Selasa, 13 Mei 2008

Patut adakan sambutan 13 Mei- Nik Aziz

Oleh Siti Masitah(Wartawan gmc)

KOTA BHARU : Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu semua rakyat sentiasa mengingati trajedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku sejak 39 tahun lalu. Beliau bersetuju jika kerajaan Malaysia mengadakan perayaan sempena 13 Mei bagi mengenang kembali kejadian itu agar ianya tidak berulang lagi.

Tuan Guru berkata, rakyat sepatutnya mengambil pengajaran dari membangkitkan isu-isu bangsa kerana tindakan itu nyata tidak mempunyai nilai dalam perpaduan dikalangan manusia terutama umat Islam.

"Melayu bangkit (bangsa) Melayu, Cina pula bangkit (bangsa) Cina dan India pun bangkit (bangsa) India. Ini akhirnya menimbulkan perasaan cemburu dan hina pada bangsa satu sama lain. Sebab itu Islam memang tak bangkit soal bangsa. Nabi Muhammad (SAW) dilawan oleh bangsanya sendiri. Malaysia ni tempat yang kecil tapi bangsa yang ramai, kenapa tak guna Islam untuk cari titik perpaduan," katanya ketika ditemui di kediaman rasminya di JKR 10.

Katanya, sekiranya setiap bangsa cuba membangkitkan dan mempertahankan bangsa masing-masing masalah tidak dapat diselesaikan dan jika sesuatu bangsa tidak bangkit akan isu bangsanya sudah tentu bangsa lain pun tidak akan membangkitkan isu bangsanya.

"Katakanlah saya ni orang Cina, macam mana saya tak iri hati kalau orang Melayu sebut pasal ketuanan Melayu. Saya pun ada bangsa juga, ada bahasa juga untuk dipertahankan," ujarnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan kepada rakyat supaya tidak membangkitkan soal bangsa khususnya orang Melayu kerana Allah mengurniakan Islam pada bangsa Melayu untuk memberi contoh kepada orang bukan Islam kenapa Islam itu lebih baik daripada agam lain.

"Saya tak setuju benar isu ketuanan Melayu, itu menimbulkan ghairah. Islam ni tak paksa orang bukan Islam peluk Islam tapi dia (agama) minta terang kepada orang bukan Islam. Orang Melayu yang reti Islam mesti timbulkan Islam,

"Klalau orang Cina masuk Islam dan bina masjid lalu jadi imam, saya pun nak jadi makmunnya," jelas Tuan Guru.

Tuan Guru berkata, perayaan 13 Mei patut diadakan kerana pada masa ini menampakkan seolah-olah kejadian itu akan terjadi semula. Katanya, ini berlaku kerana tiap bangsa cuba bangkitkan bangsa mereka dan keadaan beginilah yang perlu dielakkan.

"Saya jadi Melayu ni kebetulan, Cina jadi Cina kebetulan, India jadi India pun kebetulan. Benda kebetulan ni tak ada kelebihan pun, yang ada nilai cuma dari usaha kita mendapatkannya seperti cari harta dan cari ilmu. Pasal apa kita nak tonjolkan benda yang tak ada nilai ni, lebih-lebih di akhirat hanya takwa kepada Allah sahaja kelebihannya," tegas Tuan Guru.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan semasa sempena peristiwa bersejarah 13 Mei yang genap usia 39 tahun hari ini.

Rusuhan kaum 13 Mei berlaku pada pagi 13 Mei 1969 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur yang melibatkan orang Melayu dengan Cina. dalam rusuhan itu telah mengorbankan 196 orang dan kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat sehingga tahun 1971.

Selain 196 orang terkorban dan 149 orang cedera parah, 753 kes kediaman dan kedai dibakar dan 211 kenderaan dimusnahkan. Ini mengakibatkan 6,000 orang yang 90 peratus orang Cina kehilangan tempat tinggal. Semua pihak mengakui tragedi itu meletus apabila ada pihak yang membangkitkan isu orang-orang Melayu secara melampau sekali gus menghina mereka.

Tiada ulasan: