Sabtu, 31 Mei 2008

JPPS dimansuhkan, Jawantankuasa Kabinet mengenai masalah pendatang tanpa izin ditubuhkan

KOTA KINABALU 31 Mei — Penantian 17 tahun oleh para pemimpin Kerajaan Negeri bagi pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berakhir hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan berita gembira itu.

Dengan pemansuhan itu yang berkuatkuasa serta merta, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah akan menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan memantau pelaksanaan projek-projek persekutuan.

Abdullah, yang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan di sini, turut mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah pendatang asing ke Sabah.

Jawatankuasa Kabinet ini, yang akan turut dianggotai beberapa pemimpin Sabah, akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu, terutamanya pemegang dokumen IMM13, iaitu dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina untuk membolehkan mereka berada di Sabah, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk diagihkan mengikut keperluan pembangunan di Sabah dan pelantikan anak Sabah Datuk Profesor Kamaruzaman Ampong sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah berkuatkuasa 18 Jun.

- Bernama

Sepertiga exco Pemuda tidak setuju dengan pucuk pimpinan

Muda Mohd Noor | May 31, 08 6:28pm

Kira-kira sepertiga daripada pemimpin dari kalangan exco pergerakan Pemuda Umno, tidak pernah setuju dengan pucuk pimpinan utama parti itu sekarang, kata Exconya Datuk Sazmi Miah.

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata, ini menunjukkan pemimpin-pemimpin pergerakan itu bukan dayus.

Sebaliknya, kata bekas setiausaha parlimen kementerian sumber asli dan alam sekitar, "masih ramai singa dalam Pemuda Umno".

tiga exco pemuda umno sokong mukhrizBaru-baru ini tiga ahli exco Pemuda Umno - Harisson Hassan, Kamarulzaman Kamdias dan Azizul Nizam Bidin - menghadiri sidang akhbar seorang lagi exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Sazmi juga mendedahkan bahawa ada di kalangan pemimpin Umno yang menasihatkannya supaya jangan menghadiri majlis hari ini yang dinamakan 'majlis suntikan semangat satria' di Petaling Jaya hari ini.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyampaikan ucaputama di majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 500 orang, di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, katanya, beliau hadir juga kerana ingin mendengar sendiri suara-suara rakyat terhadap kepimpinan parti hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno memerlukan golongan tertentu yang boleh melakukan perubahan dari dalam.

Beliau berkata, golongan tersebut boleh membaiki Umno dalam menangani pelbagai permasalahan yang sedang berlaku sekarang.

Sistem kouta

“Apa sahaja perubahan dalam parti saya setuju,” katanya.

sazmi miahSazmi (foto) juga berkata, kemasukan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor tidak pernah dirujuk kepada Pemuda.

“Ini yang menjadi permasalahan dalam parti sekarang,” katanya sambil menambah sistem kuota dalam pemilihan jawatan parti juga perlu dihapuskan.

Sazmi berkata, apa yang berlaku hari ini ialah kerana ikatan di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah tidak kuat lagi.

Berikutan itu, tegasnya, pemimpin perlu mencari satu ikatan yang baru berdasarkan perkembangan isu-isu semasa,

“Jika tidak ada ikatan, kita akan terus terumbang ambing seperti hari ini kerana ikatan dalam komponen BN sudah terlerai.

“Saya bimbang BN hanya diterajui oleh Umno sahaja menghadapi pilihanraya umum akan datang, manakala parti-parti lain keluar dari BN,” katanya.

Sazmi menegaskan beliau perlu berjuang dalam Umno untuk membetulkan sebarang kerosakan yang berlaku dalam parti itu.

Dr M: Ezam mungkin landasan Anwar masuk Umno

Muda Mohd Noor | May 31, 08 4:01pm
Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kemasukan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ke dalam Umno mungkin menjadi landasan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali kepangkuan parti itu.

"Dalam politik segalanya mungkin. Apa yang tidak disangka terjadi, boleh terjadi.

"Anwar sedar untuk menjadi perdana menteri ia memerlukan sokongan dari Umno.

"Anwar mahu masuk Umno kerana beliau mahu menjadi perdana menteri," katanya ketika menyampai ucaptama dalam majlis suntikan semangat satria di Petaling Jaya hari ini.

Panelis di majlis tersebut ialah exco Pemuda Umno, Datuk Sazmi Miah dan bekas pengerusi kelab penyokong kerajaan di Parlimen, Datuk Ruhani Ahmad.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, Umno perlu berhati-hati dengan kemasukan Ezam, terutama pada waktu sekarang.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang media kemudiannya, mantan presiden Umno itu dengan sinis berkata, Umno terdesak untuk mendapatkan sokongan dari rakyat.

"Ambillah (pengerusi DAP) Karpal Singh, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan menteri besar Perak sebagai ahli. Karpal Singh terutamanya boleh jadi ahli bersekutu," tambahnya.

Dr Mahathir juga berkata, beliau rela dipecat dari jawatan penasihat beberapa agensi kerajaan

"Tetapi kalau dia suruh berhenti saya berhenti tetapi suka jika ditendang," katanya.

Dr Mahathir menjadi penasihat kepada Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tioman.

"Saya tidak bergantung kepada itu. Saya lebih suka mereka tendang," katanya lagi.

Ketika diminta mengulas tindakan kerajaan menasihatkan anaknya, Datuk Mokhzani supaya melepaskan jawatan pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu mengulas.

"Jika mahu pecat, pecatlah. Jika mahu berhenti, berhentilah," katanya lagi.

Mantan perdana menteri sekali lagi menegaskan, beberapa pemimpin boleh menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Dr Mahathir berkata, mereka ialah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Rais Yatim.

"Kita tidak boleh beri kepada satu orang kerana bila dia seleweng kita tidak boleh tukar," katanya.

Muhyiddin: Perhalusi permohonan Ezam

Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata permohonan Ezam dan beberapa bekas ahli PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.

"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa di mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebab-sebab tertentu."

"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di Muar hari ini.

Menurut laporan Bernama, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Ezam dan beberapa
pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mendengar terdapat ahli parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latarbelakang beliau.

Katanya, peraturan dan prosedur dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar dari Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.

Ada ahli tidak senang

Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.

"Ianya berbeza dengan orang baru di kampung-kampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya. Bukan lulus sewenang-wenangnya.

"Ada ahli yang kata mereka kecewa kerana mereka sudah lama berjuang dan tidak pernah sedetik sesaat pun meninggalkan parti, tetapi mereka tidak diberikan layanan sebegitu istimewa, itu yang saya dengar," kata Muhyiddin.

Katanya untuk memasuki Umno adalah mudah iaitu dengan menghantar borang permohonan keahlian kepada ketua cawangan.

"Orang yang sudah keluar dari parti, sepatutnya mereka pergi ke cawangan dan serah (borang permohonan) kepada ketua cawangan," katanya.

Ditanya dakwaan bahawa Ezam merupakan "Trojan Horse" bagi pihak pembangkang, beliau berkata, adalah tidak baik untuk mempunyai perasaan syak wasangka di kalangan sesama Islam tetapi dalam masa yang sama, Umno juga perlu berhati-hati.

Mengenai kenyataan Ezam bahawa beliau ikhlas untuk menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau sememang berharap bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu ikhlas dalam permohonannya itu.

"Saya harap dia ikhlas, tetapi ikhlas mana pun dia ada rekod. Ada prosedur yang perlu dipatuhi supaya kita dapat mengawal keahlian kita di dalam keadaan yang baik," katanya.

PSM: Pakatan Rakyat macam BN

May 30, 08 7:16pm
dikemaskini Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkritik Pakatan Rakyat di kongresnya hari ini, dengan mendakwa pentadbirannya tidak jauh berbeza daripada Barisan Nasional yang menggunakan sistem kuota parti pemerintah dan kaum.

"(Pakatan Rakyat) nama baru disabitkan dengan harapan bahawa apa yang dilakukan berbeza dengan yang lalu.

"Malangnya pentadbiran dan pengagihan kerja berkisar pada kuota parti yang berjaya dan mengikut kuota kaum," kata pengerusi penaja PSM, Dr Mohd Nasir Hashim dalam ucapan dasarnya.

psm federal court pc 051006 nasir hashim"Tindakan seperti ini tidak berbeza dengan pemerintahan lalu. Maka demi menjaga kuota, kualiti akan dirobohkan."

Beliau, yang juga wakil rakyat Kota Damansara di Selangor yang menang atas tiket PKR, menyifatkan Pakatan mempunyai "hala tuju yang tidak jelas yang berpaut pada sistem yang berunsurkan penindasan dan berlandaskan pada mengejar keuntungan yang maksimum."

"Sistem ini pada dasarnya mendorong pada penggunaan kaum dan agama bagi mengatur dasar pembangunan negara.

"Sifat berjinak pada sistem kapitalis akan memunculkan era pemerintahan yang pada mulanya berbentuk liberal, diikuti dengan era cogan kata dan diakhiri dengan pemerintahan kuku besi," tambahnya di kongres tahunan ke-10 parti di Port Dickson.

Bagaimanapun tidak jelas sasaran kritikannya itu - sama ada merujuk pentadbiran baru dan pengagihan kuasa di Selangor atau empat lagi negeri lain.

Pakatan Rakyat - gabungan PAS, PKR dan DAP yang terbentuk selepas kejayaan besar pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac - menguasai lima negeri, termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Selain Dr Nasir, ahli jawatankuasa PSM Dr Jayakumar Devaraj menang di parlimen Sungai Siput, Perak - juga atas tiket PKR.

Dr Nasir juga berkata pelbagai cadangan dikemukakan kepada PSM selepas kejayaan parti tersebut.

psm agm in port dickson 300508 01"Soal antara reformasi dan revolusi akan terus dibincangkan. Soalnya sejauh mana PSM sanggup mendampingi Pakatan dalam usaha program minimumnya," katanya.

"Di samping itu, bagaimana PSM dapat memikat hati dan minda rakyat hingga rakyat sendiri menerima hakikat bahawa sosialisme itu benar dan menjadi pilihan utama dalam kehidupan mereka.

"Juga, apakah langkah taktik dan strategi yang harus kita lakukan demi mengatur langkah dalam keadaan peralihan ini (selepas 8 Mac)."

Daripada 20 usul yang bakal dibahaskan, satu daripadanya menyentuh masa depan kerjasama PSM dengan Pakatan dan ia dijadual dibentang petang esok.

Usulnya berbunyi, antara lain, sama ada PSM bersedia bertanding atas tiket sendiri atau seperti keadaan sekarang dalam pilihanraya akan datang, dan sama ada parti kecil itu - yang belum diluluskan pendaftarannya - sanggup berdepan dengan persaingan tiga penjuru.

Selain itu, empat kertas kerja turut dibentangkan menyentuh, antaranya, krisis makanan dan kerjasama selanjutnya PSM dengan Pakatan Rakyat.

psm agm in port dickson 300508 03Kertas kerja yang bentangkan setiausaha agung PSM S Arutchelvan dan penulis Lee Ban Chen mengupas persoalan "sama ada parti itu bersedia membentuk kekuatan ketiga (antara Pakatan dan BN) atau menyokong sistem dua parti."

Jika keputusan kongres memutuskan PSM menyokong sistem dua parti, ia harus mengadakan hubungan positif dengan Pakatan.

Kongres tiga hari yang berakhir Ahad ini disertai 150 pemimpin dan aktivis PSM.

Malaysiakini difahamkan, tiada wakil parti-parti dalam Pakatan hadir di kongres ini walaupun mereka diundang.

Jumaat, 30 Mei 2008

Anwar mahu bertanding pilihanraya segera

Oleh Bloomberg
Jumaat, 30 Mei 2008

KL: Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan bertanding bagi kerusi Parlimen 'dengan segera' sebaik-baik sahaja kelayakan beliau untuk berbuat demikian disahkan pihak berkuasa.

'Jika saya sudah benarbenar pasti tentang kelayakan saya, saya akan memilih untuk berbuat demikian seberapa segera,' kata beliau semasa diwawancara oleh Bloomberg Television semalam.

Datuk Seri Anwar berkata beliau belum lagi menerima pengesahan rasmi bahawa beliau layak memegang jawatan awam selepas menjalani hukuman penjara atas tuduhan rasuah yang hingga kini dinafikan beliau.

Datuk Seri Anwar, 60 tahun, berulang kali mendakwa bahawa pakatan tiga parti pembangkangnya telah mendapat 30 anggota parti campuran Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdullah Ahmad Badawi, yang telah belot dan menyertai pakatan pembangkang untuk membolehkan beliau mengambil alih kuasa.

Beliau juga berkata beliau akan berbincang dengan rakan-rakannya mengenai siapakah yang akan menjadi timbalan perdana menterinya dalam pentadbiran yang bakal beliau pimpin.

'Isunya sekarang ialah untuk memastikan adanya peralihan kuasa yang licin, menurut peruntukan perlembagaan,' kata Datuk Seri Anwar.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin beliau, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menguasai lima daripada 13 negeri di Malaysia dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu - prestasi terbaik pembangkang sejak Malaysia merdeka daripada Britain pada 1957.

Mengenai subsidi minyak, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia boleh mengurangkan cukai petrolnya untuk menurunkan harga minyak, serta membangunkan sistem subsidi yang boleh membawa manfaat kepada penduduk miskin dan bukan mereka yang bergaji RM5,000 atau RM10,000 sebulan

Nasib Obama minggu depan

Oleh Kosmo
Jumaat, 30 Mei 2008

WASHINGTON - Pengarah komunikasi kempen Senator Barack Obama, Robert Gibbs menyatakan Obama semakin hampir untuk memenangi pertarungan dengan Senator Hillary Clinton untuk menjadi calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Demokrat.

"Saya boleh menyatakan sama ada pada Selasa atau Rabu ini, kita akan mengetahui calon Presiden," katanya semalam kepada stesen televisyen MSNBC.

"Setelah hampir enam bulan menghadapi kepayahan, berkempen, Obama dalam proses memperoleh jumlah pencalonan delegasi mencukupi untuk mendapat hak bagi menentang Senator John McCain dari Parti Republikan pada pilihan raya Presiden November depan," tambahnya.

Obama hanya kekurangan 45 pencalonan delegasi daripada 2,026 yang diperlukan, mampu menjadi pemenang calon Presiden dari Parti Demokrat pada Ahad ini jika beliau mendapat kemenangan dalam pemilihan di Puerto Rico.

Sementara itu, Obama yang bercita-cita mahu menjadi Presiden AS pertama berkulit hitam memberitahu The New York Times bahawa beliau menimbang untuk melawat Iraq dan lawatannya bertujuan untuk berbincang dengan komander dan askar-askar Amerika.

Menurutnya, lawatan itu tidak mempunyai kepentingan politik selepas beliau dicabar oleh McCain untuk berbuat demikian bagi menilai sendiri keadaan di Iraq.

Ezam sedia tanding ketua Pemuda...

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau bersedia bertanding jawatan ketua Pemuda Umno jika kedudukan tersebut mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Bagaimanapun, katanya, kedudukannya yang masih terlalu baru di dalam Umno tidak membenarkan beliau untuk membuat keputusan yang besar itu.

ezam and umno 280508Namun, menurut laporan Bernama, Ezam berkata beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kemungkinan kemasukan beliau ke dalam Umno ialah untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ezam menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai semula Umno Rabu lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

MT kena luluskan keahlian Ezam

Kemasukan bekas ketua Angkatan Muda PKR Mohamad Ezam Mohd Noor mesti mendapat kelulusan Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana beliau "ada rekod" politik, kata naib presiden Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

"Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT," katanya, lapor Bernama.

Muhyiddin berkata Mohamad Ezam tidak boleh diterima secara automatik kerana rekod politiknya.

"MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika parti kepada pemimpin Umno Perlis di Kangar hari ini.

Menurutnya, MT perlu mempertimbangkan rekod Mohamad Ezam kerana bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pernah meninggalkan parti, menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno.

Rabu, 28 Mei 2008

PEMIMPIN PEMUSNAH

Posted by Dr. Mahathir Mohamad

Apabila musuh menyokong ketua pasukan lawannya, kita boleh ramal ada sesuatu yang tidak kena berkenaan dengan ketua tersebut.

Inilah yang kita sedang lihat berkenaan dengan Presiden UMNO sekarang. Secara langsung dan tidak langsung kita lihat ketua-ketua parti lawan menyokong pengekalan Dato Seri Abdullah Badawi sebagai ketua atau Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Demikian Karpal Singh, musuh ketat UMNO menasihatkan saya supaya bersara dan tidak campurtangan dalam urusan kepimpinan Dato Seri Abdullah Badawi.

Dato Seri Anwar Ibrahim pula menyata secara terbuka kepada The Straits Times (Singapura), jika Abdullah teruskan (kepimpinannya) “it is also good for us because he is weak” (Jika Abdullah terus (memimpin) ia adalah baik bagi kita (parti lawan) kerana dia lemah).

Pemimpin-pemimpin PAS secara peribadi membuat kenyataan yang sama.

Mungkin ini adalah strategi parti lawan untuk menjatuhkan Dato Seri Abdullah. Tetapi mereka tidak pernah berkata demikian berkenaan Presiden-Presiden UMNO yang terdahulu atau berkenaan pemimpin Perikatan, Barisan Nasional dan parti-parti komponen yang lain.

Mereka juga tidak pernah berkata demikian terhadap Dato Seri Abdullah sebelum dia memimpin Barisan Nasional dan UMNO dalam kekalahan yang teruk pada 2008.

Walaupun demikian pemimpin-pemimpin parti-parti lawan ini tidak pernah betul-betul serang Dato Seri Abdullah sejak dia mengambil alih teraju Barisan Nasional dan UMNO pada 2003 hingga 2008 sepertimana mereka mengecam dan mencerca pemimpin-pemimpin Perikatan, Barisan Nasional dan UMNO sepanjang masa dahulu. Kenapa?

Kemungkinan besar mereka sedar bagaimana ahli dan penyokong setia Barisan Nasional telah hilang kepercayaan dan benci kepada Dato Seri Abdullah. Mungkin mereka berharap kebencian ini akan berterusan dan mengurangkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional. Ini sahaja boleh memberi kemenangan kepada parti lawan di kawasan-kawasan tertentu dalam Pilihanraya Umum ke 13. Mungkin juga terlintas di hati mereka bahawa penyokong Barisan Nasional dan ahli-ahli parti Barisan Nasional akan kekal dengan pendirian mereka dan mengundi parti lawan.

Keputusan Pilihanraya 2008 menunjuk dengan jelas yang penyokong Barisan Nasional dan ahli parti Barisan Nasional telah sabotaj (mengikut pendapat Dato Seri Abdullah sendiri) Barisan Nasional, telah undi parti lawan, telah menyebabkan calon-calon Barisan Nasional kalah di kawasan-kawasan tradisional mereka. Sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh parti lawan, -- posmen, penjaja, penyanyi karaoke – menang melawan Barisan Nasional.

Walau apapun alasan yang diberi oleh Dato Seri Abdullah dan konco-konconya, parti-parti lawan sedar bahawa kemenangan mereka yang besar di sebabkan oleh Dato Seri Abdullah, cara pentadbirannya dan tindaklakunya. Barisan Nasional telah kalah di lima negeri dan satu wilayah dan tidak dapat 2/3 daripada kerusi Dewan Rakyat.

Jika kepimpinan Dato Seri Abdullah diteruskan, sokongan kepada Barisan Nasional tetap akan terus merosot lagi sehingga kalah diperingkat pusat. Kemungkinan ini menjadi lebih besar jika parti-parti pembangkang dapat dirikan pemerintahan yang baik di negeri-negeri dimana mereka berkuasa. Penyokong Barisan Nasional yang berpaling tadah mungkin akan kekal dengan pendirian mereka kerana ini. Dengan itu tak mungkin lagi Barisan Nasional menawan semula negeri-negeri yang telah ditawan oleh parti lawan.

Dan yang buruk sekali ialah kemungkinan Barisan Nasional kalah diperingkat Pusat. Apabila hilang kuasa diperingkat pusat, kehilangan kuasa ke atas kewangan negara, ke atas dasar-dasar negara, pentadbiran negara dan lain-lain kekuatan yang datang bersama dengan pemerintahan peringkat pusat, Barisan Nasional dan UMNO tidak mungkin lagi memperolehi kuasa di negara tercinta ini.

Inilah musibah yang dijanjikan oleh pengekalan kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Segala keistimewaan Bumiputra dan Melayu akan terancam dan mungkin hilang terus, walau apa pun janji oleh pihak lain.

Mereka yang hari ini mempertahankan pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi harus fikir dengan mendalam. Mungkin mereka akan perolehi nikmat untuk diri sendiri untuk menjadi Menteri, Timbalan Menteri; untuk dapat kontrak atau jawatan tertentu dalam parti di waktu ini.

Tetapi apabila kuasa sudah tidak ada pada Barisan Nasional nikmat tidak akan diperolehi lagi. Lebih dari itu anak cucu pun tidak akan mendapat nikmat lagi.

Ingatlah keuntungan hari ini boleh membawa kecelakaan pada hari kemudian.

Pemimpin yang disokong oleh parti lawan bukan pemimpin sebenarnya. Pemimpin yang disokong oleh parti lawan akan memusnahkan kita.

Oleh itu bertindaklah sekarang sebelum terlalu lewat. Kita tidak punyai masa. Jika Dato Seri Abdullah tidak letak jawatan sekarang masa untuk memulih semula UMNO dan Barisan Nasional akan jadi terlalu singkat sebelum Pilihanraya ke 13.

Mencari RM3b royalti petrol di BPR

Jimadie Shah Othman | May 27, 08 6:50pm
Selepas ke balai polis, misteri "kehilangan" RM3 bilion wang royalti petroleum Terengganu diadukan pula kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki melibatkan penyelewengan dan rasuah.

Dalam laporannya pagi ini, Majlis Permuafakan Rakyat Terengganu (Mampat) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan wang.

Pengerusi gabungan itu Mohd Fauzi Abu Samah minggu lalu membuat aduan yang sama di balai polis daerah Kuala Terengganu.

Dalam aduannya itu, beliau berkata keraguannya timbul selepas membaca kenyataan beberapa pihak di akhbar baru-baru ini, termasuk menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Kedua-dua tokoh ini dilaporkan tidak tahu-menahu "kehilangan" wang sejumlah itu selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat dua minggu lepas bahawa negeri itu menerima RM7.3 bilion daripada Petronas.

Ahmad dilaporkan berkata Terengganu menerima RM4.3 bilion sahaja selama tiga tahun bermula 2004, selepas kerajaan negeri berjaya ditadbir semula oleh BN daripada PAS.

Sementara Idris, yang memimpin negeri itu dalam tempoh tersebut, pula mendakwa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar wang kerana ia diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri "hanya dimaklumkan sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun" dalam tempoh tersebut.

Khamis lalu, menurut Mohd Fauzi, polis menyatakan pihaknya tidak dapat menyiasat kerana dakwaan Mampat tidak disokong sebarang dokumen sokongan, katanya.

“Dia (pegawai penyiasat) yang usulkan saya buat laporan kepada BPR supaya siasatan dapat dibuat,” katanya.

Turut hadir di pejabat BPR di Kuala Terengganu, penolong setiausaha gabungan itu Wan Azmi Wan Ismail.

Beliau juga memaklumkan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bersedia hadir berucap di konvensyen menuntut bayaran royalti anjuran gabungan itu pada 14 Jun ini. Bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas turut menyertai.

Sementara itu, Mampat telah berjaya mengumpulkan 2,200 tandatangan menyokong tuntutan royalti sejak ia dilancarkan Sabtu lepas.

Kempen tandatangan itu akan digerakkan di masjid-masjid seluruh Terengganu mulai Jumaat ini.

Mampat antara kumpulan penting berkempen menyokong pihak istana ketika krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu.

Sebulan selepas dilantik menteri besar, Ahmad menggesa wang royalti 5 peratus diserahkan kembali kepada Terengganu daripada kerajaan persekutuan.

Wang ini ditadbir kerajaan pusat mulai 2000 dengan nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan".

Selasa, 27 Mei 2008

'Belum mati, sudah tidak dikenang'

Muda Mohd Noor | May 27, 08 6:24pm

Kira-kira 300 penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut kepulangan beliau dari Jepun di lapangan terbang Subang petang tadi.

Kumpulan penyokong itu termasuklah 125 orang ketua dan setiausaha cawangan Umno dari parlimen Jerlun yang kini diwakili oleh anaknya, Datuk Mukhriz. Turut serta, ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Mereka datang menaiki tiga buah bas sekolah dan bertolak kira-kira jam 9.30 pagi tadi dari pekan Jerlun.

Mereka turut membawa kain rentang yang berbunyi "Tun Mahathir kita tetap bersamamu", "Selamat pulang pejuang bangsaku" dan "Berani berjuang untuk negara, agama dan bangsa".

Beliau pulang dari Tokyo selepas menghadiri persidangan ekonomi Nikkei.

Dr Mahathir berucap selama lima minit kepada para penyokongnya dari dalam kereta yang dinaikinya.

Dalam ucapannya, selepas menimbulkan kegemparan apabila meninggalkan Umno pada 19 Mei lalu, mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "takut kepada Singapura".

Mantan perdana menteri dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Pulau Batu Puteh milik kerajaan Singapura.

Katanya, Abdullah lebih takut kepada republik tersebut daripada ahli-ahli Umno sendiri.

"Apalah nak jadi dengan pemimpin macam ni," katanya, disambut dengan laungan "hidup Tun".

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah seorang yang tidak mengenang budi dan tidak mengikut pepatah Melayu "hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

"(Saya) ini tak mati lagi, sudah tidak dikenang.

"Sepatutnya saya tidak beri Abdullah masuk Umno (baru) tetapi saya bagi dia masuk balik," katanya, merujuk penyertaan kembali ahli parlimen Kepala Batas selepas Umno diharamkan pada 1988.

Dr Mahathir berkata, Umno sekarang berjuang bukan untuk ahli, sebaliknya untuk mengekalkan Abdullah.

"Kononnya ahli yang tidak setia kepada Abdullah, tidak setia kepada parti. Dia lupa semasa saya menjadi perdana menteri, dia tidak setia kepada saya.

"(Tetapi) saya membuat (Abdullah) supaya dia tidak kelihatan tidak setia. Dia bertanding naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya presiden," kata mantan presiden Umno lagi.

Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, beliau tidak marah kepada bekas timbalannya dan tindakannya meninggalkan Umno bukanlah kerana tekanan.

Sebaliknya, Abdullah tidak lagi mempertahankan Umno, Melayu dan negara.

Mengulas sambutan terhadapnya hari ini, Dr Mahathir berkata, tiada perbezaannya semasa beliau dalam Umno dengan sekarang.

"Kalau saya tidak silap, dulu semasa saya dalam Umno sambutan macam ini juga.

"Sebab itu tidak ada beza saya jadi ahli Umno atau tidak ahli Umno," katanya lagi.

Kerajaan siasat 22 laman web, blog

Oleh kosmo
Selasa, 27 Mei 2008

KL: Kerajaan setakat ini telah menjalankan siasatan terhadap 22 laman web dan blog kerana menyiarkan kandungan bersifat jelik, sumbang, fitnah, lucah dan palsu.

Daripada jumlah itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengemukakan tiga kertas siasatan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kebanyakan usaha untuk menyiasat laman blog dan penulisnya sukar kerana mereka menggunakan platform di luar negara.

Beliau juga memberitahu, kerajaan tidak bercadang menubuhkan badan khas bagi memantau laman-laman blog di internet dan penulis blog.

Tambahnya, ini kerana kementerian melalui SKMM mempunyai peruntukan mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab.

Jumaat, 23 Mei 2008

Adun BN belanja RM27 juta dalam dua bulan

Andrew Ong | May 23, 08 5:36pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan 90.6 peratus daripada peruntukan bagi kawasan masing-masing dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini

selangor govt pig issue 090408 khalidMenjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM26,634,844.33 dan baki yang tinggal ialah RM2,907,155.76.

Khalid kemudiannnya memberitahu pecahan peruntukan bagi setiap kawasan pilihanraya dan baki yang tinggal.

Katanya, sebahagian besar Adun BN masing-masing membelanjakan RM492,800 dan Khalid berkata, beliau akan menyiasat perkara tersebut.

Malah, katanya, Speaker Dewan Undangan Negeri yang lalu, yang bukannya seorang Adun, turut membelanjakan RM600,000.

Sehubungan itu, Khalid mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas mengenai kecekapan, akauntabiliti dan keteluasan ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.

Ekoran perbelanjaan besar dalam tempoh dua bulan pertama ini, kini tidak ada lagi peruntukan yang tinggal bagi 36 kerusi dewan undangan negeri yang kini dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat - PKR-DAP-PAS - untuk dibelanjakan sepanjang tahun ini.

selangor state seat 2008 breakdownDalam titah perasmian sidang DUN Selangor Rabu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa baginda memandang serius perbelanjaan peruntukan Adun bagi tahun 2008 yang habis dibelanjakan dalam dua bulan pertama tahun ini.

Kontroversi Balkis

Menjawab soalan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) mengenai kontroversi Balkis, Khalid berkata beliau telah berusaha mendapatkan jawapan mengenainya dari Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menteri besar berkata, beliau telah menghantar tiga pucuk surat kepada ROS sejak April lalu, untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pembubaran Balkis.

Bagaimanapun, katanya, sehingga sekarang beliau belum menerima sebarang jawapan dari ROS.

Katanya, Balkis perlu memperjelaskan mengenai aktiviti-aktiviti tertentu yang dianjurkan dengan sokongan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata Khalid, puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk perkara-perkara seperti cenderahati untuk 'VVIP', mengadakan festival dan majlis makan malam.

Salah satu daripadanya, dedah menteri besar, ialah perbelanjaan sebanyak RM279,000 untuk membeli pakaian sukan untuk ahli Balkis.

Khalid berkata, mereka menggunakan Galeri Hafiz Sdn Bhd. Dua bayaran terbabit - RM158,000 dan RM121,000 - adalah untuk menyediakan pakaian sukan untuk lelaki dan wanita.

Menjawab soalan tambahan oleh Jenice Lee (DAP-Teratai), Khalid berkata, kerajaan berpandangan bahawa Balkis masih belum dibubarkan secara rasmi.

9 ketua Pemuda Kedah sokong Mukhriz

May 23, 08 2:51pm
Sembilan ketua Pemuda Umno bahagian di Kedah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong Datuk Mukhriz Mahathir bertanding merebut jawatan ketua pergerakan itu Disember ini.

mukhriz mahathir and umno pemudaMereka menyatakan sokongan tersebut sewaktu mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Jerlun itu kediamannya di Titi Gajah, Alor Star malam tadi.

Ketua Pemuda Merbok, Abdul Karim Ali yang turut menghadiri perjumpaan itu, berkata Mukhriz memberitahu mereka hasratnya bertanding jawatan tersebut.

Jawatan tersebut menjadi rebutan ekoran pengumuman penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa tidak akan mempertahankannya Disember depan.

"Mukhriz turut menjelaskan sebab-sebab beliau mahu bertanding jawatan ketua pemuda Umno.

"Selepas mendengarnya, kami sependapat bahawa beliau merupakan orang yang paling layak menerajui jawatan tersebut," katanya.

Jelas isu semasa

Dalam pertemuan tersebut, Mukhriz turut menerangkan isu-isu semasa yang berlaku dalam parti termasuk tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti lsnin lalu.

Bagaimanapun, exco pemuda Umno itu tidak meminta ketua pemuda bahagian menyokongnya kerana berpendapat ia adalah isu beliau dan tiada kena mengena dengan pemuda.

Sementara itu, ketua pemuda Umno bahagian Jerlun, Zulfekri Awang berkata, dalam pertemuan tersebut Mukhriz turut menjelaskan tindakannya mendesak perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan.

"Mukhriz memberitahu bahawa parti memerlukan seorang pemimpin baru yang lebih kuat," katanya lagi.

Berikutan itu, Zulfekri meminta semua ketua pemuda bahagian di Kedah supaya menyokong Mukriz bertanding jawatan ketua pergerakan.

Katanya, tiada orang yang paling layak memimpin pergerakan itu terutama selepas pengunduran Hishamuddin.

Pertemuan Khir Toyo

Manakala ketua pemuda bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Ahmad berkata beliau tidak hadir dalam perjumpaan tersebut kerana ada urusan lain.

"Saya agak kesuntukan masa untuk menghadiri perjumpaan tersebut kerana SMS mengenai pertemuan tersebut hanya dihantar petang semalam.

"Selalunya saya akan hadir mana-mana pertemuan dengan pemimpin parti," katanya.

Pada 17 Mei lalu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo juga bertemu dengan ketua pemuda Umno bahagian di Kedah.

Pada awal bulan depan, Mukhriz akan mengadakan pertemuan dengan ahli Pemuda umno bahagian Merbok.

Dulu Tunku keluar UMNO kerana Mahathir

Bashir Ahmad
19 Mei 2008

SEORANG rakan menghantar mesej SMS kepada saya berbunyi:``Kasihan Tun...''

Lima belas minit kemudian, seorang lagi rakan menelefon dan bercakap tentang Tun Mahathir Mohammad yang baru sahaja mengumumkan keluar daripada UMNO tengah hari ini.

Kata Tun, beliau hanya akan kembali ke UMNO selepas Pak Lah berundur daripada jawatan pemimpin parti dan kerajaan. Betapa marahnya Tun kepada Pak Lah.

Kepada si rakan yang menelefon saya, diceritakan betapa penulis ini teringat kepada ramalan seorang rakan yang dibuat pada Disember 1990, beberapa hari selepas kematian Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ketika itu kami sedang bercerita mengenai Tunku dan sejarah politiknya.

Turut dibangkitkan tentang Tunku yang boleh dianggap sebagai salah seorang pengasas UMNO, tapi Almarhum meninggal dunia semasa tidak lagi menjadi ahli UMNO.

Almarhum meletakkan jawatan selepas peristiwa 13 Mei 1969 atas desakan dari dalaman parti. Antara yang mendesak ialah Dr. Mahathir Mohamad yang telah menulis sepucuk surat meminta Tunku meletakkan jawatan kerana bertanggung jawab terhadap banyak kepincangan yang berlaku, yang sedikit sebanyak menjadi punca peristiwa 13 Mei.

Ekoran tindakannya, Mahathir dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969. Semasa dalam buangan, Mahathir nyaris-nyaris menyertai Pas tapi atas pujukan beberapa orang rakan beliau membatalkan niatnya. Antara mereka yang kuat memujuknya ialah Tan Sri Hussin Ahmad dan Allahyaraham Datuk Harun Idris.

Mahathir menyertai semula UMNO pada 1972 pada zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan presiden parti itu.

Apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, tiba pula giliran Tunku menjadi pengkritik kuatnya. Tunku yang kemudiannya memiliki The Star turut menjadikan akhbar itu sebagai suara mengkritik Mahathir. Akibatnya Mahathir mengharamkan The Star seketika pada 1987. Tindakan itu menyebabkan perpecahan dalam UMNO sehingga akhirnya parti itu diharamkan.

Ekorannya Tunku dan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn cuba menubuhkan parti UMNO Malaysia. Bagaimanapun Mahathir berjaya menghalang dan menubuhkan UMNO baru. Kalangan ahli-ahli UMNO yang menentang Mahathir menubuhkan pula parti Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleih Hamzah. Almarhum Tunku turut menyertai Semangat 46 hingga ke akhir hayatnya.

Begitulah sejarah hubungan Tunku dan Mahathir, menurut si rakan penulis itu. Beliau menambah dengan meramalkan bahawa apa yang berlaku kepada Tunku juga akan berlaku kepada Mahathir kemudian kelak.

Begitu hukum alam. Apa yang dialami oleh Tun Mahathir pada hari ini mempunyai sedikit persamaan dengan apa yang berlaku ke atas Tunku. Mahathir mengkritik dan meminta Pak Lah meletakkan jawatan. Disebabkan Pak Lah masih berada di jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir terpaksa memilih jalan keluar daripada UMNO sebagai langkah politik seterusnya untuk menjatuhkan Pak Lah.

Tunku pada tahun-tahun terakhir hayatnya juga menjadi penentang utama Mahathir yang tidak berundur sehinggalah akhirnya beliau sendiri yang membuat keputusan untuk bersara. Beliau memilih Pak Lah sebagai pengganti, dan akhirnya beliau pula yang menjadi pengkritik utama Pak Lah.

Apa yang berlaku ternyata mengeruhkan lagi keadaan. Apakah UMNO boleh bertahan sebagai parti utama orang Melayu selepas gelora demi gelora yang berlaku?

Khamis, 22 Mei 2008

Mesej dan pangilan PUAKA



KOTA KINABALU: Mesej yang diedarkan melalui Khimat pesanan ringkas (SMS) yang memberi amaran kononnya terdapat nombor pemanggil yang dikatakan boleh membawa maut jika si penerima menerima panggilan tersebut menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.

Mesej yang dipercayai diedarkan secara rambang dan dari rakan ke rakan ini telah tersebar luas sejak minggu lalu.

Kandungan asal mesej tersebut berbunyi, “kpada s’siapa yg m’dpt pngln tlfon pnjang n b’simbol merah d’harap jgn d’jawab pnglan 2 bb skumpulan pnuntut ilmu hitm d’indonesia sdg m’uji ilmu mrk m’lalui telefon jika s’sape yg m’jwb pngln itu mlut akn b,buih n mngkn akn mti slps 2 d’indon udh ade 9 orang yg mti n mlm td d’puchong ade 2 org yg dh kne n mti..Ni mmg btl2 dh t’jadi..”.

Bela Samseng

Oleh: 'Deep Throat' Sabah

Jika sebelum ini akronim PBS merujuk kepada Parti Bersatu Sabah yang memerintah Sabah dari 1985 hingga 1994 sering dijenamakan sebagai 'Peruntukan Belum Sampai' atau 'Pairin Bakal Susah', kini badi PBS menyerang polis kerana digelar 'Polis Bela Samseng'.

Senario ini berlaku apabila Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah menulis surat kepada Pengerusi Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Yadum Atihal yang isi kandungan tersirat di sebalik surat berkenaan melarang Pekebun Kecil memasuki kebun mereka yang dirampas samseng yang diupah Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (Koperasi).

Walaupun surat berkenaan pada dasarnya memihak kepada pekebun kecil, namun polis menghalang pekebun kecil mendapatkan semula tanah mereka yang dirampas koperasi dan mengugut akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah terhadap pekebun kecil yang merancang untuk menggunakan kekerasan jika terus dihalang memasuki tanah mereka.

Persoalannya, bagaimana pekebun kecil mahu menggunakan proses sivil untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan sedangkan Injunksi Mahkamah Tinggi Tawau tidak dihormati dan diingkari bukan sahaja oleh samseng, malah polis turut menjadi samseng membela samseng yang sanggup memberikan mereka habuan puluhan ribu sebulan hasil rompakan buah kelapa sawit milik pekebun kecil.

Oleh itu, tidak hairan jika polis tidak pernah menyiasat dan menangkap samseng Tingkayu yang diketuai oleh Alimuddin Mohd Ajay dan David Udin yang digaji oleh koperasi untuk merompak hasil tanaman pekebun kecil.

Bayanglah betapa seorang Ketua Polis Daerah boleh duduk bersembang dan bertepuk tampar dengan seorang Ketua Samseng di khalayak ramai?

Mungkin kita tidak dapat bayangkan bahawa Ketua Polis Daerah dan pegawai kanan polis Kunak menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan suapan melalui tanah yang telah mengeluarkan hasil dengan mengupah samseng merompak hasil tanaman pekebun kecil yang masih dalam pertikaian mahkamah?

Semua penduduk Kunak tahu bahawa Ketua Polis Daerah, Dingka Utoh 'memilik dirikan' tidak kurang 300 ekar tanah di Skim Pekebun Kecil Tingkayu yang kini dijaga oleh Alimuddin dan David.

Dingka sering kelihatan memasuki Skim Pekebun Kecil Tingkayu dengan menaiki kenderaan polis atau menumpang kenderaan mewah Alimuddin sekadar untuk memastikan semua pendatang tanpa izin yang digaji mereka selamat daripada serbuan pihak berkuasa dan tidak ada sebarang gangguan.

Majoriti rakyat Kunak tahu bahawa bekas Ketua Cawangan Khas Kunak, ASP Redzuan Mat Zin turut 'merampas tanah' seluas 100 ekar di Skim Pekebun Kecil Tingkayu. Kini Redzuan ditukarkan ke Semenanjung kerana terlibat dengan beberapa kes melindungi pandatang tanpa izin yang bekerja dikebunnya hasil siasatan Pegawai Perisikan Tentera (MIO).

Walaupun Redzuan telah ditukarkan, namun tanah berkenaan dijaga oleh Muhd Nur Takku yang memandu Frontier berwarna Silver kelihatan sering memasukkan wang puluhan ribu ke akaun Redzuan di BSN Kunak namun masih lepas bebas tanpa sebarang tindakan oleh Badan Pencegah Rasuah atau Ketua Polis Negara.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner telah meluluskan Injunksi bagi Kes T (21) 4 Tahun 2008 pada 1 Februari 2008 yang berbunyi;

"Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) diberi Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini."

Namun sejak daripada injunksi berkenaan dikeluarkan, polis gagal memastikan samseng berkenaan keluar daripada tanah yang diusahakan pekebun kecil sejak 25 tahun lalu, sebaliknya koperasi secara wewenang memasang papan tanda mendakwa tanah berkenaan milik mereka dan memperdaya pihak berkuasa dengan menggunakan keputusan rayuan perbicaraan tanah antara pekebun kecil dengan Jabatan Tanah dan Ukur.

Walau lebih 40 laporan polis dibuat, namun tidak ada sebarang siasatan atau tindakan dilakukan termasuk melibatkan jenayah senjata api, criminal tress-passing, mencuri, mencederakan, memiliki senjata berbahaya, pendatang tanpa izin dan ugutan.

Sejak dua hari lalu, polis masuk dan keluar daripada Skim Pekebun Kecil Tingkayu namun tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

Banyak mesej dan email yang diterima daripada pekebun kecil, kumpulan samseng semakin bertambah ramai dan mereka mula merampas rumah pekebun kecil dan menghalau pekebun kecil keluar daripada kebun berkenaan kononnya atas persetujuan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Kumpulan samseng yang bersembunyi di kawasan yang terpencil gagal ditemui polis yang melakukan pemeriksaan rutin dan hanya yang memiliki kad pengenalan dibenarkan menjaga pagar penghadang jalan.

Walau laporan berpuluh laporan dibuat, namun penghadang jalan berkenaan masih kukuh berdiri menyekat pekebun kecil daripada memasuki kebun mereka dan dalam masa yang sama, Ketua Polis Daerah Kunak dan Pegawai Daerah Kunak sering kelihatan menggunakan kenderaan kerajaan bermain golf dan minum bersama samseng Tingkayu di khalayak ramai.

Kelmarin, seorang pekebun kecil, Surat Singh telah membuat laporan polis di Balai Polis Lahad Datu yang antara kandungannya berbunyi;

Pada lebih kurang jam 3.30 petang, 20 Mei 2008, saya dan pekerja saya dihalang masuk ke kebun yang didaftarkan atas nama isteri saya, ROSE LAMBASING (PT 91240583) oleh sebelas orang lelaki yang mendakwa diri mereka bekerja dengan Alimuddin Mohd Ajay dan David Udin yang menceroboh tanah kami di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak. Saya melihat empat orang lelaki menceroboh, menyabit dan mencuri buah kelapa sawit di kebun saya. Jalan menuju ke kebun saya juga dihadang dengan rantai dan dikawal ketat. Saya datang ke balai membuat laporan agar polis menyiasat dan menangkap Alimuddin dan semua samseng upahannya kerana mereka mengingkari Injunksi Mahkamah dan juga arahan Pesuruhjaya Polis Sabah. Laporan ini juga dibuat agar polis menyiasat dan menangkap Pengerusi Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad, Hajjah Alinah Usman Suing kerana bersubahat dengan Alimuddin melakukan jenayah 'criminal tress-passing', 'Contemp of Court' dan mencuri buah kelapa sawit saya. Sehingga hari ini, lebih kurang 150 tan buah kelapa sawit saya bernilai RM105,000 telah dicuri oleh Alimuddin. Alimuddin juga turut memusnahkan rumah saya dan mencuri barang-barang yang terdapat dalam rumah tersebut yang bernilai lebih kurang RM10,000.

"Undi tidak yakin untuk guling BN" Anwar

Oleh Bloomberg
Khamis, 22 Mei 2008

PEMPIMPIN Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata satu undian tidak yakin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah 'pilihan terbaik' untuk menggulingkan parti yang memerintah negara itu.

'Anda gunakan cara berperlembagaan untuk membuktikan sokongan majoriti dewan rakyat untuk mengetengahkan usul bagi mengalahkan perdana menteri itu,' kata Datuk Seri Anwar kepada wartawan di Singapura semalam.

Datuk Seri Abdullah, 68 tahun, kini menghadapi lebih banyak tekanan untuk meletakkan jawatan selepas parti campuran kerajaan yang dipimpin beliau, Barisan Nasional (BN), kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Keputusan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, 82 tahun, untuk keluar daripada Umno Isnin lalu adalah satu daripadanya.

Datuk Seri Anwar, yang memimpin pakatan tiga parti pembangkang utama Malaysia dan memerlukan 30 kerusi lagi dalam parlimen untuk mendapatkan kuasa majoriti, pula sedang cuba memujuk lebih ramai anggota parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, yang memenangi lima daripada 13 negeri dalam pilihan raya lalu.

Beliau, yang mengaku sudah memperolehi sokongan diperlukan bagi menjadi perdana menteri, bagaimanapun berkata beliau tidak akan berkhidmat dalam jawatan itu melebihi sedekad.

'Jika anda tidak dapat membawa perubahan bermakna dalam masa 10 tahun dalam jawatan, sudah tiba masanya untuk beredar,' kata Datuk Seri Anwar.

Bursa Saham merudum dua hari berturut-turut

Oleh Bernama
Khamis, 22 Mei 2008

HARGA-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, meneruskan kerugin dua hari berturut-turut susulan kejatuhan semalaman di Wall Street serta kebimbangan terhadap keadaan politik yang menjejaskan pasaran, kata peniaga.

Aliran menurun juga adalah selari dengan kejatuhan pasaran-pasaran serantau apabila pelabur membuat keuntungan kerana bimbang berlaku inflasi berikutan harga minyak mentah yang mencecah rekod baru pada AS$129.67 setong, katanya.

Pada penutup, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) turun 6.83 mata atau 0.48 peratus kepada 1,281.20 selepas dibuka 6.12 mata lebih rendah pada 1,281.31.

Indeks kewangan susut 43.44 mata kepada 9,871.40, Indeks Perusahaan turun 10.66 mata kepada 2,709.57 manakala Indeks Perladangan jatuh 70.64 mata kepada 7,963.28.

Bagi siri Indeks FTSE-BM, FBMEmas susut 28.29 mata kepada 8,614.45 dan FBM30 turun 34.14 mata kepada 8,277.49.

FBM-MDQ turun 33.05 mata kepada 4,804.06 namun FBM2BRD menokok 29.58 mata kepada 5,798.99.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 390 berbanding 260 manakala 245 kaunter tidak berubah manakala 524 tidak diniagakan dan 32 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 530.804 juta saham bernilai RM1.311 bilion, turun berbanding 651.807 juta saham bernilai RM1.591 bilion.

Antara saham aktif di Bursa Malaysia, YTL Power-Warrants susut 17.5 sen kepada 69.5 sen manakala Ramunia untung 17 sen kepada RM1.47 dan Sime Darby susut lima sen kepada RM9.60.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank rugi lima sen kepada RM7.75 dan Telekom Malaysia susut lapan sen kepada RM3.30 manakala Tenaga Nasional kekal pada RM6.85.

IOI Corp turun 20 sen kepada RM7.30 dan Malaysia Airlines susut lapan sen kepada RM3.62.

Jumlah dagangan di Papan Utama susut kepada 436.800 juta saham bernilai RM1.269 bilion daripada 536.408 juta saham bernilai RM1.56 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Papan Utama juga rendah pada 35.575 juta saham bernilai RM34.254 juta berbanding 37.046 juta saham bernilai RM24.239 juta sebelum ini.

Di Pasaran Mesdaq, jumlah dagangan susut kepada 25.675 juta saham bernilai RM6.269 juta berbanding 30.145 juta saham bernilai RM8.506 juta sebelum ini.

Waran panggilan turun kepada 32.754 juta saham bernilai RM1.638 juta berbanding 48.206 juta saham bernilai RM2.401 juta saham.

Jumlah dagangan bagi urus niaga langsung hampir meningkat sekali ganda kepada 29.719 juta saham bernilai RM30.890 juta berbanding 15.377 juta saham bernilai RM31.130 juta sebelum ini.

Mengikut asas sektor, barangan pengguna menyumbang sebanyak 9.686 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perindustrian 52.881 juta, pembinaan 39.062 juta, perkhidmatan/perdagangan, 129.613 juta, teknologi 5.255 juta, infrastruktur 15.476 juta, kewangan 35.397 juta, hotel 7.234 juta, hartanah 47.486 juta, perladangan 27.890 juta, perlombongan 8,000, REITS 1.474 juta, dana tertutup 52,900, ETF 370,500, dan pinjaman 64.915 juta.

Tepuk dulang paku serpih Katakan orang awak yang lebih.

Dr. Mahathir Mohamad

Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari UMNO yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 hb Mei. Komen oleh dua pemimpin UMNO amat menggelikan hati saya.

Tun Musa Hitam dakwa saya adalah ‘duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.’

Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging UMNO tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [di lantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden UMNO. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.

Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.

Akhirnya pecahlah UMNO dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada UMNO Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli UMNO atau tidak.

Satu lagi pemimpin UMNO ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar UMNO, jadi calon bebas dan lawan dengan UMNO, dalam Pilihanraya Kecil dengan simbol kunci.

Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato dibenar kembali ke pangkuan UMNO, Dato akan jadi duri dalam daging UMNO lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihanraya kecil saya bersetuju Dato masuk balik UMNO.

Saya ucap tahniah kerana Dato dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya.

Tepuk dulang paku serpih.
Katakan orang awak yang lebih.

SPR dakwat dan pengundi hantu



che'GuBard

RM 2 juta lebih wang rakyat terbazir kerana membeli dakwat pencelup jari yang tidak digunakan...kononya tidak digunakan kerana alasan keselamatan.

Afghanistan, Iraq dan banyak negara yang dalam keadaan perang berjaya mengadakan pilihanraya yang diiktiraf badan antarabangsa dengan menggunakan dakwat pencelup untuk mengelakkan pengundi berulang. Amat malang jika Malaysia yang kononya negara selamat tetapi tidak menggunakan dakwat atas alasan keselamatan.

Sebenarnya SPR tidak menggunakan dakwat di saat akhir kerana telah mengetahui bahawa BN bakal berkubur jika niat penggunaan dakwat ini diteruskan dalam PRU yang lepas.

-petikan dari aminiskandar.wordpress.com-

Dua hari lepas, pengerusi SPR, Abdul Rashid memberitahu media bahawa kabinet Abdullah Badawi yang sebenarnya membantah penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum yang lalu. Sila klik disini untuk berita dari Malaysiakini.

Baru-baru ini Syed Hamid mendedahkan di parlimen yang laporan polis berasakan kepada khabar angin mengenai pembelian dakwat kekal oleh parti-parti politik untuk tujuan penyelewengan pilihanraya. Klik disini.

Sebelum ini saya ada menulis di Malaysiakini mengenai isu dakwat kekal, perbandingan dengan pilihanraya di Nepal. Klik disini.

Jelaslah disini bahawa kebinet Abdullah Badawi tahu yang mereka akan kalah dalam pilihanraya ke 12 yang lalu jika dakwat kekal digunakan. Jelas juga yang SPR hanyalah alat Barisan Nasional untuk menipu rakyat dalam pilihanraya umum.

Adapun begitu, simpati tidak harus diberikan kepada pengerusi SPR tersebut. Beliau memang terkenal dengan lidahnya yang bercabang.

Namun tabik dan hormat boleh diberikan sekiranya beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia oleh kerana bersekongkol dengan kerajaan polis dan peguam negara untuk membantu BN memanipulasi pilihanraya.

Musa Hassan juga harus letak jawatan sebagai Ketua Polis Negara. Begitu juga dengan Gani Patail.

Abdul Rashid, Musa Hassan dan Gani Patail menjadi alat Barisan Nasional untuk menipu rakyat Malaysia. Letak jawatan atau disumbat oleh rakyat Malaysia kedalam tong sampah sejarah!!!

Menang Sorak Kampung Tergadai



YUSADITA

Setiap pagi apabila saya membaca iklan pekerjaan kosong di akhbar2 tempatan, saya akan dapati rata2 iklan itu ada mensyaratkan 'knowledge in Mandarin and other chinese dialects is a requirement'.

Malaysia masih diperintah oleh BN dimana UMNO tunjangnya. Saya tidak dapat menggambarkan apa pula akan jadi sekiranya kerajaan bertukar kepada PR yang rata2 didukungi oleh bukan melayu. Mungkin syarat seperti 'only chinese can apply' akan dikenakan!

UMNO diundang ke negeri dibawah bayu ini adalah bagi melindungi penduduk Islam dari terus di 'jajah'oleh yang bukan Islam. Umum tahu politik PBS berbau agama (katholik) sehinggakan kerakyatan orang2 Dusun yang beragama Islam jatuh ke kelas 2. Tapi saya sedih melihat pemimpin2 UMNO di Sabah ini rata2 tidak amanah. Kebanyakan mereka membelakangkan kewajipan utama mereka melindungi orang2 yang patut mereka lindungi. Mereka terjerumus mengejar kekayaan menerusi rasuah.

Ada orang kata kita tidak perlu parti UMNO yang diimpot. Dan ada orang mengatakan UMNO adalah parti orang2 melayu. Semua itu benar. Tapi kita perlu UMNO. Apa yang kita tidak perlukan ialah pemimpin2 yang rasuah, yang hipokrit!

Saya menyeru kepada pemimpin2 UMNO Sabah agar kembali kepada perjuangan asal. Kita harus ingat bahawa UMNO dijemput ke Sabah bagi melindungi orang2 Islam!

LOMPAT janjinya mestilah bulan,bintang dan hidup semati

Memang ucapannya perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat agak tegas,pedas dan garang mempersoalkan sikap kerajaan persekutuan terhadap Sabah.

Lebih dari beliau telah menolak jawatan Timbalan Menteri.Maka segala tindak tanduknya pasti mencuri perhatian.

Namun Ahli Parlimen Kalabakan,Datuk Ghafur Salleh cukup realistik dalam pendiriannya.

Beliau menyifatkan cubaan pembangkang untuk memancing para Ahli Parlimen BN lompat parti tidak lebih dari ‘ janji manismu yang belum pasti menjamin rumahtangga yang dibina itu akan bahagia selamanya’.

Bercakap kepada Agendadaily di bilik rehat para Ahli Parlimen Selasa,Ketua UMNO Bahagian Tawau ini berkata, “biasalah bila nak memikat wanita itu janjinya mestilah bulan,bintang dan hidup semati segalanya.Bila dah kahwin nanti mungkin lain ceritanya.Lebih lama lagi mungkin jalan pun dah tak berpimpin tangan.”

Katanya cerita pasal Ahli Parlimen BN khususnya di Sabah dan Sarawak nak melompat hanya satu gembar gembur pembangkang.

Ghafur sendiri yang disebut sebagai salah satu sasaran usaha itu kata beliau tidak pernah tertarik untuk bertindak begitu kerana cukup masak tentang politik.

“Apa jaminan pembangkang tunai janji.Semua orang boleh berjanji macam-macam,”katanya.

Beliau juga menolak cakap-cakap banyak ahli-ahli UMNO di Sabah nak keluar parti menyertai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di Bahagian saya sendiri di Tawau tak ada pun tindakan nak keluar beramai-ramai.Adalah sana sini ahli-ahli tertanya-tanya tentang tindakan Dr Mahathir tetapi saya belum dengar ada yang nak keluar ,”katanya.

Menurut Ghafur beliau sendiri akan menjalankan usaha memberi penerangan kepada ahli-ahli di bahagiannya tentang situasi politik semasa agar mereka tidak terpengaruh dengan cerita-cerita yang boleh mengugat keutuhan parti

Sultan tegur Adun BN boros




Jimadie Shah Othman | May 21, 08 9:43pm
Sultan Selangor menegur amalan kerajaan negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional kerana tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah.

"Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan (seorang) ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor hari ini.

sultan selangor sharafuddin idris shah 210508"Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber.

"Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor dipercayai merujuk laporan seorang wakil rakyat BN yang membelanjakan RM500,000 tidak sampai 60 hari hingga Februari lalu untuk beberapa projek di kawasan DUN Kampung Tunku.

Butiran lengkap perbelanjaan itu kini beredar di internet, antaranya di blog wakil DAP Kampung Tunku, Lau Weng San.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyentuh keperluan pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan sebagai faktor utama bagi menjamin pendapatan maksima negeri.

“Usaha meningkatkan hasil tidak akan memberi makna sekiranya permbaziran dan perbelanjaan yang tidak berhemah sering berlaku,”

khir toyo 181207Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang kini ketua pembangkang di DUN itu, berkata beliau harus melihat data-data tersebut terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan seseorang ahli DUN bergantung kepada wakil rakyat itu sendiri.

"Selagi mengikut peraturan tiada masalah," katanya kepada Malaysiakini sewaktu diminta mengulas teguran Sultan Selangor.

Menurut Dr Mohamad Khir, sebahagian besar perbelanjaan wakil rakyat dibuat pada awal tahun dan sambutan Hari Raya.

Di waktu itu, kata wakil Sungai Panjang, banyak bantuan dimohon oleh rakyat, antaranya untuk menyelesaikan masalah yuran dan lain-lain.

Beliau berkata, adalah normal perbelanjan seseorang ahli DUN lebih besar pada awal tahun.

Banyak bantuan daripada wakil rakyat disalurkan kepada sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan, tambahnya.

Rabu, 21 Mei 2008

Industri Pembekalan Elektrik kaya-raya dapat gas subsidi

Syarikat-syarikat pengeluar tenaga independen (IPP) mendapat keuntungan berlipat kali ganda akibat sistem subsidi bahan api yang tidak masuk akal.

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi hari ini mengakui "tidak munasabah" IPP mendapat bekalan gas dengan harga RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) sedangkan harga pasaran RM41 mmBtu.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, Petronas sendiri menjual gas kepada IPP di bawah harga kos pengeluarannya, sebanyak RM15 hingga RM16 mmBtu.

Tambahnya, keadaan ini menyebabkan "IPP mampu mengaut keuntungan yang tinggi."

"Penjualan gas kepada IPP adalah tidak munasabah sedangkan kos pengeluaran gas ialah RM15 hingga RM16 mmBtu dan harga pasaran pula mencecah RM41 mmBtu.

"Harga gas yang rendah ini membolehkan IPP mengaut keuntungan yang tinggi dan kementerian bersetuju untuk memastikan IPP tidak mengaut keuntungan yang berlebihan," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Shahziman berkata, sekarang masa terbaik memastikan subsidi yang diberikan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

"Pembetulan ini akan dilakukan dengan mengambil kira tiga perkara iaitu harga gas, menyeimbangkan keuntungan IPP dan memastikan rakyat tidak terjejas daripada kenaikan tarif elektrik," katanya.

Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) kemudian bangun bertanya bila pembetulan itu akan dijalankan memandangkan IPP kini mengaut keuntungan yang besar.

Belia mengambil contoh sebuah syarikat IPP di Terengganu yang mengaut untung RM1.5 juta sehari, RM40 juta sebulan dan RM500 juta setahun.

Shaziman menjawab, kementeriannya akan memastikan ia diperbetulkan secepat mungkin.

"Beri saya peluang untuk memberi penerangan kepada kabinet agar dapat membuat keputusan yang baik untuk negara ini," katanya.

Mesyuarat tergempar MT UMNO malam ini

Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini, dua hari selepas mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno.

Ekoran tindakan Dr Mahathir itu, beberapa pertemuan tergempar diadakan, termasuk perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan ahli parlimen Umno semalam.

Dr Mahathir yang menerajui Umno dan kerajaan selama 22 tahun, mengumumkan keluar dari Umno Isnin lalu kerana tidak yakin lagi dengan kepimpinan Abdullah.

Mantan perdana menteri berkata beliau akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletakkan jawatan.

Tindakan Dr Mahathir itu turut mencetus kebimbangan ramai ahli dan pemimpin Umno akan menurut jejak langkahnya meninggalkan Umno.

Sehingga ini Star Online melaporkan bahawa 300 ahli Umno di Merbok (Kedah), 420 (PJ Selatan) telah keluar parti manakala 2,000 lagi ahli Umno di Pokok Sena (Kedah) dijangka berbuat demikian.

Turut keluar parti ialah bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, bekas ahli parlimen Kota Star, Dr Abdul Hadi Derani dan anak lelaki mantan perdana menteri itu, Datuk Mokhzani.

MT harap Dr M sertai semula Umno

Abdul Rahim Sabri update

Mesyuarat khas selama tiga jam Majlis Tertingg (MT) Umno malam ini berakhir dengan keputusan "menggemparkan" - barisan anggotanya tetap menyokong presiden.

Dalam sidang media kira-kira lima minit sejurus selepas tengah malam, timbalan presiden Datuk Seri Najib Razak berkata anggota-anggota MT menyatakan kesetiaannya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat tergempar dua hari selepas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan parti itu menjadi satu daripada dua agenda utamanya.

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangan atau sebarang keputusan tentang bekas presiden Umno itu.

"MT berharap Tun (Dr Mahathir) akan kembali semula kepada Umno suatu hari nanti," katanya.

Ditanya sama ada Umno bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir, beliau berkata "(keputusan) itu bukan kehendak kita, Tun sendiri mahu keluar daripada parti."

Agenda kedua mesyuarat berhubung pelan pemulihan politik Umno selepas dilanda krisis sejak Mac lalu dan kemerosotan sokongan dalam pilihanraya umum lepas.

"Pelan itu menjadi landasan untuk Umno bergerak bersungguh-sungguh dan memperkasakan parti Umno, seterusnya dapat meyakinkan ahli dan juga rakyat," kata Najib.

Satu perjumpaan khas akan diadakan sekali lagi untuk memuktamadkan pelan tersebut.

Desakan exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir agar Abdullah berundur dan tindakan parti terhadapnya bagaimanapun tidak dibincangkan.

"Kita tidak bincang tentang itu hari ini," kata Najib.

Susulan tindakan Dr Mahathir itu, beberapa pertemuan tergempar diadakan, termasuk perjumpaan perdana menteri dengan ahli parlimen Umno semalam.

Dr Mahathir yang menerajui Umno dan kerajaan selama 22 tahun, mengumumkan keluar dari Umno Isnin lalu kerana tidak yakin lagi dengan kepimpinan Abdullah.

Mantan perdana menteri berkata beliau akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletakkan jawatan.

Tindakan Dr Mahathir itu turut mencetus kebimbangan ramai ahli dan pemimpin Umno akan menurut jejak langkahnya meninggalkan Umno.

Sehingga awal malam ini, Star Online melaporkan bahawa 300 ahli Umno di Merbok (Kedah), 420 (Petaling Jaya Selatan) telah keluar parti manakala 2,000 lagi ahli Umno di Pokok Sena (Kedah) dijangka berbuat demikian.

Turut keluar parti, bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, bekas ahli parlimen Kota Star, Dr Abdul Hadi Derani dan anak lelaki mantan perdana menteri itu, Datuk Mokhzani.

Siapa Anwar Ibrahim







Ketuanan Rakyat atau Anwar

MohdRafi@Eman Jr.

KETUANAN Rakyat adalah idealisme baru yang konon-konon menjadi slogan oleh Anwar Ibrahim dalam usaha untuk terus mencari ruang sokongan khususnya dari kaum-kaum lain yang dapat memberikan beliau peluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Ketuanan yang membawa erti hak menguasai yang sinonimnya merujuk kepada Ketuanan Melayu kini mahu dipinda kepada Ketuanan Rakyat. Asasnya untuk memartabatkan kekuasaan rakyat dalam konteks negara demokratik.

Sebenarnya peruntukkan demokrasi sudah cukup jelas meletakkan rakyat sebagai satu keutamaan dan memegang kuasa untuk memilih kerajaan. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dalam negara kita ini.

Pilihan raya adalah instrumen penting yang mengutamakan ketuanan rakyat yang hari ini telah membuktikan ketelusan demokrasi pegangan negara kita dan ciptaan Ketuanan Rakyat hanya satu omongan retorik politik Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim adalah orang yang memang terkenal dengan mencipta terminologi besar sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan hari ini tidak berbeza sikapnya.

Hari ini, Ketuanan Rakyat di mulakan oleh beliau bagi menggantikan ketuanan Melayu. Relatifnya beberapa hipotesis boleh kita buat dalam mendaulatkan ketuanan rakyat oleh Anwar Ibrahim seperti yang dikatakannya. Antara nya adalah memartabatkan rakyat dan secara relatif mengurangkan ketuanan milik orang Melayu.

Anehnya hak-hak orang Melayu mahu digugurkan yang mana hak yang disebutkan itu tidak pernah menyentuh atau mencalarkan sistem demokrasi yang ada atau sebenarnya Ketuanan Rakyat sebenarnya dapat didefinisikan secara tidak langsung sebagai Ketuanan Anwar Ibrahim.

Mungkin inilah makna yang sesuai untuk ketuanan Rakyat yang dicanangkan oleh Anwar Ibrahim yakni ketuanan Anwar yang kemaruk untuk berkuasa kerana dendam kesumat.

Politik dendam Anwar Ibrahim tidak akan menguntungkan sesiapa malah akan membinasakan dirinya sendiri. Oleh itu ketuanan yang di perlukan oleh Anwar Ibrahim adalah ketuanan untuk diri sendiri sesuai dengan makna ketuanan yakni hak menguasai.

Rakyat Malaysia perlu tahu bahawa ketuanan Rakyat harus memberi kuasa pada rakyat seperti yang sedia ada khususnya untuk memilih kerajaan tetapi ketuanan bagi Anwar ada ketuanan bagi dirinya sendiri.

Hari ini Parti Keadilan Rakyat terpaksa merujuk kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Umum parti bukan mempraktikkan demokrasi dalam parti sendiri.

Anwar Ibrahim dari satu sudut telah memegang Ketuanan dalam PKR dan sekarang ini turut memegang ketuanan dalam Pakatan Rakyat. Setiap kelulusan dan setiap tindakan harus mendapat restu dari Anwar Ibrahim sendiri.

Anwar dalam itu gah membicarakan mengenai perjuangan Pakatan Rakyat yang tidak berpaksikan kepada unsur rasis namun jika disuruh parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk bergabung menjadi satu parti dominan ini tidak mungkin berlaku.

Ini adalah kerana Pakatan Rakyat sendiri tidak mempunyai ideologi yang selari yang menghala kepada satu arah yang serupa. Pakatan Rakyat berbeza dari segi ideologi antara satu parti dengan yang lain tetapi menghalalkan cara semata-mata untuk pilihan raya.

Justeru itu tidak keterlaluan Pakatan Rakyat di gelar Pakatan menipu rakyat dengan agenda utama mereka adalah apa yang tersirat dalam pemikiran Anwar Ibrahim. Ini adalah Pakatan untuk turut mengekor Anwar Ibrahim dan menjadi pak turut politik dan bukan beragenda rakyat.

Apa pun, sebenar perjuangan Ketuanan Anwar Ibrahim adalah perjuangan Anwar Ibrahim yang sentiasa mempunyai hasrat dendam dan tidak mengira siapa yang terkorban.

Latihan Komando

KTMB Kerugian RM897 juta selama 7 tahun

Zuwairi Zakwa

Kerajaan hari ini mengakui bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerugian sebanyak RM897 juta sejak tahun 2001 hingga 2007.

Kerugian tersebut disebabkan KTMB ‘hilang’ penumpang berikutan pembangunan pesat sistem jalan raya yang jauh lebih baik, selesa dan menjimatkan masa berbanding pengangkutan tersebut.

Bercakap semasa menjawab soalan yang ditanya Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), Timbalan Menteri Pengangkutan, Lajim bin Ukin memberitahu bahawa KTMB mengalami kerugian beberapa tahun kebelakangan ini.

Kamarudin memberitahu bahawa KTM telah mengalami kemerosotan penumpangnya daripada 833,000 orang, pada sekitar tahun 1990 kepada 270,000 pada tahun 2004.

Menurutnya Kamarudin lagi, kemerosotan tersebut membuktikan bahawa nilai dan mutu perkhidmatan keretapi di negara ini amat lemah. Hal ini ditambah lagi dengan tempoh perjalanan pengangkutan itu yang terlalu panjang berbanding perjalanan jalan raya. Ini menjadi faktor kepada keengganan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Kerugian tersebut perlu dipersoalkan dan kerajaan perlu bertanggungjawab ke atas kerugian tersebut. –

Tahun Nilai Kerugian KTMB

2001 RM 188 juta

2002 RM 140 juta

2003 RM 131 juta

2004 RM 87 juta

2005 RM 131 juta

2006 RM 104 juta

2007 RM 116 juta

JUMLAH RM 897 juta

LOMPAT

Dr. Mahathir Mohamad

1. Kita banyak dengar tentang kemungkinan ahli parti Barisan Nasional lompat masuk parti lawan.

2. Jika 35 ahli masuk parti lawan, parti BN akan jatuh. Parti lawan akan menang dan akan dirikan Kerajaan.

3. Apa akan jadi pada wakil rakyat BN yang lompat? Mereka tidak akan jadi Perdana Menteri kerana sudah tentu pemimpin Pakatan akan jadi PM. Ahli-ahli Pakatan yang lain juga ingin jadi Menteri dan Timbalan Menteri.

4. Berapa tempat yang tinggal pada ahli BN yang lompat? Tentu tidak semua mereka akan dapat tempat. Mereka akan terus jadi pengikut Pakatan sahaja, seperti mereka mengikut Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum mereka lompat.

5. Jika Ahli Dewan Rakyat BN keluar dari BN tetapi tidak masuk parti lawan mereka akan bebas menyokong atau menolak undang-undang atau dasar parti Kerajaan atau usul-usul parti lawan. Mereka bebas mengecam parti Kerajaan jika melakukan kesalahan, demikian juga apabila parti lawan membuat atau pun melakukan perkara yang salah.

6. Jika jumlah yang tinggal BN cukup untuk kurangkan penyokong Kerajaan supaya tidak ada majority lagi, Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah akan jatuh.

7. Kerajaan baru hanya boleh didirikan jika dipersetujui oleh ahli-ahli yang keluar BN, kerana mereka memiliki cukup undi untuk menentukan BN atau Pakatan yang menjadi majoriti dalam Parlimen.

8. Jika BN ganti Dato Seri Abdullah dengan orang lain yang berani, kumpulan yang keluar dari BN boleh sokong BN semula dan BN akan kembali jadi Kerajaan.

9. Ini adalah satu cara untuk memaksa Dato Seri Abdullah letak jawatan. Kemudian semua yang lompat boleh masuk balik parti masing-masing.

10. Percayalah, mereka daripada parti komponen BN yang telah sokong parti lawan PRU 12 akan kembali sokong BN apabila Dato Seri Abdullah bukan lagi Perdana Menteri.

Angkara Mahathir buat BN kucar kacir di Parlimen

Mohd Rashidi Hassan

Tindakan drastik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar daripada Umno ketika memberi respon beliau kepada soalan hadirin dalam satu majlis di Alor Setar 19 Mei lepas mencetuskan suasana panik dan kucar kacir di kalangan Umno.

Suasana di Parlimen pagi semalam begitu muram dan mengelirukan ramai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, khususnya Umno, kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang hendak terjadi kepada parti mereka.

Ucapan Mahathir yang berulang kali mengecam Perdana Menteri yang juga Presiden Umno sudah dijangka, tetapi tiada siapa yang menyangka ahli nombor 1 Umno (Umno baru 1988) itu keluar parti.

Kata Mahathir, Abdullah tidak faham signal yang ditunjukkan rakyat pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Mahathir menyertai tiga Presiden Umno sebelumnya iaitu Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn untuk bersara di luar Umno.

Ada banyak rumours diperkatakan di kalangan Ahli Parlimen (MP), wakil-wakil media dan orang-orang politik. Di mana sahaja sudut Parlimen, sama ada dalam dewan persidangan, ruang istirehat MP, lobi, kantin dan ruang legar, semuanya membincangkan topik mengenai Mahathir.

Ada yang kata bekas PM itu membuat keputusan tergesa-gesa, spontan dan tidak dirancang ketika dicabar seorang peserta perhimpunan.

Ada yang kata, Mahathir memang merancang untuk keluar Umno dan hanya menunggu masa yang sesuai.

Ada yang kata, tindakan Mahathir keluar Umno didorong oleh tindakan Abdullah yang membenarkan Peguam Negara menyiasat kemungkin berlaku salahlaku bekas PM itu sebagaimana saranan Suruhanjaya Klip Video Lingam.

Apa pun andaian, hakikat yang disebut Mahathir amat jelas, beliau tidak mahu Abdullah menjadi Presiden Umno dan PM. Hanya jika Abdullah meletakkan jawatan baru lah beliau akan kembali kepada Umno.

Kenyataan sekeras ini dikeluarkan setelah berulang kali gesaan dibuat Mahathir supaya Abdullah segera meletakkan jawatan kerana beliau adalah punca sebenar yang mengakibatkan BN hampir kehilangan kuasa di Parlimen.

Bukan sahaja Mahathir dan anaknya Dato' Mukhriz yang mendesak Abdullah meletakkan jawatan. Ramai pemimpin di peringkat negeri dan bahagian juga membuat desakan sedemikian.

Tetapi Abdullah enggan berundur. Beliau tegas menyatakan apa yang berlaku, sesiapa pun yang mendesaknya, tiada sebab untuknya meletakkan jawatan. Ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat katanya.

Sikap Abdullah ini membuatkan ahli-ahli Umno tidak ada pilihan lain. Kalau mereka tidak mahu Abdullah, mereka tidak boleh tunggu Abdullah meletakkan jawatan.

Untuk Umno, Abdullah Badawi mesti dipaksa meletakkan jawatan, sama ada dengan menewaskannya dalam pemilihan jawatan Presiden Umno Disember depan, atau jika, Disember terlalu lama, mereka terpaksa membuat undi tidak percaya kepadanya dalam mesyuarat Majlis Tetinggi Umno atau mungkin juga dalam Perhimpunan Agung Khas.

Apa yang akan jadi pada Umno?

Ketika penulis berkesempatan berbual-bual mengenai isu ini dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di lobi Parlimen, secara spontan beliau menyebutkan, "Musa (Tun Musa Hitam, bekas TPM) lupa, dia juga pernah jadi duri dalam daging (Umno).

Kenyataan spontan Ustaz Hadi itu merujuk kepada kenyataan Musa yang 'seolah-olahnya bersyukur' bahawa Mahathir yang disifatkannya sebagai duri dalam Umno sudah keluar.

Ada juga sumber dalam Umno mengatakan, bekas TPM itu pernah berjumpa Abdullah di kediaman rasmi PM di Putrajaya selepas PRU Mac lepas.

Dalam pertemuan itu dikhabarkan Musa ada meminta Abdullah berundur, tetapi secara tiba-tiba Kamaluddin (anak Abdullah) masuk dan terus menyampuk perbuatan dua orang tua itu, dengan menegaskan bapanya tidak akan berundur dari sebarang jawatan.

Banyak gosip yang disebut orang-orang Umno, bahawa keengganan Abdullah meletakkan jawatan lebih didorong faktor anak-anak, menantu, keluarga dan kroni.

Antara nama-nama yang mahu Abdullah kekal, disebutkan orang-orang Umno, selain Kamaluddin iaitu Khairy Jamaluddin, Kamal Khalid, Kalimullah Masheerul Hassan dan beberapa orang lain.

Ringkasnya selain keluarga, Abdullah mahu dikekalkan oleh orang-orang di Tingkat 4 JPM dan NST.

Sejauhmana dakwaan itu, sama ada betul atau tidak, itulah yang diperkatakan oleh orang-orang Umno, khususnya di Parlimen.

Menurut mereka sebahagian besar ahli-ahli Umno tidak mahu Abdullah Ahmad Badawi lagi sebagai PM. Bagi mereka banyak tindakan Abdullah sama ada dalam parti dan kerajaan, tidak dibuat untuk kepentingan Umno dan BN.

Kebanyakannya dibuat tanpa merujuk Umno, tanpa merujuk BN. Ada juga kalangan pemimpin Umno juga menempelak Musa Hitam, dengan mengatakan walaupun bekas TPM itu 'mentor' Abdullah, tetapi kebanyakan nasihatnya tidak terpakai.

Mungkin betul juga dakwaan blogger Sang Kelembai (rakan penulis) bahawa kerajaan yang ada sekarang ini adalah 'Kerajaan Tiga Beranak'. Sejauhmana rakan penulis itu mahu mempertahankan pendiriannya terhadap Abdullah, hanya beliau sahaja yang tahu.

Hakikatnya, parti Umno ketika ini, mahu tidak mahu harus diakui dalam keadaan macam tongkang pecah.

Mampukah Abdullah bertahan?

Bagi Abdullah, sekarang ini, beliau tidak ada pilihan selain untuk mempertahankan kedudukannya yang terumbang ambing akibat desakan bertalu-talu.

Tengahari semalam beliau terpaksa bergegas ke Parlimen untuk menemui anggota Parlimen Umno dan BN, dengan satu tujuan, mahukan komitmen mereka terus kekal dalam parti dan tidak mengikut jejak langkah Mahathir.

Tidak dinafikan pengaruh Mahathir begitu besar dalam Umno. Ada yang kata Mahathir boleh mencetuskan tsunami. Ada yang kata tindakan Mahathir seperti Taufan Nargis kepada Umno.

Tekanan besar kepada Abdullah dan BN bukan sahaja dari Mahathir. Abdullah dan BN juga sedang berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mahu menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat bila-bila masa.

Abdullah menghadapi tekanan dari dalam dan luar Umno. Jelasnya tindakan Mahathir ini akan membawa akibat buruk kepada Umno dan BN, sekaligus ia memberi keuntungan kepada Anwar.

Di Parlimen semalam, ramai MP BN termasuk bekas Menteri yang berbual-bual sambil menanyakan borang ahli PAS dan KeADILan.

Di satu sudut seorang MP berbual dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamad Azmin Ali, meminta disediakan borang ahli KeADILan bila-bila masa dari sekarang.

"Saya mungkin dah tidak lama jadi orang Umno, kalau susah-susah lebih baik saya masuk PAS, boleh terus perjuang Islam/ Melayu," kata seorang MP Umno sambil bergurau penulis.

Mungkin juga beliau bergurau, mungkin juga beliau serius. Apa pun keadaan yang berlaku sekarang boleh menambahkan koleksi MP-MP Umno/BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Pemimpin Pakatan Rakyat harus bijak menangani kemelut yang berlaku dalam Umno sekarang ini. Masa untuk menubuhkan kerajaan semakin dekat, persediaan serapi mungkin harus dibuat.

Peluang sebaik ini harus dimanfaatkan. Anwar, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, harus segera berpakat untuk meyakinkan rakyat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa, ianya tidak akan menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno/BN macam tongkang pecah, mereka tidak perlu dibeli, sudah tentu mereka tidak mahu mati kelemasan, mereka tahu bila masanya untuk terjun sendiri.

Mari kita sediakan pelampung yang secukupnya sebelum Umno karam bersama Abdullah dan pengikut-pengikut setianya!

Analisis: Peluang terbuka untuk Anwar?

Oleh Darwis Said, Berita Harian Singapura

KEPUTUSAN Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Umno memang menggemparkan. Mungkin ia di luar jangkaan ramai. Namun, ia bukan satu kejutan besar bagi saya.

Ini memandangkan kecaman demi kecaman yang pernah dilemparkan beliau ke arah Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atau 'Pak Lah', sejak beberapa tahun ini.

Kecaman itu semakin meluap-luap selepas keputusan lemah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Para pemerhati politik menyifatkan undangan Dr Mahathir mengajak sama beberapa anggota Umno lain mengikut jejaknya itu sebagai langkah melemahkan lagi kedudukan Pak Lah.

Pengamat politik bebas dan pengarah Eksekutif Institut Pembangunan dan Kajian Sosioekonomi (Sedar) Malaysia, Khoo Kay Peng, dalam laman blognya 'Straight Talk', berkata ia mungkin usaha terakhirnya mendapatkan sokongan ke arah matlamat itu.

Tapi, apakah ia benar-benar berkesan dalam rancangannya 'menggulingkan' Pak Lah dan 'membaharui' Umno - parti komponen terbesar BN?

Setakat ini, ada beberapa anggota Umno yang menyatakan kesediaan mereka mengikuti jejak mantan perdana menteri Malaysia itu.

Namun, sumber-sumber juga berkata ramai yang menolak cadangannya itu dan berikrar setia kepada Pak Lah.

Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Dr Hussin Mutalib, berkata Dr Mahathir berharap taktik 'berita menggemparkan' mengenai keputusannya untuk berundur daripada Umno boleh memaksa pemimpin dan anggota Umno yang berpihak kepadanya bertindak serius untuk menangani masalah dalaman parti itu, khususnya perihal kedudukan Pak Lah.

Namun, gesaan Dr Mahathir agar Pak Lah meletakkan jawatan sebelum ini 'belum mampu menghasilkan tsunami besar yang boleh menghanyutkan perdana menteri itu ke tepian', kata Khoo.

Bagaimanapun, kali ini agak sukar ditentukan kesannya.

'Walaupun Pak Lah kelihatannya cuba mengecilkan isu pengunduran itu, hakikatnya beliau kini menghadapi masalah lebih besar,' kata Dr Hussin.

Saya akur dengan pandangan itu.

Sedang Umno mungkin lebih selesa tanpa Dr Mahathir, masa depan Pak Lah bukan sahaja akan bergantung kepada kekuatan suara dan tindakan penyokong Dr Mahathir dalam Umno.

Ia juga akan bergantung kepada tindak balas Pakatan Rakyat - pakatan campuran tiga parti pembangkang utama Malaysia - dan keupayaan mereka mengambil kesempatan keadaan goyah Umno ketika ini untuk mengorak langkah ke arah pembentukan kerajaan alternatif pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita tunggu September ini.

KENYATAAN PENUH DATUK MUKHRIZ DI SIDANG AKHBAR

KENYATAAN MEDIA

YB DATO' MUKHRIZ MAHATHIR

AHLI PARLIMEN JERLUN

EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Merujuk kepada tindakan ayahanda saya, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Alor Setar, Kedah semalam, yang mengumumkan keluar dari parti sehinggalah YAB Dato’ Seri Abdulah Hj Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, saya dengan ini membuat kenyataan seperti berikut:

1. Saya amat faham dan bersetuju bahawa tindakan ayahanda saya adalah kerana sayangnya beliau kepada UMNO. Saya juga percaya bahawa bagi mencapai matlamat tindakan tersebut, terdapat lebih dari satu cara perlaksanaanya. Maka dengan itu, saya mengumumkan bahawa saya TIDAK AKAN MELETAKKAN JAWATAN DI DALAM UMNO,SEBAGAI AHLI PARLIMEN JERLUN MAHUPUN SEBAGAI AHLI UMNO. SAYA AKAN TETAP SETIA SEBAGAI AHLI UMNO DAN AKAN MENJADI SUARA YANG LANTANG MENEGUR KEPINCANGAN KEPIMPINAN PARTI;

2. Seterusnya, saya serta rakan-rakan yang sependirian dengan saya dengan ini MENDESAK SEKERAS-KERASNYA AGAR YAB DATO’ SERI ABDULLAH HJ AHMAD BADAWI MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL DENGAN SEGERA;

3. Kami juga mendesak agar Majlis Tertinggi UMNO MEMBUKA SELUAS-LUASNYA SEGALA RUANG DEMOKRASI PARTI YANG TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PARTI yakni dalam bentuk pemansuhan sistem kuota, membenarkan Mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan, tidak menghalang ahli-ahli UMNO untuk mengadakan majlis bersama pemimpin atau tokoh Melayu, dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk arahan, kekangan atau larangan yang menafikan prinsip-prinsip demokrasi dalam parti; dan

4. Selanjutnya, kami MENGGESA AHLI UMNO KHUSUSNYA DAN RAKYAT MALAYSIA AMNYA, menyuarakan bantahan mereka terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi secara terbuka dan lantang melalui surat peribadi, sms, surat kepada media serta melalui sidang-sidang media, bagi MEMBERI TEKANAN AGAR YAB DATO’ SERI SEGERA MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL.

Ini adalah pendirian saya pada waktu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengubah pendirian saya ini sekiranya keadaan tidak beransur pulih.

Sekian.

20 Mei 2008

Samy: Abdullah mesti tunai janji p'raya

Enggan terbabit dalam kemelut politik Umno, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menggesa Perdana Menteri menunaikan janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya
umum 8 Mac lalu.

samy vellu 010307Beliau berkata masanya sudah tiba bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, untuk merealisasikan janji yang dibuat oleh kerajaan sebelum pilihanraya.

"MIC yang menyokong penuh kepimpinan Abdullah sebagai perdana menteri dan pengerusi BN, merasakan adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan semua janji yang telah dibuat ditunaikan...dan oleh kerana kini masanya untuk bekerja, adalah adil bagi kami untuk meminta beliau memenuhi janji itu," kata Samy Vellu kepada Bernama hari ini.

Samy Vellu membuat kenyataan itu berikutan desakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Abdullah meletakkan jawatan dan melepaskan tampuk kepimpinan Umno dan negara.

Isnin lalu, Dr Mahathir mengambil keputusan keluar dari Umno kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan Abdullah.

Samy jumpa KSN

Bernama juga melaporkan, Samy Vellu menemui Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk merayu bagi pihak 187 pelajar cemerlang India Malaysia yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini.

Samy Vellu berkata 187 pelajar itu, tiga daripadanya memperoleh 12 A1, tujuh (11 A1), 68 (10 A1), 66 (9 A1) dan 43 (8 A1) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya memberi penjelasan kepada Ketua Setiausaha Negara mengenai perlunya membantu pelajar ini. Ini selaras dengan aspirasi kami untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua profesional dalam setiap keluarga India di negara ini.

"Beliau amat memahami dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membantu pelajar ini yang cemerlang dalam pelajaran mereka," katanya.

Pada masa ini, katanya, hanya 72 pelajar India menerima biasiswa JPA daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan.

Katanya Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, S.K Devamany, Timbalan Menteri di Jabatan Pedana Menteri dan Ketua Biro Pendidikan MIC Prof Datuk T. Marimuthu juga akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Ismail Adam petang ini untuk membincangkan perkara itu.

"Kami mengambil pendekatan serampang dua mata untuk menyelesaikan masalah ini. Kami percaya beberapa pelajar dalam senarai 187 pelajar itu akan dipertimbangkan," kata Samy Vellu.

Beliau menggesa pelajar yang mengemukakan rayuan menerusi MIC, supaya memaklumkan kepada ibu pejabat parti jika mereka mereka menerima tawaran baru biasiswa daripada kerajaan.

"Ini akan membantu kami mengetahui perkembangan dalam perkara ini. Sebelum ini mereka tidak memaklumkan kepada kami jika rayuan mereka berjaya atau sebaliknya sehingga menyukarkan kami untuk membantu mereka mendapatkan biasiswa kerajaan.

"JPA perlu mengambil sedikit masa untuk menyemaknya dan buat sementara waktu ini saya nasihatkan pelajar ini supaya bertenang dan menunggu senarai akhir," katanya.

Mukhriz ke JK pengurusan Umno

Muda Mohd Noor

Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir, yang mengulangi gesaan agar Datuk Seri Abdullah meletakkan semua jawatannya, akan dihadapkan kepada jawatankuasa pengurusan parti.

"Sebagai calon ketua Pemuda, beliau tidak boleh bersikap begitu," kata ketua pergerakan itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein di lobi parlimen hari ini.

Beliau menambah, sebagai ahli parti, Mukhriz tidak wajar meletakkan syarat sedemikian kepada presiden parti dan perdana menteri.

Beliau juga menyatakan desakan Mukriz semalam bukan kali pertama dan tindakannya itu tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi Umno.

"Saya menyeru pemimpin dan ahli Pemuda Umno melihat ke depan dan merapatkan barisan," katanya.

Jawatankuasa pengurusan parti dipengerusikan oleh timbalan presiden Datuk Seri Najib Razak dan bertemu setiap Rabu.

Selasa, 20 Mei 2008

Mukhriz tidak meninggalkan Umno

Muda Mohd Noor

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan semua jawatan - presiden, perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau membuat desakan tersebut dalam satu sidang akhbar di ibunegara lewat petang ini.

Mukhriz bagaimanapun berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali, keluar dari Umno.

Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk mendesak Abdullah supaya meletakkan semua jawatan tersebut.

tiga exco pemuda umno sokong mukhrizBeliau juga mendakwa, mendapat sokongan, bukan sahaja dari Umno tetapi juga dari kalangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Hadir sama di sidang akhbar tersebut ialah kira-kira 20 ketua Pemuda bahagian dari seluruh negara dan tiga exco Pemuda - Kamarul Zaman Kamdias, Azizul Nizam Bidin dan Harison Hassan - untuk menyatakan sokongan terhadap tindakan Mukhriz itu.

Mukhriz berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan dalam Umno sebagai ahli Parlimen Jerlun mahupun sebagai ahli Umno

"Inilah pendirian saya pada waktu ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengubah pendirian saya ini sekiranya keadaan tidak beransur pulih," katanya.

Beliau berkata, keputusannya untuk tidak meninggalkan Umno mungkin mengecewakan bapanya.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, beliau akan menjelaskan pendiriannya kepada bapanya itu.

Karpal terima peluru hidup




Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa beliau diancam bunuh oleh pihak yang tidak dikenali tengah hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau mendakwa menerima sebutir peluru hidup dan sepucuk surat dalam sekeping sampul yang dikirim oleh seorang lelaki ke pejabatnya.

Kandungan surat itu, antaranya, mengancam untuk membunuh peguam terkenal tersebut.

Beliau, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, merancang melaporkan kejadian itu kepada polis petang ini.

Ulasan Anwar mengenai Tun Dr Mahathir keluar Umno

Oleh Anwar Ibrahim

Keputusan Tun Dr. Mahathir untuk keluar dari Umno hari ini mencerminkan krisis Umno yang kian merosot, di mana pemimpin saling berebut dan bercakaran, manakala rakyat semakin tidak terbela.

Masalah dalaman Umno semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih. Walaubagaimanapun, kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin yang rasuah.

Memandangkan masalah dalaman Umno yang semakin merudum, semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan kestabilan, kemajuan dan perpaduan masa depan negara dijemput menyertai KeADILan dan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan visi bersama untuk bersatu demi memulihkan Malaysia.