Khamis, 9 Julai 2009

Dr Mahathir tak suka PPSMI dimansuhkan

Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

"Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut," kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir "menerima dengan baik" keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.

Timbalan perdana menteri menambah, beliau dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam.

"Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar.

"Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik," kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.

Beliau mengumumkan keputusan kabinet yang setuju memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012 dan memperkenalkan kembali bahasa Melayu, Cina dan Tamil di sekolah.

Menurutnya, penjelasannya kepada Dr Mahathir antaranya mengenai kemajuan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terbabit dengan dasar itu.

"Kita terangkan kepada Tun (Dr Mahathir) mengenai keupayaan guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris.

"Kita juga beritahu terdapat jurang yang besar di kalangan murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah bukan kebangsaan," katanya.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir telah mencadangkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.

"Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita.

"Insya Allah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu," kata Muhyiddin.

Rabu, 20 Mei 2009

Kempen sejuta poskad mansuh PPSMI



Jimadie Shah Othman

Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

ppsami samad saidHasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

anti english language ppsmi a million post card campaign 200509Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.

Selasa, 19 Mei 2009

Parti baru Makkal Sakti Malaysia



PETALING JAYA: Parti baru Makkal Sakti Malaysia (MMSP), diterajui bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, mahu menarik 300,000 ahli menjelang Jun 2010.

Penubuhan parti itu akan dilancarkan Julai depan.

Pendaftaran MMSP bertarikh 11 Mei diterima minggu lalu, kata Presidennya R.S. Thanenthiran.

Katanya, permohonan mereka telah diluluskan dua bulan selepas dikemukakan.

Pada sidang media pertama mengumumkan penubuhannya di sini petang ini, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana ikatan parti politik di negara ini - Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat demi kebajikan masyarakat India.

"Pendirian kami ialah akan menjalin ikatan sama ada dengan Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional, pakatan yang bersedia untuk membantu kepentingan masyarakat India di negara ini," kata beliau.

Beliau menafikan penubuhan MMSP ditaja oleh BN dan menerima kewangan daripada ikatan itu.

Ia merupakan parti kedua didakwa mahu menjaga kepentingan masyarakat India diumumkan penubuhan dalam tempoh sebulan lalu.

Jumaat, 15 Mei 2009

ROMBAKAN KECIL KABINET SABAH 2009

KOTA KINABALU: Naib Presiden LDP yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Raymond Tan Shu Kiah yang telah menyertai Gerakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman mengekalkan Tan dalam kabinet negeri dengan melantik beliau sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Ewon Ebin kini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang dahulu disandang oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Kitingan pula kini ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Pelantikan baru ini diumumkan oleh Musa kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di sini hari ini.

Musa turut mengumumkan pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Pang Yuk Ming sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur menggantikan Datuk Michael Asang yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.

Datuk Jainab Ahmad Ayid pula, yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, menggantikan Donald Peter Mojuntin yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan.

Sementara itu, menteri dan pembantu menteri yang lain mengekalkan portfolio masing-masing.

Dalam pada itu Datuk Raymond Tan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan dan keyakinannya terhadapnya bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

Katanya beliau menghormati keputusan Musa untuk menggugurkannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dengan menyatakan ianya menjadi hak Ketua Menteri untuk melantik anggota Kabinet negeri.

Menyifatkan pelantikannya sebagai tugas mencabar, Tan berjanji akan melaksanakan peranan yang diberikan dengan gigih.

"Saya bangga untuk dilantik dan pada hakikatnya, saya sudah pun menyerahkan surat peletakkan jawatan dari kabinet September lepas tetapi diminta oleh Ketua Menteri untuk terus memegang jawatan," katanya kepada pemberita selepas Musa mengumumkan rombakan kecil kabinet negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Sabah menghormati keputusan Musa yang melantik Datuk Raymond Tan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Pengerusi Perhubungan Gerakan Sabah, Gordon Leong berkata beliau yakin pelantikan semula Tan ke dalam barisan kabinet negeri walaupun berbeza portfolio, akan memberi peluang dan landasan yang lebih untuk wakil Gerakan di Sabah berkhidmat kepada rakyat secara lebih berkesan dan cekap.

Tan sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

"Pelantikan ini membuktikan bahawa Datuk Musa mengiktiraf sumbangan Datuk Raymond selama ini kepada rakyat Sabah," kata Gordon di sini hari ini.

Tan, bekas timbalan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), baru-baru ini menyertai Gerakan, parti yang berpangkalan di Semenanjung, selepas tidak menyertai mana-mana parti hampir sembilan bulan.

Gordon menyeru semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) agar terus memberi kerjasama dan bantuan kepada Tan bagi membolehkannya menjalankan tugas secara berkesan.

"Marilah kita terus menghulurkan kerjasama dalam semangat 1Malaysia demi pembangunan Sabah yang diiktiraf sebagai negeri contoh kepada konsep 1Malaysia," katanya. (BERNAMA)

Rabu, 6 Mei 2009

Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

"Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undang-undang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar.

Sulaiman, dalam hujah beliau juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

"Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.

Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bilabila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung hari ini. BERNAMA

Sabtu, 25 April 2009

LANTIKAN MT UMNO DAN PENGERUSI PERHUBUNGAN NEGERI NAJIB 2009

SEPERTI yang dijangkakan Sabahkini.net, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, manakala 'musuh tradisinya', Datuk Seri Shafie Afdal dilontarkan ke Kedah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Tindakan Najib menghantar orang kepercayaannya, Shafie ke Kedah dan melakukan rombakan besar jentera pentadbiran UMNO menunjukkan beliau sedang merancang kerangka pelan tindakan nekad Umno untuk mempergiatkan usaha merampas empat negeri Pakatan Rakyat dalam rombakan terbesar pengerusi perhubungan negeri hari ini selepas beliau mengetuai parti itu, akhir Mac lalu.


Senario ini sekaligus mematikan khabar angin bahawa Shafie ingin kembali ke Sabah sebagai Ketua Menteri menggantikan Musa yang pada mulanya dijangka akan digugurkan setelah Najib menugaskan Shafie ke negeri isterinya untuk merampas Kedah daripada PAS.

Najib sendiri kini memimpin Selangor dan melepaskan jawatan tersebut di Perak yang menyerahkan tugas itu tersebut kepada Datuk Zambry Abd Kadir, Menteri Besar selepas negeri itu dirampas kembali BN, Februari lalu.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib digugurkan daripada Pengerusi Perhubungan Selangor dan juga ketua Penerangan Umno Malaysia.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan iaitu sebuah lagi negeri yang dikuasai Pakatan dalam pilihanraya umum 2008. Beliau menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang tidak dikekalkan dalam kabinet dalam rombakan awal bulan ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini mengetuai Badan Perhubungan Umno Kedah, menggantikan Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini mengepalai Umno Pulau Pinang, melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Perak.

Sementara di Terengganu yang sebelum ini menyaksikan pergaduhan dua kumpulan iaitu di antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan tokoh yang digantinya Datuk Seri Idris Jusoh yang diambil alih oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, iaitu seorang lagi Naib Presiden Umno.

Pergeseran UMNO Perlis selesai apabila Ketua Perhubungan Negeri diketuai Menteri Besarnya, Datuk Seri Md Isa Sabu, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik menganggotai Majlis Tertinggi (MT).

Perubahan juga berlaku di Kelantan yang dikuasai PAS selama 19 tahun kerana turut mendapat ketua Perhubungan baru, Datuk Mustapa Mohamed, menggantikan Tan Sri Annuar Musa. Mustapa, yang mendapat jumlah tertinggi undi untuk anggota MT, pernah memimpin negeri itu dalam usaha Umno merampas Serambi Mekah.

Rombakan besar-besaran itu diumumkan Najib selepas mesyuarat pertama MT selepas pemilihan parti hujung bulan lalu di bangunan Umno petang ini.

Selain pengerusi perhubungan, Umno juga melantik Ahmad Maslan, seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebagai Ketua Penerangan.

Manakala Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik menggantikan Datuk Azim Zabidi sebagai Bendahari Agung. Ahmad Husni kini Menteri Kewangan Kedua.

Berikut ialah pelantikan jawatan Umno yang diumumkan oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

SETIAUSAHA AGUNG: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

BENDAHARI AGUNG: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah

KETUA PENERANGAN: Ahmad Maslan

PENGERUSI-PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO NEGERI:

PERLIS:

Pengerusi: Datuk Seri Md Isa Sabu (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Zahidi Zainul Abidin

KEDAH:

Pengerusi: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Paduka Ahmad Bashah

PULAU PINANG:

Pengerusi: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Zainal Abidin Othman

PERAK:

Pengerusi: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Ahmad Husni Hanazlah

SELANGOR:

Pengerusi: Datuk Seri Najib Tun Razak (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Noh Omar

WILAYAH PERSEKUTUAN:

Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin Yassin (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abdidin

NEGERI SEMBILAN:

Pengerusi: Datuk Seri Mohamad Hasan

Timbalan Pengerusi: Datuk Shaziman Abu Mansor

MELAKA:

Pengerusi: Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Timbalan Pengerusi: Datuk Wira Abu Seman Yusop

JOHOR:

Pengerusi: Datuk Abdul Ghani Othman

Timbalan Pengerusi: Datuk Dr. Latif Ahmad

PAHANG:

Pengerusi: Datuk Seri Adnan Yaakob

Timbalan Pengerusi: Shakar Samsudin

TERENGGANU:

Pengerusi: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Ahmad Said

KELANTAN:

Pengerusi: Datuk Mustapa Mohamed (muka baru)

Timbalan Pengerusi: Datuk Dr. Awang Adek Hussein

SABAH:

Pengerusi: Datuk Seri Musa Aman

Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Salleh Said Keruak




Manakala sembilan lagi dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu;
Datuk Seri Rais Yatim
Datuk Nazri Aziz
Datuk Jamil Khir Baharom
Datuk Raja Nong Chik
Datuk Aziz Sheikh Fadzir
Datuk Seri Ali Rustam
Tan Sri Rafidah Aziz
Datuk Seri Ghani Othman
Datuk Seri Shahidan Kassim

Khamis, 23 April 2009

MUSA KEKAL KETUA PERHUBUNGAN UMNO SABAH?

PRESIDEN UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengekalkan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang disandangnya sejak 2002 walaupun beliau dikategorikan sebagai tidak layak memenuhi kriteria baru yang ditetapkan Najib.

"Fokus PM sekarang terhadap penjanaan ekonomi yang lembap dan kejayaan Musa Aman membangunkan Sabah dengan pesat sejak 2003 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah menyebabkan Najib menyambung khidmat Musa sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah," kata Sumber daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia yang memaklumkan bahawa Najib akan mengumumkan perubahan semua jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Setiausaha Kerja.

Sehubungan itu, Musa telah mengundang semua ahli parlimen, Adun, Ketua Bahagian UMNO dan ppemimpin masyarakat ke kediaman rasminya sejak jam 6 petang tadi untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung penyambungan tugasnya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua Menteri Sabah dan pelbagai isu lain.

Namun, Shafie yang turut dijemput tidak menghadiri majlis berkenaan yang dinamakan sebagai Majilis Kesyukuran dibuat secara tertutup dan untuk mereka yang pro kepada Musa sahaja.

Senario ini dilihat sebagai tidak sihat dan menyebabkan 20 Ketua Bahagian yang menyokong Shafie dijangka akani berpaling tadah menyokong Musa sehingga menyebabkan hasrat Shafie kembali ke Sabah terbantut kerana gelinciran pengaruh walaupun memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

Musa Aman dilihat masih dominan di dalam UMNO Sabah walaupun menghadapi kes saman sivil dang dikaitkan dengan skandal penggubahan wang haram di Hong Kong yang melibatkan seorang peniaga dari Sandakan, Michael Chia dan laporan 81 Dalil oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diberitakan dibuka semua setelah fail berkenaan ditutup Peguam Negara.

"Najib terpaksa melantik Musa untuk memberi fokus kepada pembangunan dan jika Musa menghadapi masalah atas apa juga sebab, ianya boleh diganti kemudian," kata sumber tersebut dengan penuh yakin.

Menurut sumber itu lagi, hasrat melambung Shafie untuk menjadi Ketua Menteri Sabah melalui jalan sukar kerana belum ada tanda-tanda Pembantu Menteri Infrastruktur, Datuk Japlin Akim akan didakwa di mahkamah untuk membolehkan satu pilihanraya kecil yang amat diidamkan Shafie untuk memegang tampuk pemerintahan Sabah.

Keengganan Musa untuk memecat Japlin yang selama ini dianggap sebagai 'Macai'nya menyebabkan banyak pihak menyuarakan bantahan namun Musa terus membela Japlin dengan alasan Japlin belum didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, ketidak hadiran Shafie memberi pelbagai spekulasi disebabkan Shafie diberitakan akan menemui Najib untuk membincangkan krisis kepimpinan Sabah jika Musa terus menerajui Sabah sebaik sahaja Najib pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia.

Peluang Musa dilihat cerah dengan peranan yang dijanakan adiknya, Datuk Anifah Aman yang mengiringi Najib dalam lawatan rasmi ke Indonesia.
sumber: sabahkini.net

Najib Umum Hapus Kuota 30% Bumiputera

Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penghapusan syarat 30% pegangan ekuiti bumiputera dalam usaha menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi, di mana kerajaan semalam membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan, berkuat kuasa serta-merta.

Ia meliputi perkhidmatan dalam bidang komputer dan yang berkaitan; pelancongan; kesihatan dan sosial; pengangkutan; sukan dan rekreasi; perniagaan; sewaan/pajakan tanpa operator serta pengangkutan sokongan dan bantuan.

Najib berkata kerajaan juga akan membuka pasaran sektor kecil perkhidmatan lain secara berperingkat kerana perkhidmatan yang disasarkan itu menjadi sektor pertumbuhan baru ekonomi.

“Tak ada sebarang syarat ekuiti dan ia akan mencetuskan pelaburan yang makin meningkat dan menjadikan sektor perkhidmatan ini lebih berdaya maju, lebih kompetitif dan membolehkan kita bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan buruk kepada industri perkhidmatan domestik kerana kerajaan memberi jaminan terus menyokongnya menerusi pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport.

Sokongan itu juga dilakukan menerusi dana berjumlah RM100 juta diperuntukkan di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama yang diuruskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) bagi memperkukuhkan industri tempatan dalam menghadapi persekitaran sektor perkhidmatan lebih terbuka.

Najib berkata, menerusi liberalisasi sektor kecil perkhidmatan itu, kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan asing berlaku berbanding 11 peratus daripada keseluruhan pelaburan sektor perkhidmatan berjumlah RM50.1 bilion tahun lalu.

Kerajaan juga membenarkan lima firma guaman asing yang pakar dalam bidang kewangan Islam untuk menawar perkhidmatan di negara ini sebagai sebahagian usaha membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Sebelum ini, sewaktu mengumumkan barisan kabinet barunya, Najib juga telah memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang telah dibidas oleh banyak pihak sebagai satu langkah memutar jarum jam ke belakang di dalam usaha untuk mewujudkan dan membantu lebih ramai usahawan bumiputera.

Langkah meliberalisasikan 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan dilihat sebagai satu cara Najib untuk memperkukuhkan ekonomi negara dengan mengorbankan kepentingan ekuiti masyarakat bumiputera.

Sehingga kini belum kedengaran para pejuang (baca: pencacai) UMNO seperti kenyataan-kenyataan balas pemimpin UMNO yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak istimewa orang Melayu, Ibrahim Ali bersama Perkasanya, Osman Bakar bersama Badan Bertindak Perpaduan Melayu dan juga Prowaris.

Rabu, 22 April 2009

PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO 13- 16 OKTOBER 2009

KUALA LUMPUR: Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2009 telah ditetapkan akan berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober depan yang akan diadakan khas bagi membincangkan untuk meminda Perlembagaan UMNO.

Perlembagaan tersebut dipinda bagi memberi mandat kepada lebih ramai ahlinya memilih kepimpinan tertinggi yang akan dibuat secara serentak di 191 bahagian berbanding dengan pemilihan sebelum ini yang ditentukan bersandar kuota.

Perhimpunan Agung UMNO kali ke-60 ini juga akan diadakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak ketika membuat ucapan sulung sebagai Presiden UMNO pada 28 Mac lalu untuk membuat perubahan.

Antara yang dipinda ialah untuk mewujudkan proses pemilihan yang lebih terbuka, telus dan demokrasi.
Sebelum ini, kepimpinan dipilih oleh sekitar 2000 perwakilan sedangkan ahli UMNO berjumlah lebih 3 juta ahli.

Lantaran itu, dengan pindaan dalam Perlembagaan parti akan membolehkan semua ahli-ahli UMNO mengadakan pengundian bagi memilih pemimpin secara serentak di semua 191 Bahagian.

Berdasarkan langkah pembaharuan yang akan dibuat tersebut, terbukti aspirasi dan suara rakyat di peringkat akar umbi akan dapat disalurkan secara terus terutamanya dalam memilih pemimpin yang mereka kehendaki.

Oleh itu dengan persetujuan sidang perwakilan, Perlembagaan UMNO akan dipinda dengan mengkaji semula kuota pencalonan yang akan dibincangkan bersama Bahagian-bahagian.

Berkaitan dengan hal tersebut, pada 15 April lalu Ibu pejabat UMNO telah mengeluarkan pekeliling memaklumkan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun 2009 akan bermula pada 15 Mei sehingga 30 Jun 2009.

Manakala bagi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pula tarikh persidangannya juga adalah sama dalam tempoh tersebut.

Bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian termasuklah Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pula tarikh yang ditetapkan ialah pada 16 Julai sehingga 16 Ogos 2009.

Dalam hal ini, Ibu Pejabat UMNO berharap agar semua pihak yang terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya dan dapat mematuhi semua aturan dalam persidangan yang telah digariskan dalam parti.

Sumber: UMNO ONLINE

Isnin, 20 April 2009

DAP sokong Ketua Menteri Sabah tidak di ganti

KOTA KINABALU: Jimmy Wong (DAP-Sri Tanjong) mahu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dikekalkan sebagai pemimpin negeri.

Beliau berkata, ini berikutan pelbagai pembangunan yang berjaya dilaksanakan untuk rakyat di Sabah.

"Perdana Menteri sudah berubah. Saya berharap ketua menteri Sabah sekarang tidak akan diganti.

"Sabah kini banyak berubah dan semakin membangun.

"Ekonomi kebanyakan rakyat miskin juga semakin baik," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau juga berharap kerajaan negeri tidak putus membawa pembangunan kepada rakyat kerana masih terdapat golongan yang masih menunggu pembelaan.

"Saya berharap Datuk Seri Musa dan anggota kabinetnya bekerja lebih keras dan lebih tekun lagi kerana banyak lagi projek pembangunan yang perlu dilaksanakan," tambahnya. BERNAMA