Selasa, 29 April 2008

Tsunami politik di Semenanjung tidak mustahil boleh berlaku di Sabah sekiranya BN gagal memenuhi aspirasi rakyat.:Musa

28th April, 2008

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan pusat sudah memberi jaminan untuk meneliti secara serius setiap permasalahan dan tuntutan perubahan yang dikemukakan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 7 April lepas.

Katanya pelbagai isu berkaitan kepentingan Sabah yang dikemukakan itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

“Lebih banyak perbincangan dan tindakan susulan kami akan buat dari semasa ke semasa. Kami juga telah meminta wakil kami khususya menteri-menteri Perseku-tuan (dari Sabah) supaya membuat tindakan susulan terhadap apa juga perkara yang diutarakan pemimpin BN Sabah. “Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Perdana Menteri akan sentiasa memberi perhatian sewajarnya terhadap permohonan kami itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Maju Sabah (SAPP) ke-13 di sini kelmarin.

Musa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang beliau belum melihat apa-apa hasil atau perkembangan daripada perjumpaan pemimpin BN Sabah dengan Perdana Menteri pada 7 April lalu.

Musa berkata Perdana Menteri sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan agensi-agensi berkaitan untuk meneliti perkara yang dibangkitkan BN Sabah termasuk kedudukan Jabatan Pembangunan Sabah (JPPS) serta perubahan lain yang dituntut. “Sudah tentu perubahan ini tidak akan berlaku dalam tempoh sekelip mata. Ia mungkin mengambil masa. Apa yang penting di sini ialah Perdana Menteri sudah mengambil perhatian dan serius dengan perkara berkenaan,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan telah mengambil tindakan serta merta dengan mengarahkan pembinaan pusat tahanan sementara tambahan di Sandakan dan Tawau bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa mengingatkan pemimpin dan anggota komponen BN supaya melipat gandakan usaha bagi menjadikan BN terus relevan dan satu-satunya wadah perjuangan yang terbaik untuk rakyat.

Katanya BN tidak seharusnya mudah selesa dan berpuas hati dengan pencapaian sekarang kerana tsunami politik di Semenanjung tidak mustahil boleh berlaku di Sabah sekiranya BN gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Musa juga menggesa parti-parti komponen BN supaya terus berpegang kepada konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN selama ini yang menjadi pemangkin kepada perpaduan bangsa dan kemajuan negara.

Katanya sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan parti komponen seharusnya diselesaikan melalui saluran sewajarnya.

Tiada ulasan: