terlalu ramai yang bercakap berkenaannya.

6) Sekarang kita dengar aduan daripada seorang Ketua Bahagian kepada Setiausaha Agong Umno. Aduan ini menyatakan bahawa sementara Ibu Pejabat Umno melarang cawangan dan bahagian daripada berkempen untuk apa-apa jawatan di peringkat cawangan dan bahagian, Presiden sendiri giat berkempen untuk dirinya dicalonkan sebagai Presiden.

7) Kempen ini seperti disebut diatas disertai dengan hadiah kain, sejadah dan wang tunai sebanyak 50 hingga 100 Ringgit, sementara semua perbelanjaan perjalanan daripada bahagian-bahagian seluruh negara, penginapan di hotel mewah dan makan minum selama berada di KL ditanggung.

8) Dalam pada itu Presiden memujuk Timbalan Presiden, Dato Seri Najib Razak, supaya tidak melawannya bertanding Presiden pada Disember ini, dengan menawar hadiah jawatan Presiden dan Perdana Menteri kepada Dato Seri Najib pada Jun 2010. Ini jelas satu jenis rasuah politik yang tidak harus dilakukan oleh Presiden Umno yang melarang sebarang jenis rasuah dalam pemilihan ketua-ketua cawangan dan bahagian dan Majlis Tertinggi Umno.

9) Perbuatan Presiden tidak terhad kepada memanggil pemimpin cawangan sahaja. Ada bukti yang gula-gula dan ugutan dibuat supaya semua ketua bahagian dan jawatankuasa bahagian ikut telunjuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan calon hanya dia seorang untuk jawatan Presiden dan Dato Seri Najib untuk Timbalan Presiden. Dengan mengguna rasuah, ugutan dan pelbagai cara tekanan, bahagian-bahagian tidak akan calon sesiapa lain. Sudah tentu calon-calon lain tidak akan dapat cukup bilangan pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

10) Bahawa rasuah dan tekanan diguna dilaporkan oleh ramai, tetapi tidak ada sesiapa yang berani mendakwa secara terbuka kerana takut tindakan diambil terhadap mereka. Lagipun mereka yang dahulu melapor bahawa mereka telah disogok dengan wang mendapati Jawatan Kuasa Disiplin Parti menolak "tuduhan" itu bulat-bulat. Bahkan laporan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah) kes rasuah yang melibatkan seorang Timbalan Menteri didapati "tidak berasas" kerana yang dikatakan memberi wang rasuah menafi demikian. Justeru itu tidak ada yang sanggup membuat laporan lagi.

11) Sebab itu surat daripada Kapt. (B) Dato Zahar Hashim, Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang jelas mendakwa Dato Seri Abdullah melakukan "rasuah politik yang besar" amatlah berani dan luarbiasa. Didalamnya diceritakan bagaimana Dato Seri Abdullah berkempen untuk dirinya dan menyogok wang dan kain pelikat kepada pemimpin cawangan yang dibawa khas ke KL. Wang yang diguna adalah wang kerajaan iaitu peruntukan untuk JASA (Bahagian Khas) Kementerian Penerangan.

12) Tawaran oleh Dato Seri Abdullah dan penerimaan oleh Dato Seri Najib yang Dato Seri Najib tidak akan tanding jawatan Presiden lawan Dato Seri Abdullah dan dengan itu Dato Seri Abdullah akan beri jawatan Perdana Menteri pada Dato Seri Najib menjelang pertengahan tahun 2010 ditafsir dan ditakrif sebagai rasuah politik yang amat besar.

13) Kapt. (B) Zahar hanya meminta supaya pekeliling melarang kempen ditarik balik oleh ibu pejabat sehingga lepas pemilihan pada Disember 2008.

14) Tetapi veteran Umno dan bekas Ahli J.K. Pemuda (Dato' Mazlan Harun), berasas pada surat Kapt. (B) Zahar telah buat laporan kepada BPR bahawa Dato Seri Abdullah dan Dato Seri Najib telah melakukan rasuah politik dan salahguna kuasa kerajaan.

15) Saya percaya akhirnya surat dan laporan kepada BPR tidak akan menghasilkan apa-apa kerana ada sahaja alasan dan penjelasan yang akan diberi oleh kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini untuk "cover-up".

16) Pada pemilihan bulan Disember perwakilan Umno tetap akan akur dan pilih Presiden dan Timbalan Presiden seperti yang ditunjuk oleh Dato Seri Abdullah.

17) Tetapi rakyat Malaysia akan bertambah jelek dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya. Ini bukan lagi parti kebangsaan Melayu. Ini sudah jadi parti untuk orang-orang tertentu mendapat jawatan dan wang bagi diri mereka.

18) Dato Seri Abdullah, Dato Seri Najib dan lain-lain pemimpin Umno mungkin kekal dengan jawatan mereka dan akan terus jadi Menteri dan sebagainya tetapi ingat apa telah jadi kepada Tajol Rosli, Mahadzir Khalid dan Khir Toyo.

19) Apa telah jadi pada Awang Adek dan Annuar Musa dan ramai lagi pemimpin Umno yang lain.

20) Jawatan-jawatan mereka dalam parti mungkin kekal tetapi apabila rakyat tolak parti yang rasuah yang bergantung pada sogokan duit dan tekanan, ugutan dan salahguna kuasa, semua jawatan ini tidak berguna lagi.

21) Presiden tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno jika menang pilihanraya pun akan jadi pembangkang seperti di Selangor, Perak dan Kedah.

22) Apabila parti sudah kalah ia akan hancur. Mereka yang tamak yang menggunakan cara yang haram untuk mengetuai parti akan dikutuk bukan sahaja oleh orang Melayu yang terima padahnya sekarang tetapi juga oleh pengasas-pengasas Umno yang sudah meninggal.

23) Ahli-ahli Umno yang mencari kesenangan, yang mengharap gula-gula dan kedudukan tertentu dan sanggup merestui perbuatan yang salah, perbuatan yang merosakkan parti, mereka akan menerima padahnya.

24) Hari ini pun kita sedang melihat bagaimana orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercempera dan umumnya hilang haluan.

25) Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.

26) Semua ini disebabkan oleh kepimpinan Umno yang rasuah dan ahli-ahli Umno yang tidak berani menegur, jauh sekali bertindak.

Ahad, 10 Ogos 2008

Dr M: Anwar akan menang di Permatang Pauh

Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon "istimewa" yang mampu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada
26 Ogos ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Penasihat PKR itu akan memenangi pilihanraya tersebut kerana ia merupakan kubu kuat beliau di samping BN juga sudah hilang kredibiliti setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihanraya umum lalu.

"Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin. Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lalu," katanya ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung calon yang mampu menentang Anwar dalam pilihanraya tersebut.

Sebelum itu, Dr Mahathir menyampaikan syarahan di forum bertajuk "Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu" anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika Anwar memperolehi majoriti yang lebih besar, ia tidak bermakna bahawa bekas timbalan perdana menteri itu semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.

Sebaliknya, Bernama memetik bekas perdana menteri itu sebagai berkata ini menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.

"Jika majoriti undi yang diperolehi Anwar kurang...Umno boleh terus ke depan (untuk kembali mendapat sokongan rakyat)," katanya.

Calon bebas

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihanraya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Tak mungkin. Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya".

Beliau berkata jika terdapat calon Bebas bertanding dalam pilihanraya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan PKR.

"Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia dari serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar...kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar. Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal sebagai presiden Umno walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu Disember ini.

"Ku Li (Tengku Razaleigh) harus menilai sokongan ahli. Saya dapati cuma di peringkat rendah (akar umbi) yang menyokongnya. (Sebaliknya) Pak Lah mendapat sokongan dari ketua-ketua bahagian Umno sehingga mereka tidak boleh buka mulut sama sekali.

"Dulu mereka (ketua bahagian) yang pernah cabar Datuk Seri Abdullah, sekarang senyap...saya fikir susah (bagi Tengku Razaleigh untuk menang).

"(Bagaimanapun) dalam parti Pak Lah akan menang tetapi dalam pilihanraya, dia akan kalah," katanya.

Sabtu, 9 Ogos 2008

Majlis Peguam hentikan forum...

Muda Mohd Noor

Forum awam memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pagi ini akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin memberitahu perhimpunan tersebut, bahawa beliau telah masuk ke dalam dan mendapati forum itu telah dibubarkan.

"Saya naik sendiri dan melihat forum telah dibubarkan dan saya memberitahu (mereka), tidak mahu lagi forum seperti ini diadakan.

"Kita mahu tindakan yang lebih keras diambil pada masa-masa depan," katanya kepada perhimpunan tersebut pada kira-kira jam 10.30 pagi.

"Kita memberi jaminan mereka boleh beredar dari bangunan ini," kata beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam", "Awas Persatuan Peguam, jangan bermain api" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Tiada tangkapan

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman, memberitahu sidang akhbar bahawa beliau telah berunding dengan Majlis Peguam supaya menghentikan forum tersebut.

"Semasa rundingan, mereka boleh menerima cadangan kita.

"Polis mempunyai kuasa untuk menasihatkan mereka menghentikan forum ini setelah melihat ancaman keselamatan yang kian meningkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu botol yang dijumpai di situ.

"Saya berpuashati kerana mereka bersikap profesional. Semasa rundingan, saya menasihatkan supaya forum ini dibatalkan.

