Khamis, 26 Mac 2009

Khairy: Kemenangan saya bukan kerana politik wang

Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa kemenangannya kali ini ada kaitan dengan amalan politik wang.

Khairy menafikan dakwaan tersebut kerana beliau masih berkelayakan bertanding bagi jawatan tersebut tanpa sebarang halangan.

"Tidak, tidak ada... saya layak bertanding," katanya ringkas ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda lewat malam tadi.

Minggu lalu Lembaga Disiplin mendapati Khairy bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno yang melibatkan politik wang.

Dalam persaingan tiga penjuru merebut, Khairy memperoleh 304 undi meninggalkan dua lagi calon iaitu ahli Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

Khairy dalam ucapan penangguhannya setelah diumumkan sebagai Ketua Pemuda berkata, dengan semangat setiakawan yang menjadi tema kempennya, beliau berjanji tidak akan meminggirkan mana-mana pihak dalam barisan kepimpinannya.

"Tak bermakna yang tak bersama saya (bukan penyokong) akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan sentiasa diterapkan," katanya.

Beliau mahu semua ahli Pemuda merapatkan semula barisan dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar.

"Kita akan berhadapan dengan tugas berat iaitu berhadapan dengan pilihan raya (kecil) nanti," katanya.

Keputusan yang menyebelahi Khairy nyata mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Mukhriz.

Reaksi bantahan tersebut ketara apabila penyokong ahli Parlimen Jerlun itu meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn tempat perhimpunan pergerakan tersebut diadakan.

Dalam pada itu sekumpulan penyokong Mukhriz yang berada di luar dewan berkumpul dan bersorak menyatakan perasaan bantahan mereka.

Antara sorakan yang jelas kedengaran ialah 'Khairy rasuah'.

Sekumpulan anggota polis juga berkawal di sekitar kawasan ruang legar kaunter pendaftaran perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengawal sebarang kemungkinan.

Rabu, 25 Mac 2009

Keputusan penuh pemilihan Wanita Umno

Berikut adalah keputusan pemilihan Wanita Umno 2008.

PENGERUSI TETAP Tan Sri Napsiah Omar (tanpa bertanding)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP Datuk Sharifah Aminahbi Syed Mohd

KETUA Datuk Seri Shahrizat Abdil Jalil............ (507 undi)

NAIB KETUA Datuk Kamilia Ibrahim....................... (tanpa bertanding)

EXCO

1. Hasnah Salam............................. (520 undi)

2. Datuk Maznah Abdul Hamid................. (509 undi)

3. Datuk Rosni Zahari....................... (480 undi)

4. Datuk Armani Mahiruddin.................. (463 undi)

5. Datin Paduka Norhayati Onn............... (463 undi)

6. Datuk Norhayati Omar..................... (432 undi)

7. Datuk Rusnah Kassim...................... (430 undi)

8. Marlia Abd Latiff ....................... (416 undi)

9. Noriah Mahat............................. (412 undi)

10. Ros Suryati Alang....................... (405 undi)

11. Jamelah A Bakar......................... (400 undi)

12. Suraya Yaacob........................... (388 undi)

13. Azihani Ali............................. (385 undi)

14. Norliza Abdul Rahim..................... (377 undi)

15. Sharifah Azizah Syed Zain............... (375 undi)

16. Datuk Maznah Mazlan .................... (374 undi)

17. Datuk Azizah Mohd Dun................... (371 undi)

18. Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin... (367 undi)

19. Norliza Hj Ahmad ....................... (347 undi)

20. Wan Hazani Wan Mohd Nor................. (344 undi) BERNAMA

Ucapan Perasmian Serentak Pemuda, Wanita dan Puteri Umno

UCAPAN PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2008 OLEH TIMBALAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK DI DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA KUALA LUMPUR

Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti UMNO. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.

KOMITMEN

Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.

Saudara dan saudari,

Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju Umno telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama Umno kini menukar haluan mereka.

PEMILIHAN BERSEJARAH

Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, para perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah Umno. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

Hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Saudara dan saudari,

Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:

Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang . Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa :

Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

SEMANGAT... DATUK Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa berucap merasmikan ketiga-tiga sayap Umno iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri malam tadi.

MUSIBAH

Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, makanya, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, akan tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan Umno.

Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan mena’kul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, Umno telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Umno telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila Umno mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.

Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan Umno. Umno juga telah membuat pengorbanan besar apabila dalam pilihan raya umum pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi Umno sehinggalah kini.

Saudara dan saudari,

USAH APOLOGETIK

Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli UMNO tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.

Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970:

Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara proaktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA serta membangunkan kawasan luar bandar.

Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980:

Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.

Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990:

Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?

Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991–2000:

Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak UMNO juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.

Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.

Saudara dan saudari,

LANDSKAP POLITIK BERUBAH

Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Landskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pascatamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.

Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

ELAK DIKAITKAN DENGAN POLITIK WANG

Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini.

Saudara dan saudari,

PARTI BUKAN ANTIIDEA

Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang antiidea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.
SALAM... DATUK Seri Mohd. Najib Tun Razak bersalaman dengan mereka yang hadir sempena majlis merasmikan ketiga-tiga sayap Umno iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri malam tadi.

Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas-mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menganggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?

BUDAYA RENDAH DIRI

Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno.

Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.

Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Saudara dan saudari,

PERPADUAN

Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali.

Kepada para Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk melibatkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada YB Dato’ Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Saudara dan saudari,

SERAH OBOR PERJUANGAN

Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya tahun 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik.

Saudara dan saudari,

Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

Tersenarai, antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah.

Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.

BETULKAN VISI UMNO

Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps.

Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih para ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

UBAH SISTEM PEMILIHAN

Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

Saudara dan saudari,

RAJA-RAJA: PINDAAN PERLEMBAGAAN

Umno menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif. Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?

Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan UMNO meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi. Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Saudara dan saudari,

USAHA BERSAMA ATASI KRISIS EKONOMI

Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia merupakan krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Makanya, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti. Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia merupakan antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi satu trilion ringgit setahun. Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global. Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Saudara dan saudari,

ISU BAHASA

Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman. Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Seyogia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris, malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”). Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan. Ingatlah, Umno bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada Umno sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

Melayu dan Umno tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan Umno bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh. Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain. Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

UMNO KEKAL LESTARI

Kesimpulannya, untuk kekal lestari Umno mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Saudara dan saudari,

Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak Umno ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin Umno sepanjang lima tahun lalu. YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa. Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti tergaris dalam misi nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.

Saudara dan saudari,

POLITIK NAJIB

Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayap-sayap Umno setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawadhuk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Dato’ Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi Allahyarham Tun Abdul Razak. Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya. Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti Umno membela untung nasib rakyat.

Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli Umno yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden Umno.

Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden Umno baru yang bakal dipilih kelak. Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi. Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya-Allah, laungan perjuangan Umno sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sabtu, 21 Mac 2009

Perdana Menteri BN yang terakhir — Ahmad Lutfi Othman

MAC 21 — Dari awal, saya memang tidak tertarik dengan teori konspirasi dalam Umno, apa lagi terhadap dakwaan bahawa Datuk seri Abdulllah Ahmad Badawi kemungkinan besar tidak akan menyerahkan jawatan tertingginya dalam kerajaan kepada Datuk Seri Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno nanti. Abdullah bukannya seorang tokoh yang bersedia mendepani cabaran dan gugatan sehingga sanggup bertahan dengan prinsip yang didokong. Beliau kelihatan mudah tunduk dengan tekanan dan suka mengelak daripada bertembung dalam suasana lebih sukar.

Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan — malah tidak difahami rakyat — ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.

Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin — yang juga dilihat rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim — sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.

Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.

Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa — apatah lagi menjayakan — suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.

Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN. — Harakah

Jumaat, 20 Mac 2009

Muhyiddin: Umno di hujung jalan... (hilangkan gian)

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu kini sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera berubah untuk mengembalikan pengaruhnya seperti dulu.

Umno, katanya, hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah sebelum diadili semula oleh rakyat pada pilihanraya umum ke-13.

Dalam masa yang sangat terbatas itu, tambahnya, semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti termasuk sedia menerima perubahan.

"Ada orang kata Umno sudah sampai ke persimpangan jalan, saya kata Umno dah sampai ke penghujung jalan. Tempoh yang terakhir adalah empat tahun," katanya dalam temubual dengan Bernama.

Muhyiddin, yang akan bertanding kerusi timbalan presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, mengakui bahawa tugas itu bukan mudah, namun Umno harus bersedia melakukannya walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan pihak tertentu.

"Bagi saya, kalau ikut tempoh masa pembaharuan ini, kita kena mula sebaik saja selepas perhimpunan agung. Katakanlah dalam tempoh dalam masa sembilan bulan selepas itu kita telah meletakkan asas-asas, pemimpin parti semua dibawa masuk bincang dalam Umno.

"Inilah pendekatan yang nak diambil oleh Datuk Seri Najib (Razak), dibantu oleh saya dan rakan-rakan lain.

"Merencanakan jadual-jadual... pertama balik ke 'sekolah politik' iaitu kursus (bagi) semua pemimpin Umno, fahami asas perjuangan Umno supaya kita dilihat telah balik ke pangkal jalan, jangan ada lagi nilai-nilai negatif. Ini bukannya mudah," kata Muhyiddin.

Najib dijadual mengambil alih kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama selepas perhimpunan agung yang berakhir 28 Mac ini.

Muhyiddin berkata, nilai negatif yang mesti dibuang daripada dalam diri ahli antaranya sikap mengutamakan diri sendiri agar persepsi mereka mengenai ahli dan parti dapat diperbetulkan.

Katanya, usaha itu boleh dijayakan melalui penganjuran kursus dan program latihan besar-besaran bagi melatih semula semua peringkat dalam pelajaran politik.

"Sebab saya lihat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ni, kita agak lari, banyak orang lihat kita ini self-serving (utamakan diri), apa yang ada... mesti Umno dulu, ada kontrak... Umno dulu, kalau ada projek... Umno dulu.

"Sejarah Umno (semasa) Datuk Onn Jaafar dulu tak macam itu. Ada sesuatu dia bagi yang rakyat dulu. Kita ini sebagai pejuang tak apa , kita hidup papa, yang luar mesti hidup selesa.

"Sekarang ini tidak (seperti dulu), kita mesti pentingkan kita dulu, yang ketua bahagian mesti jaga ketua cawangan, mesti jadi ahli dulu, padahal ahli-ahli yang di bawah itu untuk bela nasib orang Melayu di luar," katanya.

Beliau berharap pembaharuan yang dilakukan itu akan dapat dirasai oleh masyarakat Melayu khususnya dalam tahun ketiga dan pada tahun keempat dari pemilihan Umno tahun ini supaya bersedia untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihanraya umum depan.

Muhyiddin berkata Umno tidak harus hanya menjadi parti untuk ahli-ahlinya sahaja, sebaliknya juga parti yang memberi khidmat kepada semua orang Melayu serta rakyat Malaysia.

Tambahnya, sikap lama yang mengutamakan ahli untuk pemberian bantuan tertentu misalnya mesti diperbetulkan kerana semua kaum mesti dibantu.

Muhyiddin, yang juga anggota parlimen Pagoh, berkata beliau sedang cuba membuat pembaharuan di kawasan yang diwakilinya itu dengan meminta ahli Umno menyelesaikan masalah kaum lain.

Bukan lagi seperti dulu iaitu masalah orang Melayu diselesaikan oleh Umno, masalah orang Cina diselesaikan oleh MCA dan masalah India diselesaikan oleh MIC, tambahnya.

"Sekarang saya pusing... bayangkan kalau Pemuda Umno buat gotong-royong di kawasan Cina dan India, begitu juga sebaliknya, apa persepsi masyarakat? Mula-mula orang kata mengada-ngada, kalau dibuat selalu, bukan mengada, atau kita dilihat sebagai membantu bukan saja puak-puak kita, tapi membantu semua.

"Ini bentuk format gerak kerja yang kita nak buat, sebab rakyat menilai kita daripada segi apa yang kita buat untuk mereka. Ini adalah kandungan pembaharuan dan perubahan.

"Jadi empat tahun cukup, tapi rakyat akan adili kita," katanya.

Muhyiddin berkata ahli-ahli Umno tidak mempunyai pilihan dan perlu bersedia menerima perubahan untuk kelangsungan hidup parti.

"Kena ada muafakat antara pimpinan dan ahli tentang apa agenda kita dan dalam proses itu mesti dijelaskan kalau tak buat begini, ini kesannya risiko bagi kita.

"Yang paling bahaya kita hilang kuasa. Jadi kita kena beritahu inilah pilihan kita. Untuk pilihan ini, kamu mesti bersedia untuk berkorban, ubah gaya (lama) yang tidak secocok dengan gaya baru," katanya.

Muhyiddin berkata Umno tidak boleh menunggu 10 tahun lagi untuk berubah kerana pada masa itu ia sudah terlambat.

"Saya bayangkan, kalau kita sudah hilang kuasa, nak dapatkan balik kuasa itu payah. Jadi apa pilihan kita?

"Kamu nak terus kuasa dan berubah atau kamu nak hilang kuasa? Tidak ada pilihan. Umno dan BN tidak banyak pilihan," katanya.

Muhyiddin juga berharap pergerakan Pemuda dan Puteri dapat memainkan peranan penting untuk menggerakkan parti ke arah yang lebih positif, terutamanya kerana pada masa ini golongan muda mewakili 50 hingga 60 peratus daripada pengundi.

Adalah penting kedua-dua pergerakan itu dibarisi oleh pemimpin yang bukan saja bersemangat, tetapi berpengalaman, rasional, mempunyai ketokohan, pandai menilai situasi dan politik semasa, tahu cara-cara menyumbang kepada kepimpinan sekarang, memikirkan semangat kerjasama, perpaduan dan mesti faham kehendak rakyat.

Beliau berpendapat kepimpinan golongan muda mesti berorientasikan hasil, mampu memberi kesan positif dan meningkatkan keyakinan golongan muda.

"Saya pernah sebutkan sebelum ini, setiap apa yang kita lakukan baik di Wanita, Pemuda atau Puteri, kita mesti lihat kepada dividen politik, bukan kelebihan tapi dividen.

"Kita biar belanja RM1, tapi dividennya RM10. Kita tidak boleh macam dulu, seronok, syok-syok sendiri, lepas itu akhirnya harap orang itu akan sokong kita.

"Sekarang kita buat sesuatu nilai dulu, apa impak kalau ini yang aku buat kesannya kepada kita, kesan kepada masyarakat," katanya.

Isnin, 16 Mac 2009

Gabem Sabah

KOTA KINABALU 15 Mac - Konvensyen pertama Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera (Gabem) Sabah meluluskan 12 resolusi bagi memperkasakan usahawan bumiputera di negeri ini.

Antara resolusi tersebut ialah bersetuju mempertahankan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang masih relevan untuk diperjuangkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Gabem Sabah, Datuk Hamidah Yusof bagaimanapun berkata, orang Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak perlu melakukan anjakan paradigma dengan melakukan gerakan pemulihan Melayu atau bumiputera.

"Gerakan ini tidak harus datang daripada kuasa politik sahaja tetapi juga memerlukan kesatuan dan penyatuan Melayu atau bumiputera yang jitu bagi memanipulasikan ekonomi," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengumumkan resolusi tersebut pada majlis penutupan Konvensyen Gabem Sabah di sini semalam.

Resolusi itu kemudian diserahkan kepada Pengarah Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman.

Menurut Hamidah, intipati resolusi berkenaan penting bagi memastikan kaum bumiputera di negeri ini tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan.

Katanya, Gabem juga akan menganjurkan pameran bergerak bagi menjelaskan Perkara 153 kepada semua lapisan masyarakat khususnya bumiputera Sabah.

Resolusi lain yang diluluskan seperti berikut:

n Meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) mencari kaedah bagi membolehkan urusan membantu bumiputera dipermudahkan tanpa melalui banyak kerenah birokrasi.

n Meminta syarikat milik kerajaan (GLC) memberi sokongan kepada syarikat bumiputera yang berpotensi sekali gus mengelakkan persaingan.

n Memudahkan kaedah pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) milik bumiputera, khususnya di kawasan luar bandar dalam mengurus pemilikan tanah dan pengurusan tanah terbiar.

n Memastikan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Sabah diberi peranan dan tanggungjawab untuk melahirkan golongan usahawan di samping tugasnya melahirkan tenaga mahir dan ahli profesional.

n Kemiskinan luar bandar ditangani segera dengan memastikan projek pembangunan dijalankan tanpa kerenah birokrasi kerana fenomena ini membuka peluang kepada penyelewengan.

Sabtu, 14 Mac 2009

Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris - FAQ

1. Apakah matlamat PPSMI (Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris) ?

Matlamat dan objektif utama : Supaya pelajar-pelajar dapat menguasai subjek sains dan matematik dalam ertikata yang sebenar.

Matlamat secara tidak langsung : Dapat meningkatkan penggunaan bahasa inggeris dalam bidang teknikal

2. Kenapa perlu kuasai sains dan matematik ?

Kerana sains dan matematik adalah subjek asas kepada bidang sains, teknologi, maklumat, kejuruteraan. Pemahaman sains dan matematik akan memudahkan pelajar menguasai bidang-bidang sains dan kejuruteraan di peringkat tinggi (universiti).

3. Kenapa mesti bahasa inggeris ?

Kerana 100% bahan rujukan untuk bidnag-bidang sains dan teknologi adalah dalam bahasa inggeris. Oleh itu, dgn memahami sains dan matematik dalam bahasa inggeris dari awal lagi, ia akan memudahkan pemahaman kpd konsep dan fundamentals dalam bahan-bahan rujukan ini.

4. Kenapa tak boleh gunakan BM dalam subjek sains dan matematik ?

BM sudah digunakan sekian lama. Malah sehingga kini BM masih digunakan dalam kedua-dua subjek ini (walaupun secara dwi-bahasa). Masalah yang berlaku adalah semasa di peringkat tinggi (universiti), oleh kerana bahan rujukan adalah dalam BI, menyukarkan pelajar utk memahami konsep dan teori asas. Ia memerlukan masa utk pelajar tersebut memahamkan terma-terma tertentu... Ini boleh menjejaskan pemahaman keseluruhan yang membawa kegagalan dalam menguasai konsep bidang yg diceburi. Akhirnya pelajar tadi hanya akan belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan dan semata-mata untuk segulung ijazah dan bukannya untuk menguasai ilmu.

5. Kenapa perlu kuasai sains dan tekonologi ?

Sehingga kini, umat islam yang merupakan umat terbesar di dunia hanyalah umat pengguna. Kita hanya menjadi pengguna. Kita tidak menjadi pencipta. Yang menjadi pencipta adalah bangsa lain dan agama lain. Maka kita amat bergantung kpd bangsa barat dan yahudi dalam segala-galanya. Ini menjadikan kita begitu lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Malah untuk memboikot barangan US pun kita tidak mampu kerana kita tiada alternatif lain selain daripada bergantung kpd barangan mereka.

sehingga kini, kita hanyalah bangsa dan umat pengguna. Kita hanya mampu merintih, meratap dan menangis diatas kekejaman yang dibuat oleh org barat dan yahudi terhadap islam. Kita hanya boleh merayu meminta belas kasihan mereka. Lebih-lebih pun kita hanya mampu berkata "...mereka ini kejam ", "jagnan buat begitu ", "...tolong hentikan serangan", "...mereka ini tak berperikemanusiaan lah"... dan pelabagai kata-kata lain.

Kenapa ? kerana kita bukan bangsa ata umat yg dihormati diatas kejayaan kita menguasai teknologi. Kita adala umat pengguna.

Untuk menjadi pencipta, kita perlu kuasai sains dan tekonologi. Bukan sahaja lulus dalam ujian...tetapi perlu kuasa ilmu tersebut. Apabila kita (umat islam) menjadi pencipta, maka bangsa barat dan yahudi tidak akan berani menindas dan menghina umat islam. Kejadian di Palestine juga tidak akan berlaku sekiranya kita adalah umat pencipta dan pengeluar teknologi.

6. Kenapa Jepun, Perancis, German boleh berjaya dgn bahasa mereka ? Kenapa mereka tak perlu PPSMI untuk berjaya ?

Negara-negara diatas adalah juga negara-negara yg menjadi pelopor kpd tekonologi. Mereka telah meneroka bidang sains dan teknologi berpuluh-puluh tahun dahulu malah semenjak sebelum revolusi teknologi. Jepun misalnya, telah meneroka bidang sains dan teknologi sebelum perang dunia lagi. Mereka juga pergi ke barat utk belajar dan pulang dan membuat penterjemahan ke bahasa mereka dan terus membuat kajian sendiri. Sebagai contoh, semasa penemuan teknologi transistor oleh Bell Labs, beberapa engineer dari Jepun (Sony) telah mendapatkan (membeli) transistor itu dari Bell Labs dan membuat kajian sendiri untuk mengubah material yang digunakan. Ianya membawa kepada beberapa revision terhadap material yang digunakan.

Penterjemahan yang dibuat oleh mereka adalah pada ketika revolusi teknologi belum berlaku lagi. Usaha-usaha dan kajian yang mereka lakukan telah bermula sejak berzaman-zaman dan seiring dengan perkembangan teknologi.

Dimana Malaysia ketika itu ? Malaysia masih belum wujud lagi.

Malaysia kini berada pada zaman teknologi telah melampaui zaman revolusi...malah bergerak lebih pantas dari yang dijangka. Kita berada di belakang teknologi yg mana bahasanya dikuasai oleh bahasa asing.

7. Kenapa kita tidak buat penterjemahan ke BM sahaja ?

Proses penterjemahan sekiranya hendak dilakukan sekarang, memerlukan banyak sumber kewangan, kakitangan, masa dan prasarana lain yang mana kelihatan agak mustahil. Ini kerana perkembangan sains dan teknologi pada zaman ini amat pantas. Ianya bergerak setiap saat. Setiap saat, ada sahaja penemuan teori-terori yang baru.

Seperti jawapan no. 6, negara-negara spt Jepun dan lain-lain telah mula mengkaji dan membuat penterjemahan semasa perkembangan teknologi bergerak perlahan (sebelum zaman revolusi lagi).

Sebagai contoh, Untuk memahami konsep asas transistor yg berasaskan silicon, kita perlu memahami konsep fizik silicon transistor tersebut. Oleh itu, sekiranya hendak membuat penterjemahan, kita perlu menterjemah buku-buku konsep asas fizik dalam semiconductor yang mempunyai pelbagai konsep yang kompleks. Perkataan-perkataan baru dalam BM perlu diwujudkan. Kesemuanya ini memakan masa dan masa yang menjadi penghalang kpd kita. Ini kerana, apabila kita membuat penterjemahan asas fizik utk silicon based semiconductor ini, org-org barat dan penyelidik lain telah pun mencari alternatif kepada silicon. Ini kerana saiz untuk silicon based transistor telah hampir ke saiz atom dan ianya tidak lagi boleh bergerak kehadapan. Maka wujudlah teeori-teori baru seperti RNA, DNA dan CNT (carbon nano-tube) based transistor.

Dimana kita ? Kita masih lagi membuat penterjemahan asas fizik untuk silicon based semiconductor. Selepas kita siap penterjemahan...pihak barat telah pergi jauh di hadapan dgn teknologi yang baru. Kita pula perlu membuat penterjemahan untuk tekonologi yang baru ini. Ini hanyalah mengenai satu konsep yang kecil dalam bidang kejuruteraan elektronik. Bagaimana dgn bidang-bidang lain, konsep-konsep yang lain ?

Maka, kita akan sentiasa berada di belakang teknologi...kerana kita sibuk dengan penterjemahan. Kalau kita berada di belakang tekonologi, bagaimana kita mahu mencipta tekonologi yang baru ? Dan kita akan sentiasa menjadi bangsa pengguna.

8. Tidak sukarkah bagi kanak-kanak kecil untuk belajar sains dan matematik dalam BI ?

Sebenarnya, kanak-kanak kecil akan mudah memahami dan mudah mengadaptasi pembelajaran mereka. Sebab itu ianya penting untuk bermula semasa mereka masih kecil. Kanak-kanak kecil bermula sejak dari darjah satu, sekiranya didedahkan dengan subjek sains dan matematik dalam BI, akan mudah memahaminya walaupun mereka tidak pandai berbahasa inggeris dan tidak pernah menggunakan bahasa inggeris.

Anak-anak kecil yg berumur 6 tahun berbangsa melayu yang mengikuti keluarga ke United Kingdom terbukti boleh berjaya memahami sains dan matematik dalam BI. Anak-anak kecil ini berumur 6 tahun. Mereka tidak pernah berbahasa inggeris. Ibu bapa mereka juga tidak pernah menggunakan bahasa inggeris dirumah. Tetapi, meraka masuk ke darjah satu di sekolah-sekolah di UK, belajar sains dan matematik dalam BI dan mereka boleh menjadi pelajar cemerlang dalam kelas masing-masing. Mereka berada dalam satu kumpulan bersama pelajar yang cemerlang dan sering memperolehi `reward’ diatas kecemerlangan mereka. Mereka membuktikan bahawa, walaupun tidak didedahkan dengan bahasa inggeris dan tidak tahu berbahasa inggeris... mereka boleh menguasai dan berjaya. Kenapa ? kerana kanak-kanak kecil mudah untuk menerima dan memahami apa yang diajar kepada mereka.

9. Tidak bolehkah BM menjadi bahasa sains dan teknologi ?

Boleh. BM boleh menjadi bahasa sains dan teknologi apabila kita sudah menguasai teknologi tersebut. Apabila kita telah faham dan kuasai sesuatu bidang teknologi, maka kita mampu menjadi pencipta dan penghasil teknologi yang baru. Kita akan berada di hadapan teknologi. Pada masa itu, kita pula menggunakan BM dalam teknologi-teknologi baru yang kita hasillkan.

Maka, pada ketika itu, bangsa-bangsa lain, bangsa barat dan yahudi perlu mempelajari BM untuk menguasai dan mempelajari teknologi yang kita hasilkan. Hasilnya, BM akan menjadi bahasa teknologi, akan menjadi bahasa yang universal dan terkenal di seluruh dunia.

Yang penting, kita perlu kuasai teknologi yang telah dihasilkan dahulu yang kini dikuasai oleh bahasa inggeris.

10. Bolehkah dasar ini mencapai matlamatnya ?

Boleh. Sekiranya semua pihak berusaha sedaya upaya dalam memastikan kejayaan dasar ini. Semua pihak perlu berganding bahu menjayakannya. Semua pihak perlu membuang sikap prejudis, membuang kacamata politik dalam melihat dan memahami dasar ini. Apabila sikap prejudis di ubah, maka kita akan akui matlamat dan objektif dasar ini yang murni. Kita perlu bekerja keras.

Segala usaha, perancangan, prasarana perlu diperhebatkan agar matlamat dan objektif yang murni ini tercapai. Semua kita bertanggungjawab dalam memastikan satu hari nanti, bangsa kita, agama islam bakal menjadi pencipta, pengeluar dan rujukan bangsa-bangsa lain di dunia. InsyaAllah.