Khamis, 25 Disember 2008

'Politik wang nampaknya lebih teruk, bahaya' - Tengku Rithaudeen

GEJALA politik wang dalam Umno kini disifatkan semakin serius dengan banyak pihak melahirkan keprihatinan dan keperluan untuk mengatasinya dengan segera. Sehingga hari ini, Lembaga Disiplin Umno sudah menerima 900 aduan dengan sebahagiannya berkaitan dengan politik wang.

Jumaat lalu, mStar Online menemu bual Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (gambar) berhubung usaha epiphany menangani isu tersebut menjelang pemilihan Umno.

Bagaimana Tan Sri melihat gejala politik wang yang semakin menular dalam Umno?

TENGKU RITHAUDEEN Saya mula bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Displin sejak tahun 2001 dan saya bersama 18 ahli yang lain bertugas dalam pemilihan Umno sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan tahun ini. Setiap kali ada pemilihan, gejala ini semakin buruk. Pada tahun 2004 dulu, kira-kira 400 aduan kita terima tetapi bukan seratus peratus berkaitan politik wang. Ada juga mengenai mesyuarat cawangan dan bahagian. Begitu juga sekarang ini lebih kurang 900 aduan yang diterima dan daripada 900 itu, bukan seratus peratus di bawah Tata Etika Umno. Boleh dikatakan 40 hingga 45 peratus sahaja.

Sekarang ini, apabila kita dapat satu aduan, kita terus turun ke bawah untuk berbincang dan menyiasat keadaan. Jikalau ada kes, baru kita buat perbicaraan. Masalahnya, bagi kebanyakan aduan, mereka (pengadu) beritahu cerita sahaja contohnya, hari-hari yang berkenaan ada jamuan yang dibuat oleh orang-orang ini dan 50 orang yang lain. Selepas makan, mereka diberi RM100 seorang tapi tidak pula memberitahu siapa orang itu.

Ini tak boleh. Kita nak tahu siapa dia dan kalau boleh kita akan jejak orang yang berkenaan. Kita nak dapatkan bukti ia sebenarnya berlaku supaya kita boleh hukum orang berkenaan. Ini tidak, kita kena cari satu persatu. Kadangakala apa yang berlaku sekarang ini, ahli-ahli sendiri sebagai pengundi yang minta duit... jadi mungkin kita kena pinda sedikit undang-undang supaya orang yang minta duit pun salah juga. Ini satu perkara yang kita perlu beri pertimbangan.

Jika dibandingkan dengan pemilihan lalu, adakah kali ini lebih teruk?

TENGKU RITHAUDEEN Nampaknya lebih teruk dan saya rasa ini merbahaya. Salah satu sebab orang tidak suka Umno adalah disebabkan politik ini, banyak wang yang dimainkan. Ia begitu teruk sejak kebelakangan ini. Masa saya masuk parti dulu, tidak lah begini.

Jika pemimpin terdiri daripada orang-orang seperti ini, beliau tidak layak memimpin parti dan negara. Kita tidak mahu orang yang ada duit sahaja tapi tiada kebolehan untuk membawa parti maju.

Mungkinkah ia berlaku kerana ketamakan kuasa?

TENGKU RITHAUDEEN Itulah nampaknya. Mereka mahu berkuasa lagi. Di dalam parti jikalau dia ada bersama-sama dengan menteri dan orang-orang atasan, dia mahu supaya diberikan kontrak. Ini masalahnya.

LEBIH TERUK

Adakah politik wang ini dijangka akan lebih teruk menjelang pemilihan pusat Mac depan?

TENGKU RITHAUDEEN Nampaknya begitulah keadaannya. Saya tak nak kata sangat dengan begitu yakin kerana mungkin tidak berlaku tetapi boleh jadi (akan berlaku) kerana pemilihan ini akan berakhir pada bulan Mac. Pada mereka, makin lama makin bagus, banyak lagi duit orang akan dapat. Saya tidak suka tengok keadaan seperti ini.

Nampaknya amaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno seperti tidak diendahkan? Mungkinkah ada mentaliti "kamu buat juga, apa salahnya saya buat"?

TENGKU RITHAUDEEN Kemungkinan begitu tapi bukan semua pemimpin begitu tapi ada sesetengah yang memberi wang untuk memegang jawatan tinggi. Masalah ini bertambah apabila ahli yang mengundi itu juga meminta wang. Bila ada calon yang mahu bertanding, ada yang kata 'takkan tidak ada duit-duit kopi sikit' Ini masalahnya. Duit kopi bukan 10 sen atau 20 sen, dia nak beratus.

Setakat ini berapa banyak aduan yang telah disiasat dan telah diselesaikan?

TENGKU RITHAUDEEN Banyak juga yang telah kita siasat. Dan, ada juga yang dibicarakan. Mungkin pada beberapa minggu yang akan datang, kita akan menambah ahli untuk mendengar kes. Selain itu, sebanyak 10 peratus kes telah diselesaikan. Kerjasama kita dengan BPR (Badan Pencegah Rasuah) juga dapat mengurangkan kerja kita. Dengan BPR, mungkin peluang untuk membuktikan sesuatu kes itu lebih tinggi.