"Insya-Allah keadaan akan kembali pulih semula," tambahnya.

Menurutnya lagi, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kedua-dua pihak telah memberi kerjasama kepada pasukan polis.

Pada jam 10.55 pagi, orang ramai sudah beredar dari kawasan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan forum kontroversi "memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam ditamatkan lebih awal daripada jadual.

Kira-kira setengah jam selepas forum yang bermula jam 9 pagi itu berlangsung, Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada jam10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.

Pada jam 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup.

"Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup," katanya.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Forum 'memeluk Islam' diteruskan esok

Forum awam 'memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam akan diteruskan esok walaupun mendapat bantahan keras dari banyak badan Islam.

Naib Presiden Majlis Peguam, K Ragunath berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahidi yang menjaga halehwal Islam, PAS dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Ragunath turut menegaskan bahawa Majlis Peguam menerima dan faham bahawa perkara yang berkaitan dengan kaum dan agama adalah sensitif dan menimbul emosi.

Beliau berkata, pihaknya mengiktiraf dan menghormati Artikel 121 (A), Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pandangan bahawa adalah tidak adil untuk memaksa sesiapa juga tertakluk kepada undang-undang dan mahkamah yang berasaskan kepada agama yang bukan dianuti mereka.

Menurutnya, daripada lima orang penceramah telah dijemput, seorang daripada mereka - Dr Mohd Naim Mokhtar - telah menarik diri tetapi beliau tidak menyatakan sebab-sebabnya.

Bantahan keras

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata partinya bimbang tersebut boleh "mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara."

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang menambah, PAS sekeras-kerasnya membantah hasrat Majlis Peguam dengan alasan "isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah seasuatu yang mutlak" seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.

Beliau dilaporkan berkata, bagi PAS, Islam agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan authoriti kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri.

Kerana itu, katanya, PAS berpandangan inisiatif Majlis Peguam Malaysia ini yang bersumberkan fahaman sekular akan hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam lantas mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Beliau menyarankan penganjur membatalkan forum tersebut.

Kelmarin, Syed Hamid menyifatkan forum badan peguam itu ibarat "bermain dengan api" dan "boleh membangkitkan salah faham."

Jangan bermain api!.... Dato' Pirdaus Ismail

Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Majlis Peguam "bermain api perbalahan" dengan menganjurkan forum berkenaan sentimen agama Islam.

Exconya Dato' Pirdaus Ismail dalam satu kenyataan Khamis mempersoalkan mengapakah Majlis Peguam kini sering bermain api perbalahan seumpama menjadi alat dalang kuasa asing yang mahu negara ini huru-hara dan mereka yang sentiasa mengintai peluang mencampuri urusan dalaman negara?

Katanya sebelum ini Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang juga mula membarakan api kemarahan orang Melayu dan mencetuskan keraguan kaum lain.

Berikut ialah kenyataan penuhnya:

KENYATAAN MEDIA

PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

BERHUBUNG FORUM "MEMELUK ISLAM"

Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Majlis Peguam "bermain api perbalahan" dengan menganjurkan forum berkenaan sentimen agama Islam.

Jangan bermain api!

Jangan sesekali menyentuh sentimen agama dan perkauman!

Mengapakah Majlis Peguam kini sering bermain api perbalahan seumpama menjadi alat dalang kuasa asing yang mahu negara ini huru-hara dan mereka yang sentiasa mengintai peluang mencampuri urusan dalaman negara?

Sebelum ini Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang juga mula membarakan api kemarahan orang Melayu dan mencetuskan keraguan kaum lain.

Majlis Peguam sebagai badan golongan profesional dan terpelajar sewajarnya lebih berpandangan jauh dan tidak mudah termakan umpan mana-mana pihak yang mahu melihat Malaysia huru-hara dan runtuh.

Sebagai golongan yang banyak mempelajari sejarah tanahair dan dunia, golongan ini sewajarnya lebih mencintai negara, patriotik dan sedar mengenai sebarang sentimen yang boleh membawa padah kepada kepentingan bersama.

Tiada gunanya mengadakan forum atas dasar intelektual, profesional atau kontroversi sedangkan kepentingan umum iaitu ketenteraman, keharmonian, keamanan dan kestabilan negara menjadi korbannya.

Walau di atas alasan apa sekali pun, forum itu memprovokasi kesabaran masyarakat Melayu dan mengundang keresahan serta ketidaktenteraman awam, khususnya orang Islam.

Tindakan Majlis Peguam sama sahaja pendekatan dan kesannya dengan usaha segelintir pihak yang suka mengganggu ketenteraman awam menerusi kenyataan sensitif, forum, penerbitan, laman web dan demontrasi jalanan. Hal ini menunjukkan anasir luar sudah menyusup masuk untuk menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak langkah-langkah pencegahan dilaksanakan oleh pihak berkuasa sebelum keadaan bertambah buruk dan menjadi parah.

Dato' Pirdaus Ismail

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,
Kuala Lumpur, Khamis, 7 Ogos 2008

Khamis, 7 Ogos 2008

Mampukah Anwar membuat 'come-back'?

Bernama

SUDAH hampir sedekad Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah disabitkan kesalahan rasuah pada 1999, dan setahun kemudian kesalahan liwat.

Selepas dibebaskan pada 2 September, 2004 bila panel tiga hakim dari Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan liwat terhadap beliau, dan melayakkannya bertanding dalam pilihan pada April tahun ini, Anwar sekurang-kurangnya memutuskan untuk kembali ke kerusi Permatang Pauh yang dipegang oleh isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk beliau selama beberapa tahun ini.

Dilahirkan di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada 10 Ogos 1947, pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya ini merupakan seorang pemimpin belia yang aktif dan punya semangat berontak pada zaman remajanya.

Pada 1974 semasa tunjuk perasaan pelajar di jalan raya beliau ditangkap dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 20 bulan.

Pada 29 Mac 1982, Anwar mengejutkan penyokongnya, bila beliau mengubah haluan dari seorang yang 'anti-establishment', menjadi anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Dari tarikh itu, karier politik beliau meningkat mendadak.

Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Permatang Pauh pada pilihan raya umum April 1982, dan sebagai orang baru dalam politik, beliau menewaskan calon penyandang dari PAS Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi, dan sebulan kemudian Dr Mahathir, melantik beliau sebagai seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Umno Bahagian Permatang Pauh memilih beliau sebagai ketua mereka, dan dalam pemilihan parti pada tahun yang sama, beliau menewaskan Suhaimi Kamaruddin dengan 10 undi untuk jawatan Ketua Pemuda Umno.

Lima tahun sebagai ketua Pemuda Umno, Anwar bertanding untuk jawatan lebih besar dalam parti - untuk satu dari tiga jawatan Naib Presiden, dan meraih tiga undi terbesar.

Beliau mendapat 850 undi dan pada 1993, beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden parti bila penyandang Tun Ghafar Baba enggan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti pada Oktober.

Hampir tiada yang menyekat beliau dalam mengejar kerjaya politiknya. Selepas setahun menjadi timbalan menteri, Anwar dinaikkan taraf ke menteri penuh.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Beliau dan Sukan, kemudian pada 1984 sebagai Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran (1986), Menteri Kewangan (1991) dan pada 1993 beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno tanpa bertanding, dengan itu secara automatik dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Umno tanpa bertanding pada pemilihan parti pada 1996 dan pada Mei 1997, beliau memangku jawatan Presiden parti semasa Dr Mahathir bercuti dua bulan.

Bagaimanapun, setahun kemudian pada 3 September, beliau disingkirkan dari Umno oleh Majlis Tertinggi parti selepas beliau tidak mempertahankan dirinya dari dakwaan rasuah dan liwat selepas peluang luas diberikan kepadanya untuk memberi penjelasan.

Dengan penyingkiran itu, beliau menjadi anggota bebas Parlimen. Pada pilihan raya umum 1999 ketika beliau disabitkan kesalahan rasuah dan dipenjara lima tahun, Wan Azizah, yang membentuk Parti Keadilan Nasional, bertanding bagi kerusi itu dan memenanginya setelah menewaskan calon BN Datuk Ibrahim Saad.

Wan Azizah, yang menjadi ahli politik atas desakan keadaan mempertahankan kerusi tersebut dalam tiga pilihan raya umum lepas.

Pada 31 Julai, beliau melepaskan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar, yang kini menghadapi tuduhan liwat oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, bertanding.

Dengan kesnya kini dibawa ke mahkamah, Anwar berdepan dengan tugas cukup berat untuk menarik pengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Liwat: Anwar dihadap ke mahkamah esok

Pejabat Peguam Negara akan mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, hari Khamis yang melibatkan kes liwat.

Notis bertulis untuk Anwar hadir di mahkamah telah disampaikan kepada beliau tengah hari Rabu oleh polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual yang melibatkan Anwar itu.

“Polis telah menjalankan siasatan kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang melibatkan Anwar, dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada wujud dalam sistem perundangan negara," katanya.

Menurut beliau, hasil daripada siasatan itu tersebut, pihak polis katanya telah menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan keputusan.

Pejabat Peguam Negara katanya, memutuskan untuk mendakwa Anwar di mahkamah.

Sementara itu, polis tengahari Rabu telah menyerahkan sapina kepada Anwar bagi menghendakinya hadir ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta Kuala Lumpur, hari Khamis.

Sapina tersebut diserahkan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfields, Deputi Supritendan Jude Pareira kepada Anwar di kediamannya di Segambut Dalam jam 12.05 tengah hari.

Peguam Anwar, Sankara N. Nair ketika ditemui pemberita di hadapan rumah Anwar, enggan mengulas lanjut tujuan anak guamnya dikehendaki hadir ke mahkamah tersebut sama ada sapina itu ada kaitan dengan pendakwaan terhadap Anwar berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Sejak jam 10 pagi kelihatan beberapa pegawai polis berpakaian biasa berada di luar perkarangan kediaman Anwar.
Deputi Supreitenden Jude Pariera yang tiba dengan kenderaan polis berada di dalam rumah Anwar kira-kira 15 minit bagi menyerahkan sapina berkenaan.

Rabu, 6 Ogos 2008

Abdullah, Najib didakwa 'salah guna kuasa'

Muda Mohd Noor

Antara 50 hingga 60 ketua cawangan Umno di bahagian Petaling Jaya Selatan sedia tampil memberikan keterangan berhubung dakwaan presiden parti itu dan timbalannya "menyalahgunakan kuasa" awal bulan lalu.

Ketua bahagian berkenaan Datuk Abu Zahar Hashim mendakwa pengumuman peralihan kuasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak di depan semua pemimpin Umno "memberi kesan yang menguntungkan" dua pemimpin tertinggi itu.

Ucapan itu dibuat di depan ketua bahagian, cawangan dan tiga sayap Umno dari seluruh negara di ibu pejabat parti itu 10 Julai lalu.

Di majlis tersebut, Abdullah menyatakan kesediaannya menyerahkan tugasnya kepada Najib pada pertengahan 2010.

Abu Zahar Hashim berkata pemimpin-pemimpin di bahagiannya sanggup menjadi saksi berhubung dakwaannya jika ada siasatan pada bila-bila masa.

"Sebenarnya 103 ketua cawangan Umno dalam bahagia Petaling Jaya Selatan menghadiri taklimat tersebut termasuk saya sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengesahkan suratnya bertarikh 11hb Julai lalu yang dihantar kepada kepada setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Berdasarkan surat terbuka itu yang kini beredar luas di internet, bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Laporan tersebut dibuat oleh Mazlan di pejabat BPR Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dalam suratnya, Zahar berkata, tawaran jawatan Abdullah kepada timbalannya dan persetujuan Najib menerimanya dalam keadaan sekarang merupakan sejenis "rasuah politik peringkat tertinggi."

"Sudah pasti ia akan memberi kesan yang menguntungkan Abdullah, khususnya, dan sedikit sebanyak kepada Najib juga," katanya.

Terdahulu dari pertemuan itu, kata Zahar lagi, Abdullah terlibat dalam beberapa majlis ramah mesra dan penerangan dalam tempoh pemilihan seperti yang ditafsirkan dalam Tataetika Versi 2008.

"Ketua-ketua cawangan dari beberapa negeri diundang khas, disediakan penginapan di hotel dan diberikan buah tangan berupa sejadah atau kain pelikat serta duit belanja melalui jentera dan sumber kewangan kerajaan.

"Isu ini telah menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli Umno," katanya dalam surat tersebut.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno berkata, tindakan melaporkan kepada BPR itu dibuat setelah Lembaga Displin Umno tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menyiasat dakwaan tersebut.

Seorang pemimpin akar umbi Umno dari Muar, Datuk Kadar Ninam Shah yang hadir sama di BPR berkata, jika BPR masih tidak mengambil tindakan sepatutnya dalam tempoh tertentu, tindakan susulan akan dibuat.

"Bagaimanapun, saya tidak menjangka BPR akan menyiasat perdana menteri atau timbalan perdana menteri," katanya.

Selasa, 5 Ogos 2008

Anwar bertanding biar dari lokap

Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan meneruskan pertandingan pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh walaupun beliau berada ditangkap polis.

Beliau berkata, dalam apa keadaan sekalipun hasratnya untuk bertanding itu tidak pernah luntur bagi mencapai matlamat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, lapor Bernama.

"Saya tidak tahu sama ada saya akan dibenarkan berkempen atau tidak selepas ini.

"Sama ada saya masuk lokap atau tidak, saya tetap akan bertanding di Permatang Pauh," katanya pada ceramah perdana PKR di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Tambahnya, bagi mencapai matlamat menyelamatkan ekonomi negara, Pakatan Rakyat perlu cepat bertindak memandangkan keadaan semakin buruk.

Sebab itu beliau memilih untuk bertanding di Permatang Pauh kerana beberapa kerusi Parlimen lain seperti Kulim-Bandar Baharu masih dalam proses menunggu keputusan mahkamah, tambahnya.

Anwar berkata, tidak timbul soal isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengkhianati pengundi di kerusi parlimen itu dengan meletakkan jawatannya kerana sejak awal lagi beliau telah menjelaskan akan memberi laluan kepada suaminya sejurus sahaja beliau layak bertanding.

Selain Anwar dan Dr Wan Azizah, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng turut berucap pada majlis itu.

Menurut agensi berita itu lagi, majlis ceramah itu pembuka tirai kempen PKR menjelang pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Rabu ini, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan menetapkan tempoh berkempen dan mengundi bagi kawasan itu.

Anwar terus ' main wayang' ...

Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan cerita apa-apa lagi.Masuk ke tak masuk lokap atas kes dakwaan liwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pilihanraya kecil Permatang Pauh mesti on.

Walaupun semua orang tahu beliau tergesa-gesa pilih Permatang Pauh kerana kes liwat itu,Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu buat kering saja kata tujuan utama beliau bertanding pilihanraya kecil itu adalah bagi mencapai matlamat menyelamatkan ekonomi negara memandangkan keadaan semakin buruk.

Berucap di ceramah perdana PKR di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Ahad malam Anwar menegaskan dalam apa keadaan sekalipun hasratnya untuk bertanding itu tidak pernah luntur bagi mencapai matlamat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

"Saya tidak tahu sama ada saya akan dibenarkan berkempen atau tidak selepas ini. Sama ada saya masuk lokap atau tidak, saya tetap akan bertanding di Permatang Pauh," katanya.

Beliau juga terus memberi alasan memilih untuk bertanding di Permatang Pauh kerana beberapa kerusi Parlimen lain seperti Kulim Bandar Baru masih dalam proses menunggu keputusan mahkamah.

Anwar berkata, tidak timbul soal isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengkhianati pengundi di Permatang Pauh dengan meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen kawasan itu kerana sejak awal lagi beliau telah menjelaskan akan memberi laluan kepada suaminya sejurus sahaja beliau layak bertanding.

Selain Anwar, beberapa pemimpin parti Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah turut berucap pada majlis itu.

Majlis Ceramah Perdana itu merupakan acara pembuka tirai kempen PKR menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu bekas bosnya Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya para wartawan selepas satu majkis di Kuala Lumpur mempersoalkan tindakan Anwar yang mahu bertanding di Permatang Pauh sedangkan masih banyak masa lagi sebelum 16 September iaitu tarikh Anwar mendakwa beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Beliau berpendapat tindakan tergesa-gesa Anwar bertanding pada pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah taktik untuk menyalahkan kerajaan jika beliau didakwa dalam kes liwat.

"Jika kerajaan menangkap dan mendakwanya dalam masa terdekat kerana kes liwat, Anwar akan mengatakan kerajaan takut kepadanya dan kerana itu mendakwanya... inilah cara Anwar,'' kata bekas Perdana Menteri itu.

"Dia boleh mempengaruhi orang lain kerana yang negatif boleh menjadi positif dan ramai pula yang mempercayainya,'' katanya.

Ditanya mengenai peluang calon Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Dr. Mahathir berpendapat, agak sukar untuk calon BN menang setelah gagal dalam beberapa cubaan sebelum ini.

"Apa yang penting nanti ialah kita hendak tahu sama ada undi yang diperoleh oleh UMNO berkurangan atau tidak ,'' katanya

Akhirnya Muhyiddin umum cuma pertahan jawatan Naib Presiden

Oleh Utusan

KL: Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri untuk bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat atas kesedaran untuk menjamin keutuhan parti selain menghormati pelan peralihan kepimpinan yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT).

``Saya sedar ada kemungkinan bahawa keputusan saya mengecewakan sesetengah pihak dan ahli di beberapa peringkat, namun ingin saya tekankan bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan suara serta sokongan mereka akan sentiasa saya hormati dan hargai,’’ katanya

"Politik wang, maki-hamun, ancaman diguna untuk rebut jawatan" Syed Hamid

Oleh Bernama

KOTA TINGGI: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa pelbagai cara digunakan di dalam pertandingan sengit merebut jawatan di dalam parti pada masa ini, termasuk politik wang, maki-hamun dan ancaman.

Syed Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata perkara-perkara negatif yang berlaku pada ketika ini diibaratkan seperti "penyakit barah" yang boleh menghancurkan Umno.

"Pertandingan kali ini sengit, nampak bersungguh-sungguh ada kemaruk. Kita hendak berperang sesama sendiri, bukan sahaja politik wang tetapi ada juga yang menggunakan pengaruh luar dan ancaman.

"Kita sama kita tak betul, maki-hamun dan jemput orang luar untuk maki-hamun. Tak pernah saya lihat (sebelum ini)," dakwa Syed Hamid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Aping Barat di sini.

Syed Hamid, yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi, berkata pertandingan yang amat sengit bagi merebut jawatan parti pada ketika ini boleh diibaratkan seolah-olah "dunia akan kiamat esok hari" akan hanya menyukarkan usaha menyatupadukan parti.

"Saya takut bila sudah habis pemilihan, macam mana kita hendak baikkan kedua-dua pihak?" katanya.

Menurutnya sebarang pertandingan di dalam parti perlu dijalankan di dalam suasana seperti di dalam sebuah keluarga untuk memastikan perpaduan Umno tidak terjejas.

"Apa sekalipun yang kita buat (di dalam pertandingan Umno), perkara yang perlu kita pastikan adalah Umno itu menang pada akhirnya. Janganlah kita anggap pertandingan itu seperti dunia akan kiamat, seperti esok tiada lagi," katanya.

Tingkah laku anggota dan pemimpin Umno ketika menghadapi musim pemilihan kali ini, katanya sedang diperhatikan oleh pihak ketiga dan masyarakat umum.

Rafidah serah jawatan kepada Shahrizat tahun depan

Oleh Utusan

KL: Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pertengahan tahun depan.

``Saya akan serahkan jawatan ini kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Wanita UMNO Bersama Pemimpin yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Rafidah berkata, keputusan itu adalah bagi memastikan tiada pergolakan dan perpecahan dalam sayap parti itu pada pemilihan Disember ini.

``Pilihan ini dibuat bagi memastikan tiada pecah belah dan berpuak-puak dalam parti seperti yang berlaku satu ketika dahulu sehingga menyebabkan pihak pembangkang mengambil kesempatan,’’ katanya

Isnin, 4 Ogos 2008

Gantikan Tugu Negara, kata mufti

Jimadie Shah Othman

Malaysia tidak memerlukan Tugu Peringatan Negara kerana ia "mempunyai unsur-unsur keberhalaan" dan "bukan warisan kita", kata mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Ia (tugu itu) patut digantikan dengan perkara lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada monumen bersejarah itu wajar dirobohkan kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keberhalaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat lalu, mufti itu menyarankan perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di tugu berkenaan sempena Hari Pahlawan 2008 agar bertaubat kepada Allah.

Menulis di blognya bersama foto Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan kalungan bunga (foto kiri), Dr Mohd Asri berkata:

"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

"Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

"Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

"Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar."

Khamis lepas, selepas perdana menteri, acara peletakan kalungan bunga disusuli panglima angkatan tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Dr Mohd Asri turut menyifatkan acara memperingati pahlawan di Tugu Negara sebagai tindakan untuk "mengalihkan pandangan" awam terhadap isu kebajikan keluarga-keluarga bekas tentera.

"Ia mengalihkan pandangan terhadap isu sebenar. Adakah dengan memberi penghormatan di Tugu Negara dapat membantu kaum keluarga pejuang kita? Adakah elaun, gaji, pertolongan terhadap ahli keluarga bekas pejuang terbela?" katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, perbuatan memberi hormat kepada Tugu Negara adalah haram mengikut fatwa kebangsaan dan fatwa Perlis.

"Sebab itu sewaktu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, baginda tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Diminta mengulas tentang jenis-jenis patung yang dibenarkan dalam Islam, beliau berkata, pada asalnya semua patung tidak dibenarkan tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Namun, katanya, unsur membesar-besarkan patung tetap tidak dibenarkan.

Patung jika digunakan untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan pendidikan adalah dibenarkan, katanya.

Ditanya tentang penggunaan patung untuk tujuan kesenian, beliau berkata, Islam tidak menghalang kesenian, tetapi mestilah ada batasnya.

Patung tidak boleh membesarkan objek asalnya atau imej yang dipatungkan, tambah Mohd Asri.

Hasil Terengganu dikaut,Idris Jusoh perhabiskan RM7 bilion

Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos (Hrkh) - Sebanyak RM7 bilion wang royalti dan gas Terengganu telah dibelanjakan di zaman bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh mulai tahun 2004 hingga 2008.
Iklan

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Amir Sham Abdul Aziz ketika ditanya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Ismail di Persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dipercayai wang sebanyak itu dibawa masuk melalui Dana Khas yang tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara dan tidak dimasukkan dalam perkiraan Kumpulan Wang Disatukan dan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri setiap tahun.

Dato' Seri Idris hanya berjaya menjadi menteri besar sepenggal sahaja selepas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berkenan untuk Idris terus menjadi Menteri Besar Terengganu selepas keputusan pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

Bagaimanapun ke manakah perginya wang begitu banyak itu?

Persoalan ini ditimbulkan oleh Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifuddin Natution ketika berucap di Kuala Ibai di sini baru-baru ini.

