Khamis, 31 Julai 2008

Azizah kosongkan kerusi Ptg Pauh

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia.

Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Katanya, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

Katanya, beliau merasakan "inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa".

Wan Azizah menjadi wakil rakyat ermatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar.

Reaksi Anwar

Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.

Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Anwar kata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh beliau bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Menurut, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut, iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimennya, Anwar berkata, ia akan diberitahu minggu depan.

KM Sabah baru nak tinjau pandangan

Pemilihan jawatan UMNO Disember ini yang paling sengit sekali tentulah tentulah Naib Presiden.

Buat pertama kali dalam sejarah UMNO terdapat ramai sekali kalangan pemimpin senior UMNO yang mengintai jawatan nombor tiga dalam hiraki parti itu.

Persaingan ini pasti akan dikaitkan dengan pelan peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010 yang membuat jawatan orang nombor dua kosong.

Antara yang telah buat pengumuman nak bertanding dan disebut–sebut bakal menyertai pemilihan jawatan ini ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib,Tan Sri Isa Samad,Datuk Seri Shafie Afdal Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Syed Hamid Albar,Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Mustapha Mohamad serta penyandang, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.Seorang lagi penyandang ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jumaat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini sudah umum nak bertanding jawatan itu buat U-turn.

Bercakap dalam sidang akhbar di Seremban beliau mengumumkan hanya akan mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi UMNO yang disandang ketika ini.

''Setelah saya perhalusi dan mendapat nasihat serta pandangan pelbagai pihak, maka saya membuat keputusan untuk tidak bertanding atau mencalonkan diri dalam jawatan Naib Presiden UMNO," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberitahu para wartawan di Kota Kinabalu Jumaat beliau akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain termasuk di Semenanjung sebelum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.


"Saya hanya akan membuat keputusan setelah berbincang dan mendapat pandangan dari pemimpin-pemimpin UMNO di Sabah dan rakan-rakan di Semenanjung...adakah perlu saya bertanding untuk Naib Presiden ataupun pertahankan kerusi ahli Majlis Tertinggi," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan 22 unit rumah kepada warga fakir dan miskin di Karambunai, Jumaat.

Ketika diminta mengulas sokongan bahagian Putatan, Kota Belud, Penampang, Tuaran dan Sandakan agar beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, enggan mengulas lanjut kecuali mengucapkan terima kasih kepada bahagian-bahagian itu kerana kepercayaan yang mereka berikan kepadanya.

Mengenai pengumuman Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal untuk bertanding jawatan Naib Presiden, beliau berkata UMNO Sabah tidak menghalang sesiapa sahaja yang layak daripada bertanding dan Shafie mempunyai hak untuk berbuat demikian

Ahad, 27 Julai 2008

Patutkah PAS terus menganggotai Pakatan?

Pakatan Rakyat patut menimbang secara serius sama ada PAS patut dibenarkan terus menganggotai pakatan pembangkang itu, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Beliau mempertikaikan beberapa tindakan pemimpin PAS yang menurutnya telah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan parti itu.

"Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, PAS telah mengadakan perbincangan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan campuran di Selangor," katanya yang menyifatkan tindakan itu berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenainya.

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PKR dan PAS, memerintah di lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Tambahnya, PAS turut mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno "atas nama perpaduan Melayu".

"langkah bersifat perkauman oleh PAS itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat," katanya.

Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Nasharuddin

Karpal yang juga merupakan peguambela Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat terhadapnya 10 tahun lalu, juga kecewa dengan pemimpin PAS, Nasharuddin Mat Isa berhubung tuduhan terbaru ke atas mantan timbalan perdana menteri itu.

Menurut Nasharuddin orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan liwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (nasharuddin adalah timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut berdepan dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat," katanya.

Karpal berkata, rakyat Malaysia telah memberi isyarat yang jelas apabila mereka tidak mengundi mengikut kaum dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Katanya, PAS sebaliknya memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia.

"PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal.

Ahli Umno jatuhkan Abdullah segera

Mstar

KL: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Kata Dr. Mahathir, beliau hanya akan kembali ke Umno jika Abdullah bukan lagi Presiden Umno.

Pada 10 Julai lalu, Abdullah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kepimpinan kerajaan dan parti membabitkan beliau dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang Jun 2010.

Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.

"Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.

"Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.

"Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri," katanya lagi.

Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata "awak yang lantik dia".

"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.

"Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," katanya.

Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu "saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya."

"Saya rela dihukum jika saya salah," kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.

"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," katanya.

Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

"Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah," katanya.

Nik Aziz: Bubar Umno dan PAS, tubuh parti baru

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

"Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke-37 di Machang hari ini

Bernama melaporkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.

"Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau Umno itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

"Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya.

Jumaat, 25 Julai 2008

MT: Muzakarah Umno-PAS diteruskan

Umno dan PAS akan meneruskan muzakarah tetapi ia akan dihadkan kepada isu-isu mengenai Islam, kata ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Katanya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - yang juga presiden Umno - telah memberi taklimat mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.

Menurutnya, perdana menteri telah menegaskan bahawa orang Islam boleh berbeza pendapat mengenai isu-isu politik, tetapi tidak sepatutnya dalam isu agama.

Ditanya mengenai kemungkinan PAS menyertai BN, Muhammad berkata, ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat MT hari ini.

Semalam, mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong usaha pemimpin tertinggi parti "bersemuka" dengan Umno, termasuk Abdullah, seperti tiga pertemuan sebelumnya.

Nik Abdul Aziz, yang menggesa muzakarah PAS-Umno dihentikan kerana bimbang partinya dilihat sebagai "kera sumbang", mengambil sikap terbaru itu selepas pertemuan tertutup dengan beberapa anggota majlis syura ulama, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan timbalan mursyidul am Datuk Dr Harun Din.

Muhammad juga berkata mesyuarat MT selama tiga jam mulai 3 petang tadi juga tidak menyentuh tentang isu peralihan kuasa dan pemilihan parti.

Menurutnya, MT hanya membincangkan mengenai cara untuk mengukuhkan Umno.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Umno telah menawarkan kepada PAS beberapa jawatan tinggi, termasuk menteri besar, sekiranya parti Islam itu bersetuju menubuhkan kerajaan campuran di Selangor.

Sementara itu, para wartawan dan jurugambar hampa apabila tiada sidang akhbar diadakan seperti biasa, selepas mesyuarat MT hari ini.

Jarang sekali pemimpin Umno, khususnya Abdullah, tidak bertemu wartawan setiap kali selesai mesyuarat majlis itu.

Kebiasaannya, jika Abdullah tidak menemui wartawan, timbalannya Datuk Seri Najib Razak, atau setiausaha agungnya Datuk Tengku Adnan Mansor, akan berbuat demikian.

Mesyuarat hari ini menjadi tumpuan ekoran isu muzakarah PAS-Umno yang hangat diperkatakan sekarang, khususnya dalam kalangan parti Islam dan penyokong Pakatan Rakyat.

Pada jam 6.30 petang, pengawal keselamatan di tingkat 39 bangunan ibu pejabat Umno memberitahu media bahawa tiada sidang akhbar diadakan hari ini.

Para pegawai perdana menteri turut mengesahkan bahawa Tengku Adnan memutuskan tidak akan mengadakan sidang akhbar.

Manakala sidang akhbar yang dijadualkan selepas lembaga disiplin Umno juga turut dibatalkan.

Tiada sebab yang diberikan kecuali satu kenyataan mengenai bidang tugas lembaga disiplin diedarkan kepada pihak media.

Khamis, 24 Julai 2008

Muzakarah: Ahli PAS ugut demo

Fathi Aris Omar

Tidak cukup dengan perbahasan di internet dan sesama sendiri pro dan kontra muzakarah PAS-Umno, sekumpulan ahli PAS mengugut mengadakan demonstrasi membantah kerjasama dua parti itu, lusa.

Dalam sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli dan penyokong PAS mulai semalam, perhimpunan itu dirancang diadakan di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut selepas solat Jumaat.

Demonstrasi itu dinyatakan sebagai menunjukkan "sokongan kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menentang kerjasama Umno-PAS."

Bagaimanapun usaha Malaysiakini sejak semalam belum berjaya menghubungi pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya.

Beberapa sumber menyatakan, perhimpunan itu mahu dilihat sebagai "usaha spontan ahli-ahli akar umbi" menyatakan sikap terhadap usaha dialog yang diketuai oleh timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dengan dukungan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas sidang media menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda PAS berhubung isu muzakarah dan perkongsian kuasa Umno-PAS, ketuanya Salahuddin Ayub menyifatkan sebaran SMS itu "khabar angin" dan maklumat itu "tidak betul."

Sumber-sumber itu bagaimanapun menyatakan keputusan sama ada meneruskan perhimpunan itu, atau sebaliknya, bergantung keputusan Majlis Syura Ulama PAS petang ini.

Menurut blog rasmi mingguan Siasah, pertemuan selama sejam di kediaman rasmi menteri besar Kelantan melibatkan tujuh daripada 13 anggota anggota majlis itu, termasuk Abdul Hadi dan Nasharuddin (foto kiri).

Selain itu, timbalan mursyidul am Datuk Harun Din, ketua Dewan Ulama PAS Datuk Muhammad Daud dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman turut hadir di mesyuarat bermula jam 4 petang.

Pertemuan ringkas itu bertujuan membincangkan kekeliruan berhubung pertemuan sulit antara pemimpin tertinggi PAS dengan Umno yang diwakili presidennya sendiri dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dalam sidang media selepas mesyuarat di Kota Bharu, menurut akhbar itu lagi, barisan pemimpin atasan PAS menegaskan "tidak pernah berbangkit parti itu hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno", malah bersedia kekal dalam Pakatan Rakyat.

Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Dr Harun dilaporkan sepakat menyatakan PAS tetap komited dengan kerjasamanya bersama PKR dan DAP.

"Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat," laporan blog itu dipetik.

Beberapa pemimpin kanan PAS menghadapi kesukaran menjelaskan kepada ahli dan penyokong parti apabila Abdullah mendedahkan beliau sendiri terlibat dalam tiga pertemuan dengan PAS.

Laporan-laporan media kemudiannya menyebut usaha PAS mendekati Umno termasuklah rundingan tentang kerajaan campuran di Selangor dan pengagihan jawatan penting negeri, beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac.

Dihubungi Malaysiakini selepas keputusan majlis syura, sumber-sumber yang dekat dengan usaha menganjurkan perhimpunan itu, menyatakan kemungkinan meneruskannya Jumaat ini.

Sumber-sumber itu malah mendakwa "Nik Abdul Aziz telah diberikan maklumat yang salah" tentang pertemuan PAS dan Umno.

Sementara sumber-sumber yang dekat dengan media PAS pula membuat andaian keputusan majlis syura hari ini boleh meredakan kekecewaan penyokong dan ahli parti.

Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini dilaporkan menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.

Beliau dilaporkan berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga."

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua.

"Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net.

Anwar sedia bertanding di Kulim

Muda Mohd Noor

kemaskini Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu jika mahkamah memutuskan kemenangan calon PKR tidak sah.

Zulkifli Noordin, yang berkelebihan majoriti 5,583 undi, kini berdepan dengan petisyen pilihanraya daripada calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Mahkamah Pilihanraya akan mendengar petisyen itu bulan depan selepas menangguhkan prosiding itu yang asalnya dijadualkan minggu ini.

Menurut mantan timbalan perdana menteri itu, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Zulkifli.

Anwar juga sering disebut-sebut bertanding di kerusi asalnya Permatang Pauh yang dimenangi isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Bandar Tun Razak (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Lembah Pantai (anaknya Nurul Izzah).

Abdul Khalid, kini menteri besar Selangor, juga memenangi kerusi negeri Ijok.

Anwar berkata, belilau juga telah memberitahu pucuk pimpinan PAS dan DAP mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau memutuskan untuk bertanding kerusi Kulim-Bandar Baru tiga minggu lalu sebelum Mahkamah Pilihanraya membuat keputusan Ahad lalu.

Bercakap dalam dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini. Anwar berkata, bagaimanapun, mahkamah telah menangguhkan petisyen itu didengar pada 19 Ogos depan.

Dalam sidang media itu juga, Anwar mengumumkan penyertaan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Fauzi Abdul Rahman dalam PKR.

Anwar juga diminta mengulas mengenai perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pucuk pimpinan PAS sejak pilihanraya umum lalu.

"Tiada sebab untuk mempersoalkan kepimpinan PAS, mereka mahu kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Kerjasama dan komitmen mereka masih kuat dan Pakatan masih kuat," katanya.

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan, beliau tidak mahu DNA-nya diambil kerana sudah mempunyai pengalaman buruk mengenai perkara tersebut.

Oleh kerana itu, katanya, beliau mempunyai sebab untuk merasa syak wasangka jika DNA-nya diambil.

Selasa, 22 Julai 2008

SHAFIE TAWAR DIRI TANDING NAIB PRESIDEN




KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal (gambar) menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mengambil keputusan itu setelah berbincang dengan pemimpin kanan parti serta ahli akar umbi UMNO Negeri Sabah serta selepas mendapatkan nasihat dan pandangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Katanya, keputusan pilihanraya umum ke-12 yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) kehilangan beberapa negeri tradisi yang dikuasainya sebelum ini kepada pembangkang telah merubah persepsi dan senario politik negara secara umumnya.

"UMNO yang menjadi tunggak kepada kekuatan Barisan Nasional yang menguasaai Kedah, Perak dan Selangor sebelum ini terpaksa menerima hakikat kemerosotan sokongan rakyat , perlu memperkuatkan semula pengaruhnya terutama dari segi mengekalkan relevansi serta pendekatannya terutama di kalangan generasi muda.

"Peralihan kuasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi minggu lalu kepada Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak pada Jun 2010 adalah satu langkah yang telus, teratur dan bijak dibuat oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti yang ditunjukkan oleh beliau.

"Kesungguhan dan keikhlasan kedua-dua pemimpin negara itu untuk berkhidmat mendahului negara daripada kepentingan peribadi, mendorong semua pihak termasuk diri saya untuk terus berjuang di dalam parti dan kerajaan di dalam memastikan UMNO dan BN terus mendapat tempat di hati rakyat negara ini," katanya.

Beliau menambah, apa yang lebih utama ialah agar kemerosotan sokongan yang diperolehi ketika PRU Ke-12 yang lalu akan dapat ditebus semula dengan keyakinan lebih tinggi rakyat dan kemenangan yang lebih besar di dalam PRU ke-13 nanti.

Shafie juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi serta Timbalan Presiden, Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak di dalam meneruskan usaha menerajui parti dan kerajaan ke arah tahap yang lebih kukuh seperti yang disasarkan.

Katanya, PRU ke-12 menunjukkan rakyat akar umbi di negeri Sabah dan Sarawak sentiasa teguh menyokong kepemimpinan BN dengan menyumbang sebahagian besar kerusi parlimen untuk membolehkan BN terus membentuk dan menguasai tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

"Menyedari bahawa UMNO di negeri Sabah semakin kukuh sejak parti itu melebarkan sayapnya ke negeri ini, adalah menjadi hasrat umum agar suara rakyat di Sabah diberi tempat di dalam tampuk kepimpinan kanan dalam parti dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ia juga sekaligus mewakili suara rakyat di Sarawak, walaupun UMNO tidak ada di negeri itu namun suara pemimpin Sabah dan sarawak harus dilihat sebagai satu ruang dan peluang untuk memenuhi visi politik dan suara rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, katanya.

Shafie merupakan AJK penaja UMNO Negeri Sabah ketika parti itu melebarkan sayapnya ke negeri ini pada tahun 1991. Selepas itu, beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO negeri sebelum mendapat tempat sebagai Pemuda UMNO Pusat selama dua penggal dan seterusnya dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi sejak tahun 1996.

Di dalam pentadbiran Kerajaan, beliau memulakan kerjaya sebagai Setiausaha Politik Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai ketika beliau berkhidmat sebagai Menteri Tanah dan Koperasi pada 1991 hingga 1993.

Kemudian beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Semporna dalam pilihanraya umum 1995 dan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada Mei 1995.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mei 1999 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan selepas pilihanraya umum pada Disember tahun yang sama. Beliau kemudian dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas pilihanraya ke-11 sebelum dilantik Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selepas PRU ke-12 yang lalu.

Liwat.... Apa kata Anuar...

No.1


No.2


No.3


No.4

Laporan palsu: Musa saman Anwar

Ketua polis negara hari ini memfailkan saman malu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis penasihat PKR terhadap Tan Sri Musa Hassan atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata lebam" sedekad lepas.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican.

Musa menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah sebanyak lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutannya, lapor Bernama.

Kamarul Hisham berkata writ saman itu akan diserahkan kepada Anwar secepat mungkin selepas pihaknya menerima salinan writ saman yang telah dimeterai oleh mahkamah.

Selain ganti rugi, Musa juga memohon satu perintah injunksi menghalang Anwar atau ejennya daripada mengulangi menerbit perkataan-perkataan berunsur fitnah itu, kata peguamnya itu kepada pemberita.

Dalam laporan polisnya 1 Julai, Anwar berkata Musa dan Abdul Gani telah memalsukan keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah olehnya sendiri.

Pada masa itu, Musa seorang pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaan terhadap kes Anwar.

Dalam laporan polis itu, Anwar telah memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti apabila kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa mendakwa perkataan- perkataan berunsur fitnah sebagai tidak berasas, dan tidak benar, dan merupakan satu pemfitnahan yang teruk terhadapnya mengakibatkan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya terjejas di kalangan masyarakat umum dan dalam kapasiti profesionalnya.

Musa menafikan beliau berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum dan menyatakan beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengarahkan supaya laporan perubatan kedua disediakan.

Musa juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat terhadap Anwar - yang terdahulu pada 1998 dan 1999.

Menurut agensi berita itu lagi, Musa berkata Anwar telah secara berniat jahat membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani kerana laporan itu dibuat selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Beliau berkata Anwar membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani untuk mengalihkan pandangan dan fokus masyarat umum daripada tuduhan liwat yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.

Musa mendakwa laporan polis itu juga dibuat oleh Anwar untuk mempengaruhi masyarakat umum bahawa tuduhan liwat oleh Mohd Saiful terhadap Anwar adalah satu lagi konspirasi politik terhadapnya.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat bagi memusnahkan kredibiliti bukti-bukti dan keterangan yang dikumpulkan pihak polis dan juga memusnahkan kredibiliti saksi-saksi sekiranya Anwar dituduh atas pertuduhan meliwat bekas pembantu sukarelanya.

Musa berkata tohmahan lisan yang dibuat oleh Anwar dalam satu sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat PKR pada hari yang sama sejurus selepas laporan polis itu juga tidak tepat dan tidak berasas dari segi fakta.

Katanya, beliau, melalui satu surat peguam cara telah meminta Anwar menarik balik perkataan-perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu serta permohonan maaf tetapi Anwar, telah dalam surat peguam cara menjawab dengan menafikan kesemua tuntutannya (Musa).

Musa berkata Anwar tidak mengendahkan surat tuntutan beliau (Musa) dan telah terus-menerus menerbitkan atau mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu di laman-laman web dan blog.

Ahad, 13 Julai 2008

Pak lah bohong lagi...

Dr. Mahathir Mohamad

Kata Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi; "Tindakan menyebarkan fitnah dan pembohongan melalui internet dan SMS untuk mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan adalah perbuatan khianat," - Berita Harian 8 Julai, 2008.

Perdana Menteri menegaskan perbuatan itu jelas melanggar prinsip Rukunegara seperti;

1) Kesetiaan kepada Raja dan Negara

2) Keluhuran Perlembagaan

3) Kedaulatan Undang-undang

4) Kesopanan dan Kesusilaan

Dimanakah disebut "Kerajaan" dalam Rukunegara? Atau apakah pada pendapat Dato Seri Abdullah Kerajaan adalah sama dengan Raja dan Negara?

Memang dalam sebuah negara demokratik, mengkritik Kerajaan menjadi satu daripada tanggungjawab parti lawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), bahkan rakyat biasa. Jika ini dianggap fitnah dan pengkhianatan, lebih baik lagi Kerajaan isytihar pemerintahan kuku besi.

Apakah kritikan dalam internet dan SMS (sistem pesanan mesej ringkas) semuanya pembohongan?

Bohongkah Kerajaan Dato Seri Abdullah berdolak-dalik kata sesuatu hari ini, batalkan hari esok?

Bohongkah Kerajaan rugi satu billion Ringgit apabila batalkan projek jambatan, apabila jual M.V. Agusta yang dibeli dengan harga 70 juta Euro (RM300 juta) dijual dengan harga satu Euro (RM4), kenaikan harga minyak dengan mendadak, kenaikan kos untuk bina landasan kembar berelektrik keretapi daripada RM14 bilion dari Johor Baru ke Padang Besar kepada RM12 billion hanya dari Ipoh ke Padang besar, kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 dan lain-lain.

Yang membohong ialah Kerajaan dengan membuat kenyataan segala-galanya baik dalam negara, semua rakyat sokong Kerajaan, parti UMNO sebulat suara hendak Dato Seri Abdullah kekal sebagai Presiden dan lain-lain.

Jika pembohongan adalah pengkhianatan, maka yang mengkhianati Negara dan Rakyat ialah Kerajaan dengan pemimpinnya.

Jika rakyat melalui saluran yang tidak dikuasai oleh Kerajaan meminta supaya Dato Seri Abdullah berhenti daripada memimpin Kerajaan, mereka bukan buat fitnah. Sebaliknya mereka setia dan sayang Raja dan Negara dan ingin lihat negara ini tidak dibelenggu oleh Kerajaan pimpinan orang yang tidak sedikit pun setia kepada negara, hanya setia kepada diri sendiri dan keluarga.

Jumaat, 11 Julai 2008

Muhyiddin: Tempoh terlalu lama?

TOKYO 10 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya.

Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.

PM umum bersara Jun 2010

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau membuat pengumuman tersebut selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lebih dua jam mulai jam 3 petang tadi.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan mengenai perkara ini kepada MT dan ketua-ketua bahagian, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri sebentar tadi.

"Mereka boleh menerimanya dan memberi hormat berdiri kepada keputusan saya.

Abdullah berkata, beliau memilih Najib kerana beliau seorang yang baik dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

"Peralihan kuasa bermula dengan apa yang umumkan hari ini. Dalam jangka masa itu, saya akan bertanding jawatan presiden parti dan saya telahpun nyatakannya kepada Datuk Najib (untuk bertanding presiden).

Hargai persahabatan

"Saya hargai persahabatan, persefahaman yang cukup tinggi dalam pelbagai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan.

"Dalam tempoh itu, kerja-kerja akan terus dilaksanakan bersama.

"Datuk Najib juga telah berucap kepada ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin di majlis sesi taklimat khas hari ini," katanya sambil menambah niat beliaumembuat peralihan adalah untuk mengukuhkan parti.

Buat sementara itu, katanya, mereka berdua akan terus kukuhkan parti supaya dapat balik sokongan rakyat seperti sebelum ini.

Abdullah juga berkata, beliau tidak akan lagi mengetuai parti dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya menghargai kedudukan Najib yang boleh menerima cadangan-cadangan saya. Apa yang diumumkan, dapat diterima dengan baik," katanya.

Khamis, 10 Julai 2008

Laporan polis terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah

Deep Throat

Sindrom laporan polis di buat terhadap Pegawai Turus Polis semakin menjadi-jadi selepas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kes jenayah.

Kes terbaru melibatkan empat orang pekebun kecil dari Skim Pekebun Kecil Tingkayu telah membuat 14 laporan polis di Balai Polis Labuan pada 1 Julai 2008 kerana tidak mempercayai kredibiliti Polis Kunak yang masih diterajui DSP Dingka Utoh yang sepatutnya telah ditukarkan ke Cheras, Selangor.

Salah seorang pekebun kecil, Richard Mekules, yang juga Setiausaha Persatuan Skim Pekebun Kecil Tingkayu membuat laporan KNK/RPT/1291/08 yang berbunyi;

"Pada lebih kurang jam 9.30 pagi, 29 Jun 2008, bertempat di kediaman sendiri, saya menyaksikan rakaman VCD yang di muat turun daripada Laman Web TV3 berhubung satu kenyataan umum yang di buat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Noor Rashid Ibrahim yang dipercayai disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada 3 Jun 2008. Setelah berbincang dengan AJK Persatuan Pekebun Kecil Tingkayu, saya buat aduan ini supaya polis mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Jenayah terhadap Datuk Noor Rashid Ibrahim kerana menyalahguna kuasa, mengugut atau cuba mengganggu atau mempengaruhi pegawai/hakim mahkamah menjalankan tugas mereka mengadili kes pertikaian terbabit yang telah didaftarkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui nombor kes T (21) 4 Tahun 2008 yang belum selesai dibicarakan. Sekianlah laporan saya."

Manakala seorang lagi pekebun kecil, Johnny Peter pula menyatakan dalam laporan polisnya KNK/RPT/1296/08 bahawa;

"Pada lebih kurang jam 4.00 petang, 30 Jun 2008, bertempat di Perpustakaan Labuan, saya terbaca beberapa kenyataan akhbar yang di buat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Noor Rashid Ibrahim dan disiarkan oleh semua akhbar tempatan di Sabah pada 4 Jun 2008. Saya buat aduan ini supaya polis mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Jenayah terhadap Datuk Noor Rashid Ibrahim kerana menyalahguna kuasa, mengugut atau cuba mengganggu atau mempengaruhi pegawai/hakim mahkamah menjalankan tugas mereka mengadili kes pertikaian terbabit yang telah didaftarkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui nombor kes T (21) 4 Tahun 2008 yang belum selesai dibicarakan. Sekianlah laporan saya."

BERANI….Richard dan Johnny tidak gentar menunjukkan laporan polis yang mereka buat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah dan pihak berkaitan yang secara sedar telah melakukan subjudis.Gambar: BERANI….Richard (kanan) dan Johnny tidak gentar menunjukkan laporan polis yang mereka buat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah dan pihak berkaitan yang secara sedar telah melakukan subjudis.

Sebanyak 12 lagi laporan di buat terhadap Ketua Polis Daerah Kunak, DSP Dingka Utoh; Adun Kunak, Nilwan Kabang; Pegawai Daerah Kunak, Susilo Sumarto; Pengerusi Syarikat Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad, Hajjah Alinah Usman Suing dan beberapa pihak termasuk wartawan dan akhbar yang cuba mengganggu kes yang belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau.

Menurut Richard, pihaknya tidak memberikan sebarang ulasan terhadap semua siaran media kerana ianya subjudis kepada proses perbicaraan yang belum ditentukan tarikhnya oleh Mahkamah Tinggi Tawau walaupun telah difailkan melalui kes T (21) 4 Tahun 2008 pada 30 Januari 2008.

Pihaknya telah memperoleh Injunksi Mahkamah T (21) 4 Tahun 2008 pada 1 Februari 2008 daripada Hakim Clement Skinner, namun Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad enggan mematuhi injunksi mahkamah dan menggunakan samseng yang terdiri daripada warga asing untuk menghalang pekebun kecil memasuki tanah yang mereka usahakan sejak 25 tahun lalu.

"Melalui 14 laporan polis ini, kita harap tidak ada lagi pihak yang campurtangan atau cuba menggunakan kedudukan mereka untuk mempengaruhi hakim membuat keputusan kelak. Kita tidak akan teragak-agak mendakwa semua pihak yang mengingkari atau mengulas keputusan Injunksi Mahkamah Tinggi Tawau," tegas Richard yang memberi amaran bahawa pihaknya tidak gentar dengan ugutan dan ancaman yang di terima selama ini.

Tegas Richard lagi, pihaknya akan membuat beberapa laporan lagi terhadap samseng dan pendatang asing tanpa izin yang mencuri buah kelapa sawit milik pekebun kecil dan Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad yang bersubahat dengan pencuri berkenaan.

"Mereka tidak benarkan kita masuk, tetapi benarkan pencuri membawa keluar buah kelapa sawit milik kami," kata Richard yang turut kesal kerana Lembaga Pelesenan Kelapa Sawit (MPOB) gagal memantau kegiatan kilang dan pusat timbangan yang membeli buah curi.

Dalam hal ini kata Richard, para pencuri ini turut didalangi pegawai polis sehingga mereka berani menjalankan kegiatan mereka secara terang-terangan dan penyiasatan yang dilakukan (jika ada) hanya di buat sambil lewa sahaja.

"Jika kerajaan serius mahu mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin, mereka harus memulakan di Tingkayu kerana jumlah pendatang asing yang menceroboh Skim Pekebun Kecil Tingkayu kini melebihi 200 orang," ujar Richard lagi yang membidas Ketua Menteri Sabah yang tidak ikhlas untuk menyelesaikan isu ini.

Richard turut menggesa Suruhanjaya Koperasi Malaysia membatalkan pendaftaran Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad yang menjalankan kegiatan bercanggah dengan undang-undang dan enggan mematuhi injunksi mahkamah serta merekrut ahli secara haram, terutama anggota polis dan pendatang asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Siasatan harus dijalankan bagaimana Hajjah Alinah mengambil alih jawatan Pengerusi daripada Haji Mangku Atur Semurong Awan tanpa melalui mesyuarat agung dengan subahat Pegawai Koperasi Lahad Datu, Said Saperuddin," kata Richard yang mendakwa beliau mempunyai bukti yang akan hanya di bongkar apabila kes ini dibicarakan kelak.

Sementara itu, pada 1 Februari 2008, Mahkamah Tinggi Tawau telah memberikan Injunksi yang berbunyi;

"Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) di beri Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya di beri kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini."

Namun Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad enggan mematuhi Injunksi berkenaan kerana mendakwa tanah berkenaan milik mereka sebagaimana yang diputuskan oleh Hakim yang sama pada 18 Mac 2008.

Mereka terus berada di kawasan tanah yang menjadi pertikaian dan memasang notis yang mendakwa tanah tersebut milik mereka dan mengupah pengawal keselamatan yang terdiri daripada 100 pendatang tanpa izin Indonesia dan mendirikan lebih 26 penghadang jalan untuk menghalang pekebun kecil memasuki tanah mereka.

Keputusan yang di guna-pakai dan di rujuk oleh Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad, Pesuruhjaya Polis Sabah, Ketua Polis Daerah Kunak dan Pegawai Daerah Kunak ialah kes rayuan penyiasatan tanah 2006 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, setelah ianya di tolak oleh Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Haji Dahlan Awang Tengah, namun tidak berkaitan langsung dengan Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad.

Sehingga kini, pekebun kecil di larang memasuki kebun mereka dan jumlah pengawal keselamatan semakin bertambah ramai ekoran kejayaan mereka mencuri buah dan menjual buah kelapa sawit milik pekebun kecil.

Namun beberapa pekebun kecil telah di perdaya dan bersubahat dengan penjenayah untuk mencuri buah kelapa sawit milik mereka sendiri dan berkongsi keuntungan secara saksama.

Ekoran laporan polis yang di buat di Balai Polis Labuan, polis telah memberkas lebih 10 orang pendatang asing yang di upah untuk mencuri buah kelapa sawit milik pekebun kecil, namun kesemuanya dibebaskan dengan kerjasama DSP Dingka Utoh yang masih bertahan di Kunak dengan bantuan Adun Kunak, Nilwan Kabang.

Dalam perkembangan berasingan, perbicaraan kes tuntutan geran hak milik yang dikeluarkan kepada Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad di antara Merityield Sdn.Bhd dan Double House Marketing Sdn.Bhd (pembeli tanah berkenaan) telah di tolak dengan kos apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa keputusan yang di buat oleh Timbalan Pengarah Tanah Sabah, Haji Dahlan Awang Tengah memberi hak milik tanah kepada Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad adalah tidak sah dan batal. Bagaimanapun kedua pihak bertelagah mengemukakan rayuan masing-masing.

Anwar bawa isu liwat ke JAWI

Abdul Rahim Sabri

Dakwaan liwat pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya hari ini bertukar menjadi isu qazaf - kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu.

Penasihat PKR mengadukan isu laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan bulan lepas kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini.

"Atas nasihat ulama dan peguam, saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan, membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini," katanya selepas aduan.

"Dan saya telah dinasihatkan membawa kes ini mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf. Jadi, (saya) minta bahagian penguatkuasaan buat siasatan segera."

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar diiringi oleh isterinya dan juga presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua peguam, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Mereka tiba di pejabat JAWI di Jalan Damansara pada jam 10.15 pagi.

Tiada penyokong beliau kelihatan di situ, kecuali kira-kira 50 wartawan dan jurugambar.

Anwar kelihatan keluar dari pejabat JAWI selepas 45 minit membuat aduan.

Dalam sidang media yang sama, Kamar Ainiah memberitahu, kes ini perlu dibicarakan di mahkamah syariah.

"Qazaf iaitu tuduhan penyataan palsu terhadap seseorang," katanya.

Menurutnya, jika undang-undang hudud dilaksanakan, seseorang yang melakukan kesalahan qazaf boleh dikenakan hukuman 80 sebatan apabila menuduh tanpa membawa empat saksi lelaki.

"Dalam undang-undang kita (sekarang), ada termaktub bawah akta kesalahan jenayah di mahkamah syariah. Tidak ada peruntukan yang sama dalam mahkamah sivil.

"Itu sebabnya kes ini perlu dibicarakan dan diadili di mahkamah syariah," jelas Kamar Ainiah.

Dalam sidang media yang sama juga Kamar Ainiah berkata, bahawa dalam Islam, penuduh harus membuktikan bahawa yang dituduh melakukan kesalahan tersebut.

"Dalam Islam, lelaki yang dituduh (melakukan liwat) adalah tidak bersalah. Siapa yang menuduhnya harus membawa saksi, bukannya seseorang (yang dituduh) untuk bersumpah sebab sumpah adalah sebahagian daripada pembuktian.

"(Bersumpah) ini bukan untuk beliau (Anwar) membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. (Tetapi) ini adalah untuk penuduh untuk membuktikan beliau bersalah," jelasnya.

Kamar Ainiah mengulas soalan wartawan kepada anak guamnya sama ada bersedia menggunakan kaedah mubahalah atau bersumpah.

Sehubungan itu, Anwar berkata beliau menyerahkan hal tersebut kepada ulama.

"Cadangan Umno untuk menjunjung al-Quran bukan daripada tradisi Islam. Dan pandangan mufti Perlis adalah pandangan umum. Ia adalah pandangan umum dan tidak spesifik kepada kes saya. Itulah yang beliau memberitahu saya," kata Anwar.

Beliau menambah, ulama telah menasihati dan memberi amaran kepadanya agar tidak mengambil tindakan yang boleh melanggar peruntukan undang-undang Islam kerana dampaknya meluas kepada orang ramai.

"Ini adalah tuduhan jenayah yang perlu disiasat. Tidak ada dalam undang-undang Islam yang membenarkan untuk bersumpah sebab tuduhan jenayah ini, beban pembuktian terletak kepada penuduh.

"(Ulama menasihatinya) Anwar, jangan keluarkan kenyataan atau bertindak (bersumpah) kerana apa yang kamu akan lakukan akan mempengaruhi sebahagian besar umat Islam. Jika kamu lakukan ini, maka kamu telah melanggar syariah," kata Anwar.

Selasa, 8 Julai 2008

PM: Penulis blog patut dipersalahkan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu penulis blog meng-hentikan perbuatan membuat spekulasi dan menyebarkan khabar angin kerana perkara itu merupakan an-tara faktor yang membawa kepada ketidakstabilan politik negara.

“Saya minta penulis blog hentikan semua ini kerana mereka juga bertanggungjawab bagi apa yang berlaku. Jalan terbaik yang mereka dapat lakukan ialah hentikan semua ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan beberapa perbincangan dua hala sempena Sidang Kemuncak Ke-6 Ketua-ketua Kerajaan D-8 di sini kelmarin.

Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) dijadual bermula dengan rasminya di ibu negara kelmarin.

Perdana Menteri mengulas keadaan politik negara sekarang, yang dilihat masih tidak stabil sejak pilihan raya umum Mac lepas.

Pada Ahad, Perdana Menteri berkata beliau sedar ada rakyat yang sudah muak dengan permainan politik yang sedang berlaku dalam negara dan berjanji akan memberikan perhatian untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Fitnah sudah kian bermaharajalela. Salah atau benar sudah tidak diambil kisah,” kata Abdullah kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Ahad yang memetik reaksi orang ramai dan pemimpin masyarakat mengenai peru-bahan suasana politik negara sejak beberapa bulan lepas.

“Apa juga kebenarannya, kebenaran itu pasti akan muncul…jangan bimbang mengenainya,” kata Abdullah kelmarin.

Ditanya apakah pendekatan yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menghentikan khabar angin dan spekulasi dalam internet, beliau berkata:” Apabila kebenaran sudah muncul, semua ini akan berhenti, kami akan pastikannya.”

Ku Li akui sukar dapat 30% pencalonan

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui sukar untuknya mendapatkan 30 peratus pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan presiden Umno Disember ini.

"Memang benar sukar untuk mendapat 30 peratus. Apabila saya melawat ke bahagian-bahagian, ada ketua bahagian sendiri yang telefon ketua cawangan jangan hadir bertemu saya.

"Ada juga yang sabotaj kata saya tak jadi datang," katanya dalam temubual dengan Agendadaily kelmarin.

Calon untuk jawatan presiden perlu memperolehi 30 peratus pencalonan (58 dari 191 bahagian Umno), timbalan presiden 20 peratus (38 bahagian), naib presiden 10 peratus (19 bahagian) dan majlis tertinggi 5 peratus (10 bahagian).

Umno cawangan akan mula bermesyuarat 17 Julai hingga 24 Ogos depan, manakala mesyuarat pemilihan bahagian pula 9 Oktober hingga 9 November. Pemilihan di perhimpunan agung akan berlangsung pada 16 hingga 21 Disember.

Ditanya mengenai bahagian-bahagian yang menyokongnya, ahli Parlimen Gua Musang itu berkata: "Tak banyak yang secara terbuka nak calonkan. Yang kata nak sokong banyaklah."

Menurutnya, sistem kuota tersebut menyalahi undang-undang iaitu Akta Pertubuhan 1966.

"Sepatutnya, pendaftar sudah mansuhkan peraturan ini. Ia juga bertentangan dengan demokrasi Umno.

"Pemegang jawatan memanglah mahukan kuota ini diteruskan, tetapi kena ingatlah ada kemungkinan juga merekapun takkan dapat," katanya.

Kod etika

Tengku Razaleigh juga berkata, 'sangat susah' berhadapan dengan kod etika (pemilihan parti).

"Susah nak jumpa sesiapapun. Kod etika sekarang lagi susah, ada 23 mukasurat, dahulu pada 2001 hanya 7 muka sahaja.

"Kalau kita tidak buat perubahan, dalam pilihanraya umum akan datang, kerusi yang adapun kita akan hilang….

"Dah ada yang kata akan bubarkan cawangan (Umno) jika saya tak lepas kuota," tambahnya.

Menjawab soalan, Tengku Razaleigh berkata sistem kuota yang menjadi masalah utama dan bukannya pertandingan.

"Dari segi perjuangan tanpa kuota… saya dah menang dah…

"Saya dah ada jentera sendiri. Ada penyelaras bagi setiap bahagian.

"Rakyat dan pemimpin Umno di peringkat negeri ramai yang dah tak mahu pada yang ada sekarang. Orang nak perubahan kerana mereka takut pada masa depan.

"Kalau orang merasa masih boleh berpayung…takkan mereka lari. Cuma kita tidak faham membaca signal yang diberikan," tambahnya.

`Anwar pengintip AS'

Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suka meminta bantuan Amerika Syarikat dan negara luar mendorong kuasa besar itu sanggup mencampuri urusan Malaysia.

"Saya tidak pernah mengatakan dia pengintip. Dia yang melaporkan dan memang benar Amerika suruh kita (Malaysia) berhenti penyiasatan (tuduhan liwat). Inilah buktinya dan kalau dia fikir betul itu hak dialah," kata menteri dalam negeri.

"Hak saya menyuarakan pendapat dan jangan kita ingat semua pandangan yang diberikan Anwar mesti betul."

Syed Hamid kepada pemberita selepas menerima kunjungan penasihat luar Bangladesh Dr Iftekhar Ahmed Chowdhury di
pejabatnya di Bangunan Parlimen semalam.

Beliau berkata tindakan Anwar yang keresahan membuktikan bahawa sememangnya penasihat PKR menjadi pelapor kepada AS, lapor Bernama.

"Kita belum ada apa-apa lagi bukti yang mengatakan Anwar bersalah. Pasal apa yang dia bising dan menggelabah, seolah-olah dah ada bukti yang dia bersalah.

"Kita tak buat apa-apa. Saya kata biarlah polis siasat... bila polis selesai buat kerja mereka, kita akan tahu apa yang sebenarnya," Syed Hamid dipetik sebagai berkata.

Jurucakap Jabatan Negara AS Tom Casey dalam kenyataannya
baru-baru ini berkata negara itu menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar jika ia bermotifkan politik.

Anwar dalam laporan Malaysiakini menafikan dakwaan beliau pelapor kepada AS dan mencabar kerajaan membuktikan tuduhan itu.

ANWAR homoseks ??

Dr. Mahathir Mohamad

Saya tidak hendak komen berkenaan dengan kes liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang baru kerana saya ingin lihat samada taktik Anwar kali ini sama dengan dahulu - iaitu menuduh ada konspirasi (pakatan) untuk menghalang perjuangan politiknya.

Tetapi oleh kerana ramai yang meminta komen saya dalam blog maka saya akan beri pandangan awal saya.

Saya terkejut dengan orang yang pertama menyuarakan pandangan yang tak masuk akal berkenaan dengan kes liwat yang baru ini. Kononnya Anwar sengaja menyuruh Saiful buat laporan dia diliwat oleh bossnya supaya Anwar boleh cari perlindungan daripada percubaan membunuhnya. Dengan itu kononnya orang ramai akan bersimpati dengannya.

Jelas yang budak yang di suruh oleh bapa mertuanya hantar passport kepada Anwar, yang amat gembira dengan pembebasan Anwar dan dipercayai terlibat dengan usaha membebaskan Anwar, masih kuat kepercayaannya kepada Anwar dan mencuba menolak tuduhan terhadapnya.

*****

Masih ramai yang percaya bahawa Mahkamah Rayuan (Appeals Court) terakhir telah menolak tuduhan bahawa Anwar telah liwat Azizan dan dengan kerana itu mendapati Anwar tidak bersalah dan boleh dibebaskan.

Saya ingin perturunkan disini keputusan dua daripada tiga hakim yang mendengar rayuan Anwar. "Tun Jebat" pada 1hb Julai telah catatkan keputusan ini juga. Keputusan ini berbunyi;

"Even though reading the appeal record, we find EVIDENCE TO CONFIRM that the appellants (Anwar dan Sukma) were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen sometime, this court, as a court of law, may only convict the appellants if the prosecution has successfully proved that the alleged offences as stated in the charge, beyond reasonable doubt".

Yang jelas daripada apa yang di sebut di atas ialah hakim-hakim ini mendapati ada cukup bukti yang mengesahkan Anwar dan Sukma terlibat dalam kegiatan homoseks dalam apa yang dikatakan berlaku di Tivoli Villa, memang berlaku. Tetapi kedua-dua hakim ini mengguna selok-belok undang-undang untuk mendapati Anwar tidak bersalah.

Selok-belok undang-undang tidak dapat difahami oleh orang ramai. Yang mereka tahu ialah hakim-hakim ini berkata dengan terang dan jelas bahawa mereka mendapati bukti yang jelas yang mengesahkan bahawa perayu (Anwar dan Sukma) terlibat dengan kegiatan homoseks dan hakim-hakim ini lebih mirip untuk percaya bahawa apa yang didakwa berlaku di Tivoli Villa memang berlaku.

Hakim yang ketiga dalam panel hakim yang mendengar rayuan Anwar dan Sukma memberi alasan yang panjang dan penuh dengan rujukan kepada asas-asas perundangan dan kes-kes yang lain kenapa dia percaya hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara, tiga orang hakim Mahkamah Rayuan dan tiga orang hakim Mahkamah Persekutuan adalah betul iaitu Anwar memang meliwat Azizan.

Malangnya penghakiman yang bernas ini tidak dilapor dengan jelas oleh media seperti laporan berkenaan asas-asas penghakiman dua hakim tadi.

Jika dihitung kita akan dapati kesemua 10 hakim yang mendengar kes Anwar meliwat Azizan bersetuju perbuatan liwat oleh Anwar memang benar, walaupun dua di antara mereka memberi alasan teknikal untuk tidak menjatuhkan hukuman salah keatasnya.

Dakwaan oleh orang tertentu bahawa pembebasan Anwar adalah kerana dia tidak melakukan jenayah liwat adalah tidak benar.

Sekarang kita dengar sekali lagi kes liwat oleh Anwar. Terpulanglah kepada hakim untuk mendengar dan meghukum. Awal-awal lagi Datin Seri Wan Azizah Ismail telah mengatakan ketidakpercayaannya kepada mahkamah di Malaysia. Tetapi apabila Anwar dibebaskan dengan alasan yang sukar difaham oleh masyarakat umum, Wan Azizah tidak pula berkata yang dianya tidak percaya kepada sistem pengadilan di Malaysia.

Apakah pula akan dikatakan olehnya jika perbicaraan kes Anwar menghasilkan keputusan bahawa walaupun hakim percaya dia telah meliwat Saiful tetapi kerana selok-belok undang-undang dia didapati tidak bersalah.

Perak bekal air paip percuma

Selepas Selangor memberikan 20 meter padu air percuma, kini Perak - sebuah lagi kerajaan Pakatan Rakyat - turut memperkenalkan langkah serupa untuk mereka berpendapatan rendah.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata penduduk berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan akan mendapat kemudahan itu bermula Ogos ini.

8Selangor, yang menunaikan janji dalam manifesto PAS dan PKR, mula melaksanakan kemudahan itu bulan lalu seluruh negeri kepada pemilik meter air individu.

Menteri besar Perak menambah, 15,000 penduduk miskin di negeri ini dikenal pasti bakal menerima manfaat itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya hari ini, lapor Bernama.

SAPP: Tiada undi tidak percaya PM

Datuk Chua Boon Sui (BN-Tawau), yang kembali di Dewan Rakyat selepas tidak hadir selama dua minggu, menolak spekulasi partinya Parti Maju Sabah (SAPP) akan meninggalkan BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Selepas pertemuanya dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kegagalannya hadir di sidang dewan dalam tempoh itu, beliau menegaskan bahawa partinya masih satu komponen BN dan tiada niat "melompat kepada Pakatan".

Tujuannya bukan itu (lompat parti). Saya tidak faham kenapa orang terus memperkatakannya.

"Saya tidak terfikir tentang perkara itu dan ia tidak pernah dibincangkan dalam parti. Ia (spekulasi) sangat baru kepada saya," kata Chua.

Beliau (foto, kanan) tidak hadir, tambahnya, kerana "masalah sakit belakang" dan juga ancaman yang diterima SAPP hujung bulan lepas - tidak lama selepas majlis tertinggi parti itu menyokong usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

SAPP secara terbuka menyatakan hilang keyakinan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dilaporkan merancang membawa usul itu di Dewan Rakyat.

Presidennya Datuk Yong Teck Lee sebelum ini berkata dua anggota parlimennya, termasuk Chua, sama ada akan membawa usul tersebut atau menyokong usul tidak percaya anggota lain terhadap Abdullah.

Tiada usul seumpama itu dibentangkan setakat ini. SAPP mempunyai seorang lagi anggota Dewan Rakyat, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar).

SAPP menerima tindakan surat tunjuk - sebab akibat tindakannya itu daripada dewan tertinggi BN - sehingga akhir bulan ini.

Sabtu, 5 Julai 2008

Debat minyak Anwar-Shabery diteruskan

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berharap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan forum debat mereka pada 15 Julai ini dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pendapat dan pandangan beliau mengenai isu minyak.

Katanya, debat adalah platform yang lebih bertamadun untuk menyuarakan pandangan pada masa kini berbanding platform jalanan.

tambahnya, Anwar harus mengambil kesempatan daripada kesediaan beliau untuk berdebat mengenai isu minyak supaya rakyat dapat menilai perkara itu.

"Ini peluang bagi dia untuk menyatakan pendapat dia. Saya ada pendapat yang mewakili kerajaan.

"Mari bersemuka, biar rakyat mengadili," katanya semasa menghadiri Mesyuarat Menteri Penerangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (COMINAC) kali ketujuh di Isla Magarita (Venezuela) semalam.

ahmad shabery cheekMenurut laporan Bernama, Ahmad Shabery berkata Anwar tidak perlu menggunakan platform jalanan seperti mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan pandangan mengenai isu minyak itu.

"Perhimpunan tidak perlu, hendak mengumpul rakyat. Ini kaedah lama Anwar, dia kena ingat dia bukan lagi pemimpin pelajar," katanya.

Mengenai janji Anwar untuk menurunkan harga minyak jika Pakatan Rakyat memerintah, Ahmad Shabery menyifatkan kenyataan itu sebagai "kata-kata kosong" yang bertujuan memancing sokongan rakyat.

Protes harga minyak

Beliau berkata janji Anwar mungkin boleh menyebabkan negara tunduk kepada kuasa asing kerana terpaksa berhutang.

"Apakah sekali lagi kita hendak meletakkan negara kita kepada cengkaman IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang pernah Anwar cuba guna kaedah itu semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu. Saya harap rakyat tidak terpedaya dengan agenda peribadi Anwar," katanya.

Beliau berkata untuk menjadi pemimpin negara, terdapat saluran yang boleh digunakan oleh pemimpin untuk menyuarakan pandangan iaitu melalui pilihan raya, Parlimen dan juga media. "

Kalau hendak jadi pemimpin kena menyuarakan pandangan dengan lebih bertamadun. Bukan ajak orang ke jalan raya," katanya.

Satu perhimpunan Protes Sejuta Rakyat dijadualkan berlangsung Ahad esok di Stadium Kelana Jaya untuk membantah kenaikan harga minyak.

Ahmad Shabery meminta rakyat agar tidak diperalatkan oleh Anwar yang kini tersepit dengan "masalah peribadi" dengan menyertai perhimpunan itu.

"Baru-baru ini sibuk kata keselamatan terancam, hingga masuk Kedutaan Turki, kenapa sekarang hendak mengajak orang kepada keadaan yang boleh mengancam kehidupan rakyat, langkah dan tindakan yang boleh ancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sekiranya didapati perhimpunan yang dirancang itu bersifat mengganggu ketenteraman awam.

Balasubramaniam menghilangkan diri

Andrew Ong

Penyiasat persendirian P Subramaniam yang membuat akuan berkanun yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibuu - dan menariknya balik sehari selepas itu - kini tidak dapat dihubungi.

Turut hilang ialah isterinya dan tiga orang anaknya.

Ekoran itu, anak saudaranya, R Kumaresan membuat laporan polis hari berhubung kehilangan Balasubramaniam serta isteri dan anak-anaknya itu.

balasubramaniam nephew 050708 reportKumaresan, 27, yang ditemani seorang peguam, membuat laporan 'orang hilang' di balai polis Brickfields pada 5 petang tadi.

Semalam Balasubramaniam membuat akuan berkanun kedua, tanpa bahagian yang merujuk kepada pembabitan Najib dalam kes Altantuya.

Dalam akuan berkanun pertamanya, Balasubramaniam mendakwa Najib mempunyai seksual dengan wanita Mongolia tersebut.

Peguam N Surendran, yang mewakili Kumaresan, memberitahu pemberita bahawa pelanggannya itu "amat rapat" dengan keluarga Balasubramaniam dan membuat laporan polis itu kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Surendran, yang menegaskan beliau tiada kaitan dengan PKR, berkata Balasubramaniam telah keluar dari rumahnya di Rawang dan membiarkan dua ekor anjingnya di situ tanpa memaklumkannya pada sesiapa.

"Balasubramaniam (dan keluarganya) tiba-tiba hilang begitu sahaja," kata Surendran.

Menjawab soalan pemberita, Kumaresan menafikan kemungkinan Balasubramaniam sedang bersembunyi.

Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Balasubramaniam adalah selepas penyiasat persendirian itu membuat akuan berkanun pertamanya pada 1 Julai.

"Beliau menyerahkan satu salinan kenyataan asalnya kepada adik saya, Segar, untuk disimpan," katanya, sambil menambah, beliau tahu yang bapa saudaranya akan mengumumkan dokumen tersebut dalam satu sidang akhbar.

Kumaresan berkata, dia dapat bercakap dengan isteri Balasubramaniam pada malam Khamis selepas sidang akhbar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menurutnya, tiada apa yang tidak kena pada masa itu.

Bagaimanapun, Kumaresan percaya Balasubramaniam dan keluarganya hilang pada pagi berikutnya, pada hari akuan kedua dibuat, dan tidak dapat dihubungi lagi selepas itu.

Kumaresan memberitahu pemberita bahawa agak luar biasa bagi
Balasubramaniam dan keluarganya berbuat demikian kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Jika beliau ditahan, kami mahu polis memberitahu kami. Saya tidak fikir beliau sedang bersembunyi," tegasnya, sambil menambah, Balasubramaniam tidak pernah menyatakan dia dalam bahaya.

Sementara itu, ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang tiba di balai polis tersebut kemudiannya, memberitahu pemberita bahawa PKR bimbang dengan keselamatan Balasubramaniam.

Tegasnya, inilah yang akan berlaku jika tidak ada undang-undang untuk melindungi saksi atau pemberi maklumat.

Chua adalah antara tiga ahi Parlimen Pakatan Rakyat yang turut berada di balai polis Brickfields untuk memberi sokongan kepada Balasubramaniam.

Selasa, 1 Julai 2008

Teks laporan polis Anwar Ibrahim

Berikut teks lengkap laporan polis yang dibuat di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam petang ini:

Saya, Anwar bin Ibrahim (No K/P: 470810-07-5095), sesungguhnya di sini membuat laporan polis berikut berdasarkan maklumat yang telah saya perolehi baru-baru ini.

Laporan ini adalah berkaitan dengan siasatan terdahap serangan fizikal yang dilakukan ke atas saya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (“Rahim Noor”) pada 20hb September 1998. Saya percaya Tan Sri Rahim Noor, selepas didakwa, telah mengaku bersalah atas tuduhan serangan fizikal tersebut. Saya telah membuat laporan polis berkenaan serangan fizikal tersebut pada 27.9.98.

2. Berkaitan dengan penyiasatan terhadap serangan fizikal tersebut, saya percaya bahawa Pegawai Penyiasat, ACP Mat Zain bin Ibrahim (sekarang Datuk Mat Zain) telah melakukan satu penyiasatan yang mendalam dan menyeluruh dan menyediakan satu kertas siasatan (“IP”) yang telah kemudiannya pada Oktober 1998, menyerahkannya kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah (“Tan Sri Mokhtar”) serta pasukannya yang antaranya termasuklah Peguam Negara sekarang Tan Sri Gani Patail untuk tindakan lanjut.

3. Kertas siasatan tersebut telah menyimpulkan bahawa Tan Sri Rahim Noor adalah pelaku serangan fizikal tersebut ke atas saya. Kertas tersebut telah membuat kesimpulan setelah siasatan menyeluruh dilakukan, dengan mengambilkira laporan perubatan daripada pakar forensik daripada Hospital Kuala Lumpur seperti Dr. Ab. Halim Haji Mansar dan Dr. Zahari bin Noor dan kenyataan dari sekurang-kurangnya 60 orang saksi. Laporan perubatan tersebut menyimpulkan bahawa kesan kecederaan yang dilakukan ke atas saya adalah konsisten dengan satu serangan fizikal.

4. Walaupun kandungan kertas siasatan dan lapuran perubatan yang tersedia, Tan Sri Mokhtar dengan bantuan Peguam Negara hari ini dan, Tan Sri Gani Patail telah mendapatkan khidmat seorang pegawai perubatan bernama Dr. Abdul Rahman bin Yusof (Dr. Abdul Rahman).

5. Dr. Abdul Rahman dalam satu laporan tidak bertarikh menyediakan laporan kedua yang menyentuh “lakonan semula tempat kejadian” pada 14 Disember 1998. Saya percaya bahawa “lakonan semula tempat kejadian” tersebut tidak pernah berlaku.

6. Adalah satu fakta yang tidak disangkalkan bahawa laporan perubatan Dr Abdul Rahman berhubung serangan yang dilakukan terhadap saya disediakan tanpa langsung melakukan pemeriksaan fizikal ke atas saya terlebih dahulu.

7. Walaupun sudah ada kertas siasatan dan laporan kesihatan yang lengkap, Tan Sri Mokhtar dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 5 Januari 1999, menerima pandangan yang diberikan oleh Dr. Abdul Rahman mengenai apa yang dikatakan sebagai “perkara-perkara tidak konsisten” dalam laporan perubatan doktor-doktor lain yang telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas saya.

Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar juga menyatakan siasatan yang telah dijalankan tidak dapat mengenalpasti individu atau mereka yang menyebabkan kecederaan ke atas saya. Ini sesungguhnya bercanggah dengan laporan siasatan yang selesai dilakukan menjelang Oktober 1998 yang menyimpulkan bahawa Rahim Noor menyerang saya. Tan Sri Mokhtar dan pasukannya dengan itu telah secara sengaja mengelirukan masyarakat. Apabila siasatan polis menjadi tidak lengkap, orang ramai menjadi resah dan menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Tan Sri Mokhtar juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada beliau hanya pada 19.11.98. Saya percaya Tan Sri Gani Patail ada makluman penuh tentang kenyataan palsu yang terkandung dalam kenyataan akhbar tersebut.

9. Saya juga percaya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadap saya. Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya dari pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah.

10. Saya percaya kedua-dua Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani Patail secara aktif terlibat dalam menyediakan laporan kedua tidak bertarikh oleh Dr. Abdul Rahman yang telah membuat kesimpulan palsu dan pelik seperti “the pattern and nature of the injuries are not consistent with a direct blow” [“bentuk dan ciri kecederaan adalah tidak konsisten dengan pukulan secara langsung”], “accidental nature of the injuries could not be ruled out” [“kemungkinan kecederaan ini disebabkan oleh kemalangan tidak boleh ditolak”] dan “self-inflicted nature of the injury should be considered” [kemungkinan kecederaan disebabkan perbuatan sendiri harus diberikan pertimbangan”]. Mereka mengarahkan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini dan bertindak di bawah pengarahan dan/atau bersama Tan Sri Mokhtar Abdullah.

11. Semua fakta-fakta ini menunjukkan Tan Sri Musa Hassan, Tan Sri Gani Patail dan SAC II Datuk Mat Zain bin Ibrahim (individu, yang menurut Dr. Abdul Rahman dalam lapurannya, telah mengiringi beliau ke sel di Bukit Aman di mana saya ditahan dan terlibat dalam apa yang didakwa ‘lakonan semula tempat kejadian’) telah berpakat dengan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini. Ini telah dilakukan agar lapuran polis saya bertarikh 27.9.98 mengenai serangan tersebut akan dikira sebagai lapuran polis palsu dan saya boleh didakwa, atau sekurang-kurangnya merosakkan kredibiliti saya bagi memberi kesan buruk terhadap pembelaan saya dalam kes-kes jenayah yang mana saya telah didakwa melakukan ‘korupsi’ dan liwat bagi membolehkan saya didapati bersalah.

12. Saya ingin menyatakan bahawa Tan Sri Gani Patail adalah pegawai pendakwa kanan yang membantu Tan Sri Mokhtar dalam membuat pendakwaan ke atas saya. Tan Sri Musa Hassan adalah Pegawai Penyiasat dalam pendakwaan terhadap saya. Saya juga percaya, satu tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini telah diambil apabila satu bilik operasi khusus telah disediakan di Bukit Aman untuk menguruskan pendakwaan saya dan di mana mereka akan berjumpa secara kerap.

13. Ini bukanlah kali pertama dakwaan mengenai pemalsuan bukti dibuat berkaitan Tan Sri Gani Patail. Saya dimaklumkan bahawa dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor [2001] 3 MLJ, Steve Shim, Hakim Besar, dalam penghakiman beliau menyatakan bahawa "... was he not justified, on a prima facie basis, in complaining that Tan Sri Gani Patail’s conduct at the meeting on 2.10.1998 was an attempt to get Nalla to fabricate evidence in order to perfect charges against him for other alleged sexual offences?"

Perkataan “he” dan “him” dalam ayat di atas merujuk kepada diri saya.

14. Berkenaan perkara di atas, saya merujuk kepada dokumen berkenaan bagi membantu siasatan polis:

a. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar yang dibuat pada 5.1.99.
b. Nota prosiding dalam lapuran Suruhanjaya DiRaja berkaitan keterangan Dr Abdul Rahman
c. Laporan Kesihatan kedua yang dibuat oleh Dr. Abdul Rahman yang terkandung dalam lapuran Suruhanjaya.

15. Saya memohon diadakan satu siasatan baru terhadap pemalsuan bukti yang mana saya telah dinasihati sebagai satu kesalahan di bawah seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 7 tahun. Saya memohon agar setiap individu yang terlibat dalam menyediakan laporan kedua oleh Dr Abdul Rahman ini iaitu Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Dr. Rahman dan Datuk Mat Zain bin Ibrahim disiasat secara terperinci agar kebenaran diperolehi dan sebarang salah laku dihukum.

Anwar bin Ibrahim
1 Julai 2008

'Nakbah' bermula era rejim Yahudi

Najib 'Afif Arip

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.

Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar.

Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah.

Antaranya peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di Palestin.

Pengisytiharan itu telah digelar 'Ominous Declaration' (Pengisytiharan Celaka).

Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut.

Antaranya, dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan.

Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin, malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun, sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917 M).

Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948.

Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.

Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana.

Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.

Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).

Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah.

Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.

Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin.

Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama.

Bukti: Surat MB S'gor minta derma

Jimadie Shah Othman

Kepala surat pejabat menteri besar Selangor digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk mengutip sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari pentadbirannya, kata Mohamad Ezam Mohd Nor.

Dalam aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pagi ini, bekas pemimpin kanan PKR itu mendakwa nombor faksimili yang tertera di surat itu juga menunjukkan ia dihantar dari pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ezam to shah alam aca 010708 02"Saya tidak boleh tunjukkan isi sebab saya sudah serahkan pada BPR. Yang saya nak tunjukkan, kepala surat pejabat menteri besar Selangor dan juga ada nombor faks (dihantar) kepada pihak (syarikat) yang diminta sumbangannya.

"Nombor faks tersebut adalah nombor faks pejabat menteri besar Selangor.

"Jelas (PKR) menggunakan pejabat menteri besar Selangor untuk tujuan individu dan parti yang, bagi saya, jelas salah guna kuasa," katanya dalam sebuah sidang media selepas menyerahkan dokumen itu.

Mengulas perkembangan lanjut siasatan isu tersebut yang meledak minggu lepas, Ezam berkata:

"Mereka (BPR) memberitahu sudah memulakan siasatan terhadap kes ini. Dan siasatan masih belum selesai dan dokumen ini mungkin dapat membantu.

"Pada asasnya, mereka bersetuju (tindakan itu) mempunyai unsur salah guna kuasa dalam kes ini. Bagaimanapun, keputusan muktamad dapat diberitahu selepas siasatan selesai."

Ahli Umno itu berkata pembabitan adik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam syarikat besar milik kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) menunjukkan amalan nepotisme dalam pentadbiran Selangor.

"Saya mohon penjelasan. Saya rasa menteri besar sendiri dah buat penjelasan semalam. Memang ada pelantikan dan dia telah letak jawatan.

"Ini salah satu bukti parti dan kelompok yang mahukan reformasi. Salah satu ciri reformasi adalah mengelakkan nepotisme, pilih kasih.

"Tetapi ia berlaku dalam tempoh 100 hari dalam satu syarikat terbesar kerajaan negeri melibatkan adik Anwar sendiri," katanya.

Dokumen itu diserahkan kepada seorang pegawai badan itu, Jaafar Mahat pada 10:45 pagi di pejabat BPR Selangor di Shah Alam.

Mengulas dakwaan dan siasatan kes liwat bekas ketuanya itu, Mohamad Ezam berkata "hanya penuduh, tertuduh dan Allah sahaja yang mengetahuinya."

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju tindakan mengaibkan seseorang dalam kes seumpama ini, tambahnya.