Sabtu, 31 Mei 2008

JPPS dimansuhkan, Jawantankuasa Kabinet mengenai masalah pendatang tanpa izin ditubuhkan

KOTA KINABALU 31 Mei — Penantian 17 tahun oleh para pemimpin Kerajaan Negeri bagi pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berakhir hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan berita gembira itu.

Dengan pemansuhan itu yang berkuatkuasa serta merta, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah akan menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan memantau pelaksanaan projek-projek persekutuan.

Abdullah, yang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan di sini, turut mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah pendatang asing ke Sabah.

Jawatankuasa Kabinet ini, yang akan turut dianggotai beberapa pemimpin Sabah, akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu, terutamanya pemegang dokumen IMM13, iaitu dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina untuk membolehkan mereka berada di Sabah, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk diagihkan mengikut keperluan pembangunan di Sabah dan pelantikan anak Sabah Datuk Profesor Kamaruzaman Ampong sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah berkuatkuasa 18 Jun.

- Bernama

Tiada ulasan: