Rata-rata menyebut Najib bukan calon yang layak sebagai PM kecuali Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap berani dan telus dalam mengemukakan hujah kebenarannya.
Written by norzahkepol, WANITA POST
RUANG Riverside Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa Majlis Taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terasa membahang dengan isu-isu politik. Tiada isu lain dibincangkan selain desakan agar Pak Lah melakukan proses peralihan kuasa dalam masa terdekat.
Begitupun ketika diajukan persoalan ini kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Mukhriz Dr Mahathir berpendapat Pak Lah kena melakukan proses peralihan kuasa Perdana Menteri (PM) dalam masa terdekat. Katanya, jangan tunggu sehingga pemilihan parti Disember ini kerana banyak perancangan dan kerja parti boleh diatur serta dilaksanakan jika negara mempunyai PM baru.
Persoalannya , mampukah UMNO mempertahankan maruahnya jika pengganti PM adalah Datuk Seri Najib Tun Razak? Inilah persoalan yang perlu kita renung dan telitikan. Rata-rata menyebut Najib bukan calon yang layak sebagai PM kecuali Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap berani dan telus dalam mengemukakan hujah kebenarannya.
Menyentuh tentang kekusutan UMNO dewasa ini ada kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) ini ada baiknya semua pihak merenung diri. Salah satu punca atau faktor kekalahan BN PRU 12 juga disebabkan oleh menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin. Seperti mana kita sebut dalam artikel yang sudah-sudah Khairy Jamaluddin perlu melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk Ahli Parlimen Rembau bagi membersihkan imej bapa mentuanya sudah tercalar oleh persepsi rakyat ke atasnya.
Hari ini rata-rata menyebut Khairy adalah punca kekalahan BN di lima negeri selain faktor-faktor lainnya Pak Lah tidak menerima pakai laporan JASA, SB , agensi kerajaan dan lain-lain. Tidak kurang menyebut mungkin terdapat unsur-unsur sabotaj semasa menentukan senarai calon wakil rakyat sehingga BN kalah di lima negeri. Apa pun ramai menyalahkan Pak Lah kerana terlalu percayakan orang-orang kanan dan kelilingnya tidak memberikan laporan tepat tentang mood rakyat dan sebagainya.
Apapun mendesak Pak Lah melakukan peralihan kuasa dalam masa terdekat adalah tidak relevan. Adakah Najib sesuai sebagai PM? Walaupun ada pandangan mengatakan lebih baik Pak Lah mengadakan muzakarah tertutup bersama Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat dicari satu formula yang kuat membantu kepentingan dan ketuanan Melayu di negara ini tanpa mengenepikan kepentingan dan hak kaum-kaum lain di negara ini. Pada masa yang sama ada juga tokoh-tokoh NGO mencadangkan agar orang Melayu terus menolak kepimpinan Dr Mahathir , Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim didakwa sebagai punca perpecahan Melayu di negara ini.
Sikap ketiga-tiganya suka bercakap secara umum dan memperkecilkan kewibawaan Pak Lah sebagai PM sehingga diambil kesempatan oleh pemimpin kaum lain senada memperlekehkan Pak Lah. Maka tidak hairanlah jika S.Samy Vellu sudah mula ‘bermain kasar’ dan melontarkan kenyataan jelas menyinggung pemimpin UMNO. Sebenarnya kita harus bersetuju dengan pandangan Muhyiddin Yassin atau pandangan menteri-menteri lain mungkin dibuat secara tertutup, pandangan Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir agar Pak Lah melakukan peralihan kuasa. Apa yang disebut oleh pemimpin di atas itu jualah yang disebut oleh majoriti rakyat. Rakyat dan pemimpin berkenaan menyatakan perkara yang benar dan telus. Apa yang Muhyiddin kata bahawa UMNOlah menentukan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri adalah tepat dan kenyataan berwibawa. Tak perlulah mana-mana pihak termasuk Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kita tahu pendiriannya tetap satu setia kepada Perdana Menteri atau Presiden UMNO mempertikaikannya. Pak Lah dipilih oleh perwakilan UMNO dan kepada UMNO Pak Lah kena kembali.
Jadi tak perlulah mana-mana pihak menjadi ‘tukang cuci tandas ’ segala kenyataan benar dari rakyat atau mana-mana pemimpin seperti Muhyiddin, Mukhriz dan Dr Khir Toyo. Muhyiddin dan Dr Khir Toyo tidak bermain wayang dan kenyataan mereka datangnya dari kemahuan rakyat. Terserahlah kepada Pak Lah menerima pakai pandangan tersebut.
Walau bagaimanapun perlu kita jelaskan di sini, UMNO tidak perlukan pelan pemulihan menarik keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN. Sebaliknya UMNO perlu melakukan pelan pembersihan bagi mempastikan parti itu terus relevan dan kekal selama-lamanya. Oleh kerana UMNO melakukan usaha pemulihanlah maka nama-nama pemimpin tidak sepatutnya ada dalam kerajaan dan parti antaranya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Azim Zabidi, Datuk Musa Aman, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Annuar Musa terus kekal di dalam parti. Kalaulah Pak Lah mengguna pakai pelan pembersihan sudah pasti kerajaannya diberikan nafas baru dengan pelantikan muka-muka baru sebagai menteri kabinet dan sebagainya. Pengekalan beberapa nama pernah ditohmah dengan skandal hakim, rasuah dan politik wang membuatkan parti itu terus kekal dengan ramuan lama tidak dihormati oleh rakyat jelata.
Sejak kebelakangan ini memang kalangan ahli UMNO mempersoalkan banyak tindak tanduk Pak Lah. Antaranya kenapa Shahrizat yang kalah di Parlimen Lembah Pantai dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri seolah-olah menafikan kewibawaan Ng Yen Yen sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Kenapa Datuk Maznah Mazlan , ADUN Muadzam Shah dilantik sebagai Senator seterusnya Timbalan Menteri? Kalaupun untuk mengisi kuota jawatan negeri Pahang ada baiknya dilantik di kalangan ketua-ketua wanita bahagian negeri Pahang tidak mempunyai jawatan ADUN. Tidak kurang yang bertanya kenapa Pak Lah tidak menasihatkan menantunya Khairy Jamaluddin melepaskan jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau untuk membersihkan kerajaannya dari terus terpalit oleh nama menantunya.
Ada juga sumber menyebut, Khairy sudah mula memasang agen-agen kempen bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Disember ini. Malah ada pihak berani menyebut berapa jumlah wang yang Khairy peruntukan untuk bertanding jawatan ketua pemuda dan berbagai insentif lain lagi untuk kemudahan jentera kempennya bergerak. Persepsi inilah sedikit sebanyak akan menjejaskan kewibawaan Pak Lah dan usaha UMNO melakukan pembersihan dalam parti itu. Khairy perlu melakukan pengorbanan politik iaitu meletakkan jawatan sebagai salah satu pelan pembersihan dalam UMNO sekaligus membersihkan institusi Perdana Menteri.
Mungkin ada baiknya saranan Datuk Paduka Mohd Norza Zakaria agar semua pemimpin UMNO, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perbincangan tertutup tentang isu perpaduan Melayu. Tak perlulah isu kelemahan Melayu diperbesarkan dan semua pemimpin Melayu tanpa mengenal warna parti duduk berbincang mencari formula kekuatan Melayu semula. Bercakap pasal Mohd Norza memanglah ramai pihak tertanda tanya kenapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu satu-satunya tidak bertanding dalam PRU 12? Sebelum ini memang ada menyebut Mohd Norza akan diletakkan bertanding di Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Bukit Katil. Tapi apa malangnya namanya digugurkan pada saat-saar akhir mungkin ada kaitan pemimpin tertentu tidak berasa senang dengan ketrampilan dan kewibawaan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu. Sebagaimana umum sedia maklum, kejayaan Mohd Norza dalam politik bukan kerana faktor pemimpin tertentu atau orang tertentu tetapi kerana kredibilitinya. Beliau mampu berdiri di atas kaki sendiri dan sentiasa menjadi pencetus idea baru antaranya mencadangkan UMNO,PAS dan PKR duduk berbincang pasal perpaduan Melayu.
Terus terang kita katakan di sini, siapa bakal pengganti Pak Lah bukan persoalannya tetapi dalam keadaan kekalutan politik dewasa ini perlulah dinampakkan apa sahaja pelan pemulihan dimaksudkan oleh UMNO atau Pak Lah bertanggungjawab dalam hal ini. Tak usahlah sesetengah pemimpin UMNO berdegar-degar bercakap pasal perpaduan atau ketuanan Melayu sekalipun dalam keadaan ekor mereka bergelumang dengan tahi. Kalau ada pelan pemulihan dimaksudkan cepat-cepat dibentangkan kepada pengetahuan rakyat kini tersepit oleh kesan kenaikan harga barangan dan sebagainya. Malah belum menampakkan tanda-tanda Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad turun padang menyelesaikan kekalutan kenaikan harga barangan dan mengenakan denda kepada pekedai menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya.
Apa yang kita perhatikan sejak BN kalah di lima negeri ini tentang sikap dan kebertanggungjawaban sesetengah menteri lebih leka membuat kenyataan terbuka pasal perpaduan Melayu dibandingkan membentangkan agenda kerja kementerian masing-masing. Malah ada antaranya suka membesar-besarkan isu babi di negeri Selangor sehingga menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini.
Memanglah dalam keadaan seperti sekarang rata-rata rakyat mahu Pak Lah melepaskan kerusi PM. Tapi adakah jaminan bakal pengganti Pak Lah seperti mana disebut Najib lebih baik dari Pak Lah? Adakah Najib mempunyai semangat keberanian itulah menjadi persoalannya. Yang rakyat nampak lebih berani sekarang ini adalah Tengku Razaleigh, Anwar dan Muhyiddin Yassin. Namun terserahlah kepada kerana apa yang kita nampak sekarang sebelum proses peralihan kuasa berlaku, Khairy Jamaluddin kena melepaskan kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda dan Ahli Parlimen Rembau bagi membersihkan imej Pak Lah sudah tercemar…
Rabu, 23 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan