Ahad, 28 September 2008

Mukhriz persoal penangguhan perhimpunan agung

Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menangguhkan perhimpunan agung parti itu yang dijadual Disember ini ke bulan Mac tahun depan yang dilihatnya memberi impak negatif.

Beliau berkata tindakan MT itu menyebabkan ahli Umno menjadi semakin bosan dengan kepimpinan parti kerana bagi mereka tidak ada keperluan munasabah perhimpunan agung Umno ditangguhkan.

Bernama memetik Mukhriz sebagai berkata, beliau sendiri tidak faham kenapa penangguhan itu perlu dilakukan dan ia tentunya akan memberikan gambaran yang tidak sihat serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

"Daripada maklum balas yang saya terima dari seluruh negara, penangguhan perhimpunan agung Umno itu memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama ahli Umno Bahagian Temerloh dan Kuala Krau di Temerloh hari ini.

Mukhriz berkata penangguhan yang mengambil masa hanya tiga bulan dari tarikh asal itu, juga tidak relevan dan tidak memberikan sebarang kelebihan dalam menguatkan semula parti.

Jumaat, 26 September 2008

Selangor: Shah Alam, PJU calon Najib-Muhyiddin

Muda Mohd Noor

Umno bahagian Shah Alam telah membuat keputusan untuk mencalonkan gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

"Ia dibuat setelah mengambil kira kemahuan kira-kira 95 peratus dari 84 cawangan dalam mesyuarat cawangan masing-masing," kata bendahari bahagian Shah Alam, Datuk Abdul Manan Said.

Manakala Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Mohd Ali Mohd Saad pula berkata, mesyuarat bahagian berkenaan telah memutuskan supaya perkara itu diserahkan kepada perwakilan.

Bagaimanapun, katanya, daripada percakapan ramai, bahagian ini akan mencalonkan Najib untuk jawatan presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno.

Manakala majoriti bahagian Umno di Selangor yang lain mahu mengadakan mesyuarat di kalangan ahli jawatankuasa (AJK) terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada menerima pelan peralihan kuasa tahun 2010.

Keputusan tersebut kemudiannya akan di mesyuarat bahagian masing-masing untuk mendapatkan pengesahan dan kata putus dari para perwakilan.

Menurut mereka, bahagian akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh perwakilan mengenai pelan peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusof berkata, biro politik bahagian akan membincangkan perkara itu selepas hari raya Aidifitri ini.

Pendirian bahagian

"Sehingga hari ini saya tidak tahu apa pendirian bahagian kerana ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

"Sudah tentu bahagian akan akan mengambilkira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zurihan berkata, berdasarkan pengalaman lepas, apa sahaja keputusan bahagian akan diterima oleh para perwakilan.

Katanya, jika ahli tidak setuju, perkara tersebut akan dibuat berdasarkan suara majoriti dalam mesyuarat perwakilan.

Umno Kuala Langat belum menetapkan tarikh mesyuarat perwakilan bahagian tersebut.

Sementara itu, naib ketua Umno bahagian Gombak, Said Ali Said Anuar berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat khas bahagian pertengahan November depan iaitu seminggu sebelum mesyuarat bahagian diadakan.

"Kita akan cadangkan apa yang bahagian mahukan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian pada 18 Oktober.

'Mahu alternatif lain'

"Keputusan awal, ramai tidak setuju dengan pelan peralihan politik tetapi kita akan membincangkan dan memutuskan kedudukan terakhir," katanya.

Naib ketua bahagian Kelang, Nassaruddin Mat Zain pula berkata, bahagiannya belum mengadakan mesyuarat untuk menentukan sama ada peralihan kuasa diterima atau sebaliknya.

Katanya, jika ahli jawatankuasa mahu alternatif lain, parti akan menghormatinya.

"Di bahagian Kelang, AJK cuma 25 orang, sedangkan perwakilan seramai 500 orang. Jadi kata putus adalah di tangan perwakilan.

"Kebanyakan ahli - melalui mesyuarat cawangan - melahirkan harapan supaya pemimpin memulihkan keyakinan kepada rakyat termasuk di kalangan orang bukan Melayu," katanya.

Manakala Umno bahagian Puchong akan membincangkan perkara tersebut tidak lama lagi.

Patuhi kehendak bahagian

Timbalan ketua bahagian Puchong, Datuk Senan@Hasnan Wahid berkata, keputusan tersebut akan dibawa kepada mesyuarat perwakilan bahagian.

Katanya. bahagian Puchong akan mematuhi kehendak bahagian.

Ketua Wanita Umno Serdang, Maimunah Abdul Karim berkata, AJK bahagian akan bermesyuarat dan menentukan pelan peralihan kuasa tersebut bulan depan.

"Selepas itu ia akan dibentang dalam mesyuarat perwakilan untuk pengesahan," katanya.

Umno Sungai Besar akan mengadakan mesyuarat AJK untuk memutuskan pelan peralihan kuasa tersebut seminggu sebelum mesyuarat perwakilan 19 Oktober depan.

Setiausahanya, Salaman Perse Ahmad pendirian awal ialah Umno Sungai Besar menyokong pelan peralihan kuasa tersebut.

"Oleh kerana ini kawasan luar bandar, perwakilan tidak membantah keputusan bahagian kerana orang kurang bercakap mengenai politik," katanya.

Kepentingan politik

Sementara beberapa bahagian membuat keputusan untuk menyerahkan perkara tersebut kepada mesyuarat perwakilan bahagian.

Timbalan ketua Umno bahagian Sabak Bernam, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, keputusan itu kerana mereka lebih tahu siapa yang layak menjadi pemimpin.

"Kita perlu mendengar suara rakyat supaya sebarang keputusan dapat disepakati.

"Rakyat mahu pemimpin yang boleh membela mereka tetapi ada pemimpin yang tidak memenuhi janji dan leka dengan kepentingan politik," katanya

AJK Umno bahagian Pandan, Mustaffa Ibrahim pula berkata, bahagian itu menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan perkara itu.

Katanya, jika mereka mahu peralihan kuasa dipercepatkan, bahagian Pandan akan mematuhi kehendak mereka.

"Tetapi di Pandan orang senyap sahaja, mungkin orang memprotes secara senyap. Mereka mungkin nak tengok orang atas buat keputusan dahulu," katanya.

Serah pada perwakilan

Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Mohd Ali Mohd Saad berkata, mesyuarat bahagian berkenaan telah memutuskan supaya perkara itu diserahkan kepada perwakilan.

Bagaimanapun, katanya, daripada percakapan ramai, bahagian ini akan mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk jawatan presiden Umno, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno.

Tetapi, katanya ada juga yang mahu mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden Umno tetapi tidak dapat memastikan pencalonan untuk Abdullah.

Bahagian Kapar dan Hulu Selangor juga mahu menyerahkan kepada mesyuarat perwakilan sama ada menerima pelan peralihan kuasa tersebut atau tidak.

Perkara ini disahkan oleh AJK Kapar, Faisal Yahya dan ketua Pemuda Hulu Selangor, Mohd Isa Kassim.

Manakala bahagian Sepang dan Selayang mengambil keputusan menyokong penuh pelan peralihan yang telah ditetapkan itu.

Bagaimanapun, bahagian Shah Alam -membuat keputusan bahawa bahagian itu akan mencalonkan Najib dan Muhyiddin untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

"Ia dibuat setelah mengambil kira kemahuan kira-kira 95 peratus dari 84 cawangan dalam mesyuarat cawangan masing-masing," kata bendahari bahagian Shah Alam, Datuk Abdul Manan Said.

Ahad, 21 September 2008

SAPP - Raymond Tan keberatan lepas jawatan kabinet

Selepas memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) kini berdepan dengan masalah Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan yang dikatakan keberatan untuk melepaskan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur Sabah.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin SAPP - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Aw Kam Wah serta Jimmy Wong, setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Datuk Musa Aman - juga telah diminta melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan ekoran keputusan parti itu keluar dari BN.

Hanya Adun Luyang, Melanie Chia, yang telah menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri muda.

Seorang lagi pemimpin SAPP, Frankie Chong, yang juga timbalan Speaker, tidak diperlukan melepaskan jawatannya kerana beliau dilantik oleh yang dipertua negeri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan SAPP yang baru, Chong Pit Fah menggesa Tan menyatakan kebenaran di sebalik keputusannya untuk kekal dalam BN, dan bukannya mendakwa beliau ditolak oleh Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee.

Chong juga menyifatkan Tan sebagai 'tidak mengenang budi' dan turut menyifatkan kenyataannya sebagai 'nakal' dan 'berniat jahat'.

"Raymond Tan adalah seorang menteri kanan dan seorang timbalan ketua menteri. Mengapa harus SAPP menolaknya?

"Beliau tidak sepatutnya memberi alasan untuk terus kekal dalam Barisan Nasional," kata Chong.

Nafi dakwaan Tan

Katanya, beliau percaya rakyat Sabah yang dapat berfikir dengan betul, dapat melihat rasional sebenar mengapa Tan mahu kekal dalam BN.

Selama ini, kata Chong, presiden parti itulah yang berkeras supaya Tan memegang kedua-dua jawatan timbalan presiden parti dan timbalan ketua menteri.

Oleh itu, Chong menolak dakwaan Tan bahawa beliau telah dipulaukan oleh parti, sambil menambah Tan sepatutnya telah dibuang daripada menjadi ketua bahagian Sandakan.

Beliau mendakwa, sejak memegang jawatan tersebut, Tan tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat di bahagian tersebut.

Chong juga membidas Tan kerana mengadu kepada pihak media bahawa dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu baru-baru ini, beliau mendapati kerusinya telah dialih, hanya kerana beliau lewat l5 minit.

"Jika beliau berang dengan perkara kecil seperti itu, maka beliau tidak seharusnya berkata bahawa tidak ada sebab untuk SAPP meninggalkan BN hanya kerana parti itu tidak dijemput menghadiri mesyuarat BN untuk enam kali berturut-turut.

"Beliau sepatutnya faham bagaimana perasaan parti berhubung perkara itu," katanya.

Menurut Chong, memandangkan begitu ramai yang hadir pada hari tersebut, maka kerusi-kerusi mereka yang lewat datang atau tidak datang, telah diisi oleh mereka yang datang lebih awal.

Tambahnya, sebaik sahaja Tan tiba - lebih setengah jam lewat - beliau terus diberi kerusi.

Rombakan kecil

Beliau bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan, Wong dan bekas ketua Pemuda, chief Au Kam Wah.

Chong juga berkata, parti itu membuat rombakan kecil dalam jawatankuasa ekskutifnya sewaktu mesyuarat majlis tertinggi baru-baru ini.

Beliau telah dilantik sebagai ketua penerangaan menggantikan Kassim Sulaiman yang dilantik sebagai setiausaha organisasi. Kassim menggantikan Edward Dagul yang kini dilantik sebagai ketua Pemuda menggantikan Au, yang meletak jawatan dari parti semalam.

Dr M tingkat serangan ketika MT tolak PM

Abdul Aziz Mustafa

Ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) Khamis lalu dilaporkan hampir sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, orang yang mengangkatnya ke jawatan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meningkatkan lagi serangan dan kecamannya ke atas penggantinya itu.

Menurut bekas Perdana Menteri, amalan korup para pemimpin Umno terutama pemimpin tertinginya menjadi faktor yang menyebabkan rakyat begitu marah dan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Sebenarnya, penglibatan pemimpin hari ini dengan rasuah, sokongannya kepada perniagaan anaknya, kuasa yang diberikannya kepada menantunya, perangai suka tidurnya yang diketahui umum, sifat ragu-ragu untuk membuat keputusan, ketidakmampuan menangani masalah, penarikan balik subsidi secara tiba-tiba, pembatalan jambatan ke Singapura, pembaziran wang sebanyak RM800 juta untuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang tidak digunakan di Johor Bahru, pembatalan landasan keretapi berkembar elektrik, Monsoon Cup dan banyak lagi adalah punca yang menyebabkan para pengundi menolak BN," kata beliau dalam ruangan corat-coret dalam blognya, chedet.com

Dr Mahathir berpendapat, orang-orang kampung dan rakyat kebanyakan yang berbangsa Cina secara umumnya tidaklah begitu prihatin dengan hak-hak asasi manusia atau kerajaan yang lebih liberal.

"Malah, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pun tidak dihiraukan seperti yang ditunjukkan dalam sokongan kuat kepada kerajaan sebelum ini," dakwa beliau.

Apa yang diperbualkan oleh orang-orang kampung dan rakyat kebanyakan berbangsa Cina dan India, katanya, adalah kenaikan kos hidup, peluang perniagaan yang begitu sedikit dan sudah tentu, perangai keluarga Perdana Menteri.

Mengenai tanggapan dan analisis sesetengah pihak bahawa rakyat menolak politik berasaskan kaum dalam pilihan raya lalu, bekas Perdana Menteri mempersoalkan, "mengapakah para pengundi mengundi PAS, parti Melayu 100 peratus dan DAP, parti yang dikuasai kaum Cina".

"Saya tahu ramai yang mengkagumi Barat cenderung untuk menyokong nilai-nilai mereka. Mereka cenderung untuk mentafsirkan kekalahan teruk BN berdasarkan pemikiran Barat.

"Tetapi kita orang Asia dan di Malaysia, perbezaan asas antara kaum adalah ekstrem. Apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan konfrontasi antara kaum ialah dengan membenarkan mereka menubuhkan parti berasaskan kaum dan berkerjasama antara satu sama lain," kata Dr Mahathir.

Itulah polisi BN, kata bekas Perdana Menteri sambil mendakwa ia berkesan dalam hampir setengah abad yang lalu._

Khamis, 18 September 2008

Najib terpaksa menerimanya

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri.

Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan mengenali not-not wang negara asing.

Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.

Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba itu dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan menteri paling berprestej dan glamour.

Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.

Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.

Peralihan itu juga semacam menampakkan Abdullah mengakui akan kelemahan beliau dalam menjana ekonomi negara.

Peralihan itu mengesahkan apa yang dilemparkan kepadanya, jahil mengenai ekonomi dan buta untuk mencari wang kepada negara.

Beliau seakan mengakui akan kelemahan itu dan bersedia memberikan kepada mereka yang lebih layak dan bernafsu untuk merangkulnya.

Dalam hal ini saya ada pandangan lain mengenai diri dan politik Perdana Menteri ini.

Pada saya apa yang beliau lakukan itu bukan proses memberi pengalaman atau kenaikan pangkat kepada Najib, tetapi ia satu perangkap kepada timbalannya itu.

Pertukaran hari ini bukan suka sama suka seperti dipamerkan tetapi Najib terpaksa menerimanya. Harapnya Najib tidak silap dalam mentafsirkan ini.

Apa yang mungkin terselimut di sebalik hati Abdullah ialah beliau mahu rakyat mengetahui sejauh manakah kemampuan Najib menjana ekonomi negara.

Kantung kewangan negara kini kering kontang. Perkembangan dan pergerakan ekonomi lembab. Apakah dengan suasana ini Najib dapat mengubah dan menambah kantung kewangan negara?

Pada Abdullah mungkin Najib tidak akan dapat melakukan sesuatu untuk merancakkan ekonomi negara. Dengan ilmu yang sedikit sudah pasti Najib tidak dapat melakukan apa-apa yang lebih baik daripadanya.

Najib pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan satu masa dulu. Pengalaman itu sangat cetek untuk Najib terjun ke lautan ekonomi yang bergelora.

Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak.

Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.

Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak?

Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi yang tidak kurang pentingnya.

Sepatah kata Abdullah dalam memancing dan mencabar Najib, sekiranya prestasi Najib bagus mungkin beliau akan berundur awal.

Mungkin pancing itu dimakan dan ditelan Najib dengan penuh keazaman dan lahap.

Tetapi dalam suasana hari ini - dengan kemelesetan ekonomi global apa yang Najib mampu lalukan?

Di sebalik pertukaran yang berlaku hari ini saya juga nampak Abdullah mahu apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim dulu berulang kepada Najib. Anwar semasa menjadi TPM juga menjadi Menteri Kewangan.

Kementerian berkenaan menjadikan Anwar lupa daratan dan membina kekuatan politiknya. Amalan kronisme dan nepotisme wujud ketika itu.

Akhir apa yang berlaku ke atas Anwar dengan kedudukkan itu; beliau menjadi seperti bawang yang ditimpa oleh jambaknya.

Jadi pertukaran yang dianggap ikhlas oleh Najib mengenai portfolio itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan Najib. Para langau Najib tidak perlu memikirkan yang bukan-bukan dengan kedudukan dan kuasa terbaru Najib itu.

Sebab kalau tidak kena gaya kuasa baru yang dijabati hari ini akan membawa Najib ke lembah yang curam dan dalam!

Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu.

Penggunaan Military Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah.

Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja tanpa berkosngsi dengan orang kedua.

Rabu, 17 September 2008

SAPP keluar BN

Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional.

Majlis Tertinggi SAPP yang bermesyuarat hari ini, bagaimanapun memutuskan bahawa ia tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan yang kecewa dengan keputusan itu, telah meninggalkan mesyuarat tersebut.

Katanya, beliau akan meletak jawatan timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur negeri.

SAPP mempunyai dua ahli parlimen dan empat anggota dewan undangan negeri.

Dua ahli parlimen SAPP ialah Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dr Chua Soon Bui (Tawau). Manakala Adun pula terdiri daripada Tan (Tanjong Papat), timbalan menteri kewangan negeri, Melanie Chia (Luyang), Au Kam Wah (Elopura) dan Liew Teck Chan (Likas).

Menurut Tan, beliau belum lagi memutuskan sama ada akan keluar dari parti itu, tetapi berkata, Au yang juga ketua Pemuda - yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini - telahpun meletakkan jawatan.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang akhbar pada jam 4.30 petang selepas mesyuarat MT tersebut.

"BN telah hilang kuasa moralnya untuk memerintah. Jumlah majoriti di Parlimen tidak bermakna jika rakyat tidak lagi menghormati anda," katanya.

"Ahli-ahli SAPP yang memegang pelantikan politik dalam kerajaan mesti melepaskan jawatan mereka dengan memberi notis sewajarnya mengikut perlembagaan dan peraturan serta aturan yang berkaitan, bermula di peringkat kabinet," katanya.

Ahad, 14 September 2008

Abdullah diserang MNM

Oleh Mohd Sayuti Omar

PRESIDEN Umno, Abdullah Ahmad Badawi tidak payah berfikir panjang dan mencari banyak 'solution' terhadap masalah yang menyendak dalam kepalanya kini.

Beliau juga mungkin tidak boleh terus bermain politik menyerahkan nasib kepada takdir lagi. Masa untuknya amat terhad dan terdesak.

Abdullah tidak mempunyai banyak pilihan lagi. Di hadapannya hanya ada dua persimpangan saja.

Ke kanan bermakna beliau meneruskan perjuangan menjadi PM sekurang-kurang untuk dua tahun lagi, 2010 seperti telah diputusnya.

Manakala ke kiri pula bermakna beliau kena berhenti seberapa segera! Masanya untuk mengulung tikar perkhidmatannya tidak sampai tiga bulan saja lagi.

Kalau beliau menyerahkan kepada takdir pasti Disember ini adalah bulan bakal meragut nyawa politiknya.

Seperti mana diduga bahawa semua sumpah dan janji dalam politik tidak boleh dipakai. Kalau sumpah (muhabalah) mengikut Islam pun boleh diragui apa lagi janji dalam politik, makin tidak boleh dipegang.

Dua kali timbalannya Mohd Najib Razak berjanji akan bersetia kepadanya. Sebaik dilantik menjadi TPM Najib melapazkan janji tidak akan menikam Abdullah dari belakang.

Dan ketika termeterainya pelan peralihan kuasa beberapa bulan lepas sekali lagi Najib berikrar akan bersetia dan bekerjasama bersama Abdullah.

Awal-awal lagi saya sudah tidak yakin dengan sumpah dan janji itu. Ini kerana saya ada tafsiran dan filsofi sendiri mengenai sumpah dan janji orang politik.

Bagi saya sumpah dan janji orang politik tidak boleh dipercayai, tetapi kita jangan merasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Janji atau ikrar dalam politik hanya umpan untuk menjinakkan seseorang agar masuk dalam perangkap dan jeratnya secara senyap. Tidak pernah ada janji dan sumpah orang politik yang ikhlas dan benar.

Tidak ada! Sebaliknya tindakan orang politik jangan sesekali dirasakan mustahil sebab kalau perlu membunuh mereka akan melakukannya!

Misalnya banyak kita dengar orang politik berjanji untuk berhenti bila sampai masa dan ketikanya janji itu dimungkari begitu saja.

Tidak kira sang politik itu pakai songkok atau kopiah dan serban nilainya sama saja.

Begitu juga dengan ikrar dan janji Najib itu tidak patut terkamus dalam kepada Abdullah.

Justeru Abdullah perlu merasa curigai pada janji timbalannya itu. Tanda-tandanya kini sudah kelihatan.

Apa nada Najib hari ini. Tiba-tiba beliau mengatakan soal peralihan kuasa bergantung kepada Bahagian Umno.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh Muhyiddin Yaasin yang mempertikaikan tempoh peralihan kuasa itu sebagai terlalu lama dan perlu dipendek adalah isyarat jelas kepada Abdullah.

Desakan Muhyiddin itu satu pandangan ikhlas dan jujur untuk diterima Abdullah yang mempunyai motif tertentu.

Abdullah patut berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memberi isyarat awal. Abdullah kena baca apa yang ada di sebalik sunggutan Muhyiddin itu.

Muhyiddin tidak bercakap seorang dalam hal ini melainkan ada beberapa suara atau kepala lagi di sebaliknya.

Dalam tilikkan saya keberanian Muhyiddin itu mempunyai dua makna untuk difahami kemudian ditindak segera oleh Abdullah.

Pertama, Abdullah kena berundur segera kalau beliau tidak mahu menanggung malu besar. Masa untuk Abdullah berundur ialah sebelum berlangsungnya pemilihan pimpinan Umno.

Kedua, pandangan Muhyiddin itu memberi syarat bahawa Najib sudah bersiap sedia akan menentang Abdullah untuk kerusi Presiden pada Disember depan.

Abdullah kena bijak membaca bahasa badan apabila Muhyiddin berani dan tergamak mempertikaikan mengenai kredibilitinya itu bermakna Muhyiddin sudah nekad.

Beliau tentu ada insuran nyawa dari mana-mana pihak! Di sini dirasakan ada persekongkolan antara Muhyiddin dengan Najib? Bahawa pakatan antara Muhyiddin - Najib sedang berjalan.

Bukankah mereka sudah berikrar untuk bergerak bersama bagi menghadapi Abdullah?

Muhyiddin bukan pandai-pandai untuk pergi melutut kepada Mahathir memohon bekas Presiden itu menyertai semula Umno melainkan kalau tidak dengan restu Najib.

Muhyiddin adalah utusan Najib untuk berbincang dan mengajak Mahathir menjadi penasihat mereka. Mahathir pula harus bersetuju tanpa banyak soal kerana itulah kehendaknya.

Sudah lama Mahathir menyuruh Najib melawan Abdullah.

Pakatan baru Muhyiddin - Najib - Mahathir (MNM) kini bermula untuk merempuh Abdullah. Dalam masa sama juga pakatan berkenaan memberi gambaran kepada umum seolah-olah bakal calon Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah seakan ikut bersama mereka.

Juteru bertolak dari itu Abdullah tidak boleh duduk diam. Beliau kena lakukan sesuatu untuk mengekang kemaraan pakatan baru itu.

Beliau harus mencipta pelan khas untuk menyelamatkan kedudukan sebagai PM sekurang-kurang hingga Disember depan. Nasib yang diterima bekas PM Thailand, Samak Sundaravej jangan hendaknya melanda Abdullah.

Pelan penyelamat

Apakah pelan penyelamat itu? Cadangan ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim agar singkir Muhyididn boleh dipertimbangkan.

Namun dalam keadaan sekarang ia rasanya kurang wajar kalau tindakan itu diambil kerana boleh menimbulkan kekeruhan. Abdullah kena cari pelan lain.

Kalau Muhyiddin - Najib - Mahathir bergabung tenaga, kenapa Abdullah tidak melakukan hal yang sama. Dalam politik tidak boleh berjuang secara bersendirian.

Abdullah kena juga membina dan membentuk teamnya sendiri. Beliau kena mencari regunya bagi melawan regu MNM itu.

Dalam hal ini apa yang boleh dilalukan kepada Abdullah ialah kembali kepada team awalnya, iaitu team B. Tokoh-tokoh team B masih ada dalam Umno dan mereka juga mempunyai kalibar tidak kurang hebatnya.

Kebetulan semua mereka kini bersama beliau. Beliau harus manfaatkan rakan-rakan lama ini dan tidak begitu menyerahkan kayu politiknya kepada menantunya, Khairy Jamaluddin.

Tengku Razaleih Hamzah, Syed Hamid Albar, Rais Yatim adalah orang yang pernah bergabung dalam team B dulu. Mereka ini rasanya mudah untuk didekati dan lebih boleh dipercayai oleh Abdullah.

Apakah sukar untuk Abdullah menerima Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penggantinya? Walaupun Rais atau Syed Hamid lebih sesuai namun dari segi karisma Tengku Razaleigh rasanya lebih hebat dan sesuai berbanding mereka berdua. Syed Hamid atau Rais boleh berada di belakang Tengku Razaleigh.

Pakatan ini boleh menyelamatkan Abdullah sekurang-kurang untuk tempoh sehingga selepas raya hari Aidiadha nanti.

Sudah pasti kalau gabungan ini dapat diwujudkan ia molek dan padan untuk berhadapan dengan gabungan baru MNM itu yang mungkin akan turut sama didokong oleh Mukhriz Mahathir.

Rasanya bagi Tengku Razaleigh Hamzah, Syed Hamid dan Rais Yatim tidak ada masalah untuk mendokong Abdullah.

Sekiranya Tengku Razaleigh bersedia, cadangan Zaid tadi boleh diambil kira iaitu singkir Muhyiddin dan gantikan dengan Tengku Razaliegh, lagipun Razaleih pernah memegang jawatan itu, Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri.

Selain dari pelan itu, Abdullah juga boleh mencipta satu lagi pelan penyelamatnya. Beliau boleh berikan laluan kepada Anwar Ibrahim untuk melindunginya daripada dimusnahi oleh MNM.

Lepaskan segala tuduhan ke atas Anwar dan biar Anwar menghadapi Najib secara terbuka.

Atau kalau Abdullah sudah rasa bosan beliau boleh saja memberikan jawatan PM itu kepada Anwar dengan menyerahkan saki baki tenteranya (ahli PArlimen) kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru yang dicita-citakan itu.

Pelan kedua ini agak keterlaluan dan mustahil. Bagaimana pun pelan kedua itu boleh digunakan sekiranya Abdullah ingin membalas dendam dan melepaskan hawanya kepada MNM.

Daripada diserahkan harta pusaka kepada orang yang mengkhianati kita baik diserahkan kepada kawan dan sahabat handai yang telah kita ketahui hati budinya setidak-tidak mereka boleh juga membantu dikala kita memerluklan pertolongan.

Bahagian akan putuskan pelan peralihan kuasa

Persidangan perwakilan Umno bahagian Oktober diminta membuat pendirian sama ada hendak mengiktiraf atau tidak pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui kabinet dan Majlis Tertinggi (MT) parti.

"(Umno) Bahagian boleh bermesyuarat berpandu kepada keputusan yang dibuat, itu terpulang kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing," kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib di Pekan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara.

"Apa yang diputuskan di peringkat MT (sebelum ini) adalah keputusan di peringkat tertinggi dan apa yang disebut Datuk Seri Najib (semalam) itu perkara ini (peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu) hendaklah mendapat "endorsement" di peringkat akar umbi, bulan Oktober ini," kata Muhammad, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, demikian menurut laporan Bernama.

Ditanya sekiranya terdapat bahagian Umno yang tidak bersetuju peralihan kuasa seperti yang diputuskan peringkat tertinggi itu, Muhammad berkata:

"Kita juga ingin dapatkan pandangan peringkat akar umbi tentang peralihan kuasa, peralihan kuasa telah diterima oleh kabinet dan Barisan Nasional, sekarang ialah (kita) berdepan dengan peringkat akar umbi, setiap orang ada pandangan masing-masing, tapi apa yang diputuskan nanti, kita kena terimalah," katanya.

Sementara itu di Temerloh, Naib Ketua Umno Bahagian Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah berkata ahli akar umbi mempunyai tiga permintaan utama iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu ditangani dengan cara yang berorientasikan mereka.

Saifuddin, yang juga Timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menjelaskan demokrasi yang matang ialah apabila anggota parti berperanan aktif dalam membuat keputusan.

"Dalam konteks ini kenyataan Datuk Seri Najib supaya Umno bahagian menilai keputusan peralihan kuasa yang telah dibuat Majlis Tertinggi adalah tepat dan perlu disokong," katany

Sabtu, 13 September 2008

Zaid: Muhyiddin letak jawatan atau disingkir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zaid Ibrahim berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah meletak jawatan atau disingkirkan jika tidak berpuas hati dengan tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditetapkan pada 2010.

"Mudah sahaja, jika Muhyiddin tidak puas hati dengan perdana menteri, beliau boleh letak jawatan kabinet, ini bermakna beliau tidak yakin dengan Pak Lah (Abdullah)...tidak, saya tidak cadang untuk beliau berbuat demikian.

"Saya kata jika beliau tidak gembira dengan Pak Lah, jika beliau tidak yakin dengan Pak Lah, dua perkara akan berlaku sama ada letak jawatan atau Pak Lah hendaklah singkir beliau, itu yang sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran lukisan Wang Lan, Wang Xu dan Shen Jiawei di Galeri Petronas hari ini.

Rabu lalu, Muhyiddin, yang juga naib presiden Umno itu berkata pelan peralihan yang dipersetujui Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jun lepas, hendaklah dipercepatkan memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara dan tempoh itu terlalu lama, demikian menurut laporan Bernama.

Di bawah rancangan itu, Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana pelan peralihan itu difahami dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Umno dan kabinet.

Hari ini, Najib berkata pelaksanaan pelan itu adalah di tangan ahli Umno, tulang belakang parti BN, yang akan mengadakan mesyuarat bahagian dan pemilihan parti tahun ini.

Zaid berkata respon itu bukan ditujukan khas kepada Muhyiddin tetapi sebagai satu pemerhatian am.

"Ia ditujukan bukan hanya kepada Muhyiddin tetapi kepada saya juga. Jika saya tidak gembira saya sepatutnya letak jawatan atau Pak Lah tidak gembira dengan saya, beliau hendaklah menyingkirkan saya," tambahnya.

ISA menganas: Teresa Kok turut ditahan

Pemimpin DAP, Teresa Kok turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.

Beliau merupakan orang ketiga ditahan hari ini di bawah ISA, selepas editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Difahamkan, ahli Parlimen Seputeh itu ditahan pada kira-kira jam 11.18 malam ini.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Teresa yang setiausaha organisasi kebangsaan DAP, ditahan selepas kenderaan yang dinaikinya dihalang oleh tiga kereta peronda polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan Teresa mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengesahkan penahanan Teresa.

Menurutnya, parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan perkara tersebut.

Jumaat, 12 September 2008

Peralihan kuasa: Najib serah pada ahli Umno

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dilakukan.

Beliau berkata pelan peralihan kuasa itu diputuskan pada Julai lalu oleh Perdana Menteri dan beliau sendiri serta disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Najib berkata dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua Umno bahagian, beliau telahpun menyatakan bahawa pelan itu mesti mendapat sokongan bahagian-bahagian Umno, khususnya dalam persidangan perwakilan tahun ini, demikian menurut laporan Bernama.

"Oleh itu, kerana Umno yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti, iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di ibunegara hari ini.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Rabu lalu, Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kedua-dua pemimpin itu supaya menimbangkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama.

Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana tarikh peralihan kuasa itu difahami dan dipersetujui oleh MT Umno serta Kabinet.

Bentuk kerajaan baru

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan BN semasa tidak terlalu bimbang dengan hasrat empat ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk ke Taiwan bagi menyertai sekumpulan 49 ahli Parlimen BN yang sedang melakukan lawatan sambil belajar dalam bidang pertanian di sana.

Kumpulan berempat itu, terdiri daripada Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Pengarah Strategik Saifuddin Nasution, Ketua Biro Pilihanraya PKR Fuziah Salleh, Ketua Publisiti Wanita PKR, Elizabeth Wong dan ahli Majlis Tertinggi Low Chee Cheong, dijadual berlepas ke Taiwan pada 2 petang ini.

Ia dilihat sebagai langkah oleh parti pembangkang untuk memujuk ahli Parlimen BN dalam usaha membentuk kerajaan baru menjelang 16 September ini, seperti yang diisytiharkan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia (Anwar) punya mainan politik ini macam-macam sekarang ini. Janganlah terbawa-bawa. Dia boleh pergi mana-mana, Antartika pun tak apa. Saya tak fikir ahli-ahli BN nak lompat parti," katanya.

Ditanya jika BN akan berusaha untuk menghalang ahli Parlimen PKR daripada berjumpa ahli Parlimen BN di Taiwan, beliau berkata: "Dia tahu apa nak buat. Tak payah kita nak halang. Mereka (ahli Parlimen BN) tidak ada keinginan nak lompat parti," katanya.

Pandangan Ku Li

Sementara itu, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak mahu mempersoalkan kenyataan Muhyiddin, yang menganggap peralihan kuasa antara Abdullah kepada penggantinya, Najib pada 2010 terlalu lama.

Sebaliknya, beliau lebih terkejut dengan cadangan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin tertinggi Umno yang pada pendapatnya tidak ada dalam perlembagaan parti.

Tengku Razaleigh tetap dengan pendiriannya bahawa perlembagaan Umno tidak ada peruntukan untuk mengadakan peralihan kuasa.

"Ahli-ahli yang patut memilih pemimpin. Pemimpin tak boleh menentukan berapa lama nak duduk (memimpin), bila nak turun kecuali apabila dia nak berhenti,"
katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 150 anak-anak yatim dari asrama Pertubuhan Anak-anak Yatim Islam Muar di Masjid Jamek bandar Maharani malam semalam.

Mengenai tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keanggotaan bekas Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun, Tengku Razaleigh turut tidak mahu mempersoal kewajaran tindakan itu.

"Kalau MT kata wajar, kita kena ikut kata wajar," katanya.

Ditanya sama ada tindakan MT Umno itu akan menyebabkan tiada lagi laungan 'Hidup Melayu' dalam mana-mana perjumpaan Umno, Tengku Razaleigh berkata: "Siapa kata tak boleh? Kalau kita orang Melayu tak berjuang untuk orang Melayu, kita nak berjuang untuk siapa? Memang kita berjuang untuk Malaysia tetapi kita mesti jaga orang Melayu. Umno adalah parti orang Melayu."

Muhyiddin barulah anak jantan...

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan beliau sedia berdepan dengan apa jua risiko ekoran kenyataannya mempersoalkan proses pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010 yang dianggapnya terlalu lama.

Katanya, pandangan beliau agar pelan peralihan kuasa itu disegerakan adalah satu pandangan ikhlas berdasarkan kepada maklumat balas daripada banyak pihak yang telah menyatakan kebimbangan mereka tentang tempoh peralihan yang agak panjang itu.

Muhyiddin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata pandangan itu juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan perdana menteri, sebaliknya beliau merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang disuarakan oleh banyak pihak, demikian menurut laporan Bernama.

"Sebab itu saya tidak takut untuk menyuarakan walaupun orang kata saya mungkin menanggung risiko. Itu risiko tidak apa, yang penting saya kata apa yang harus kita lakukan.

"Saya telah berjumpa dengan banyak pihak, banyak badan setiap hari berhubung dengan saya, bertanya apa yang harus dibuat. Orang bertanya dengan saya apa akan jadi kepada negara kita. Mereka berasa bimbang, rasa takut," katanya kepada pemberita di persidangan perniagaan China Guandong-Malaysia di ibunegara hari ini.

Semalam Abdullah melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia dibuat oleh seorang anggota kabinet beliau sedangkan pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin Umno dan pemimpin dalam kerajaan, adakalanya mereka perlu berterus-terang walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan.

Satu tanggungjawab

"Saya tidak kata saya tidak hormat keputusan Majlis Tertinggi. Saya juga tahu ada ramai pihak yang agak bimbang dan saya agak takut kalau hal sebegitu tidak saya suarakan kerana saya tidak melihat seorang manusia pun di Malaysia yang sanggup untuk menyuarakan sesuatu yang ramai merasakan sebegitu.

"Ini satu perkara yang bagi saya, adalah tidak baik. Apakah itu satu kesalahan? Saya serah kepada merekalah," katanya.

Muhyiddin berkata banyak usaha telah kerajaan lakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat tetapi usaha itu kelihatan seolah-olah tidak diterima malahan situasi tidak bertambah baik.

"Ini satu kenyataan yang saya sebutkan, bukan satu pembohongan. Saya nyatakan apa yang betul. Itu terserah kepada pemimpin untuk terima atau tidak. Saya sudah jalankan tanggungjawab," katanya.

Muhyiddin berkata tindakannya membuat kenyataan itu ialah kerana beliau bukan seorang hipokrit.

"Sepanjang kerjaya politik saya, saya tidak pernah menjadi hipokrit. Saya cakap apa yang benar, dan yang benar itu kadangkala pedih. Tetapi hakikat itu tetap hakikat," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada perdana menteri dan MT untuk menimbang sama ada kenyataan itu tersasar ataupun tidak," katanya.

Yang penting, menurut beliau, ialah tanggapan rakyat mengenai perkara (peralihan kuasa) itu, sama ada mereka selesa ataupun tidak.

Perlu beri perhatian

"Saya rasa ramai yang tidak selesa, dan saya hanya menyuarakan apa yang dirasai oleh kebanyakan rakyat, kebanyakan ahli parti dan kebanyakan anggota Barisan Nasional.

"Saya bukannya bercakap sesuatu yang bodoh atau pembohongan, ini adalah hakikat. Kita kena terima hakikat, dan jika kita tidak mahu terimanya, terpulang kepada masing-masing," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menemui Perdana Menteri, Muhyiddin berkata: "Saya bila-bila masa tidak menjadi masalah. Dan saya dengar beliau mungkin nak jumpa saya. Perhubungan saya tidak menjadi masalah dengan beliau."

Mengenai tarikh yang sesuai untuk peralihan kuasa itu berlaku sekiranya dicepatkan, beliau berkata ia terserah kepada budi bicara presiden parti sendiri.

Sambil merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membayangkan bahawa tarikh peralihan kuasa bukanlah keputusan yang harus dibuat oleh MT sahaja, Muhyiddin berkata ia penting bagi semua pihak iaitu pemimpin, MT, ahli dan juga rakyat.

"Kalau rakyat tidak bersedia menerima pelan itu, mereka melihat tidak ada apa-apa makna, jadi itu satu yang amat saya fikirkan, kita perlu berikan perhatian," katanya.

Semasa ditanya sama ada perakuan Najib positif atau tidak, Muhyiddin berkata: "Itu satu pandangan beliau yang saya fikir harus juga diambil kira kerana sebenarnya, pemimpin tidak dipilih oleh pemimpin. Pemimpin ditentukan oleh ahli dan di peringkat negara, kita dipilih oleh rakyat.

"Pelan (peralihan kuasa) yang kita buat ini bukan hanya untuk kepentingan parti tapi penerimaan oleh rakyat. Saya bimbang kalau pelan itu kita terima tapi rakyat tidak terima dan menolak kita dan kita kalah, jadi ini satu beban besar. Bahaya bagi parti," katanya.

Raja Petra ditahan di bawah ISA

KUALA LUMPUR: Pengedali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tengah hari tadi.

Perkara tersebut disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah ditahan di bawah Seksyen 731 Akta ISA, yang membolehkan seseorang itu dikenakan tahanan maksimum 60 hari.

"Dia ditahan oleh 10 sepuluh orang anggota polis dihadapan rumah kami (di Sungai Buloh) pada jam 1:10 petang tadi," katanya kepada The Star hari ini.

Marina, berkata 10 anggota polis datang dan menahan suaminya dan membawanya keluar 40 minit kemudian.

"Tapi saya tidak tahu ke mana mereka membawa dia," katanya.

Tambahnya, polis turut merampas polis turut merampas beberapa pita dan sebuah komputer dari bilik suaminya.

Sebelum ini, Raja Petra pernah ditahan menikut ISA pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kemunting, Taiping.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Hamid Albar yang dihubungi mStar Online berkata tindakan tersebut diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).

"Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.

Semalam, kerajaan menarik balik sekatan terhadap mana-mana laman web termasuk "Malaysia Today" berkuatkuasa serta-merta, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

Shaziman berkata langkah itu diputuskan oleh Kabinet semalam bertujuan untuk terus menggalakkan rakyat negara ini menggunakan kemudahan internet atau lawan web sebagai saluran penyebaran maklumat.

Raja Petra, 58, mengundang kemarahan umat Islam berikutan ulasan artikelnya bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" yang menggunakan ayatayat yang menghina orang Islam selain membenarkan ulasan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) untuk artikel 'Not all Arabs are descendants of the Prophets' yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today.

Laporan polis telah dibuat oleh beberapa pertubuhan Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembagan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini mengenai penahanan Raja Petra itu.

Selasa, 9 September 2008

Mahkamah batal kemenangan Kurup

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Seri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, batal dan tidak sah.

pensiangan joseph kurup by election court sabahJoseph Kurup adalah timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim David Wong Dak Wah yang membuka kemungkinan pilihanraya kecil diadakan di kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Kurup tanpa bertanding.

Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.

pensiangan parliament seat bm versionBeliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).

Pada hari penamaan calon, Andipai dan seorang lagi calon, Saimeh Usau, terlepas masa menyerahkan borang dan mahu menyerahkannya selepas masa itu tamat.

Kedua-duanya mendakwa bahawa perjalanan mereka ke pusat penamaan calon telah dihalang.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbuat demikian - borang pencalonan Andipai diterima pada jam 10.25 pagi dan borang pencalonan Saimeh lima minit kemudian.

Bagaimanapun, sewaktu tempoh bantahan, Kurup membuat bantahan dan ianya diterima oleh pegawai pengurus pilihanraya. Beliau kemudiannya membatalkan pencalonan Andipai dan Saimeh.

Kurup kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah. Beliau juga merupakan bekas timbalan ketua menteri Sabah.

Penghakiman

Sementara itu, menurut laporan Bernama, semasa menyampaikan penghakiman penting itu, Hakim David Wong Dak Wah memutuskan penolakan terhadap kertas pencalonan pempetisyen dari PKR, Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihanraya itu.

Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata keputusan Timbalan Pengarah SPR Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh pegawai pilihanraya, Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.

Timbalan pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasanya seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu merupakan keputusan yang salah.

"Saya mendapati aspek tertentu dalam perbuatan responden kedua (Bubudan) merisaukan dan apabila dilihat secara keseluruhannya, saya hanya dapat merumuskan bahawa keputusan itu pastinya bukan satu keputusan yang akan dibuat oleh tribunal yang munasabah," katanya.

Beliau membuat pemerhatian itu semasa membenarkan petisyen Andipai untuk membatalkan keputusan pilihanraya umum bagi kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh Kurup pada hari penamaan calon pada 24 Februari.

Andipai menamakan Kurup dan Bubudan sebagai responden. Penghakiman itu sepatutnya dibuat pada 17 September tetapi dipercepatkan ke hari ini.

Menggariskan apa yang berlaku pada hari penamaan calon, Wong berkata Andipai tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Nabawan pada kira-kira jam 9.35 pagi untuk memfailkan kertas pencalonannya bagi kerusi itu.

Bayar deposit

Selepas membayar deposit sebanyak RM15,000, beliau menunggu gilirannya tetapi apabila beliau cuba menyerahkan kertas pencalonannya, Bubudan enggan menerimanya atas alasan beliau lambat menyerahkannya.

Andipai berhujah bahawa ia bukan kesalahannya tetapi Bubudan dan dan selepas gagal menyakinkan Bubudan, beliau berkata akan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, semasa perbincangan sedang berlangsung, seorang daripada penolong pegawai pilihanraya, Osman Aganduk, mendapatkan nasihat daripada SPR negeri yang memberikan arahan supaya menerima kertas pencalonan itu.

Wong berkata arahan itu yang diberikan oleh timbalan pengarah SPR Sabah, disampaikan kepada Bubudan yang kemudian menerima kertas pencalonan Andipai dengan masa diterima disahkan pada jam 10.25 pagi.

Bantahan ditutup pada 11 pagi dan pada kira-kira 1.25 tengah hari, Bubudan mengumumkan Kurup menang tanpa bertanding dan mengisytiharkan pemilihan beliau atas alasan kertas pencalonan Andipai dan seorang calon Bebas, Saineh Usau, diserahkan selepas jam 10 pagi.

Hakim itu berkata beliau mendapati sukar dipercayai yang Bubudan tidak tahu seperti didakwanya, bahawa kupon yang mempunyai nombor diberikan kepada para calon pada hari berkenaan.

"Jika apa yang dikatakannya itu benar, ini hanya mencerminkan kelemahan dirinya selaku peagwai pilihanraya yang bertanggungjawab penuh di pusat penamaan calon," katanya.

Peguam yang mewakili Andipai, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Sabah berkata beliau gembira kerana "keadilan terlaksana".

"Ia bukan cara yang bermoral dalam mengendalikan pilihanraya. Calon kami datang pada jam 9.35 pagi dan kertasnya ditolak di sebalik nasihat Suruhanjaya Pilihanraya."

Ditanya sama ada Andipai akan diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan itu sekiranya diadakan pilihanraya kecil, Ansari berkata pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Kurup tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau. Bagaimanapun peguam yang mewakilinya Alex Decena, berkata Kurup akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Chua Jui Meng tanding presiden MCA

Bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng bersedia mencabar Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, yang juga Naib Presiden MCA, dalam perebutan jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti, dijadual pada 18 Oktober depan.

chua jui meng 010605Bekas menteri kesihatan itu dijangka mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam masa dua tiga hari ini.

Pertandingan merebut jawatan presiden ini adalah kali kedua bagi Chua selepas tewas kepada Datuk Seri Ong Ka Ting dalam cubaan pertama dalam pemilihan parti 2005.

"Ya, beliau telah menetapkan fikiran mengenai jawatan yang ingin ditandinginya. Beliau akan mengumumkanya sebelum konvensyen Kedah (yang dijadualkan Jumaat ini di Alor Star)," kata seorang pembantunya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 April lalu, Chua yang tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan utama dalam pemilihan MCA tahun ini bagaimanapun mengakui sukar baginya untuk kembali aktif ke dalam dunia politik.

Ahli politik berusia 64 tahun itu berjaya mengekalkan jawatan pengerusi Bahagian Bakri dalam pemilihan bahagian pada Julai.

Chua, yang terlibat dalam dunia politik selama 40 tahun, kemungkinannya akan menawarkan diri sebagai "calon perpaduan" bagi menyatupadukan ahli parti, yang kini dikatakan terbahagi kepada dua kem -- satu yang memihak kepada Presiden sekarang, Ong, dan satu lagi kem yang menyokong bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik.

Dalam pemilihan parti 2005, Chua kalah kepada Ong dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 696 undi. Chua mendapat 819 undi manakala Ong, yang bertanding pertama kali memperoleh 1,515 undi.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kali ini, Ong tidak akan mempertahankan jawatannya atas alasan bertangunggjawab sepenuhnya dengan prestasi buruk parti itu pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sehingga kini, hanya Tee Keat mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MCA, selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA esok.

BN perlu kembali kepada perjuangan asas

Barisan Nasional (BN) di semua peringkat perlu kembali kepada perjuangan asas bagi memastikan ia terus kukuh dan terus memerintah negara, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

shafie apdalBeliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Sabah berkata tugas utama kepimpinan BN sekarang ialah berusaha mengukuhkan parti dengan mengutamakan titik persamaan dan bukan mencari titik perbezaan di kalangan mereka.

"Apa yang penting kepada kita ialah kembali kepada perjangan asas iaitu untuk perpaduan BN sebagai satu landasan untuk terus memerintah negara, seterusnya menyatupadukan masyarakat.

"Kepimpinan dari peringkat atas hingga ke akar umbi perlu mengambil initiatif supaya program dan agenda penyatuan keluarga BN menjadi satu perjuangan utama, bukannya menghebahkan perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan sesama kita," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa bersama masyarakat Semporna semalam.

Menurut laporan Bernama, Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mahukan kod etika diwujudkan dalam BN bagi menghalang anggota parti komponen daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan pihak lain.

Menurut Shafie, BN sepanjang tempoh 50 tahun telah membuktikan keupayaannya bukan sahaja membangunkan negara tetapi juga kejayaannya dalam menyatupadukan masyarakat perlbagai kaum dan agama di negara ini.

"Maknanya kita (BN) mempunyai asas dan pengalaman yang amat bermanfaat untuk membolehkan kita menstabilkan politik di negara ini," katanya.

Menurut Shafie, usaha pengukuhan semula BN bukanlah suatu perkara yang tidak boleh dicapai kerana kepemimpinan parti-parti komponen BN sama ada Gerakan, MCA, MIC dan Umno yang lalu telah membuktikannya.

Sehubungan itu Shafie berkata usaha menjayakan penyatuan BN dan masyarakat perlu diutamakan dan bukannya berbalah, berpecah dan bertelingkah disebabkan perkara yang tidak membolehkan parti itu bersatu.

"Usaha (mengukuhkan BN) perlu dipertingkatkan dari semua sudut tapi ia perlu dilakukan mengikut landasan BN. Saya yakin kalau pucuk pimpinan BN boleh perincikan semua ini, ia boleh menjadi panduan kepada semua anggota BN," katanya.

Ahad, 7 September 2008

"Bukan saya, akhbar Cina yang 'rasist', manipulasi kenyataan saya" Ahmad Ismail

PP: Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail hari ini menjelaskan bahawa beliau bukan seorang bersikap perkauman dan kekecohan yang timbul ekoran kenyataannya mengenai masyarakat Cina baru-baru ini berpunca daripada salah lapor sebuah akhbar berbahasa Cina.

Beliau mendakwa ucapannya mengenai kedudukan kaum-kaum di Malaya pada zaman pra merdeka semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh 23 Ogos lalu dimanipulasi oleh pemberita akhbar Sin Chew Jit Poh sehingga menyebabkan masyarakat dan pemimpin Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) membuat komen melulu tanpa usul periksa.

Katanya adalah tidak adil beliau dibicarakan di dalam mahkamah media dan didapati bersalah serta dihukum tanpa penjelasan diperoleh daripadanya dan pemberita berkenaanlah yang seharusnya dipersalahkan kerana menjadikan ia sebagai perkauman.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri 13 ketua dan wakil Umno bahagian di Pulau Pinang serta para penyokong parti di Menara Umno di sini, Ahmad kesal kerana ceramahnya mengenai fakta sejarah bagi membangkitkan kesedaran kepada orang Melayu dan anggota Umno mengenai perjuangan bangsa Melayu disalah lapor oleh pemberita berkenaan.

"Saya tidak akan meminta maaf di atas kesalahan yang dibuat oleh pemberita berkenaan. Saya tidak bersalah dan saya cabar sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan saya bahawa orang Cina adalah penumpang di Tanah Melayu sebelum merdeka dan sememangnya bukan Melayu adalah pendatang dan menumpang di sini ketika itu," katanya.

Ahmad berkata beliau berdiam diri selama ini kerana mahu menilai dan melihat perkembangan isu ini dan kebetulan beliau berada di Bangkok kerana membawa pasukan sepak takraw negara menyertai Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai.

"Saya membuat keputusan tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan balas seperti mana beberapa pemimpin Cina yang membuat komen melulu dan tidak berasas yang menampakkan ketidakmatangan mereka dan memanaskan isu yang tidak berasas ini," katanya.

Ahmad berkata ucapan itu dibuat sebagai penjelasan kepada masyarakat Melayu mengenai pentingnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikekalkan berikutan Pakatan Rakyat mahu menghapuskan DEB dan kononnya mahukan kesamarataan.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata ucapannya menceritakan bagaimana British menjajah Tanah Melayu dan membawa masuk orang Cina untuk bekerja di lombong bijih timah dan India di ladang-ladang getah.

"Kemudian British telah membangunkan kawasan yang didiami oleh orang Cina dan membina klinik, hospital dan juga sekolah di kawasan itu sehingga membolehkan orang Cina mendapat pelajaran lebih awal daripada orang Melayu.

Selepas 10 tahun merdeka pula, katanya jurang ekonomi antara kaum Melayu dan Cina begitu ketara sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan berlaku peristiwa 13 Mei 1969 yang meninggalkan kesan mendalam dan pahit kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Semasa menuntut kemerdekaan, orang Melayu telah rela dan sanggup memberi hak kewarganegaraan kepada orang Cina dan orang Cina juga bersetuju hak dan ketuanan Melayu tidak boleh dipertikaikan dan agama Islam menjadi agama rasmi negara. Inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui," katanya.

"Maka, saya tidak bersikap perkauman. Saya mempunyai ramai kawan Cina dan India bukan sahaja dalam politik, sukan dan perniagaan tetapi dalam kehidupan seharian. Saya tiada masalah hubungan dengan mereka.

"Saya tidak akan meminta maaf dan saya juga tidak mempunyai sebab untuk meminta maaf dengan sesiapa pun dalam isu ini. Saya tidak membuat apaapa kesalahan," katanya.

Ditanya mengenai nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau meminta maaf dalam tempoh seminggu ini, Ahmad menegaskan: "Perdana Menteri selaku pemimpin besar kita dan juga Pengerusi BN terpaksa menjaga hati parti-parti komponen. Walaupun saya menyokong Perdana Menteri dan sayangkan beliau, saya kena mempertahankan prinsip saya dan semua ketuaketua bahagian di Pulau Pinang bahawa saya tidak akan meminta maaf."