Bagaimana dengan cadangan sesetegah pihak supaya diwujudkan jawatankuasa disiplin di setiap negeri bagi memantau gejala ini?

TENGKU RITHAUDEEN Kita telah melantik pemantau di setiap negeri untuk memberi laporan dan membantu kita menyiasat. Malangnya kalau nak cari orang yang betul-betul boleh bertindak sebagai hakim, dia mesti betul-betul natural justice.

KRITERIA SIASATAN

Bagaimana kriteria sesebuah kes itu disiasat?

TENGKU RITHAUDEEN Bila kita dapat satu-satu kes dan kita rasa ia mesti didengar, kita akan hantar dua orang untuk menyiasat. Kadang-kadang dalam satu hari mereka berada di sana, mereka akan menyiasat sehingga lima kes. Lepas disiasat, baru kita tahu yang satu-satu kes itu cukup bukti dan saksi. Jika ada, dalam masa seminggu kita akan panggil. Mana yang dirasakan penting, kita utamakan dulu.

Bagaimana pendapat Tan Sri tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau percaya, wujud politik wang bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno?

TENGKU RITHAUDEEN Kemungkinan... ada orang cakap begitu tapi kita tiada bukti nak siasat. Buat masa sekarang ni, ada orang bercakap sahaja. Kita nakkan bukti, barulah kita boleh terus memanjangkan siasatan kita mendakwa orang berkenaan.

Bolehkah semua aduan politik wang yang diterima ini diselesaikan sebelum pemilihan Mac ini?

TENGKU RITHAUDEEN Kita cuba ikhtiar seberapa yang boleh untuk menghabiskan aduan-aduan sebelum Mac ini tapi kita kena kerja kuat.

Pandangan Tan Sri tentang pendapat sesetengah pemimpin Umno yang meminta Umno menggariskan definisi rasuah politik dengan jelas dan tepat bagi mengelak salah faham di kalangan semua pihak?

TENGKU RITHAUDEEN Kita ada nyatkan dalam illustrasi yang mengatakan sesuatu itu salah dalam etika. Kebanyakan mereka tahu kesalahan-kesalahan itu tapi ada yang masih buat. Itu masalahnya.

Dengan berleluasanya gejala ini, Umno melalui Lembaga Disiplin dilihat seperti tidak menjalankan tugas mereka. Apa pandangan Tan Sri?

TENGKU RITHAUDEEN Mereka memikirkan kita ini tak bergerak... tapi kalau kita tengok kita bertugas, mereka sedar dengan kesulitan yang kita hadapi. Kita nak siasat satu-satu kes itu mengambil masa. Kita kena pergi ke bawah. Mereka (pengundi) nak datang sini, mereka tak mampu.

Pandangan Tan Sri dengan mentaliti sesetengah ahli yang menganggap 'Umno itu duit, duit itu Umno'?

TENGKU RITHAUDEEN Saya rasa tidak semua begitu. Hanya golongan-golongan tertentu yang mengamalkannya. Orang-orang Umno perlu memikrkan cara bagaimana untuk menukar pemikiran mereka. Selepas pemilihan nanti, mereka patut pergi kampung dan berbincang bagaimana untuk menghapuskannya.

Adakah dengan menghapuskan sistem kuota boleh menghapuskan amalan politik wang atau setidak-tidaknya mengurangkan ia berlaku?

TENGKU RITHAUDEEN Ia (sistem kuota) adalah salah satu sebab yang menggalakkan mereka. Satu (peringkat) nakkan kuota... dah (dapat) kuota nak menang pulak, jadi dua kali (gunakan wang).

Bagaimana pandangan Tan Sri tentang cadangan Tun Mahathir supaya ahli yang didapati bersalah mengamalkan politik wang dibuang terus daripada Umno bagi membersihkan parti?

TENGKU RITHAUDEEN Saya rasa bagus juga. Orang yang terlibat dengan perkara-perkara tidak baik tidak perlu menjadi pemimpin.

Bagaimana kerjasama yang dijalankan dengan BPR setakat ini?

TENGKU RITHAUDEEN Kerjasama berjalan dengan baik dan kita berbincang beberapa perkara. Kita sanggup memberikan apa saja pertolongan dan penjelasan termasuk fakta-fakta yang didapati. Secara prinsipnya, kita ada mekanisme khusus dan saya kerjasama dengan BPR ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan gejala politik wang.

Jumaat, 19 Disember 2008

Dr Asri: Pemilihan PM perlu libatkan rakyat

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini bercuti sabatikal di United Kingdom berpendapat sudah sampai masanya pemilihan Perdana Menteri dibuat dengan melibatkan setiap individu rakyat.

"Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat.

"Sistem yang digunapakai di Amerika, mungkin boleh difikirkan disamping beberapa pengubahsuaian berdasarkan kepada keperluan negara ini," kata beliau melalui emel yang dikirimkan baru-baru ini.

Kelebihan pemilihan terbuka, menurut Dr Asri, yang seperti di atas ini boleh dilihat kepada beberapa perkara berikut:

i. Pemilihan seperti itu akan benar-benar mewakili keredhaan majoriti rakyat.

ii.Cara pemilihan yang sebegini, dengan diberi peluang yang adil bagi setiap calon akan menghasilkan tokoh kepimpinan yang lebih berkarisma, berkemampuan dan telus.

iii.Kewibawaan atau kesetiaan rakyat untuk taat kepada sesiapa yang dipilih menjadi Perdana Menteri lebih nyata disebabkan setiap warga diberi peluang yang sama dalam pemilihan.

iv.Cabaran atau ugutan penentang Perdana Menteri yang dipilih tidak boleh menggugat kewibawaan seseorang Perdana Menteri kerana dia benar-benar dipilih oleh majoriti rakyat.

v.Mereka yang tidak berwibawa atau bermasalah akan bimbang untuk menawarkan diri dalam pemilihan yang terbuka seperti itu.

vi.Kesedaran umat Islam tentang perpaduan dan ukhuwwah islamiyyah demi survival mereka akan meningkat.

Namun, jelas Dr Asri, cadangan ini jika hendak dilaksanakan hendaklah benar-benar dihalusi agar lebih mendekati maksud sistem syura yang dinyatakan oleh Islam.

"Penegakan akhlak Islamiyyah dalam pemilihan calon dan kempen hendaklah dijadikan asas yang membawa kepada keharmonian pemilihan," kata beliau.

Selasa, 4 November 2008

Jutaan keluar undi, Obama berpeluang cerah

WASHINGTION Lebih 100 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) kini menuju pusat-pusat pengundian, secara berperingkat-peringkat, dengan Barack Obama, calon Demokrat memiliki sokongan jelas untuk memenangi pemilihan - yang bersejarah - yang turut dinanti-nantikan dunia - bagi menggantikan Presiden George W. Bush, yang tidak popular di dalam dan luar negara AS.

Bagaimanapun pesaingnya, John McCain pula berikrar akan melakukan kejutan dengan memperolehn kemenangan - muncul sebagai Presiden AS yang ke-44.

Obama dan McCain, senator penggal pertama bertanding kerusi Presiden, mengulangi rekod yang dicipta oleh mendiang Presiden John F. Kenndey pada 1960.

Pemilihan bersejarah hari ini sekali gus menandakan berakhirnya kempen maraton selama dua tahun kedua-dua calon berkenaan dan calon-calon lain di pusingan awal termasuk Hillary Clinton, isteri bekas Presiden Bill Clinton.

Proses pengundian secara rasmi hari ini bermula di negeri Vermont pada pukul 5 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia).

Bagaimanaoun penduduk di dua bandar negeri New Hampshire secara simbolik telah memulakan proses pengundian hari ini - membuang undi tengah malam tadi.

Walaupun keputusan pemilihan diketahui esok Presiden baru akan mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.

Selain pemilihan Presiden, pilihan raya umum ini menyaksikan pemilihan beberapa kerusi Kongres dan Gabenor beberapa negeri.

Menjelang pengundian rasmi hari ini - Selasa (waktu di AS) - lebih 28 juta sudah pun mengundi, dengan pungutan suara menunjukkan sokongan memihak kepada Obama.

Keputusan rasmi yang pertama dijangka diketahui selepas 7 petang (waktu tempatan) dan 7 pagi esok waktu Malaysia.

Siaran CNN menunjukkan pengundi sudah mengundi di Dixville Notch dan Hart's Location.

Obama muncul pemenang di kedua-dua bandar berkenaan, yang secara tradisi membuat pengiraan awal pada hari pilihan raya.

Beliau menewaskan McCain dengan 15-6 di Dixville Notch.

Ini kali pertama Dixville Notch memilih calon Demokrat sejak 1968.

Bandar Hart's Location melaporkan kemenangan 17-10 yang turut memihak kepada Obama dan dua lagi kepada calon liberal, Ron Paul manakala calon Bebas Ralph Nader tidak memperoleh sebarang undi dari kedua-dua bandar berkenaan.

Sokongan di Hart's Location lazimnya memihak kepada calon Republik sejak kembali kepada pengundian awal pada 1996.

Pusat-pusat pengundian, yang pertama akan mula ditutup di beberapa bahagian di Indiana dan Kentucky pada pukul 6 petang waktu tempatan (7 pagi esok waktu Malaysia).

Obama, 47, senator penggal pertama dari Illinois, jika menang akan menjadi Presiden pertama AS daripada kalangan masyarakat kulit hitam.

Pungutan suara umum menunjukkan Obama mengatasi McGain di sejumlah negeri yang mencukupi baginya memperoleh 270 undi kemenangan.

Pegawai-pegawai Obama turut berpuas hati dengan keputusan peringkat awal. Pegawai-pegawai di negeri-negeri yang dijangka menyaksikan saingan sengit seperti Florida, Colorado, New Mexico dan North Carolina, melaporkan bahawa lebih sokongan diperoleh oleh Demokrat berbanding Republikan, dengan di beberapa negeri perbezaan undi adalah lebih besar bernading 2004.

Di Colorado dan North Carolina, bilangan undi yang telah dibuang lebih awal adalah lebih banyak berbanding 2004.

Jika McCain, 72, pula jika menang bermakna beliau akan menjadi Presiden pertama paling tua mengetuai White House manakala gandingannya, Sarah Palin bakal mencatatkan sejarah wanita pertama menjadi Naib Presiden.

Bagaimanapun bakal Presiden AS yang baru berhadapan siri krisis - ekonomi, politik dan dasar luar.

Kira-kira 130 hingga 135 juta rakyat AS dijangka mengundi hari ini - peningkatan seramai 10 juta berbanding 2004 dan 25 juta berbanding lapan tahun lalu.

Bush tidak mempertahankan jawatannya kerana perlembagaan negara itu tidak membolehkan penyandang jawatan mengetuai White House lebih dua penggal atau lapan tahun.

Pungutan suara terbaru Wall Street Journal-NBC News Poll meletakkan Obama di paras 51 peratus berbanding McCain 43.

Dalam pada itu, Washington Post-ABC News Poll melaporkan 54 peratus memihak kepada Obama berbanding 43 peratus McCain manakala Rasmussen menyebut sokongan Obama naik mencecah 51 peratus berbanding 46 peratus diperoleh McCain 46.

Pungutan suara terakhir Gallup Daily menunjukkan Obama masih di hadapan dengan 53 peratus berbanding 42 peratus untuk McCain.

Kedua-dua senator tersebut kembali negeri masing-masing awal pagi ini selepas maraton kempen iaitu Obama di OChicago, Illinois manakala McCain di Phoenix, Arizona.

[FAKTA PEMILIHAN PRESIDEN AS]

* Menyediakan undi Electoral College sebanyak 538 membabitkan 50 negeri dan District of Columbia berdasarkan perwakilan di Kongres

* Calon perlu menang 270 daripada undi tersebut

* Di 48 negeri dan Washington, D.C., calon yang memenangi undi popular akan memperoleh keseluruhan pemilih negeri terbabit. Nebraska dan Maine mempunyai sistem proportional dalam pembahagian pemilih

* Pemilih yang dipilih oleh parti politik masing-masing akan membuat dua pilihan - presiden dan naib presiden

* Electoral College akan bertemu di negeri masing-masing pada satu hari Isnin awal Disember. Undi itu akan dikira dalam sesi bersama Kongres pada 6 Januari depan

* Jika tiada calon yang menerima majoriti undi, Dewan Perwakilan akan memilih tiga calon teratas dengan setiap negeri mempunyai satu undi. Jika tiada calon Naib Presiden menerima majoriti, Dewan Senat akan memutuskan antara dua calon

* Dewan Perwakilan pernah memutuskan keputusan pemilihan presiden pada 1800 dan 1824. Senat pernah memutuskan kedudukan naib presiden sekali, pada 1836.

Jumaat, 31 Oktober 2008

Eurocopter: "Abdullah makan nangka, Najib terkena getahnya"

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa menyatakan ketika ramai menyangka kononnya 'perbincangan' pembelian Eurocopter didalangi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan komisyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepada Timbalan Presiden Umno itu.

"Isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nangka dan orang lain terkena getah," kata Husam secara sinis dalam satu ulasan yang dipaparkan dalam blognya baru-baru ini.

Benar 'Letter of intent' (LOI) dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan ia nampak seperti Najib tergesa-gesa, katanya.

Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan dan sememangnya pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan, katanya.

"Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan 'deal' ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'," katanya sinis.

Pada masa yang sama Husam melihat ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib.

Beliau juga merujuk surat yang didedah Kapt (B) Zahar Hashim yang ditujukan kepada Najib.

"Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka'.Ia satu 'permainan' tingkat tinggi. Berbilion ringgit wang negara jadi pertaruhan," katanya.

Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah tiba-tiba kononnya mengetahui bahawa Eurocopter adalah mahal dan berkata negara tidak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan, ujar Husam sinis.

"Cepat dan pantas. Sebulan, selesai.Abdullah terkejar masa untuk 'sentuhan' akhir sebelum bersara?," katanya lagi.

Akhirnya Abdullah mengumumkan pembelian Eurocopter dibatalkan dan kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas Abdullah yang sama pertama kali mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya pada 26 September lalu, ujar HUsam. - mks._

Pemuda perlu bergerak ala NGO

KLANG: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pergerakan itu perlu balik kepada perjuangan asalnya iaitu membela nasib rakyat dan bergerak ala NGO untuk meraih kembali sokongan di peringkat akar umbi.

"Pemuda perlu peka kepada masalah rakyat dan membantu mereka mendapatkan pembelaan dan bukannya kelihatan seperti pak turut kepada kerajaan," katanya pada satu jamuan Hari Raya di Kampung Johan Setia anjuran Pemuda Umno Bahagian Kota Raja di sini malam tadi.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Anggota Exco Pemuda Umno, berkata satu daripada perkara yang mesti dilakukan oleh pergerakan itu ialah mengukuhkan ekonomi orang Melayu di peringkat akar umbi seperti membantu mereka mendapatkan tapak perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan supaya mereka boleh berniaga secara kecilkecilan.

"Ramai juga golongan pemuda yang ingin berniaga tetapi mereka berdepan masalah kekurangan modal dan sukar mendapatkan pinjaman bank.

"Oleh itu, Pemuda Umno boleh membantu mereka mendapatkan pinjaman yang disediakan untuk Bumiputera seperti pinjaman Tekun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

Mukhriz berkata, Pemuda Umno juga boleh membantu golongan muda mendapatkan kemudahan perumahan daripada kerajaan negeri terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. BERNAM

Khamis, 23 Oktober 2008

BN suka canang perkara remeh...

Pemerhati politik berpendapat parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tak habis-habis mencanangkan isu remeh daripada perkara lebih penting seperti menangani politik wang, memilih pemimpin yang betul dan bekerja keras untuk meraih semula sokongan yang hilang terhadap gabungan itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Menurut laporan Bernama, para penganalisis beranggapan adalah tidak penting, pada ketika ini, cadangan untuk menjadikan gabungan itu sebagai satu parti pelbagai kaum atau malahan menjalani penstrukturan semula.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata penstrukturan semula jawatan tertinggi dalam Dewan Tertinggi BN tidak akan membawa sebarang kesan signifikan dalam gabungan itu atau kepada rakyat amnya.

"Bagi saya ini semua perkara remeh. Saya faham mereka mahu mendapatkan kembali sokongan daripada kaum mereka sendiri tetapi saya tidak fikir ini akan memberi faedah kepada rakyat secara amnya.

"Lagipun, semua jawatan tinggi dalam BN hanya pada nama sahaja kerana semua keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama tanpa mengira jawatan mereka dalam Dewan Tertinggi," kata pensyarah di Fakulti Pentadbiran Awam dan Undang-undang universiti itu.


Beliau berkata BN ditubuhkan berdasarkan persefahaman tanpa terikat dengan perlembagaan secara sah.

"Tidak penting siapa yang duduk di situ kerana kedudukan mereka dalam Dewan Tertinggi sebenarnya sama sahaja. Umno diberikan jawatan pengerusi dan timbalannya atas dasar persefahaman bahawa ia parti terbesar dan keadaan itu kekal sehingga hari ini," katanya.

Dr Ahmad Atory berkata pemimpin BN sepatutnya menumpukan pada isu lebih penting iaitu memenangi semula keyakinan rakyat.

Timbalan pengerusi BN

"Mereka sebenarnya perlu melihat kepada keadaan sebelum ini dan mengkaji situasi itu secara menyeluruh dan mencari punca kepada masalah itu, kemudian merumuskan idea yang bernas yang benar-benar membantu gabungan menarik semua pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Anda boleh mendapatkan semula sokongan anggota parti anda sendiri, tetapi yang pentingnya ialah rakyat," katanya.

Kenyataan Dr Ahmad Atory itu merujuk kepada kegagalan BN untuk menawan semula Kelantan dan kekalahan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merujuk kepada permintaan MCA agar diwujudkan jawatan kedua bagi timbalan pengerusi BN untuk dipegang oleh parti itu, dan berkata melayani permintaan itu akan membuka pintu kepada parti komponen lain untuk membuat tuntutan yang sama.

"Di samping itu, saya berpendapat ada perkara lain yang lebih mendesak yang perlu ditangani oleh pemimpin BN, pembaharuan yang lebih penting seperti menangani politik wang, misalnya," katanya.

Beliau juga berkata pemimpin BN telah menyimpang daripada masalah sebenar.

"Setiap parti komponen, sama ada Umno, MCA, MIC atau malahan Gerakan, mempunyai masalah kepimpinan. Saya fikir mereka mesti selesaikan ini dulu sebelum bercakap mengenai membaharui struktur gabungan," kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu.
Pendapat Dr Ahmad Nizamuddin turut dikongsi Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dari Universiti Tun Abdul Razak yang berkata apa yang patut diutamakan oleh parti komponen BN ialah memilih "pemimpin yang betul".

Pengetahuan luas

"Saya berpendapat apa yang paling penting sekarang ialah untuk semua parti komponen memilih pemimpin yang betul. Kemudiannya, selepas itu mereka boleh membincangkan idea bagi pembaharuan," kata bekas Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan universiti itu.

Katanya adalah amat kritikal untuk memilih pemimpin yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta mempunyai rangkaian yang luas sama ada di dalam dan luar negara.

"Kita mempunyai banyak pemimpin cemerlang seperti dalam dunia korporat, dalam sektor perkhidmatan awam dan pendidikan. Oleh itu, pada pandangan saya, pemimpin politik juga perlu terdiri daripada kalangan yang terbaik," katanya.

Berdasarkan keadaan semasa, daripada segi politik atau ekonomi, Dr Ibrahim mempunyai sebab kenapa amat penting untuk memilih pemimpin yang betul kerana pemimpin berkenaan perlu mencari jalan bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti mereka tetapi juga BN serta mengemudi negara dalam menghadapi krisis ekonomi global sekarang.

Pada masa yang sama, mereka perlu memulihkan semula keyakinan pengundi jika BN mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, Dr Ibrahim berkata adalah amat penting bagi pemimpin BN untuk mengenal pasti punca masalah itu yang telah menyebabkan gabungan itu berada dalam "kepanasan" sebelum ini.

Katanya setiap cadangan bagi perubahan perlu dikaji dengan mendalam berdasarkan prinsip setiap parti komponen dan yang paling penting ialah mereka perlu menumpukan kepada kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan negara kekal stabil.

"Pembaharuan mesti berdasarkan beberapa faktor, luaran dan dalaman. Ada yang sukakan perubahan secara radikal tetapi bagi saya usaha ini perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

Khamis, 9 Oktober 2008

Jawatan tertinggi Umno 2009

Muda Mohd Noor

Pergerakan Pemuda Umno Johor menganggap pemilihan pucuk pimpinan Mac depan sebagai sesuatu yang unik kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah pemilihan parti itu.

"Sukar untuk saya mengulas perkara tersebut tetapi saya berharap ianya membawa kebaikan kepada parti," kata Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim.

Menurutnya, dalam pemlihan kali ini, begitu ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama Umno.

Malah, katanya, yang lebih menarik lagi, ada kalangan pemimpin yang tidak disangka akan bertanding, turut tampil menawarkan diri.

Beliau tidak mahu menyebut nama-nama pemimpin yang dimaksudnya itu kerana tidak mahu menjejaskan peluang mereka nanti.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya mereka pasti tahu peranan masing-masing untuk menjadikan Umno lebih baik.

Manakala timbalan ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Kamaruddin Ambok turut mengulas mengenai minat ramai pemimpin Umno untuk bertanding kali ini.

Mesti ukur kewibawaan

"Dahulu, ketika Datuk Najib Razak mengumumkan bertanding timbalan presiden Umno, tiada seorangpun yang mahu bertanding.

"Tetapi sebaliknya, kali ini mereka berlumba-lumba mahu bertanding," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Masa kempen yang panjang juga satu masalah kerana calon akan berkempen habis-habisan untuk mendapatkan sokongan," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan kebimbangannya kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk perpecahan dalam parti.

Katanya, apa gunanya memegang jawatan tinggi tetapi mereka tidak boleh menyatukan Umno dan orang Melayu.

Beliau berkata, pemimpin yang mahu bertanding sepatutnya mengukur kewibawaan masing-masing sama ada layak atau tidak untuk bertanding.

Sementara itu, timbalan ketua bahagian Umno Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan Ketua bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bertanding, menggambarkan Umno kini dalam keadaan kritikal.

Ramai tawar diri

Beliau yang juga ketua penerangan Umno Perlis berkata, penyakit Umno telah mencapai tahap yang cukup kronik.

"Sekarang ada orang yang menganggap mereka tidak perlu lagi mengambil kira dan memberi perhatian terhadap kepimpinan Umno," katanya.

Menurutnya, ini dapat dilihat apabila orang yang tidak mempunyai jawatan yang sepatutnya dalam parti, turut menawarkan bertanding jawatan utama Umno.

Menjelang mesyuarat bahagian-bahagian Umno yang dijadual bermula esok, semakin ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding.

Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menawarkan ciri untuk bertanding jawatan presiden. Pada 2004, Ku Li turut menawarkan diri bertanding jawatan tersebut tetapi tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Manakala presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dijangka mengumumkan hari ini sam ada akan mempertahankan jawatan atau tidak.

Jika Abdullah tidak mempertahankan jawatan, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka bertanding jawatan tersebut.

Muhyiddin tanding timbalan?

Ekoran kekosongan untuk jawatan timbalan presiden, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan besar akan bertanding jawatan jawatan timbalan presiden Umno.

Ini berdasarkan laporan bahawa banyak bahagian Umno yang mahu gandingan Najib dan Muhyiddin menggantikan Abdullah ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malah, ramai yang berpendapat bahawa Muhyiddin yang banyak berusaha untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib, yang sebelum ini dijadualkan pada 2010.

Bagaimanapun, Muhyiddin sehingga hari ini belum membuat keputusan sama ada bertanding jawatan timbalan presiden atau kekal mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Mengikut laporan, Muhyiddin dan ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya selepas Abdullah membuat keputusan.

Namun, tiga pemimpin Umno lain telah mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden jika berlaku kekosongan dalam pemilihan parti kali ini..

Mereka ialah Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Nur Jazlan.

Jawatan naib presiden

Bagi jawatan naib presiden pula, beberapa pemimpin telah menyatakan kesediaan untuk bertanding dan yang terbaru ialah ketua badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sebelum ini, bekas naib presiden, Tan Sri Isa Samad; bekas ketua Pemuda, Tan Sri Rahim Thamby Chik; menteri dalam negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohd Khalid Nordin; menteri luar, Datuk Seri Rais Yatim; ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan kesediaan mereka bertanding jawatan naib presiden Umno.

Isa merupakan penyandang jawatan naib presiden sebelum digantung selama sepenggal atau tiga tahun kerana terbabit dengan politik wang dalam pemilihan 2004. Dua lagi naib presiden ialah Mohd Ali dan Muhyiddin.

Manakala antara pemimpin terawal yang menawarkan diri untuk bertanding ahli majlis tertinggi (MT) Umno ialah bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang lain termasuklah ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, ketua Umno bahagian Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, ketua Umno bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan timbalan menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom.

Jawatan ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan naib ketua sekarang Khairy Jamaluddin; exco Datuk Mukhriz Tun Mahathir; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Tan Sri Rafidah Aziz dijangka tidak dicabar untuk jawatan ketua Wanita setelah beliau mengumumkan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada timbalan ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun tahun depan.

Bagi jawatan ketua Puteri empat pemimpin - naib ketua, Rosnah Abdul Rashid Shirlin; ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail; ketua Puteri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin dan setiausaha pergerakan itu, Bibi Sharliza Mohd Khalid telah menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Isnin, 6 Oktober 2008

Najib: Akta Hubungan Kaum Mungkin Tidak Perlu Di Sabah

KOTA KINABALU, (Bernama) -- Akta Hubungan Kaum mungkin tidak perlu diwujudkan di Sabah kerana sudah wujudnya sikap keterbukaan yang ketara antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya sikap keterbukaan yang sedia ada itu membolehkan rakyat Sabah menjadi lebih akrab dan bermuafakat.

"Semangat keterbukaan, semangat intim antara kaum dan agama paling baik sekali di Sabah. Kehidupan di negeri ini di mana semangat muafakat begitu kuat menyebabkan rakyat di sini boleh menerima unsur-unsur kelompok lain dengan amat terbuka sekali.

"Kalau kita menanam nilai-nilai ini dalam sanubari kita, mungkin kita tidak perlu ada undang-undang perkauman," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini, Sabtu malam.

Dari perspektif politik, Najib berkata semasa Umno datang ke Sabah, rakyatnya menerima parti itu dengan baik.

Malah tidak janggal bagi ahli cawangan Umno yang kebanyakannya beragama Islam memilih ketua atau pemimpin bukan Islam, katanya.

"Ketua Umno cawangan yang bukan Islam itu pun tidak mempunyai masalah untuk memakai baju Melayu dan bersongkok menghadiri majlis Islam.

"Disebabkan itulah sekiranya dia memakai tanjak Kadazan pada perjumpaan Umno di Kuala Lumpur, kita terima juga," katanya.

Menurut Najib, nilai-nilai perpaduan yang ditanam dalam setiap rakyat dan diamalkan pada setiap masa lebih penting daripada aspek undang-undang.

Katanya sekiranya rakyat berpegang kuat dan mencintai antara satu sama lain, negara ini akan menjadi lebih kukuh dan berjaya.

"Biarlah BN menjadi wadah perjuangan ke arah mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Selagi ada BN, pasti ada perjuangan kita," tambahnya.

Najib juga berharap parti komponen BN di Sabah terus komited dengan semangat keterbukaan yang sedia ada kerana Sabah adalah penting kepada BN.

"Saya pernah menganggap Sabah sebagai simpanan tetap. "Nampaknya simpanan tetap tersebut masih tidak berubah. Alhamdulillah, ia masih dalam keadaan baik dan kita akan menjadikannya lebih baik, insya-Allah," kata timbalan perdana menteri.

Beliau juga berkata BN perlu sanggup berubah demi kebaikan rakyat dan bagi mengukuhkan negara.

"Pilihan raya lepas memberi mesej jelas bahawa BN perlu membuat perubahan untuk memenuhi citarasa dan aspirasi rakyat," katanya.

Beliau berkata rakyat jangan mudah terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat termasuk janji untuk membentuk kerajaan baru pada 16 Sept lepas yang akhirnya tidak menjadi kenyataan, yang sekaligus menunjukkan BN masih relevan.

"Pembangkang sanggup melakukan apa saja, walaupun mereka tidak mempunyai asas, tidak mempunyai kebenaran. Mereka sanggup mengenepikan moraliti politik dengan menjanjikan bermacam-macam," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berharap peruntukan yang diberikan kepada Sabah dapat diguna pakai sebaik mungkin agar tidak ada kawasan di negeri itu terpinggir daripada arus pembangunan perdana.

Ketika ditanya pemberita kemudiannya mengenai pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno yang sudah ditawarkan untuk bertanding oleh beberapa pemimpin, beliau berkata: "Adalah terlalu awal bagi saya untuk membuat ulasan."

Setakat ini dua pemimpin iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan Mac depan.

Mahathir tak yakin Abdullah akan berundur

KL: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan tindakan ramai pemimpin Umno yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden selaras dengan amalan demokrasi yang dipraktikkan parti.

Bagaimanapun katanya, pertandingan itu perlulah berlangsung secara sihat tanpa sebarang taktik kotor.

"Baguslah... bertandinglah... kita demokrasi. Jangan main kotor sudahlah.

"Jangan bayar duit, jangan sogok. Kita tunjuk kebolehan kita, insya-Allah, orang akan pilih kita.

"Tapi kalau guna tekanan, kilas tangan orang, tarik balik kontrak, ini bukan demokrasilah," kata beliau ketika pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di kediamannya The Mines Resort City di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam pemilihan akan datang, tidak perlu wujud istilah pasukan kerana jika sesebuah pasukan itu kalah, mereka akan sukar bekerjasama dengan pasukan yang menang.

"Ini bukanlah Amerika Syarikat. Tak perlulah ada pasukan. Kalau kita menang, pasukan kita menang, nak bekerjasama dengan orang yang lawan kita itu susah.

"Kita boleh masing-masing bertanding jawatan masing-masing, dan kita harus sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja yang menang," katanya.

Ditanya andaiannya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan bertanding atau tidak jawatan Presiden sebelum 9 Oktober ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak percaya selagi Abdullah belum membuat sebarang pengumuman.

"Saya dapati Pak Lah ini suka berdolak-dalih. Selagi beliau belum buat pengumuman, saya tak percaya.

"Macam-macam beliau janji, semuanya beliau tak tunaikan janji," katanya.

Berhubung sama ada Umno memerlukan kesinambungan pemimpin lama dan baru seperti yang berlaku dalam parti MCA dan Gerakan pada masa ini, Dr. Mahathir berkata, pemimpin-pemimpin perlu mencontohi Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang mengundurkan dirinya pada pemilihan parti akan datang ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Tapi ada sesetengah pemimpin, dah kalah teruk pun, masih kata menang... tak mahu tarik diri.

"Dulu zaman Tunku (Abdul Rahman), bila orang tak suka kat dia, dia tarik diri. Zaman Datuk Onn (Jaafar), bila orang tak setuju dengan dia, dia pun tarik diri. Ini saya dengar, orang tak cakap lain... itu saja, tapi tak mahu tarik diri," katanya.

Berhubung keputusan beliau untuk menyertai semula Umno, Dr. Mahathir berkata, beliau sudah lama membuat keputusan itu iaitu sejak beliau keluar daripada Umno lagi tetapi ia bersyarat.

"Saya kata saya akan menyertai semula Umno tapi ada syarat... syarat tu kamu pun tahu.

"Tapi rupa-rupanya ramai yang keluar Umno setelah saya keluar. Jadi kalau saya masuk, orang-orang ini tak dapat masuk, tak adillah. Masa keluar, mereka ikut... saya masuk, mereka tak boleh ikut.

"Kita jangan lupa mereka ini punya kuasa undi. Kalau mereka berada di luar Umno dan mengundi parti lawan, Umno mungkin akan kalah," katanya.

Dr. Mahathir berkata, kehadiran tetamu kira-kira 10,000 orang pada rumah terbukanya tahun ini agak luar biasa dan ia mungkin disebabkan beliau menguar-uarkan tentang hal itu dalam laman blognya. / Mstar

Selesai segera isu warganegara di Sabah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar diseru ke Sabah untuk mengadakan "mesyuarat khas tertutup" bersama mereka yang mempunyai masalah kewarganegaraan dengan segera agar isu itu tidak dipolitikkan lagi.

Bekas ketua menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak juga berkata parti-parti politik termasuk Parti Maju Sabah (SAPP) kini turut menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menangani masalah itu

Tambahnya, lapor Bernama, perdebatan terbuka yang berpanjangan mengenainya hanya akan menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional.

Sambil meminta Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Abdul Halim Muhammad datang sendiri ke Sabah bagi menangani isu itu, beliau berkata:

"Nampaknya satu demi satu, orang ramai tampil dengan bukti nyata mengenai masalah kewarganegaraan dengan status rakyat tempatan Sabah bertukar menjadi penduduk tetap (PR).

"Ini mungkin hanya sebahagian kecil masalah. Mungkin ramai lagi, terutamanya mereka yang menghadapi masalah seumpamanya akan mengambil tindakan serupa dan ini memberi kesempatan kepada pihak tertentu mendapat keuntungan politik.

"Itu sebabnya kita tidak mahu perkara ini berlanjutan."

Salleh mengulas pendedahan terbaru oleh timbalan presiden SAPP Datuk Eric Majimbun, yang juga anggota parlimen Sepanggar, mendakwa seorang pemegang MyKad menggunakan nama keluarganya, Majimbun, dengan ejaan yang berbeza sedikit (Majimbon).

Lelaki warga Filipina itu yang asalnya bernama keluarga Maguil mendakwa memperoleh dokumen pengenalan itu beberapa tahun lepas.

Majimbun dilaporkan berkata bahawa kes Maguil hampir serupa dengan kes wanita berusia 78 tahun, Yong Lee Hua dari Penampang yang kehilangan MyKad selepas begnya diragut tahun lepas.

Wanita bumiputera kelahiran tempatan itu kemudiannya diberikan status PR.

Terkejut dengan pertukaran status itu, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) itu kemudiannya mengugut akan menyemak semula kedudukan mereka sebagai parti komponen BN jika masalah itu tidak ditangani.

Menurut agensi berita itu lagi, Salleh berkata Kementerian Dalam Negeri hendaklah melihat masalah itu dengan serius dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.

"Kami tidak mahu lagi mendengar jawapan biasa 'kami akan mengkaji perkara ini'.

"Ramai rakyat Sabah tidak berpuas hati dengan JPN Sabah menangani isu ini, apatah lagi masalah pendatang tanpa yang memperoleh dokumen MyKad menerusi cara yang diragui," katanya.

Menurut perangkaan yang diberikan oleh SAPP, dalam tempoh 30 tahun, penduduk Sabah meningkat sebanyak 285 peratus kepada 2,449,389 orang pada tahun 2000.