Dr Mohamad Khir Toyo
Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.
Sabah Perlukan Perhatian Serius Kerajaan Persekutuan
Baru-baru ini saya mengunjung ke negeri Sabah sekali lagi. Banyak tempat yang saya kunjungi. Di banyak tempat inilah juga isu kemiskinan merupakan satu topik yang amat relevan sekali.
Ini mengingatkan kembali saya kepada rancangan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar sebelum 2010. Sungguh pun ia rancangan yang amatlah baik namun perancangan dan pelan yang ada tidak jelas sama sekali.
Pada hemat saya rancangan pembasmian kemiskinan ini tidak akan berjaya kerana ia tidak dibuat dengan tindakan yang memfokuskan kepada isu-isu pemangkin meningkatkan produktiviti terutama dalam sektor pertanian.
Masalah kemiskinan di sabah akan bertambah serisu bila berlaku lagi kenaikan barangan makanan asas seperti beras, tepung dan gula. Ini akan menggawatkan lagi masalah kemiskinan di Sabah.
Melalui pengalaman saya di Sabah baru-baru ini saya tidak yakin dengan sasaran telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan akan berjaya.
Bagi saya kerajaan Sabah ditadbir dengan baik oleh YAB Datuk Seri Musa Aman, tetapi kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan untuk menyelesaikan miskin tegar terutama dalam menyediakan infrastruktur besar bagi menjana ekonomi dan pendapatan rakyat.
Melalui pengamatan saya, Sabah merupakan negeri yang mempunyai peratus miskin tegar antara yang tertinggi di negara kita. Terus terang dikatakan saya tidak nampak ada perancangan khusus oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengotakan janji mereka bagi membasmi kemiskinan.
Lihat sahaja sawah di Kota Belud tidak punya sistem saliran yang baik. seperti projek Barat Laut di Selangor. Sabah hanya mampu mengeluarkan 30% sahaja keperluan beras negeri tersebut. Dengan kenaikan harga beras yang mencapai 40-50% ini akan menyebabkan rakyat Sabah terpaksa mengikat perut.
Kita juga sering mendengar pertanian merupakan sektor tumpuan Perdana Menteri tetapi tiada projek mega berbentuk infrastruktur pertanian kepada negeri Sabah. Saya sedih melihat rakyat Sabah yang rajin bekerja tetapi tidak dapat meningkatkan jumlah pendapatan mereka kerana infrastruktur dan prasarana sedia ada gagal menjadi pemangkin.
Ia cukup jauh berbeza dengan keadaan pertanian negeri Selangor. Saya merayu kepada YAB untuk mengotakan janji membasmi miskin tegar di Sabah dengan membina sistem pengairan yang sepurna bagi sabah dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Rata-rata saya lihat mereka masih bermimpi untuk menikmati janji kerajaan persekutuan. Tapi apakah mimpi tersebut akan menjadi realiti?
Kehakiman
Saya melihat kerajaan agak terburu-buru membuat keputusan membentuk suruhanjaya kehakiman baru-baru ini. Selain daripada peranannya yang tidak dijelaskan saya khuatir akan ada banyak persepsi dan harapan yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan kepada rakyat. Kekhuatiran ini berdasarkan banyak pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh kerajaan berkenaan penubuhan suruhanjaya yang disambut gembira oleh rakyat berakhir dengan lebih banyak kemarahan kemudiannya.
Perlantikan hakim-hakim melibatkan institusi Perdana Menteri dan juga institusi Raja-raja. Justeru sepatutnya sebelum keputusan dibuat ia perlulah dibincang dan mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agung dan Raja-raja Melayu. Kita tidak mahu wujudnya suruhanjaya ini akan mengurangkan kuasa raja-raja sebagai lambang ketuanan Melayu dan lambang penyatuan rakyat.
Jika ini tidak diteliti dengan jelas akan timbul konflik di antara tiga institusi iaitu Institusi Suruhanjaya Perlantikan Hakim, Institusi Perdana Menteri dan Institusi Agong dan Raja-Raja Melayu.
Saya amat berharap agar kerajaan dapat memikirkan jalan terbaik agar perkara ini tidak berlaku di masa hadapan. Dalam usaha kita untuk melihat institusi kehakiman bebas, kita juga perlu melihat peranan raja-raja dapat dikekalkan. Yang lebih penting pengumuman yang sebesar ini perlu dibuat dengan kajian dengan teliti bersama banyak pihak.
Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Janganlah kerana ingin mencari populariti sehari rosak negara bertahun lamanya.
Politik
Dua bulan sudah berlalu banyak perkara telah disebut seperti pengutan levi pekerja asing, mengambil alih PKFZ, menjadikan lapangan terbang subang sebagai halal hub, program latihan belia dan menjadikan pengurusan bola sepak diuruskan secara profesional. Inilah diantara kenyataan yang dibuat oleh pakatan rakyat. Kita masih menunggu hasilnya. Saya berharap moga-moga semuanya dapat dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan baik. Saya harap pakatan rakyat sedar bahawa mereka adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membawa kemajuan kepada negeri. Jangan juga dilupakan janji-janji manifesto yang membuat rakyat tergoda dalam pilihan raya lalu.
Saya juga tertarik dengan kata-kata DS Anwar Ibrahim yang akan membentuk kerajaan pakatan rakyat pada 16 September ini. Bagi saya tarikh ini ada signifikannya kerana ia merupakan tarikh pembentukan Malaysia.
Saya sedar DS Anwar Ibrahim ingin menggunakan tarikh ini sebagai permulaan era Malaysia Baru. Dan saya agak kesal melihat pemimpin UMNO masih menganggap ianya suatu sandiwara.
Bagi saya DS Anwar Ibrahim tidak akan merelakan kredebilitinya jatuh buat kali kedua. Jika ini berlaku dunia akan menganggap DS Anwar sebagai pemimpin yang kuat berbohong dan tidak akan mendapat kepercayaan rakan politiknya. Atas dasar itulah pemimpin Barisan Nasional perlu menganggap perkara ini lebih serius. Tindakan tertentu perlu diambil.
Dalam politik segalanya berkemungkinan. Bagi mereka yang merancang dengan baik kemungkinan itu akan berpihak kepada mereka.
Selasa, 6 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan