Selasa, 13 Mei 2008

Tiada Anwar, hilanglah Pakatan Rakyat



Seorang pemimpin Pemuda Umno meramalkan Pakatan Rakyat tidak akan bertahan lama kerana parti-parti gabungannya mempunyai ideologi yang sangat berrbeza antara satu sama lain.

Setiausaha pergerakan itu, yang juga ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pakatan itu juga sangat bergantung kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk "mendamaikan" PAS dan DAP.

"Jika tiada Anwar, siapakah pemimpin pelapis PKR yang boleh berunding dengan pemimpin dan DAP?" katanya kapada Malaysiakini dalam satu wawancara di bangunan parlimen minggu lepas.

Abdul Rahman berkata, roh dan kekuatan PKR bergantung kepada Anwar semata-mata.

Beliau juga menambah, pergerakan itu akan terus mempertahankan ketuanan Melayu walaupun suasana politik negara telah berubah.

Beliau turut menafikan perjuangan Pemuda Umno semakin lemah, sebaliknya pergerakan itu mengamalkan pendekatan yang berbeza.

"Pemuda tidak pernah dan tidak akan berkompromi untuk mempertahankan kepentingan dan ketuanan Melayu.

"Tidak pernah terjadi dalam isu tertentu (orang Melayu) kami berkompromi. Kita tidak pernah walau sekalipun tidak tampil untuk mempertahankan ketuanan Melayu.

"Sebutkan dalam isu mana kami tidak berbuat demikian (mempertahankan ketuanan Melayu), kami tidak membelakangkan kuasa Melayu" katanya kepada Malaysiakini di bangunan Parlimen, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tokoh politik muda dari Sabah itu mengakui bahawa politik negara berada dalam sitiuasi yang amat rumit.

Katanya, awal tahun-tahun 1990-an, tiada internet dan tidak ada penulis blog yang, menurutnya, "menyiarkan berita tidak betul."

Dalam pertemuan tersebut, Abdul Rahman juga ditanya mengenai kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai ketua Pemuda Umno sejak 10 tahun lalu.

"Banyak masalah yang membabitkan komponen Barisan Nasional (BN) diselesaikan di belakang tabir tanpa melaung-laungkannya.

"Tetapi cara ini (diselesaikan) di belakang tabir orang tidak syok kerana orang tidak nampak," katanya sambil menambah politik bukan statik tetapi dinamik.

Hishammuddin, kata Abdul Rahman lagi, mengutamakan perbincangan dan muafakat dengan komponen Pemuda BN dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Beliau berkata, keputusan pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini telah mendesak BN supaya berubah dan realiti ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

"(Umno) melihat apa yang diminta rakyat, dalam ekonomi, sosial, jenayah dan perkara-perkara tertentu.

"Kita buat apa yang rakyat mahu, kita dengar suara rakyat. Kalau tak buat akan ada masalah kerana ini yang rakyat mahu," katanya lagi.

Abdul Rahman berkata, BN perlu melakukan perubahan itu sebelum menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, perubahan itu bukan kerana disebabkan oleh parti lawan tetapi kerana rakyat yang mahukannya.

"Seperti AirAsia telah memperkenalkan tambang murah, dan kini MAS mengadakan kaedah sama. MAS berubah bukan kerana AirAsia tetapi kehendak penumpang.

"Tentunya Pemuda Umno berubah bukan kerana PKR tetapi kerana rakyat mahu," ujarnya.

Tiada ulasan: