Rabu, 20 Mei 2009

Kempen sejuta poskad mansuh PPSMI



Jimadie Shah Othman

Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

ppsami samad saidHasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

anti english language ppsmi a million post card campaign 200509Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.

Selasa, 19 Mei 2009

Parti baru Makkal Sakti Malaysia



PETALING JAYA: Parti baru Makkal Sakti Malaysia (MMSP), diterajui bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, mahu menarik 300,000 ahli menjelang Jun 2010.

Penubuhan parti itu akan dilancarkan Julai depan.

Pendaftaran MMSP bertarikh 11 Mei diterima minggu lalu, kata Presidennya R.S. Thanenthiran.

Katanya, permohonan mereka telah diluluskan dua bulan selepas dikemukakan.

Pada sidang media pertama mengumumkan penubuhannya di sini petang ini, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana ikatan parti politik di negara ini - Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat demi kebajikan masyarakat India.

"Pendirian kami ialah akan menjalin ikatan sama ada dengan Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional, pakatan yang bersedia untuk membantu kepentingan masyarakat India di negara ini," kata beliau.

Beliau menafikan penubuhan MMSP ditaja oleh BN dan menerima kewangan daripada ikatan itu.

Ia merupakan parti kedua didakwa mahu menjaga kepentingan masyarakat India diumumkan penubuhan dalam tempoh sebulan lalu.

Jumaat, 15 Mei 2009

ROMBAKAN KECIL KABINET SABAH 2009

KOTA KINABALU: Naib Presiden LDP yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Raymond Tan Shu Kiah yang telah menyertai Gerakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman mengekalkan Tan dalam kabinet negeri dengan melantik beliau sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Ewon Ebin kini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang dahulu disandang oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Kitingan pula kini ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Pelantikan baru ini diumumkan oleh Musa kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di sini hari ini.

Musa turut mengumumkan pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Pang Yuk Ming sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur menggantikan Datuk Michael Asang yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.

Datuk Jainab Ahmad Ayid pula, yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, menggantikan Donald Peter Mojuntin yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan.

Sementara itu, menteri dan pembantu menteri yang lain mengekalkan portfolio masing-masing.

Dalam pada itu Datuk Raymond Tan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan dan keyakinannya terhadapnya bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

Katanya beliau menghormati keputusan Musa untuk menggugurkannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dengan menyatakan ianya menjadi hak Ketua Menteri untuk melantik anggota Kabinet negeri.

Menyifatkan pelantikannya sebagai tugas mencabar, Tan berjanji akan melaksanakan peranan yang diberikan dengan gigih.

"Saya bangga untuk dilantik dan pada hakikatnya, saya sudah pun menyerahkan surat peletakkan jawatan dari kabinet September lepas tetapi diminta oleh Ketua Menteri untuk terus memegang jawatan," katanya kepada pemberita selepas Musa mengumumkan rombakan kecil kabinet negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Sabah menghormati keputusan Musa yang melantik Datuk Raymond Tan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Pengerusi Perhubungan Gerakan Sabah, Gordon Leong berkata beliau yakin pelantikan semula Tan ke dalam barisan kabinet negeri walaupun berbeza portfolio, akan memberi peluang dan landasan yang lebih untuk wakil Gerakan di Sabah berkhidmat kepada rakyat secara lebih berkesan dan cekap.

Tan sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

"Pelantikan ini membuktikan bahawa Datuk Musa mengiktiraf sumbangan Datuk Raymond selama ini kepada rakyat Sabah," kata Gordon di sini hari ini.

Tan, bekas timbalan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), baru-baru ini menyertai Gerakan, parti yang berpangkalan di Semenanjung, selepas tidak menyertai mana-mana parti hampir sembilan bulan.

Gordon menyeru semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) agar terus memberi kerjasama dan bantuan kepada Tan bagi membolehkannya menjalankan tugas secara berkesan.

"Marilah kita terus menghulurkan kerjasama dalam semangat 1Malaysia demi pembangunan Sabah yang diiktiraf sebagai negeri contoh kepada konsep 1Malaysia," katanya. (BERNAMA)

Rabu, 6 Mei 2009

Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

"Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undang-undang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar.

Sulaiman, dalam hujah beliau juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

"Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.

Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bilabila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung hari ini. BERNAMA