Saifuddin berkata, projek disalurkan ke Terengganu hanya dengan cara, taukeh-taukeh besar membawa surat dari Kuala Lumpur untuk diminta tanda tangan pemimpin kerajaan negeri itu (Dato' Seri Idris Jusoh). Surat itu dipercayai dari Pejabat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Apa projek yang nak dibuat, bagaimana proses tender tidak dinyatakan dalam surat berkenaan,"jelas beliau mengulas kenyataan wawancara Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said dalam sebuah akhbar berorientasikan ekonomi baru-baru ini.

Projek yang dibawa tidak ada kena mengena dengan kebajikan rakyat negeri Terengganu, katanya.

Saifuddin menjelaskan bahawa yang menikmati hasil bumi Terengganu ialah orang luar dari negeri itu (Patrick Lim).

Ini katanya, adalah hasil dari hubungan rapat beliau dengan Abdullah.

Saifuddin turut memaparkan gambar-gambar melalui tayangan 'LCD' bagi menunjukkan bagaimana Abdullah meraikan taukeh-taukeh kaya termasuk Patrick Lim dalam satu majlis di kediaman rasmi Perdana Menteri itu di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Sabtu, 2 Ogos 2008

Mursyidul Am Pas

Oleh Mohd Sayuti Omar

APA masalah yang sedang menghimpit Tokguruku Nik Aziz kini. Apakah beliau sakit dan sudah tidak relevan untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti sebagai Mursyidul Am Pas?

Persoalan ini timbul apabila ada usaha di kalangan pemimpin tertinggi Pas akan memujuk Abdul Hadi Awang supaya memegang jawatan berkenaan.

Apakah Nik Aziz sudah tidak inginkan jawatan itu apa pun beliau sudah tidak dapat dijinakkan semasa mesyuarat jawatankuasa agung Pas bersama Majlis Syura Ulama kelmarin.

Tidak ada pula perkara buruk dilaporkan berlaku dalam mesyuarat berkenaan.

Nik Abdul Aziz dikatakan mengambil sikap yang menggembirakan dan sehaluan dengan sesetengah pihak apabila beliau juga tidak bersetuju Pas berunding dengan Umno untuk tubuh kerajaan bersama.

Khabarnya Nik Aziz bukan saja tidak mahu diadakan berunding bagi membentuk kerajaan, kalau tidak jumpa terus lagi bagus!

Keadaan ini menimbulkan sedikit tanya tanya. Sekiranya dalam mesyuarat kelamrin beliau bersikap sebaliknya memesongkan kata-katanya sebelum ini yang tidak setuju kemudian setuju berunding dengan Umno ada logiknya juga kalau beliau perlu disingkirkan dari jawatan berkenaan.

Kerana dengan adanya disitu sebagai orang tua menyusahkan!

Bagaimana pun dalam mesyuarat semalam Nik Aziz dikatakan keluar dari bilik mesyuarat selepas beliau memberi kata nasihat dan pandangan berhubung isu semasa yang menjadi tumpuan kini.

Apakah tindakan itu setelah timbul ketegangan dalam mesyuarat berkenaan dan sehinggakan beliau dicadangkan agar melepaskan jawatan?

Untuk tujuan membujuk Abdul Hadi itu dikatakan dua pemimpin tertinggi Pas yang menetang keras ura-ura Pas hendak bermuqabalah dengan Umno akan terbang ke Jakarta esok untuk menemui Abdul Hadi.

Abdul Hadi kini sudah pun berada di Jakarta.

Perkembangan ini masih menjadi tanda tanya. Bagaimana pun pada hemat saya, tidak munasabah kalau Nik Aziz hendak disingkirkan dari kedudukan itu. Beliau sendiri masih menampakkan komitmennya dengan jawatan berkenaan.

Cadangan itu bukan kerana Nik Aziz sudah letih atas jemu tetapi ia lebih kepada strategi. Apa yang dapat dibaca dari cadangan ini ada golongan yang mahukan Abdul Hadi turun dari kerusinya itu.

Mungkin mereka mengira dengan adanya Abdul Hadi di situ yang dilihat keras dan tegas dengan prinsip siasah Islamiyah sukar untuk mereka menjanakan parti menurut acuan sekular mereka.

Jadi satu cara terhormat dilakukan agar Abdul Hadi pegang jawatan Mursyidul Am dan mengumumkan persaraan sebagai presiden pada muktamar di Ipoh mulai 13 Ogos hadapan.

Pujukan itu adalah paksaan secara halus! Mungkin idea ini telahpun disampaikan kepada Nik Aziz dan Nik Aziz telahpun merestuinya.

Kenapa dikatakan begitu kerana kalau benar Nik Aziz sudah tidak berkeupayaan kenapa jawatan itu tidak dilepaskan kepada Dr Haron Din, timbalan Mursyidul Am Pas?

Apakah Haron Din masih belum cukup ilmu untuk memegang jawatan berkenaan!