Oleh: 'Deep Throat' Sabah
Hasrat melambung lima orang ali jawatankuasa Persatuan Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak untuk menyampaikan notis bantahan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kalabakan, Mohd Gasing Saleng terbantut apabila notis mereka enggan diterima. Menurut Pengerusi persatuan berkenaan, Yadum Atihal, pihaknya mengemukakan bantahan rasmi terhadap penglibatan seorang ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kalabakan, David Bin Udin Samaila @ Udin Jambang dalam kegiatan jenayah menceroboh tanah pekebun kecil di Tingkayu.
"Tapi Mohd Gasing tidak mau terima, sebaliknya mengugut untuk menyaman kami," ujar Yadum yang kesal dengan sikap pemimpin pergerakan pemuda UMNO berkenaan yang terlalu ego dan tidak prihatin dengan kesengsaraan para pekebun kecil yang dizalimi ahli pergerakannya.
Kata Yadum, sepatutnya Mohd Gasing menyiasat kegiatan tidak bermoral ahlinya terutama menggunakan T-Shirt Pergerakan Pemuda UMNO Kalabakan untuk menjalankan kegiatan jenayah bersama seorang lelaki Alimudin Mohd Ajay.
"Kita bukan mahu melibatkan pergerakan politik berkenaan, cuma kita mengadu kegiatan ahlinya yang menyalahi undang-undang. Sepatutnya dia terima dan siasat aduan kita dan bukannya lepas tangan begitu sahaja," ujar Yadum terkejut kerana sebelum meninggalkan pejabat UMNO Kalabakan, Mohd Gasing meminta satu salinan asal notis bantahan berkenaan, kononnya untuk ditunjukkan kepada Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Ghafur Salleh.
Yadum kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tawau berikutan keengganan Mohd Gasing menerima notis bantahan mereka bagi memudahkan polis menjalankan siasatan berhubung ahli UMNO yang terlibat dengan kegiatan samseng.
Tegas Yadum, semua pihak wajar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Tawau yang meluluskan Injunksi kepada pekebun kecil untuk mengusahakan tanah mereka dan pihak yang menentangnya tidak berhak untuk mendakwa tanah tersebut milik mereka sehingga kes berkenaan diputuskan mahkamah.
"Tidak ada sesiapapun boleh memasuki kawasan kebun kami tanpa izin kami, apatah lagi merompak hak kami. Tapi apa polis buat?," tanya Yadum yang kesal dengan sikap polis Kunak yang enggan mengambil tindakan terhadap para penceroboh yang mencuri buah dan merampas kenderaan ladang milik pekebun kecil sehingga ada yang dijual sebagai besi buruk.
Ketika ditanya apa tindakan lanjut persatuannya, Yadum membayangkan akan menghantar notis bantahan berkenaan kepada Ketua Pergerakan UMNO Sabah dan Ketua Pergerakan UMNO Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd Gasing memberitahu beliau enggan menerima notis bantahan berkenaan kerana ianya melibatkan peribadi ahlinya dan bukannya Pergerakan Pemuda UMNO Kalabakan secara mutlak.
"Saman atau laporan patut dibuat terus terhadap David dan bukannya melibatkan Pergerakan Pemuda UMNO Kalabakan. Ini kes berat dan memalukan Pemuda UMNO ," ujar Mohd Gasing yang akan memberi taklimat kepada Ketua Bahagian berhubung isu berkenaan.
Mengikut siasatan Malaysia Today, bapa David, Udin Samaila @ Udain Jambang warga Indonesia yang kini memiliki kerakyatan Malaysia secara songsang sebelum ini adalah pengusaha Barter Trade sebelum menghilangkan diri kerana terlibat dengan pelbagai kegiatan samseng.
Beberapa majalah Indonesia melaporkan kejayaan Udin di tanah besar Sabah namun kini menghilangkan diri kerana amat dikehendaki oleh Polis Indonesia dan Interpol kerana penglibatan beliau dengan beberapa sindiket antarabangsa termasuk membiayai kegiatan samseng dan jenayah terancang.
Bagaimanapun Kerajaan Indonesia dan Interpol gagal memberkas Udin kerana memiliki kerakyatan Malaysia dan bersembunyi setiap masa.
Namun agak aneh apabila Mohd Gasing boleh menghubungi Udin melalui telefon untuk bertanyakan apakah benar anaknya David bekerja dengan Alimuddin yang menjalankan kegiatan samseng di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak.
Lebih lima laporan polis dibuat terhadap Udin dan David terutama kegiatan samseng mereka di Hill Top, Tawau, namun kelihatan polis Tawau begitu akrab dengan Udin dan David!
Sabtu, 26 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan