Oleh ‘Deep Throat Sabah’
Para Pekebun Kecil di Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak telah sebulat suara untuk menghantar Warkah Berdarah Buat Pak Lah setelah bosan dengan karenah birokrasi Kerajaan Barisan Nasional yang gagal berfungsi untuk menjaga hak asasi mereka terhadap tanah yang mereka usahakan.
Walau berkajang surat dihantar, lebih 40 laporan polis dibuat dan beratus aduan rasmi difailkan, namun Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menafikan hak mereka sebagai warganegara.
Menurut Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada pihak yang boleh merampas harta melainkan melalui undang-undang dan tidak ada undang-undang yang boleh merampas hak melainkan melalui pampasan.
Namun, Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) telah bertindak merampas tanah yang mereka usahakan di Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak dengan bantuan Kerajaan Barisan Nasional yang telah meluluskan geran kepada
SKPTTB berdasarkan permohonan tanah yang telah dibatalkan Setiausaha Hasil Bumi.
Wakil Pekebun Kecil telah melafazkan Sumpah Di Bumi Sabah dengan melaungkan dengan penuh semangat sumpah keramat mereka yang berbunyi, “Kami bersumpah dengan darah, demi tanah, pantang menyerah.”
“Kami terpaksa menghantar Warkah Berdarah Buat Pak Lah setelah semua cara menemui jalan buntu. Kami harap Pak Lah faham dan menyelesaikan masalah kami dengan apa juga cara,” ujar Yabi Mositoh @ Alex yang sanggup mengorbankan darahnya untuk menulis warkah kepada Pak Lah.
Bagaimanapun warkah berkenaan tidak akan dikirimkan kepada Pak Lah sebaliknya diberikan hak penyiaran eksklusif kepada Malaysia Today dan akan dikirimkan kepada Youtube untuk tontonan manusia sejagat bahawa rakyat tempatan di Sabah ditindas kerana tanah mereka dirampas disebabkan rasuah telah menjadi raja yang memerintah.
Khamis, 24 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan