Selasa, 20 Mei 2008
Dr Mahathir umum keluar UMNO....apa kata para pemimpin UMNO ?
Tun Dr Mahathir Mohamad telah umum keluar dari UMNO.Bekas Perdana Menteri itu membuat pengumuman itu di majlis anjuran Himpunan Melayu Kedah di Alor Star.
Sebelum itu semasa majlis dailog dengan kira-kira 1,000 orang yang menghadirinya beliau mencadangkan Ketua-ketua UMNO cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan.
Katanya ini kerana jika mereka tunggu sehingga pemilihan UMNO Disember ini Abdullah akan menang tanpa bertanding jawatan itu.
Beliau terus membuat pengumuman keluar parti bila salah seorang hadirin mencabarnya buat pengumuman itu.Menjawab soalan para wartawan dalam sidang akhbar lepas majlis itu Dr Mahathir beritahu beliau akan hantar surat rasmi keluar UMNO kepada Setiausaha Agung UMNO dalam masa terdekat.
Katanya beliau akan masuk balik UMNO sekiranya Abdullah letak jawatan.Dr Mahathir bagaimanapun tidak meminta para ahli UMNO yang nak ikut tindakannya itu masuk parti lain.
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang menghubungi Agendadaily petang ini merayu kepada Dr Mahathir menarik balik tindakan keluar UMNO.
Katanya tindakan itu lebih banyak merugikan dari menguntungkan.Katanya beliau akan mengetuai satu rombongan Badan Perhubungan UMNO Perlis untuk bertemu segera dengan Dr Mahathir.
Serentak dengan itu beliau juga menyeru seluruh pimpinan UMNO gembeling usaha segera selesai kemelut ini.
Katanya mereka tidak patut tunggu arahan Pak Lah dalam soal ini. “ Adakalanya kita semuanya nak tunggu arahan Pak Lah…dalam soal ini semua kena bertindak serta merta.
Katanya Dr Mahathir sebagai pejuang nombor satu UMNO tidak harus berbuat demikian.
“Kalau nak kira kecewa saya sendiri pun kecewa tetapi tidak bertindak begitu…lagipun masalah Dr Mahathir hanya dengan Presiden parti bukan dengan seluruh ahli UMNO...maka ia harus diselesaikan dengan baik,”katanya.
Shahidan berkata tentu sesetengah orang yang beliau sifatkan sebagai ' pelaq-pelaq ' gembira dengan tindakan Dr Mahathir ini.
Katanya golongan ini yang terdiri kalangan ahli UMNO dan bukan ahli UMNO banyak menikmati faedah dari perjuangan UMNO tetapi tidak memberi apa-apa sumbangan balik kepada parti.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam , yang terperanjat dengan keputusan bekas presiden Umno itu, berharap Dr Mahathir menarik balik tindakannya kerana parti itu masih memerlukan sumbangannya.
Ketua Menteri Melaka itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Biro Politik dan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib terkejut dengan tindakan Dr Mahathir, lebih-lebih lagi beliau turut mengajak anggota Umno yang tidak berpuashati dengan kepimpinan parti sekarang mengikut jejaknya.
"Adalah tidak adil juga apabila beliau turut mengajak beberapa lagi anggota UMNO keluar parti itu kerana ia akan membawa kesan buruk dan tindakan itu tidak masuk akal," katanya.
Berhubung kenyataan Dr Mahathir yang hanya akan kembali kepada UMNO sekiranya Abdullah meletak jawatan, Muhammad berkata ia bukan budaya parti dan perkara itu sepatutnya diserahkan kepada anggota UMNO di semua peringkat untuk membuat keputusan.
"Tak pernah ada desakan seperti ini sebelum ini atau dari luar apatah lagi daripada seorang bekas pemimpin tertinggi negara. Lebih baik kukuhkan parti daripada lemahkan parti," kata Muhammad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau hanya akan kembali kepada Umno selepas Abdullah meletak jawatan sebagai satu pendirian tidak bertanggungjawab.
Pendirian itu tidak akan menguntungkan UMNO sebaliknya membuka ruang kepada parti lawan yang sering mengintai peluang untuk memecahbelahkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional, katanya dalam satu kenyataan.
"Saya percaya Pemuda UMNO akan sentiasa rasional dan arahan saya kepada mereka supaya sentiasa berada dalam barisan yang kukuh sehingga arahan selanjutnya kerana UMNO lebih besar dan seharusnya diletak lebih tinggi daripada dua individu berkenaan," katanya.
Hishammuddin mengingatkan anggota UMNO bahawa cadangan meletak jawatan hanya akan menguntungkan pihak lawan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada UMNO terutama dalam usaha membina semula parti dan menyuntik semangat di kalangan anggota serta mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat.
Beliau berharap supaya setiap anggota Pemuda UMNO tidak mengambil tindakan terburu-buru kerana selama ini mereka dididik untuk mengutamakan kepentingan parti.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dalam reaksi segera kepada tindakan Dr Mahathir nak keluar UMNO meminta Perdana Menteri segera duduk dan berbincang dengan bekas Perdana Menteri itu.
Beliau menilai tindakan keluar parti itu tidak wajar dan boleh mengugat kestabilan parti.
Beliau juga mendesak semua para pemimpin UMNO khususnya para ahli Majlis Tertinggi bertindak segera menyelesaikan kemelut terbaru ini.
Katanya mereka tidak boleh lagi diam dalam soal ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menganggapnya sebagai keputusan yang belum muktamad selagi surat tidak diserahkan.
"Pimpinan tertinggi perlu melihat perkara ini bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Suka atau tidak Umno akan menghadapi masalah terutamanya di kalangan orang muda yang membesar di zaman Tun Mahathir," katanya.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata Dr Mahathir sepatutnya memikirkan kesan tindakannya kerana bimbang ia akan menyebabkan anggota parti semakin hilang kepercayaan pada perjuangan parti.
Mengenai keperluan untuk memujuk bekas perdana menteri itu menarik balik tindakannya, beliau berkata: "Perlu atau tidak kena tengok pada punca dan kesannya."
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin pula meminta para ahli UMNO bertenang dalam menghadapi kemelut Dr Mahathir bertindak keluar parti.
Beliau berpendapat tindakan ini tidak akan selesai masalah."Kita masuk UMNO ini bukan kerana Pak Lah atau Dr Mahathir,"katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika dihubungi Agendadaily untuk mengulas hal itu.
Beliau harap para ahli UMNO tidak akan sertai langkah Dr Mahathir itu.Menurutnya mereka harus berpegang kepada asas penyertaan mereka dalam parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said juga menilai tindakan Dr Mahathir tidak akan menyelsai masalah sebaliknya hanya memberi kekuatan pada pembangkang.
Katanya masa keadaan parti tertekan semua pihak termasuk pemimpin serta bekas pemimpin mesti berkerjasama memulihkan UMNO supaya kembali kukuh dan kuat.
"Apa yang dialami UMNO masa ini adalah masalah keluarga dan perlu diselesaikan dalam cara dan semangat kekeluargaan.Tindakan melulu keluar parti hanya akan merosakan parti dan beri kekuatan pada pihak lain,"katanya.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam SMSnya kepada Agendadaily meminta Dr. Mahathir menimbang semula keputusannya itu sekiranya keputusan tersebut boleh mencetuskan masalah baru kepada orang Melayu dan rakyat negara ini.
"Saya juga tidak mahu apa yang berlaku kepada Dato' Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein iaitu pemimpin UMNO yang mengakhirir kehidupannya di luar UMNO berlaku kepada Tun," katanya.
Sehubungan itu beliau menjelaskan, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Pengerusi Badan perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam reaksi ringkasnya menegaskan, tindakan Dr. Mahathir itu ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar dan yakin apa juga masalah yang timbul ada jalan penyelesaiannya.
"Tindakan Tun membawa perpecahan dan Melayu akan menjadi cebisan-cebisan lebih kecil... kini orang Melayu telah berpecah dalam PAS, Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan kini ditambah pula dengan tindakan Tun yang boleh membawa perpecahan dalam UMNO," katanya.
Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal pengguna yang juga Ahli majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad , tindakan mengejut Dr. Mahathir itu boleh membawa kepada pilihan raya umum.
Katanya, sementara UMNO berdepan dengan usaha bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menarik Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang, tindakan Dr Mahathir itu boleh membawa kepada Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti dan pilihan yang ada kepada Perdana Menteri ialah untuk mengadakan pilihan raya bagi mendapatkan mandat yang baru.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata keputusan keluar parti adalah hak Dr Mahathir, dan UMNO sebelum ini pernah mengalami keadaan sama.
"Semasa pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar meninggalkan parti semasa menjadi presiden parti itu, Umno tidak pula hancur, malahan menjadi sebuah parti yang semakin kuat," katanya.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Ramly Zahari berkata Dr Mahathir perlu membatalkan keputusannya dan berpendapat kepimpinan sekarang perlu memujuk beliau menarik balik keputusan itu.
"Jika usaha memujuk gagal maka setiap anggota parti perlu menghormati keputusan itu walaupun ia satu kerugian yang amat besar kepada parti," kata Ramly yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar.
Anggota Majlis Tertinggi Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang menasihati anggota UMNO supaya bertenang dan bersikap rasional berkata mereka perlu menggunakan kebijaksanaan mereka bagi memastikan parti itu berada dalam keadaan stabil dan tidak porak-peranda berikutan tindakan Dr Mahathir itu.
"UMNO akan mengadakan pemilihan (perhimpunan agung) pada Disember ini, di sini terdapat peluang bagi anggota Umno untuk membuat keputusan yang bijaksana sama ada untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada atau memilih kepimpinan baru," katanya.
Abdul Rahim menyifatkan tindakan Dr Mahathir sebagai satu perkembangan tragis dalam sejarah Umno dan berkata: "Mungkin ini satu tindakan taktikal untuk mengenakan lebih tekanan kepada Abdullah untuk meletak jawatan."
Bagi veteran UMNO Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata Dr Mahathir "suka membuat kejutan tetapi dengan tindakannya keluar menyebabkan beliau tidak lagi berpeluang memberi komen terhadap UMNO kerana beliau bukan lagi anggota parti."
"Dan ia tindakan yang tidak betul hanya kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan Perdana Menteri," katanya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata mereka menghormati keputusan yang diambil oleh Dr Mahathir dan beliau perlu sedar kejayaannya mentadbir negara serta memimpin parti dahulu adalah hasil sokongan padu semua pemimpin dan anggota UMNO.
Katanya Dr Mahathir sepatutnya menggunakan pengalaman yang ada untuk memperkukuhkan semula parti dan bukannya bertindak keluar daripada Umno bagi membuktikan bahawa UMNO masih mampu bersatu.
"Kita semua bekerja keras dan beri sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau semasa memerintah. Tetapi sekarang, kita menghadapi cabaran semasa, jadi lebih sesuai kita selesaikan masalah secara muafakat.
"Kita perketatkan mana yang longgar untuk terus ke depan, tetapi jika mahu bawa lari (anggota) daripada pasukan UMNO... tak boleh beri kekuatanlah," katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar UMNO sebagai satu tindakan tidak bijak dan mengejutkan.
"Ia juga merupakan tindakan yang tidak membantu usaha-usaha ke arah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti," katanya dalam satu kenyataan.
Sambil meminta anggota UMNO bertenang dan sentiasa mengutamakan kepentingan parti daripada individu serta berusaha menangani masalah yang dihadapi, beliau berkata anggota Umno hendaklah berusaha mengelakkan daripada berlakunya suasana yang tidak sihat yang boleh menggugat keselamatan negara.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan