Jumaat, 3 April 2009

Najib bebaskan 13 tahanan ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan tiga keputusan penting sebentar tadi - menarik balik penggantungan dua akhbar selain membebaskan 13 tahanan ISA dan mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia merupakan pengumuman penting dibuat oleh beliau pada hari pertama dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Daripada 13 orang itu, dua orang merupakan pemimpin Hindraf yang telah diharamkan.

Dua pemimpin Hindraf itu ialah, V.S. Ganapathy Rao and R. Kengadhedharan.

Mereka dibebaskan serta-merta.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri telah menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta.

"Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan," kata beliau dalam perutusan khas sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam hari ini.

Justeru kata Najib, beliau sedar sudah tepat masanya "kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah."

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno memberitahu, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

"Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.

"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia," katanya lagi.

Malah beliau juga mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Tiada ulasan: