Isnin, 21 April 2008

Anwar lebih senang Pak Lah kekal!

Oleh Dr Mohd Khir Toyo

Sungguhpun berada di luar negara, isu-isu dalam negara turut saya ikuti. Berdasarkan laporan-laporan media hari ini ternyata YAB Pak Lah berhasrat untuk kekal buat beberapa tahun lagi. Persoalannya apa akan berlaku kepada senario politik negara dan UMNO? Apakah hala tuju kepimpinan negara berdasarkan kenyataan Pak Lah beberapa hari lalu?

Dalam catatan sebelum ini, saya menyatakan bahawa Pak Lah harus melaksanakan exit plan seperti yang disarankan oleh banyak pihak termasuk UMNO Johor.

Saya juga menyarankan beberapa pembaharuan segera dalam kerajaan dan UMNO jika BN mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat. Beberapa pandangan yang diberi oleh pembaca mengenai arah pembaharuan dalam catatan sebelum ini turut boleh dijadikan panduan.

Nampaknya cadangan peralihan kepimpinan dan pembaharuan secara baik tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Saya percaya ini akan memberi kesan kepada usaha untuk meraih kembali kepercayaan dari kalangan akar umbi UMNO dan rakyat.

Melihat kepada kegigihan Tun Dr. Mahathir mewujudkan momentum yang agak tinggi dalam siri ucapan beliau, jalan untuk kepimpinan hari ini meraih kembali kepercayaan ahli UMNO agak sukar dan penuh liku. Penerimaan pemimpin bahagian, cawangan dan ahli UMNO serta rakyat terhadap usaha Tun semakin tinggi.

Sukar sama sekali untuk BN kembali pulih jika terus mengabaikan pandangan Tun secara total. Kedudukan Tun sebagai pemimpin ulung negara belum pudar bukan sahaja kepada ahli UMNO malah kepada seluruh rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama mahu pun peringkat umur.

Malah, menurut seorang rakan, rakyat memberi reaksi spontan kepada Tun dengan memberi tepukan gemuruh sambil berdiri (standing ovation) dalam dua majlis terakhir yang beliau hadiri iaitu - Konsert anjuran Pengasih dan Konsert Celine Dion. Ini wajar membuka mata kepimpinan hari ini mengenai pengaruh dan populariti Tun.

Senario Semasa Politik Negara

Beberapa perkara mungkin akan berlaku dan bakal mengubah lanskap politik tanah air. Perubahan ini boleh menjadi satu yang menguntungkan parti dan negara atau sebaliknya. Walau apa pun kita perlu hadapi secara bersama. Saya menjangkakan beberapa senario seperti berikut mungkin berlaku:

Senario Pertama

Berlaku perubahan atau rombakan kabinet. Pak Lah terpaksa merombak kabinet sedia ada untuk memenuhi tuntutan dari Sabah dan Sarawak.

Pertemuan Pak Lah dengan pucuk pimpinan Sabah memperlihatkan kekecewaan rakyat Sabah. Para pemimpin di Sabah melihat rakyat di negeri itu dilayan sebagai kelas kedua dan sebagainya.

Malah ada yang mengatakan "bukan pemimpin Sabah yang perlu dibimbangi akan lompat, tetapi takut nanti rakyat Sabah yang akan lompat dalam pilihan raya umum akan datang."

Saya melihat kenyataan ini ada kebenarannya. Malah saya boleh merasakan perasaan yang sama itu kerana saya pernah bekerja di Sabah.

Saya tidak ikut serta dalam perjumpaan di Sarawak. Tapi saya rasa mungkin perkara yang sama berlaku. Untuk itu saya berpendapat, sama ada suka atau tidak Pak Lah perlu merombak kabinet.

Namun sama ada rombakan Kabinet akan berlaku atau tidak, ia merupakan hak budi bicara (prerogratif)YAB PM.

Senario Kedua

Namun senario kedua yang mungkin berlaku adalah undi tidak percaya terhadap PM di Parlimen oleh pembangkang. Lebih-lebih lagi pemilihan Speaker juga tampaknya kurang teliti (sama seperti ketika membentuk kabinet). Jika ini berlaku, Datuk Seri Najib akan mengambil alih kepimpinan setelah mendapat persetujuan UMNO dan Barisan Nasional serta Perkenan Yang Di Pertuan Agong.

Namun saya tidak menjangkakan ini akan dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim dan sekutunya dalam jangka masa terdekat ini. Jika ia dibuat pasti jalan Anwar untuk kembali ke puncak akan lebih sukar. Ini kerana saya pasti DS Najib akan melakukan perubahan yang agresif dalam kerajaan dan parti untuk mengekang Anwar dan sekutunya.

Pada hemat saya, Anwar lebih senang melihat Pak lah terus kekal. Ini akan mewujudkan kedudukan UMNO yang lemah dan sokongan parti komponen juga agak kurang. Akhirnya BN akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang. Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru.

Justeru, jalan terbaik Anwar Ibrahim adalah untuk terus melemahkan UMNO dan BN. Bagi tujuan itu, Anwar akan cuba membina keyakinan rakyat terhadap beliau melalui proses demokrasi dan sekaligus meruntuhkan moral dan kepercayaan rakyat dan ahli UMNO terhadap Pak Lah dan Najib.

Saya yakin menjelang sidang kedua Parlimen nanti, satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen. Kawasan yang hampir pasti ialah Bandar Tun Razak yang berada di depan batang hidung kepimpinan hari ini.

Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengosongkan kerusi ini sebagai balasan diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Jawatan tersebut sepatutnya disandang oleh pemimpin nombor dua PKR, Azmin Ali. Namun ia merupakan tolak ansur Azmin yang dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bila Pakatan Rakyat PR) berkuasa kelak.

Anwar akan bertanding sebagai calon Perdana Menteri (in waiting). Sementara itu seperti tradisi, Timbalan Presiden UMNO, DS Najib akan mengetuai jentera pilihan raya kecil BN.

Dengan Pak Lah masih menjadi pemimpin nombor satu, mood di kalangan ahli UMNO dan BN akan berada di tahap amat rendah dan amat sukar untuk BN menang. Keputusan hampir pasti akan menyebelahi PKR.

Apabila ini berlaku, kemenangan Anwar bukan sahaja menghancurkan keyakinan rakyat, terutama ahli UMNO, kepada Pak Lah tetapi juga kepada DS Najib. UMNO hampir pasti hancur jika ini berlaku.

Ini yang amat saya bimbangi dan saya yakin akan berlaku, lebih-lebih lagi memikirkan kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan hampir dengan Persidangan Agung UMNO tahun ini. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada UMNO.

Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan moral dalam dan luar negara. Beliau akan menyusun langkah seterusnya dengan mengadakan undi tidak percaya kepada PM dalam sidang kedua Parlimen akan datang.

Ketika itu, sama ada beliau telah "beli" wakil BN atau tidak bukan lagi persoalan. Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah ketika itu amat dahsyat dan boleh dikatakan tiada keyakinan langsung. Jadi undi tidak percaya kepada Pak Lah bukan proses beli undi tetapi kerana krisis keyakinan kepada kedua-dua kepimpinan negara iaitu Pak Lah dan DS Najib (yang kalah dalam pilihan raya kecil Bandar Tun Razak).

Anwar Ibrahim akan membentuk kerajaan campuran baru. Sama ada parti komponen yang lompat atau wakil yang lompat itu perlu dikaji dengan lebih teliti.

Saya yakin Anwar tidak akan masuk sidang Parlimen sebagai Ketua Pembangkang. Jika ini berlaku akan banyak cerita lama beliau akan ditimbulkan semula dan pasti akan melukakan hati anak dan isteri beliau.

Melihat karektor Anwar sejak dahulu beliau tidak akan membiarkan perkara ini berulang dalam hidupnya. Anwar akan hanya masuk semula ke Parlimen sebagai Perdana Menteri. Itu adalah prasyarat utamanya. Walau apa pun kos dan keadaan itu soal kedua.yang penting ingin jadi Perdana Menteri negara ini.

Kesimpulan

Atas kebimbangan inilah, saya merayu Pak Lah memikirkan semula exit plan yang terbaik dan ia tidak boleh dilengahkan.

Jika proses peralihan kuasa ini dilakukan segera, ia akan memberi ruang dan masa untuk DS Najib melakukan sesuatu yang drastik, menyusun semula kabinet dan melakukan pembaharuan dalam parti.

(Bagi saya, jika Pak Lah yang melakukan rombakan kabinet seperti dalam senario 1 pun, ia tetap akan ada krisis keyakinan dan kepimpinan. Ini kerana Pak Lah sekali lagi dilihat membuat keputusan yang berubah-ubah. Justeru pemimpin baru perlu bagi melakukan pembaharuan dalam senarai kabinet mahu pun sistem pentadbiran.)

Jika ini dapat dilakukan dalam waktu terdekat, rancangan Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil pasti tergendala. Ini kerana mood ahli dan rakyat akan berubah untuk memberi peluang kepada pemimpin baru.

UMNO dan parti komponen BN juga akan lebih kukuh menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

Malah jika Anwar menang dalam pilihan raya kecil pun sama ada di bandar Tun Razak atau Permatang Pauh, ia tidak mungkin dapat menjadi Perdana Menteri kerana keyakinan dalam UMNO dan BN telah dipulihkan.

Segala hasrat untuk mengadakan undi tidak percaya di Parlimen akan berkubur begitu sahaja.

Jika Pak Lah kekal dan dicabar dalam Pemilihan UMNO, akan berlaku suasana yang berbeza sama sekali. Ini mungkin saya akan ulas dalam tulisan akan datang.

Tiada ulasan: